Anda di halaman 1dari 15

PENDIDIKAN ISLAM MENGHADAPI CABARAN GLOBALISASI

Amran bin Mat Arriffen

Fakulti Pendidikan,

Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK

Globalisasi merupakan zaman yang penuh dengan cabaran kerana semua


maklumat diperolehi dengan cepat dan tanpa ada sekatan geografi.
Kegagalan menghadapi gelombang ini menyebabkan sesebuah
masyarakat khususnya umat Islam terus lemah dan mundur. Kajian ini
dilakukan bertujuan untuk membincangkan tentang pendidikan Islam
dalam menghadapi cabaran globalisasi ini. Keadah yang digunakan ialah
kajian keperpustakaan. Analisa dibuat dengan meneliti jurnal, buku, dan
kertas kerja seminar. Hasil kajian mendapati bahawa cabaran globalisasi
perlu ditangani dengan bijak supaya ianya mendatangkan manfaat
kepada dunia Islam. Pendidikan Islam yang berteraskan akidah
ketuhanan dan akhlak mulia menjadi sandaran utama dalam menghadapi
pengaruh budaya dan ideologi pemikiran Barat. Perubahan zaman yang
berlaku ini mendesak supaya pendidikan Islam duduk sama rendah dan
berdiri sama tinggi dengan perkembangan dan kemajuan teknologi masa
kini. Kajian ini mencadangkan supaya kurikulum pendidikan sepadu yang
berteraskan tauhid perlu diperkasakan dan aspek penyucian jiwa diberi
penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran di semua peringkat
pengajian.

Pengenalan
Pada hari ini ramai manusia memperkatakan tentang globalisasi dan mereka memberi
pelbagai tafsiran tentangnya sama ada positif mahupun negatif. Terdapat juga segolongan
manusia yang tidak memperduli langsung tentang globalisasi ini. Perbincangan dan
perbahasan secara meluas tentang perkara ini perlu dilakukan supaya masyarakat
khususnya umat Islam mendapat maklumat yang tepat tentang globalisasi dan
cabarannya. Bagi membincangkan tajuk ini, penulis telah membahagikannya kepada
empat subtopik iaitu pendidikan Islam dan globalisasi, pandangan masyarakat Islam

1
terhadap globalisasi, cabaran globalisasi ke atas umat Islam, keunggulan pendidikan
Islam mengharungi cabaran tersebut dan kesimpulan berdasarkan topik perbincangan.

Pendidikan Islam memainkan peranan penting untuk membangun generasi soleh


dan perlu sentiasa relevan dengan perubahan zaman ini. Bersesuaian dengan pengutusan
Rasulullah s.a.w sebagai utusan akhir zaman membawa syariat Islam yang menjadi
rahmat ke seluruh alam. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 107 yang
bermaksud:

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat


bagi semesta alam.”

(Al-Quran dan Terjemahannya:508)

Menurut Hamka (1987) risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w
adalah berpandukan kepada al-Quran yang mengandungi dasar tetap bagi kehidupan
manusia yang sentiasa berubah. Namun begitu, manusia diberi ruang untuk berijtihad
bagi menyesuaikan perubahan dan perkembangan yang berlaku dengan hukum yang tetap
itu. Kedatangan baginda s.a.w membawa syariat yang mengandungi rahmat kerana ianya
tidak jumud dan statik. Ini bermakna, Islam menggalakkan kebebasan berfikir yang
membawa kepada kemajuan. Persoalannya sekarang ialah bagaimana pendidikan Islam
hari ini dalam menghadapi cabaran zaman globalisasi?

Pendidikan Islam dan Globalisasi

Sarjana Islam telah mengemukakan pelbagai pengertian berhubung dengan


pendidikan Islam. Menurut Hassan (1979) pendidikan Islam sebagai suatu proses
persediaan generasi muda untuk mengisi peranan, memindahkan pengetahuan dan nilai-
nilai Islam yang diselaraskan dengan fungsi manusia untuk beramal di dunia dan
memetik hasilnya di akhirat. Abdul Halim (1989) pula menjelaskan bahawa pendidikan
Islam ialah proses yang dilalui anak didik dengan bimbingan yang dilakukan secara
sengaja oleh pendidik untuk mencapai tujuan membentuk manusia muslim berdasarkan
ajaran Islam. Berdasarkan pandangan ini, dapat difahami bahawa pendidikan Islam ialah
suatu proses untuk membangunkan genarasi manusia baik yang berpegang teguh dengan
ajaran Islam iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

Manusia yang lahir daripada proses pendidikan Islam ini mampu melaksanakan
tugas mereka sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini. Oleh itu, aspek
utama yang ditekankan dalam proses pendidikan Islam ini ialah keseimbangan antara
jasmani, emosi, rohani dan intelak. Keseimbangan peribadi menjadi matlamat utama
pendidikan Islam kerana dengannya manusia dapat menjalani kehidupan dengan
sempurna (Mohd Aderi et al. 2014). Hal ini selari dengan apa yang ditegaskan oleh El-
Muhammady (1993) bahawa pendidikan Islam ialah proses mendidik dan melatih akal,

2
jasmani, rohani dan emosi manusia berasaskan sumber wahyu, al-Quran dan Sunnah,
pengalaman Salaf al-Salih serta ilmuan muktabar untuk melahirkan insan soleh. Mereka
mampu memikul tanggungjawab sebagai khalifah untuk mengimarahkan alam ini bagi
mencapai kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Sehubungan itu, pembinaan generasi soleh menjadi agenda utama dalam


pendidikan Islam. Generasi yang dibina ini mempunyai nilai jati diri Islam yang unggul
dan seimbang dengan berpegang teguh kepada ajaran yang bersumberkan al-Quran dan
al-Sunnah. Inilah yang telah ditegaskan oleh al- Qaradhawi (1992) bahawa pendidikan
Islam ialah pendidikan manusia seutuhnya, akal dan hatinya, rohani dan jasmaninya,
akhlak dan ketrampilannya. Oleh itu, dengan keseimbangan yang dimiliki oleh umat
Islam melalui proses pendidikan Islam ini dan kekuatan jati diri yang berteraskan tauhid
mereka mampu menghadapi cabaran sepanjang zaman termasuk era globalisasi.

Tujuan pendidikan Islam menurut al-Attas (1980) adalah untuk mempersiapkan


manusia supaya dapat berperanan dalam masyarakat masing-masing dan menyesuaikan
diri dengan mereka. Manakala Ibnu Khaldun membahagikan tujuan pendidikan Islam
kepada dua bahagian iaitu tujuan keagamaan dan tujuan keduniaan. Tujuan keagamaan
menfokuskan kepada ketaatan beragama dan tujuan keduniaan menfokuskan kepada
cabaran hidup di dunia. Menurut al-Ghazali tujuan pendidikan Islam adalah untuk
membawa manusia supaya mendekatkan diri kepada Allah. Berdasarkan pendapat ini,
dapatlah difahami bahawa manusia yang dilahirkan daripada proses pendidikan Islam
ialah manusia yang seimbang yang mampu melaksanakan tugas sebagai hamba dan
khalifah Allah di muka bumi. Peranan yang dimainkan oleh manusia adalah semata-mata
kerana Allah, mereka akan beroleh kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Sehubungan
itu juga, manusia yang lahir daripada proses ini tidak mengharapkan sanjungan dan
pujian daripada orang ramai. Mohd Aderi et al. (2014) menyatakan dunia bukanlah
matlamat akhir dalam Islam tetapi kehidupan ini adalah satu amanah yang wajib
dilaksanakan oleh setiap individu untuk mencapai hasanah fid dunya dan hasanah fil
akhirah.

Globalisasi berasal daripada perkataan ‘global’ yang bermaksud sesutau yang


berkaitan dengan dunia secara keseluruhan. Secara literal, globalisasi bermaksud proses
membuat, mengubah sesuatu atau fenomena dalam bentuk global. Ia merujuk kepada
proses bagaimana manusia sebagai penduduk dunia berubah ke dalam bentuk kesatuan
dalam satu masyarakat tunggal dan berfungsi secara bersama tanpa rasa ada sempadan
negara (Ahmad 2009). Mohd Salleh (1999) telah memberi maksud globalisasi adalah
proses dunia menjadi ataupun menuju ke arah kesejagatan, yang dapat difahami dengan
merujuk kepada gejala yang utama iaitu politik, ekonomi, pendidikan, teknologi dan
budaya. Pengertian yang diberikan ini adalah selari dengan perspektif Barat yang
mendefinisikan globalisasi sebagai peningkatan hubungan sesama manusia dari pelbagai

3
lokasi akibat daripada kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang mewujudkan
penyatuan dari segi politik, ekonomi dan budaya (Mohd Aderi et al. 2014).

Menurut perspektif Islam, terdapat dua pandangan tentang globalisasi. Pandangan


pertama menyatakan globalisasi adalah selari dengan kehendak Islam yang bersifat global
dan Nabi Muhammad s.a.w diutuskan kepada seluruh umat manusia (Osman Bakar
2007). Pandangan kedua menyatakan globalisasi tiada kelestarian dengan Islam kerana
global dalam bahasa Arab ialah al-Aulamah dan universal atau sejagat ialah al-
Alamiyyah. Menurut Siddiq (2002) kedua-dua perkataan ini mempunyai maksud yang
berbeza kerana universalisme Islam membawa semangat kebersamaan, perkongsian dan
kesalingan dalam memberi dan menerima, sedangkan globalisasi yang berlaku sekarang
ini bukan fenomena perkembangan dari revolusi teknologi komunikasi semata-mata
tetapi merupakan agenda daripada gagasan dan ramalan dunia abad 21 iaitu hegemoni
dan dominasi dunia Barat ke seluruh pelusuk dunia.

Sifat globalisasi masa kini yang ditanggapi secara negatif oleh segolongan
pemikir Islam adalah bersandarkan kepada dasar globalisasi moden yang bercirikan
sekular, liberalisasi pemikiran, sosial, politik dan ekonomi. Globalisasi juga
disinonimkan dengan proses recolonisation atau penjajahan semula Barat ke atas dunia,
terutamanya dunia Islam (Wan Fariza 2009). Berdasarkan kepada pandangan-pandangan
sarjana, penulis mendapati globalisasi merupakan satu ancaman kepada dunia Islam dan
pada masa yang sama ia juga adalah peluang kepada umat Islam. Oleh itu, umat Islam
perlu bijak menangani cabaran globalisasi supaya tidak terus dijajah dan ditindas oleh
kuasa Barat kerana arusnya tidak mampu ditahan oleh mana-mana pihak. Ini disebabkan
oleh sifat tamadun masa kini yang bertunjangkan kepada teknologi media dan
telekomunikasi yang mampu menerobos masuk ke seluruh pelusuk dunia tanpa sekatan.
Setelah mengetahui dan memahami pengertian globalisasi dan implikasinya kepada dunia
Islam, adakah umat Islam mampu menghadapi cabaran ini dan apakah peranan
pendidikan Islam?

Cabaran Globalisasi Ke Atas Umat Islam

Kebanyakan negara Islam selepas diberikan status kemerdekaan oleh kuasa


penjajah Barat, boleh dikatakan umat Islam sebagai golongan pasif terhadap sesuatu
perubahan yang diperkenalkan oleh pihak Barat. Selain daripada kelemahan umat Islam
sendiri, hal ini timbul kerana bebarapa faktor; seperti kekeliruan tentang konsep ilmu,
keruntuhan adab dan ketiadaan pemimpin Islam yang bertindak mengikut perkiraan ilmu
dan adab, juga berpunca daripada taktik kotor kuasa Barat yang mendakyahkan bahawa
hanya Barat sahaja yang kononnya maju dan patut ditiru seandainya umat Islam inginkan
kemajuan dalam bidang kehidupan mereka. Apa yang menyedihkan ialah umat Islam
meniru bukan setakat yang melibatkan persoalan ilmu dan teknologi Barat, bahkan juga
termasuk sistem nilai sekularisme ala Barat (Rahimin 2006).

4
Al-Qaradhawi (2001) menyatakan bahawa globalisasi telah mewujudkan satu
cabaran baharu kepada dunia kerana ia telah memberikan kesan positif dan negatif
terhadap dunia. Namun begitu, ia bukanlah satu proses baharu memandangkan Islam itu
sendiri adalah agama yang universal dan fleksibel untuk sepanjang zaman. Perlaksanaan
konsep persaudaraan Islam yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w antara golongan Ansar
dan Muhajirin, kesatuan kiblat dan kitab suci, ketauhidan dan sistem peribadatan juga
melibatkan persefahaman sejagat yang membentuk masyarakat global umat Islam
(Hamad 2012). Ab. Halim (2014) menyatakan perkara yang sama iaitu Islam agama yang
sejagat untuk semua manusia, namun apa yang sedang berlaku sekarang ini amat
membimbangkan beliau kerana pengaruh budaya Barat lebih mendominasi dalam proses
globalisasi.

Menurut Siddiq (2005) semua masyarakat termasuk masyarakat Islam tidak dapat
menyekat arus globalisasi. Hanya melalui pembentukan generasi yang berkualiti, berdaya
saing, berdaya tahan, jati diri dan memiliki kecekapan yang tinggi, cabaran globalisasi
dapat ditangani. Sekiranya umat Islam membiarkan diri mereka menjadi buih, mereka
tidak akan memiliki kekuatan, daya tahan dan harga diri serta tidak akan mampu untuk
menguruskan diri sendiri dengan baik. Arus globalisasi akan mencampak mereka ke
merata tempat dan di situlah mereka akan terdampar dan akhirnya hilang lenyap begitu
sahaja tanpa meninggalkan sebarang legasi yang bermanfaat.

Berdasarkan pandangan-pandangan ini, umat Islam perlu bangkit dalam


menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang daripada zaman globalisasi untuk
membina kembali ketamadunan Islam. Meraka tidak perlu merasa lemah dan tunduk
mengalah kepada perubahan zaman ini. Oleh itu, Umat Islam mestilah mempunyai daya
pemikiran yang tinggi dan berusaha memiliki ilmu agar dapat berdepan dengan segala
cabaran yang melanda dunia Islam masa kini. Semangat persaudaraan dalam Islam juga
amatlah dititik beratkan bagi membentuk kesatuan ummah agar menjadi lebih kuat dalam
menghadapi cabaran globalisasi ini (Farah et al. 2015).

Sekiranya umat Islam mengambil sikap yang pasif terhadap perubahan ini,
mereka akan terus lemah dan dan mundur. Negara atau kuasa yang kuat ilmu, sains dan
teknologi, ekonomi, politik dan ketenteraan akan menguasai yang lemah, terutamanya
perluasan hegemoni Barat ke atas negara umat Islam. Selain itu, budaya yang dominan,
iaitu budaya Barat, berkembang meluas dan menyejagatkan serta menembusi dan
menghakis jati diri serta identiti umat. Bukan sahaja umat Islam terpukul malahan iman,
akidah dan akhalak umat Islam mengalami pukulan yang lebih parah kerana nilai anti
agama dan anti Tuhan menjadi semakin berleluasa (Ahmad Mohamad 2007). Budaya
global memaksa individu tanpa sedar untuk mengikuti model yang ditawarkan oleh
penguasa informasi. Budaya global secara perlahan mencelarukan budaya tempatan dan
nasional, sehingga jati diri bangsa terhakis dengan sendirinya (Moh. Ali Aziz 2015).

5
Inilah yang telah ditegaskan oleh Zakaria (2006) bahawa isi kandungan
globalisasi ini amat merbahaya kepada dunia bukan Barat termasukalah dunia Islam
kerana dunia Barat memaksa nilai mereka diguna pakai oleh orang lain. Globalisasi
ditanggapi sebagai satu proses hegemonisasi tamadun Barat ke atas tamdun lain termasuk
tamadun Islam, dan merupakan lanjutan kepada program imperialisme Barat, atau juga
disebut sebagai neo-imperialisme. Kebimbangan tentang pengaruh ini juga dinyatakan
oleh Abdullah Nasih Ulwan (2003) di mana media massa adalah alat yang menjadi
cabaran terbesar kepada umat Islam yang mampu menggoncang iman dan merosakkan
akhlak umat Islam. Menurut beliau, alat media massa ini digunakan untuk memesongkan
generasi Islam daripada aqidah, dasar dan akhlak Islam. Bahkan kebanyakan rancangan,
program dan seruannya adalah menghala ke arah meruntuhkan kemuliaan dan seruan
kepada pengkhianatan dan zina.

Zakaria (2006) menyatakan kecanggihan dan kehebatan teknologi maklumat dan


komputer serta teknologi telekomunikasi dan satelit yang berjaya merubah dunia menjadi
bagaikan sebuah kampung global itu merupakan sayap kanan yang bertindak sebagai
pembantu atau wahana utama dalam proses penyebaran fahaman sekularisme edisi terkini
ini. Dengan kata lain, faham pasca modenisme disebar luar oleh proses globalisasi,
khususnya globalisasi budaya. Namun begitu, menurut Ahmad Anwar (2015) globalisasi
yang digambarkan sebagai lambang kemajuan teknologi dan maklumat. Kemajuan ini
memberikan kemudahan dalam menyelenggarakan ibadah dan memberikan peluang besar
dalam pendidikan untuk meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran dan sangat
membantu dalam menghasilkan pembelajaran yang kondusif. Oleh sebab itu, kemudahan
ini telah banyak digunakan dalam institusi pendidikan Islam. Walaupun globalisasi
banyak memberikan kesan yang positif kepada dunia, namun kesan negatif yang hadir
bersama tidak dapat dinafikan. Amalan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
dalam Pendidikan Islam tidak harus dipandang enteng oleh masyarakat Islam kerana
pendekatan moden ini bertujuan untuk menyampaikan suatu mesej dengan lebih mudah
dan pantas sejajar dengan arus globalisasi (Mohd Aliff Mohd Nawi et al. 2011).

Berdasarkan perbincangan ini, penulis dapat menyimpulkana bahawa umat Islam


hari ini tidak terlepas daripada berhadapan dengan cabaran globalisasi ini. Oleh itu,
mereka perlu bijak memanfaatkan segala kemudahan yang ditawarkan dalam dunia tanpa
sempadan ini. Dalam masa yang sama umat Islam perlu memantapkan jati diri dengan
akidah dan akhlak yang mulia agar tidak mudah terpengaruh dengan budaya dan ideologi
yang dieksport oleh negara Barat ke dunia Islam. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan
mereka perlu bertindak dan berjuang dalam memasarkan budaya dan cara hidup Islam ke
dalam masyarakat Barat yang kontang akidah ketuhanan.

Pendidikan Yang Berteraskan Tauhid

6
Dalam menghadapi cabaran globalisasi ini, pendidikan Islam memainkan peranan
penting dan mempunyai kekuatan untuk menghadapinya kerana Islam adalah agama
wahyu bertunjangkan akidah yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Rasullulah
s.a.w telah mengingatkan kepada umatnya bahawa kesesatan akan belaku sepanjang
zaman, hanya mereka yang berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah akan
selamat daripada kesesatan tersebut. Oleh itu, selagi mana manusia menjadikan warisan
ini sebagai pegangan, ia tidak akan tersasar dan tergelincir daripada landasan kebenaran.

Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah merupakan asas dan dasar kepada pendidikan
Islam sepanjang zaman. Perkara ini ditegaskan oleh Hassan (1979) bahawa pendidikan
Islam semenjak hari-hari pertama kebangkitan Rasulullah s.a.w berasaskan al-Quran dan
al-Sunnah. Al-Quran itu adalah kitab Allah s.w.t dan al-Sunnah adalah amalan dan
ucapan Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana al-Quran adalah kitab yang tetap tiada
berubah semenjak diturunkan sampai sekarang. Ianya dihafal oleh kaum Muslimin dan
undang-undangnya diamalkan, ayat-ayatnya menjadi petunjuk, sunnah Rasulullah s.a.w
sebagai penjelasan bagi al-Quran dan merupakan obor yang dijadikan petunjuk dalam
tingkah laku. Maka tidak hairanlah kalau Islam mempunyai corak pendidikan yang khas,
berbeza dengan tujuan dan metodnya daripada pendidikan yang lain seperti pendidikan
Persia, pendidikan Greek dan pendidikan Kristian.

Menurut Muhammad Qutb (1987) matlamat akhir kurikulum pendidikan Islam


adalah untuk melahirkan manusia soleh dalam erti kata kemanusiaan yang sebenarnya
iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek. Beliau menegaskan lagi bahawa kurikulum
pendidikan Islam ialah satu-satunya kurikulum yang ada di atas muka bumi ini yang
mendidik manusia secara seimbang iaitu tidak menekankan kepada kekuatan intelek
sahaja, tetapi juga kekuatan-kekuatan yang lain yang ada dalam diri manusia. Namun,
kesilapan sesetengah masyarakat Islam hari ini ialah mereka melihat pendidikan Islam
dalm kotak yang sempit dan tidak mempunyai nilai komersial. Minda mereka sedikit
terjajah oleh pengaruh sekularisme Barat. Menurut Wan Mohd Nor (2001) pendekatan
yang memandang tinggi kegunaan ilmu-ilmu sains, ekonomi, pengurusan dan teknologi
maklumat sehingga sanggup menghina kegunaan ilmu-ilmu agama yang dianggap
sebagai sesuatu yang tidak berguna dalam konteks zaman moden kini. Bahkan terdapat
semacam kecenderungan yang menganggap kelangsungan keilmuan dan kesedaran
beragama sebagai membazirkan sumber kewangan negara.

Sikap dan pandangan demikian amat merugikan generasi Islam. Sekiranya


generasi yang dibina ini atas dasar materialisme semata-mata, ia akan mudah runtuh dan
roboh kerana dasarnya bertunjangkan akal yang sentiasa berubah-ubah. Oleh itu,
pembangunan insan yang seimbang antara rohani dan jasmani amat perlu bagi
menghadapi cabaran globalisasi. Inilah yang ditakrifkan oleh Persidangan Antarabangsa
Pendidikan Islam yang pertama di Mekah pada tahun 1977 tentang tujuan pendidikan
iaitu:

7
“Pendidikan hendaklah bertujuan memberi pertumbuhan yang seimbang terhadap
sahsiah yang sempurna pada manusia melalui latihan rohani, intelek, dan diri manusia
yang rasionl, serta rasa dan indera tubuhnya. Dari itu, pendidikan hendaklah memberikan
perkembangan manusia perseorangan dan kelompok dalam semua aspek: rohani, akal,
daya fikir (imaginasi), jasmani, ilmu sains, ilmu bahasa, dan merangsang semua aspek ini
ke arah kebaikan dan pencapaian kesempurnaan. Matlamat akhir pendidikan Islam
terletak dalam kesedaran penyerahan langsung kepada Allah pada tahap individu, ummah
dan kemanusiaan seluruhnya.”

(Syed Ali Ashraf 1995)

Pembangunan seimbang dan sepadu antara fizikal dan spiritual merupakan faktor
penting bagi kelangsungan hidup umat Islam dalam menghadapi serangan penjajahan
sama ada berbentuk fizikal mahupun mental atau pemikiran. Terutamanya serangan
pemikiran anjuran Barat seperti sekularisme, rasionalisme, sosialisme, dan kapitalisme.
Oleh itu, dalam mengharungi cabaran globalisasi, pendidikan Islam yang merangkumi
aspek akidah, ibadah dan akhlak menjadi elemen terpenting dalam pembangunan insan
yang soleh. Penghayatan terhadap tiga elemen tersebut akan mengukuhkan jati diri
Muslim untuk berhadapan dengan pelbagai gelombang ombak globalisasi. Akidah Islam
menjadi tunjang kukuh dalam menghadap cabaran tersebut. Menurut Wan Suhaimi
(2006) kehidupan yang bertunjangkan akidah akan menjadikan seseorang itu mempunyai
misi dan visi yang jelas dan tetap terpandu, teguh dalam menghadapi pergolakan
kehidupan yang berbagai seiring dengan peredaran masa dan tempat seterusnya
memperolehi kebahagian dunia dan akhirat.

Pendidikan Islam Membentuk Akhlak Insan

Seterusnya dalam membincangkan pendidikan Islam menghadapi cabaran


globalisasi, aspek pembersihan jiwa merupakan fokus penting untuk mencapai matlamat
pendidikan Islam. Kemuliaan akhlak dan tingkah laku bergantung kepada kemurnian hati
nurani. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik,


baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya. Ketahuilah!
Itulah yang dikatakan hati”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sistem Pengajaran Akhlak yang telah digariskan dalam al-Quran dan al-Sunnah
mampu menyempurnakan akal manusia dalam membina jati diri muslim. Jati diri yang
diterapkan melalui pengajaran akhlak merupakan kepercayaan, sikap dan pendapat yang
tersusun dan dinamik yang dipegang oleh masyarakat. Oleh itu, akhlak yang baik ialah
yang berpaksikan kepada keimanan dan ketauhidan yang mutlak (Abdul Hafiz Mat Tuah

8
et al.2012). Hal inilah yang merisaukan sesetengah pihak pada era globalisasi iaitu
kemerosotan nilai akhlak dan moral manusia serta sistem agama baik dalam cara hidup
mahupun kebudayaan yang diamalkan oleh masyarakat hari ini (Mohd Fakhruddin et al.
2013).

Bagi mengahadapi cabaran keruntuhan akhlak dan moral pada zaman ini,
pendidikan Islam tampil untuk mendidik hati manusia supaya teguh dengan prinsip dan
nilai yang baik. Pendekatan tasawuf merupakan salah satu cabang daripada ilmu
pendidikan Islam yang bertujuan untuk membersihkan dan mendidik jiwa manusia.
Menurut Musa (1996) ilmu tasawuf melengkap dan menyempurnakan akidah seseorang
Muslim, kerana ia membicara dan menunjuk ajar secara amali tentang cara menghayati
nilai-nilai keimanan, cara membebaskan diri daripada sifat nifaq serta sifat-sifat lain yang
boleh mencacatkan nilai keimanan seseorang. Ia menunjukkan cara bagaimana seseorang
hamba boleh merasakan bahawa Allah sentiasa melihat dan mengawasi dirinya,
walaupun menerusi detikan hatinya. Begitulah juga dalam aspek ibadat, seseorang
Muslim dituntut supaya khusyuk dan ikhlas dalam melaksanakan syariat. Ilmu tasawuf
ini juga dapat meningkatkan kesediaan manusia Muslim berpegang teguh kepada hukum-
hukum syariat.

Sebuah hadis masyhur daripada Umar al-Khattab yang menceritakan bagaimana


Malaikat Jibril a.s datang menemui Rasulullah s.a.w dalam suatu majlis baginda bersama
dengan para sahabat. Tujuan kehadiran malaikat ini adalah untuk mengajar mereka
tentang agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w iaitu Islam, Iman, Ihsan dan hari
kiamat. Antara perkara penting yang boleh diambil perhatian daripada hadis tersebut
ialah tentang Ihsan. Menurut Othman (2012) konsep ihsan mengajar manusia supaya
mengerti hakikat bahawa setiap masa dan ketika, seluruh manusia berada dalam pantauan
dan pengawasan Allah s.w.t. Tidak kira di mana jua tempatnya, pasti tidak akan terlepas
daripada pandangan dan pemantauan Allah.

Menurut Zakaria (2006) pendekatan tasawuf merupakan pendekatan praktis atau


amalan berterusan, konsisten lagi serius yang boleh menjamin keberkesanan dalam
pembentukan personaliti insan sebagaimana yang sudah dibuktikan oleh perjalanan
sejarah tamadun Islam. Pendekatan ini juga merupakan pendekatan pembersihan diri iaitu
dengan mengikis akhlak tercela iaitu sifat-sifat mazmumah dalam diri individu Muslim
dan digantikan dengan akhlak yang baik iaitu sifat-sifat mahmudah. Melalui ilmu
tasawuf, manusia dilatih supaya menjaga tujuh anggota lahir manusia iaitu mata, telinga,
lidah, perut, organ seks, tangan dan kaki daripada melakukan larangan dan tegahan yang
telah ditentukan oleh syariat Islam.

Sesungguhnya peranan anggota ini amat penting untuk menyelamatkan manusia


daripada terjerumus dalam kebinasaan dan kesesatan terutamanya dalam menghadapi
pelbagai ideologi, pemikiran dan budaya yang dibawa oleh globalisasi. Allah s.w.t

9
menegaskan dalam firmanNya surah Yasin ayat 65 bahawa anggota ini akan menjadi
saksi dan membuat pengakuan terhadap perbuatan yang dilakukan oleh manusia semasa
hidup di dunia.

“ Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan
mereka dan memberi kesakasianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka
usahakan”

(Al-Quran dan Terjemahannya:713)

Pendidikan Islam dan Teknologi

Trend globalisasi telah mencetuskan pelbagai cabaran dalam pelaksanaan


pendidikan di Malaysia sebagai tindak balas kepada keterbukaan idea mengenai
keperluan pendidikan dalam meningkatkan kualiti hidup. Antara cabaran tersebut adalah
dari segi keperluan terhadap pembelajaran berterusan, penggunaan teknologi
telekomunikasi dan maklumat, pengurusan pendidikan, pembentukan jati diri pelajar dan
kualiti guru (Habib Mat Som 2008). Ohmae (1995) menyatakan bahawa perkembangan
dalam teknologi maklumat dan arus globalisasi telah menyebabkan berlakunya kecairan
sempadan nasional yang telah melahirkan paradigma baharu kepada semua organisasi,
termasuk institusi pendidikan. Seperti mana-mana negara di seluruh dunia, Malaysia
tidak dapat mengelak daripada menghadapi cabaran tersebut sebagai kesan daripada arus
globalisasi. Oleh itu, reformasi pendidikan Islam dapat mengupayakan bagi
membangkitkan kembali visi pendidikan Islam yang lebih baik untuk membangun dan
meningkatkan mutu manusia dan masyarakat Muslim di era globalisasi dengan tetap
merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai sumber ajarannya (M. Ihsan
Dacholfany. 2015).

Kemunculan teknologi komputer, internet dan digital memberi impak yang besar
kepada umat Islam. Pendekatan terkini ini dilihat sebagai satu inovasi terhadap penerapan
dalam pendidikan Islam secara berterusan yang berasaskan kepada konsep penyampaian
Islam secara konvensional dengan menggabungkan kemudahan teknologi maklumat yang
bersesuaian dengan perkembangan semasa (Mohd Aliff 2011). Umat Islam harus mampu
memanfaatkan sarana teknologi sebagai alat perjuangan nya. Artinya, sarana teknologi
perlu dijadikan sebagai alat perjuangan umat Islam dalam meningkatkan kualiti
pendidikan dan bukan sebaliknya sebagai penghalang bagi kreativiti berfikir (Ali Mahsun
2013).

Al-Qaradhqwi (2001) ketika menganalisis perkembangan globalisasi serta


kesannya terhadap kehidupan umat Islam. Beliau telah mengemukakan beberapa
persoalan untuk difikirkan oleh umat Islam dalam konteks memanfaatkan iaitu; pertama
meluaskan jalinan rangkaian maklumat dan pertumbuhan secara pesat ilmu pengetahuan,
kedua meluaskan penggunaan teknologi maklumat, ketiga jarak antara tempat lebih dekat

10
dan cepat, dan keempat hilangnya pengertian iman dan nilai akhlak dari ajaran agama-
agama. Berdasarakan pendangan-pandangan ini, pendidikan Islam perlu mengambil
kesempatan sepenuhnya di atas segala kecanggihan dan kemajuan teknologi maklumat
yang dibawa oleh globalisasi selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syarak dan
untuk kemaslahatan ummah. Kegagalan menguasainya menyebabkan pendidikan Islam
akan ketinggalan dan dipandang mundur serta tidak mampu bersaing dalam dunia global.
Teknologi informasi dan komunikasi adalah faktor pendukung utama dalam globalisasi
(Kalbin & Mira 2014).

Kesimpulan

Berdasarkan kajian ini, penulis dapat membuat kesimpulan bahawa cabaran


globalisasi sangat banyak dan umat Islam perlu bijak dalam menghadapi cabaran tersebut
kerana tidak semua yang dibawa oleh globalisasi itu negatif, bahkan di sana terdapat
banyak peluang yang perlu dimanfaatkan. Namun begitu, umat Islam juga perlu berhati-
hati supaya tidak menerimanya secara bulat-bulat tanpa rasa curiga dan waspada.
Pengaruh budaya Barat dan ideologi sekular perlu ditapis dan disaring dengan akidah
ketuhanan dan akhlak Islam sebagaimana yang diajar melalui pendidikan Islam. Bagi
memastikan umat Islam mampu menghadapi cabaran ini, penulis mencadangkan supaya
dualisime pendidikan di negara Islam dihapuskan dan diganti sepenuhnya dengan
pendidikam sepadu yang menjadikan tauhid sebagai teras di semua peringkat pendidikan.
Penulis juga mencadangkan supaya aspek penyucian jiwa diberi penekanan dan perhatian
serius dalam kurikulum pendidikan sama ada di peringkat sekolah atau pusat pengajian
tinggi. Seterusnya umat Islam perlu memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi
dalam memperkasakan pendidikan Islam supaya ianya mampu bersaing di peringkat
global. Oleh itu, umat Islam perlu mendidik anak-anak mereka dengan didikan Islam
yang sempurna bagi memastikan generasi akan datang selamat daripada fitnah akhir
zaman dan seterusnya berjaya mengembalikan kegemilangan tamadun Islam.

Rujukan:

Ab. Halim Tamuri. 2014. Pembaharuan Kurikulum Pendidikan Islam di Malaysia. Dlm.
Abd. Karim Ali dan Rumaizi Ahmad. Islam dan Tajdid: Tinjauan Isu-isu dan
Perspektif Semasa. hlm.144. Shah Alam: Persatuan Ulama’ Malaysia.

Abdul Hafiz Mat Tuah, Zakaria Stapa, Ahmad Munawar. 2012. Memperkasakan Jati Diri
Melayu-Muslim Menerusi Pendidikan Islam Dalam Pengajaran Akhlak. Jurnal
Hadhari. 23-35

11
Abdul Halim Al-Muhammady. 1993. Pendidikan Islam Era 2020: Satu penghayatan
menyeluruh. Dlm. Mohd Yusuf Ahmad. 2004. Falsafah dan Sejarah Pendidikan
Islam. 2004. hlm.31. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Abdul Halim Hj. Mat Diah. 1989. Islam dan Demokrasi Pendidikan. Dlm. Mohd Yusuf
Ahmad. 2004. Falsafah dan Sejarah Pendidikan Islam. hlm.32. Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya.

Abdullah Nasih Ulwan. 2003. Generasi Muda Islam dan Cabaran Globalisasi. Terj.
Hasnan b. Kassan. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Abdul Malik Abdul Karim Amrullah. 1987. Tafsir Al-Azhar. Juzuk 17. Jakarta: Pustaka
Panjimas.

Ahmad Anwar . 2015. Islam Dan Globalisasi Pendidikan. Jurnal Manajemen Pendidikan
Islam3(1): 1-11.

Ahmad Mohamad Said. 2007. Penilaian Kritis Terhadap Kurikulum Pendidikan Islam di
Malaysia. Dlm. Nik Azis Nik Pa (pnyt.). Pendidikan Islam & Pendidikan Bahasa
Arab Berteraskan Pendekatan Islam Hadhari, hlm.166. Putrajaya: Yayasan Islam
Hadhari.

Ahmad Sunawari Long. 2009. Globalisme vs Mundialisme Terhadap Globalisasi. Dlm.


Jaffary Awang, Muda @ Ismail Ab. Rahman & Jawiah Dakir (pnyt.). Islam di
Era Globalisasi, hlm.248. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Al-Attas, N.1980. The Concept of Education in Islam. Malaysia: Muslim Youth


Movement of Malaysia.

Ali Mahsun. 2013. Pendidikan Islam Dalam Arus Globalisasi Sebuah Kajian Deskriptif
Analitis. Epistemé 8 (2): 259-278.

Al-Ghazali, Abu Hamid. t.th. Ihya’ Ulum al-Din. Juzuk 1. Beirut: Dar al-Jil.

Farah Farhana Rosli, Mohd Anuar Ramli, Nordiana Asra A. Rahim, & Noraziah Ahmad
Nadzim. 2015. Cabaran globalisasi dalam memahami keperluan waqi’ kehidupan
dan pendidikan Islam: satu sorotan. Kertas kerja Prosiding Seminar Kebangsaan
Pendidikan Negara Kali Ke-5.

Habib Mat Som & Megat Ahmad Kamaluddin Megat Daud. 2008. Globalisasi Dan
Cabaran Pendidikan Di Malaysia. Masalah Pendidikan, 31(1): 91-101.

Hamad, D. A. H. 2012. The Effect of Cultural Globalization on the Citizens of the West
Bank.

12
Hassan Langgulung. 1979. Pendidikan Islam Suatu Analisa Sosio-Psikologikal. Kuala
Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.

Ibnu Khaldun. Abdul Rahman. t.th. Muqaddimah Ibnu Khaldun. Iskandariah: Dar Ibnu
Khaldun.

Kalbin Salim & Mira Puspa Sari. 2014. Pengaruh Globalisasi Terhadap Dunia
Pendidikan.https://www.researchgate.net/publication/271205216_PENGARUH_
GLOBALISASI_TERHADAP_DUNIA_PENDIDIKAN.

Md Salleh Hj. Hasan & Musa Abu Hassan. 1999. Gejala Globalisasi: Peranan dan
Tanggungjawab Institusi Ilmu, dalam Jurnal Pendidikan Islam 8 (3): 34-39.

M. Ihsan Dacholfany. 2015. Reformasi Pendidikan Islam Dalam Menghadapi Era


Globalisasi: Sebuah Tantangan dan Harapan. Akademika 20(1):173-194.

Moh. Ali Aziz, M.Ag. 2015. Tantangan Pendidikan Islam Di Era Global. Jurnal
Tarbawiyah:1-6

Mohd Aderi Che Noh, Noraini Omar & Nur Hanani Hussin (pnyt.). 2014. Sumber
Pendidikan Islam. Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Aliff Mohd Nawi, Mohd Isa Hamzah, Zanizam Zaidi, Surina Akmal Ab Sattai &
Asdiri Khalili.2011. Impak Globalisasi terhadap Pendidikan Islam Masa Kini.
Kertas kerja Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu
Transformasi Negara. Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM
Bangi, Selangor, hlm.645-649.

Mohd Fakhruddin, F., Alwi, N. H., & Suhid, A. 2013. Penerapan elemen ilmu oleh guru
pendidikan islam dalam pengajaran pendidikan islam sekolah menengah.
http://Www.Psasir.Upm.Edu.My

Muhamad Qutb. 1987. Manhaj Al-Tarbiyyah Al-Islamiyyah. Jil.2. Kaherah: Dar al-
Syuruk.

Musa Fathullah Harun.1996. Pengantar Tasawwuf Islam. Selangor.

Mustafa Abdul Rahman. 2001. Hadith 40 Terjemahan dan Syarahannya. Shah Alam:
Dewan Pusataka Fajar.

Ohmae, K. 1995. The ends of the nation state: The rise of regional economies. New
York: Free Press.

Osman Bakar. 2007. Pengaruh Globalisasi Terhadap Peradaban. Kertas Kerja Kongres
Globalisasi dan Peradaban. Dewan Bahasa dan Pustaka.

13
Othman bin Mustapha. 2012. Pengukuhan Intergriti Perkhidmatan Awam: Pendekatan
Melalui Program Nilai-nilai Murni. Jurnal Pengurusan Awam.
http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/25882/Article__2.PD [26
Oktober 2016]

Rahimin Affandi Abd. Rahim. 2006. Menangani Cabaran Globalisasi: Satu Analisis
Terhadap Pemikiran Reformis Semasa. Dlm. Mohd Fauzi Hamat, Mohd
Fakhruddin Abdul Mukti & Che Zarrina Sa’ari (pnyt.). Pemikiran Islam dan
Cabaran Semasa. Kuala Lumpur: Akademik Pengajian Islam.

Siddiq Fadhil. 2005. Sains dan teknologi: Isu pengislaman dan pemeribumiannya. Dlm.
M.Said dan K.M Harris (pnyt.). Dinamis Ilmu: Memugar warisan intelektual
ummah. hlm.29-47. Kuala Lumpur: Mashi Publication Sdn. Bhd.

Siddiq Fadhil. 2002. Umat Melayu dan Cabaran Ketamadunan Masa Kini. Kertas Kerja
Seminar Serantau Peradaban Melayu.

Syed Ali Ashraf. 1995. Horizon Baru Dalam Pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Wan Fariza Alyati Wan Zakaria. 2009. Malik Bennabi, Dinamisme Tamadun dan
Cabaran Globalisasi Era Pasca Kolonial. Dlm. Jaffary Awang, Muda @ Ismail
Ab. Rahman & Jawiah Dakir (pnyt.). Islam di Era Globalisasi, hlm.270. Bangi:
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wan Mohd Nor Wan Daud. 2001. Pembangunan di Malaysia: Ke arah Satu Kefahaman
Baharu yang lebih Sempurna. Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran
dan Tamadun Islam.

Wan Suhaimi Wan Abdullah. 2006. Pengajian Falsafah Islam dalam Institusi Pengajian
Tinggi Awam Malaysia: Sukatan, Masalah dan Cabaran Pengajian. Jurnal Akidah
dan Pemikiran Islam 7:197.

Yusuf al-Qaradhwi. 1992. Al-Tarbiyah Al-Islamiyyah Wa Madrasah Hasan Al-Banna.


Kaherah: Maktabah Wahbah.

Yusuf al-Qaradhwi. 2001. Al-Thaqafah al-‘Arabiyyah Al-Islamiyyah Baina Al-Asalah


Wa Al-Mu’asirah. Beirut: Mu’assasah al-Risalah.

Zakaria Stapa. 2006. Peranan dan Sumbangan Pendekatan Tasawuf Dalam Menghadapi
Cabaran Era Globalisasi dan Faham Pasca Moden. Dlm. Mohd Fauzi Hamat,
Mohd Fakhruddin Abdul Mukti & Che Zarrina Sa’ari (pnyt.). Pemikiran Islam
dan Cabaran Semasa. Kuala Lumpur: Akademik Pengajian Islam.

14
15