Anda di halaman 1dari 4

PUNCA DAN RAWATAN PENYAKIT MATA MERAH

Pendarahan subkonjuktival adalah keadaan apabila terdapat pendarahan di bawah konjunktiva.


Konjunktiva adalah satu lapisan lutsinar nipis yang meliputi bahagian mata putih dan bahagian dalam
kelopak mata. Terdapat saraf dan banyak saluran darah kecil di konjunktiva. Saluran darah ini mudah
rosak.

Punca

Kebanyakan pendarahan subkonjuktival berlaku secara spontan tanpa sebab yang jelas. Anda
mungkin bangun pada waktu pagi dan mendapati tompokan merah pada mata putih anda. Kadang-
kala anda mungkin tidak menyedarinya tetapi orang lain akan perasan dan bertanya kenapa mata anda
menjadi merah.

Sebab lain yang boleh menyebabkan pendarahan subkonjuktival adalah :

 Bersin
 Batuk
 Meneran atau muntah
 Menggosok mata
 Cedera
Rawatan

Pendarahan subkonjunktival biasanya tidak memerlukan sebarang rawatan. Ia akan sembuh dalam
tempoh satu minggu. Walau bagaimanapun, jika anda mendapati tompok merah di mata anda, sila
berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan mengenal pasti punca.

Pencegahan

Tiada langkah pencegahan yang diketahui.

Konjunktivitis

Konjunktivitis adalah keradangan pada konjunktiva. Konjunktiva adalah lapisan paling luar mata dan
permukaan dalam kelopak mata.

Punca

Ia biasanya disebabkan oleh jangkitan virus. Punca lain termasuk :

 jangkitan bakteria
 alahan
 bahan kimia atau lain-lain perengsa
 kulat
 beberapa penyakit seperti artritis reumatoid, Lupus eritematosus sistemik (SLE), ulser kolitis,
penyakit Crohn, penyakit kawasaki dan lain-lain.
Jangkitan bakteria dan virus mudah berjangkit. Ia biasanya dipindahkan dari individu ke individu
tetapi ia juga boleh merebak melalui perkongsian objek yang tercemar contohnya tuala atau sapu
tangan.
Tanda dan gejala

 Mata kelihatan merah. Ia biasanya bermula dengan satu mata dan kemudiannya merebak ke
mata sebelah.
 Mata akan berair dan setelah bangun pagi anda akan mendapati keruping (tahi mata) pada
mata anda.
 Anda akan berasa tidak selesa dan mengalami kerengsaan pada mata tetapi tidak
menyakitkan.
 Mengalami fotofobia iaitu ketidakselesaan apabila melihat cahaya atau apabila berada di
kawasan yang terang.
 Penglihatan biasanya tidak terjejas tetapi mungkin terdapat komplikasi.
Rawatan

Rawatan konjunktivitis bergantung kepada punca masalah. Sekiranya terdapat jangkitan bakteria, ubat
titis antibiotik akan diberikan. Konjunktivitis yang disebabkan virus sembuh dengan sendirinya.
Kebanyakan doktor memberi ubat titis antibiotik yang ringan untuk mencegah jangkitan bakteria. Jika
mengalami alahan, rawatan antialahan akan diberikan. Langkah-langkah akan diambil untuk
mengenal pasti alahan dan menjauhkannya daripada individu yang terjejas.

Untuk meredakan kerengsaan mata akibat konjunktivitis, tuaman suam boleh digunakan pada mata
yang pejam.

Prognosis (Ramalan kesembuhan penyakit)

Boleh disembuhkan dengan rawatan.

Pencegahan

Elakkan jangkitan kepada isi rumah atau sekolah.

Elakkan menggosok mata anda dengan tangan anda. Gunakan sapu tangan yang bersih atau kertas
tisu.

Amalkan kebersihan yang baik :

 Basuh tangan anda dengan kerap


 Elakkan menyentuh mata dengan tangan
 Jangan berkongsi tuala atau sapu tangan
 Kendali dan bersihkan kanta lekap dengan betul
 Jangan berkongsi alat kosmetik mata
 Kerap ganti alat kosmetik mata
 Kerap tukar sarung bantal
Bila perlu mendapatkan bantuan?

Jika anda mendapati mata anda merah, sila berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan rawatan.

Alahan mata
Alahan adalah satu lagi punca biasa bagi mata merah yang menyakitkan. Anda mungkin mempunyai
alahan mata jika mata anda merah, gatal dan atau berair. Keadaan ini boleh menjejaskan mata sahaja
tetapi sering dikaitkan gejala hidung seperti bersin, hidung berair atau hidung tersumbat.

Penyebab alahan mata

Ia disebabkan oleh alahan yang berada di udara yang masuk ke dalam mata dan hidung dan
menyebabkan reaksi alahan.

Contoh alahan bawaan udara termasuk :

 Debu
 Debunga
 Kulat
 Bulu binatang
 Alahan lain termasuk kosmetik atau ubat-ubatan tertentu seperti ubat titis antibiotik
Tanda dan gejala alahan mata :

 Mata merah
 Mata gatal
 Bengkak mata
 Mata berair atau mempunyai tahi
Rawatan

Keadaan mata yang mengalami alahan adalah merimaskan tetapi tidak berbahaya.

Elakkan benda yang boleh menyebabkan alahan pada mata.

Bilas mata dengan air suam (air paip) atau gunakan bahan pembersih mata. Jika tanda atau gejala
tidak reda atau gejala semakin teruk, berasa sakit atau penglihatan menjadi kabur selepas
membersihkan mata, sila dapatkan rawatan doktor. Menangguhkan rawatan boleh menyebabkan
komplikasi.

Jangan gosok mata anda. Menggosok mata biasanya akan memburukkan tindak balas alahan.

Doktor boleh memberi ubat topikal antihistamin. Steroid topikal digunakan dengan berhati-hati dan di
bawah penyeliaan pakar mata. Penggunaan steroid topikal boleh membawa kepada komplikasi yang
serius.

Pencegahan

 Cuba jauhkan diri daripada alahan.


 Pastikan rumah anda bersih dan bebas daripada bulu haiwan dan habuk.
 Jangan biarkan haiwan kesayangan anda mendekati perabot anda.
 Jangan menggosok mata.
Episkleritis
Episklera adalah satu lapisan nipis yang meliputi bahagian mata putih. Episkleritis adalah satu
keadaan di mana terdapat kerengsaan atau keradangan kepada episklera. Keadaan ini biasa berlaku.

Punca

Puncanya tidak diketahui. Ia boleh berlaku dengan penyakit-penyakit tertentu seperti :

 Rheumatoid arthritis
 Herpes zoster
 Sifilis
 Tuberulosis
Tanda dan gejala

Ia adalah penyakit ringan. Antara gejalanya adalah :

 Mata kelihatan merah jambu atau kemerahan


 Ketidakselesaan pada mata tahap ringan atau sederhana (mungkin menyakitkan)
 Fotofobia (cahaya boleh memburukkan gejala)
 Mata berair
Rawatan

Sembuh dengan sendirinya dan gejala hilang selepas 1 hingga 2 minggu.

Ubat titis mata kortikosteroid boleh melegakan gejala lebih cepat. Ubat ini perlu digunakan dengan
pengawasan doktor. Ia mesti digunakan sebagai rawatan jangka panjang.

Bila perlu mendapatkan bantuan?

Jika anda mendapati mata anda merah, sila berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan rawatan.

Penulisan ini adalah hak milik penama yang berikut.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020

Penulis : Dr. Nazrila Hairizan bt. Nasir

Terjemah : Pn. Noorhayati Kassim

Dr. Nik Rubiah bte. Nik


Akreditor :
Abdul Rashid

Penyemak : Dr. Nazhatussima bt. Suhaili

Anda mungkin juga menyukai