Anda di halaman 1dari 2

TUTORIAL MINGGU 7

Pengajaran yang dapat diambil dari video Allahyarham P.Ramlee adalah tugas guru sebagai
model yang baik untuk pelajar. Guru memainkan peranan penting dan besar dalam
mempengaruhi tingkah laku pelajar-pelajar. Bak kata pepatah , guru kencing berdiri anak
murid kencing berlari. Situasi dalam filem yang menunjukkan murid-murid melihat guru yang
sedang tidur semasa menjalankan tugas boleh menanam persepsi negatif terhadap tugas
guru. Pelajar akan melihat tugas guru hanya membaca apa yang ada di papan hitam dan
tidur sewaktu masa bekerja. Sikap tidak amanah dalam pekerjaan ini dibimbangi akan diikuti
oleh pelajar di masa akan datang. Sedutan filem ini juga memberi gambaran kegagalan guru
dalam mengawal bilik darjah. Kita dapat lihat pelajar yang menyedari gurunya yang tidur,
bangun bermain dan membuat bising di dalam kelas. Terdapat sindiran sinis dalam filem ini
yang mampu membuka fikiran umum bahawa guru contoh terbaik dalam mewarnai dunia
akademik. Jika guru tidak menjalankan peranan sebagai ejen mendidik maka akan terbentuk
suatu keadaan yang dipaparkan itu. Selain itu, terdapat kelemahan yang jelas dalam video
pengajaran ini di mana Cikgu Shaari hanya memberi bahan bacaan kepada pelajar tanpa
memerhati kemahiran bacaan pelajar. Ini menyebabkan guru tidak dapat mengenalpasti
tahap penguasaan pelajar di dalam kelas. Seorang guru sepatutnya memberi sepenuh
perhatian kepada pelajar bermula dari proses pdp sehingga selesai bagi mengenalpasti
tahap penguasaan pengetahuan dan kemahiran pelajar agar kita sebagai guru dapat
mengenalpasti kelemahan pelajar atau kelemahan dalam pengajaran guru itu sendiri.
Apabila kelemahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat dikenalpasti, maka
langkah-langkah pembaikan dapat diambil agar kelemahan guru dapat diperbaiki dan
kelemahan pelajar dapat diatasi.

Selain itu juga, dapat dilihat kaedah dan strategi pengajaran guru ini yang tidak terancang
dan tidak bervariasi. Membaca bahan bacaan semata-mata akan membuatkan pelajar cepat
bosan dan hilang daya tumpuan belajar. Sepatutnya guru harus mempelbagaikan teknik dan
strategi pembelajaran seperti memberi penerangan, bersoal jawab dan bercerita kepada
murid-murid. Guru juga harus mempelbagaikan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelajar
seperti aktiviti berkumpulan, aktiviti permainan seperti berteka-teki, main peranan, lakonan
dan lain-lain bagi menarik perhatian pelajar. Guru-guru juga disarankan menggunakan alat
bantuan mengajar yang pelbagai bagi mengelakkan pelajar cepat merasa bosan dan hilang
tumpuan. Bahan seperti kad imbas, rajah bergambar, model permainan, tayangan video dan
slaid power point adalah contoh ringkas bahan bantuan mengajar berbanding menggunakan
papan hitam / papan putih semata. Guru-guru perlulah lebih kreatif dan berinovasi dalam
mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) untuk mewujudkan
persekitaran pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan. Perkembangan teknologi
semasa haruslah dimanfaatkan agar pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih
menyeronokkan dan efektif. Terdapat banyak bahan pembelajaran dan pengajaran yang
menarik sudah tersedia pada masa sekarang. Sebagai contoh guru boleh menggunakan
aplikasi Powtoon untuk membuat video animasi berkaitan subjek yang diajar serta inovasi
dalam multimedia juga membolehkan guru merekod video pengajaran yang menarik untuk
ditonton oleh pelajar.

Kesimpulannya, tugas guru di masa kini bukan hanya sekadar masuk ke kelas dan mengajar
dan memastikan pentadbiran bilik darjah yang baik tetapi mereka juga berperanan besar
dalam proses pembinaan karakter, akhlak, emosi serta perkembangan rohani yang baik.
Jadi guru haruslah menjadi contoh yang baik untuk menghasilkan pelajar terbaik selari
dengan falsafah pendidikan negara.

Anda mungkin juga menyukai