Anda di halaman 1dari 1

hikayat Melayu ialah ciptaan dalam bentuk naratif yang pada dasarnya bermotif hiburan

dengan selingan-selingan yang membayangkan berbagai-bagai pengaruh Hindu, Islam dan


setempat. Karya ini dikarang dalam bahasa persuratan Melayu klasik yang baik oleh
pengarang dan biasanya tidak menyebut namanya. Hanya pada akhir abad ke-19 baru
terdapat beberapa orang pengarang hikayat yang diketahui namanya. Hikayat-hikayat ini
mulanya diterjemah ke bahasa Melayu dan penterjemah menyebut namanya. Dari cetakan-
cetakan yang berbeza peneliti dapat mengesan wujudnya perbezaan antara versi
terjemahan awal dengan cetakan-cetakan terkemudian. Yang berlaku ialah hikayat-hikayat
ini diubahsuai oleh penyalin daripada terjemahan cerita asal dalam bahasa Arab, Parsi,
Urdu dan Hindustan.

Malah kewujudan berbagai-bagai unsur pengaruh ini membuatkkan para sarjana waswas
menetapkan definisi kesusasteraan Melayu ini. Namun demikian mudah mengasingkan
genre ini daripada kesusasteraan hikayat berunsur Hindu atau Islam kerana adanya unsur-
unsur setempat. Unsur-unsur setempat kelihatan pada penggunaan gaya bahasa yang
bersifat kolokial dengan peribahasa, perumpamaan Melayu dan sebagainya. Penceritaan
hikayat ini juga diperindah dengan sisipan pantun, syair, gurindam dan seloka. Dari sudut
cara hidup, hikayat Melayu merujuk pada serba sedikit aspek adat-istiadat Melayu di
samping hukum-hukum Islam. Satu lagi perbezaan yang ketara antara hikayat berunsur
Islam dengan hikayat Melayu ialah hikayat Melayu dikarang di daerah Nusantara oleh
pengarang setempat dan diketahui siapa pengarangnya, misalnya Hikayat
Ganjamara  adalah karya Haji Puteh bin Syeikh Abu Basyir di Pulau Pinang dan Hikayat
Syamsul Anwar  adalah karya Raja Aisyah Sulaiman di Riau.

Satu perkara penting yang memberikan hikayat-hikayat itu bersifat setempat dan boleh
dinamakan sebagai hikayat Melayu ialah adanya perhatian pengarang terhadap unsur
keindahan atau estetik yang bukan sahaja berdasarkan gaya bahasa atau selingan pantun
dan syair. Dalam hikayat Melayu pengarang memberi perhatian kepada keindahan
pemandangan dan suasana alam. Suasana yang digambarkan dalam hikayat berunsur Islam
seperti padang pasir yang luas dan panas dalam hikayat Melayu berubah menjadi suasana
selesa dangan angin berhembus sepoi-sepoi bahasa, bulan mengambang berseri-seri,
pohon kelapa yang melambai-lambai, ombak laut memukul pantai dan sebagainya. Lukisan
wajah pelaku-pelakunya juga berubah menjadi watak Melayu dengan puteri yang lemah-
lembut, berkebaya dan berselendang, dayang-dayang menarikan tarian Melayu dan
mendendangkan nyanyian lagu-lagu Melayu ataupun berlawan berpantun dan berbagai-
bagai lagi. Malah jamuan yang dihidangkan juga turut mendapat perhatian daripada
pegarang Hikayat Melayu.

Anda mungkin juga menyukai