Anda di halaman 1dari 3

MANFAAT LAUT DARI SEGI KESIHATAN?

Oleh: Arifful Baqi

Sebut tentang riadah atau aktiviti masa lapang, tentu salah satu yang terlintas di fikiran adalah
bermandi-manda di pantai bersama keluarga. Selain meraih ketenangan dengan panorama
alam yang mendamaikan jiwa serta pemandangan laut seluas mata memandang, tahukah anda
bahawa berendam di dalam air laut mempunyai beberapa kelebihan terutama dari segi
kesihatan yang telah dibuktikan menerusi kajian-kajian pakar. Manakan tidak, air laut
mempunyai lebih kurang 84 elemen seperti magnesium, potassium, kalsium sulfat dan
sodium yang sama dalam tubuh manusia yang memberi manfaat kepada diri kita.

Antara kelebihannya adalah:

SISTEM IMUN

Air laut mengandungi pelbagai unsur penting seperti vitamin, garam mineral, unsur surih,
amino asid dan mikroorganisma hidup yang boleh menghasilkan antibiotik dan antibakteria
untuk membantu menggalakkan sistem imun yang sihat. Komponen dalam air laut pula
dilaporkan menyerupai plasma darah manusia, yang senang menyerap dan digunakan oleh
badan semasa berenang. Tambahan pula, berenang di dalam air laut akan membuka liang di
kulit bagi membolehkan mineral laut menyerap masuk dan membuang toksin beracun dari
badan.

KULIT

Berenang di dalam laut merupakan aktiviti yang bagus buat mereka yang menghidap penyakit
ekzima. Ini berlaku kerana air laut yang kaya dengan magnesium dapat meningkatkan
pengekalan lembapan pada kulit sekaligus menjadikannya lebih kuat dan segar. Bahkan
jerawat, luka atau keradangan dalaman mungkin akan sembuh dengan cepat selepas
menghabiskan masa di lautan tanpa perlu berhabis wang modal yang terlalu banyak. Air laut
boleh dianggap sebagai antiseptik yang mempunyai sifat penyembuhan luka kerana ia juga
kaya dengan garam mineral seperti iodin dan natrium.

MEDITASI DAN KETENANGAN

Pada tahun 2014, ahli biologist marin, Wallace J. Nichols telah menulis sebuah buku bertajuk
Blue Mind. Dalam bukunya, Wallace J. Nichols mengatakan bahawa air laut mampu
memberikan ketenangan dan mengurangkan kadar stress pada badan. Salah satu puncanya
adalah dengan kaedah pernafasan yang digunakan semasa berenang dan menyelam. Aktiviti
ini merangsang sistem saraf parasympatetik (sistem yang mengawal fungsi organ dan
menenangkan otak) dan mempunyai kesan pada gelombang otak dan hormon yang
mempengaruhi otak secara positif.

PEREDARAN DAN PERNAFASAN

Berenang di air laut boleh membantu dalam melancarkan peredaran darah. Sistem peredaran
darah kita yang terdiri daripada jantung, karpitari, arteri dan urat membawa darah yang kaya
dengan oksigen dari jantung ke badan, dan mengembalikannya ke jantung semula. Antara
tujuan terapi air ini adalah meningkatkan sistem peredaran darah. Berenang atau mandi laut
menambahbaik sistem peredaran dengan memulihkan mineral penting yang berkurangan
akibat stress, corak pemakanan tidak sihat serta persekitaran yang kotor. Oleh kerana air laut
dapat menstabilkan tekanan darah, maka ia dapat mengelakkan insomnia dan membawa
mood anda ke tahap yang lebih baik.

Tambahan pula, dalam laporan Wall Streets Journal, saintis mendapati bahawa udara air
masin bagus untuk paru-paru. Udara yang berhampiran laut membantu pesakit membersihkan
paru-paru. Selain itu, mereka yang menghidap asma turut melaporkan bahawa mereka
mampu bernafas dengan lebih baik dan mengurangkan tahap kesakitan mereka. antara alasan
mengapa laut baik untuk pesakit asma adalah disebabkan udaranya yang bersih mengandungi
titisan kecil air laut yang diperkaya dengan garam, iodin, magnesium dan unsur surih yang
tersebar ke udara oleh angin dan ombak. Menghirup udara laut buat sejenak waktu akan
menyebabkan lendir-lendir dalam saluran pernafasan berkurang dan menjadikan saluran
pernafasan lebih lancar.

Menurut Presiden American Thoracic Society, Dr. Thomas W. Ferkol, beliau memberikan
bukti kajiannya di dalam Wall Street Journal dengan mengatakan bahawa udara air masin
memberi kesan terhadap pesakit cystic fibrosis (penyakit genetic yang mengakibatkan
jangkitan paru-paru berterusan dan kesukaran untuk bernafas bernafas) setelah 48 minggu
dan ternyata ia berjaya melancarkan dan membersihkan paru-paru pesakit. Tidak setakat itu,
pesakit itu juga menunjukkan tanda pengurangan penggunaan antibiotik yang digunakan
untuk merawat mereka.
KESIMPULAN

Apa yang berada di sekeliling kita tidak diciptakan secara sia-sia. Setiap kejadian mempunyai
hikmah yang memberikan manfaat dan kelebihan kepada hidupan yang terdapat di dunia.
Satu contoh yang telah disebutkan adalah air laut yang mampu menambahbaik sistem
kesihatan tubuh manusia. Selain daripada itu, laut juga menyumbang kepada keseimbangan
biodiversity dan ekosistem yang diperlukan oleh kehidupan. Oleh hal yang demikian,
hendaklah khazanah berharga ini dipelihara dengan sebaiknya bagi kelangsungan hidup
generasi akan datang memandangkan kepentingannya yang besar dalam pelbagai aspek
penting seperti sumber makanan, perubatan, perdagangan, pelancongan, cari gali dan jana
kuasa.

Rujukan :

1) http://theconversation.com/health-check-why-swimming-in-the-sea-is-good-for-you-
68583
2) http://www.livestrong.com/article/400377-what-are-the-health-benefits-of-swimming-
in-sea-water/
3) http://www.dailymail.co.uk/health/article-4071270/The-healing-powers-sea-soothing-
skin-clearing-sinuses-expert-reveals-benefits-swimming-ocean.html
4) https://www.surfertoday.com/surfing/13050-the-health-benefits-of-sea-water
5) http://www.wiseandwell.co/life/world/health-benefits-science-ocean/
6) http://www.readersdigest.ca/health/beauty/is-seaside-air-really-healthy-many-claim/
7) https://lunginstitute.com/blog/breathing-in-ocean-air/

Anda mungkin juga menyukai