Anda di halaman 1dari 1

Erti Kemerdekaan kepada Mahasiswa/siswi di Era Pandemik

Oleh:
Nisa Izwanie binti Ibrahim

Menjelang kemerdekaan ke-64 pada tahun ini, Malaysia masih mengekalkan tema
Malaysia Prihatin sama seperti tahun sebelumnya. Sesuai dengan situasi pandemik yang
sedang melanda dunia, tema ini sangat relevan dalam menunjukkan keprihatinan kerajaan
Malaysia terhadap rakyatnya. Jika sebelum ini merdeka didefinisikan sebagai kebebasan
negara daripada penjajah durjana, kini merdeka juga dapat digambarkan sebagai makna
kebebasan daripada wabak penyakit yang sedang menular. Tema Malaysia Prihatin dapat
dikaitkan dengan kejayaan negara kita melawan pandemik Covid-19 ini. Pada tahun yang
lalu, kita telah berjaya memerangi wabak ini dimana jumlah kes harian telah berjaya turun
sehingga sifar. Akan tetapi, kita masih belum menang dan perjuangan masih perlu diteruskan.
Pada era pandemik ini, kita sebagai mahasiswa juga dapat menghayati makna
kemerdekaan itu sendiri apabila kita dapat turut berganding bahu membantu negara
memerangi wabak Covid-19 yang sedang mengganas ini. Jika dahulu nenek moyang kita
sanggup berkorban harta mahupun nyawa demi menyelamatkan negara daripada cengkaman
penjajah, kini kita sebagai mahasiwa juga turut berkorban jiwa dan raga demi menyelamatkan
negara daripada wabak Covid-19 ini. Mahasiswa kini sanggup menjalani pembelajaran secara
atas talian di rumah demi mengekang wabak pandemik ini daripada terus menular.
Kehidupan sebagai seorang mahasiswa pada era pandemik ini semestinya bukanlah sesuatu
yang mudah seperti yang dijangkakan. Akan tetapi, itulah pengorbanan terbesar anak muda
yang bergelar mahasiswa dalam membantu negara memerangi pandemik ini.
Selain itu, pandemik ini dapat memupuk sikap patriotisme yang lebih tinggi dalam
diri mahasiswa. Kehidupan dalam norma baru ini mengajar anak muda yang bergelar
mahasiswa supaya pantang menyerah dalam mencapai cita-cita. Mereka belajar dengan
bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita dan membantu negara keluar daripada
belenggu wabak ini. Dengan kelahiran lebih ramai pakar kesihatan, pakar teknologi serta
pegawai-pegawai kerajaaan, negara ini sudah pasti dapat bangkit melawan wabak ini dengan
lebih berkesan. Lantaran itu, pelbagai inovasi baharu akan terhasil dan dapat menjadikan
Malaysia sebagai salah satu negara yang paling maju di masa hadapan.
Dalam menyambut kemerdekaan, kita mestilah menanamkan sikap patriotisme yang
tinggi dalam diri masing-masing supaya dapat menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.
Meskipun bukan berperang senjata, tetapi pengorbanan kita amatlah berharga buat tanah air
tercinta.

Anda mungkin juga menyukai