Anda di halaman 1dari 5

Memaknakan Pengisian Kemerdekaan:

Tradisi Islam, Legasi Melayu dan Rukun Negara

_____________________

Nordi Achie
Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa
Universiti Malaysia Sabah
Beg Berkunci 2073
88999 Kota Kinabalu
Sabah

Sejak tamatnya era imperialisme Jepun, Malaysia umumnya, mengalami kocakan


hubungan etnik yang nyata lagi tajam, akibat prasangka dan prejudis perkauman yang
menggerunkan. British sendiri sukar untuk percaya kemelut hubungan etnik dapat
diharmonikan. Sentimen dan politik perkauman terus membumi akar pengaruhnya,
sehinggalah tercetusnya tragedi berdarah 13 Mei 1969. Selepas tragedi anarkis ini, semua
pihak mula memberikan perhatian terhadap perpaduan kebangsaan. Antara wasilah utama
yang menjadi agen penghakikatan gagasan murni ini – Rukun Negara, yang
dimasyhurkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970.

Apakah Rukun Negara? Inilah antara persoalan mendasar yang masih tidak begitu
difahami oleh rakyat Malaysia. Meskipun kita telah melafazkannya, malah menghafaznya
sejak dibangku sekolah lagi, namun apakah kita benar-benar memahami maksud Rukun
Negara, lebih-lebih lagi untuk membahaskannya secara membina. Jika rakyat tidak
memahami Rukun Negara, tidak mungkin mereka dapat menghayatinya dalam kehidupan
bernegara. Apakah kita mahu tragedi berdarah 13 Mei 1969 berulang kembali? Perlu
ditegaskan di sini, sekiranya kita melupakan peristiwa hitam tersebut, bukanlah mustahil
kita akan dihukum semula oleh sejarah hitam yang sama – mungkin dalam kemelut
perkauman yang lebih kritikal lagi.

Setelah hampir setengah abad Rukun Negara dilancarkan (1970), fokus terhadap
kepentingan dan peranan Rukun Negara semakin diabaikan – sekadar dilafazkan dalam
majlis kenegaraan dan acara kebangsaan yang tertentu sahaja. Oleh itu, sebagai rakyat
prihatin terhadap masa depan negaranya, kita tidak wajar berpuas hati dengan keadaan
yang sepasif ini kerana jika dibiarkan, proses pemajuan negara dan pembinaan bangsa
Malaysia akan turut terjejas. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, rakyat Malaysi mula
memberikan perhatian serius terhadap Rukun Negara.

Perkataan ‘rukun’ ertinya ‘tiang’. Justeru, Rukun Negara bermaksud tiang negara iaitu
prinsip kehidupan yang menjadi tiang kepada negara kita. Inilah pengertian yang paling
asas. Diumpamakan sebuah rumah; tanpa tiang, rumah akan roboh. Begitu jugalah
dengan sesebuah negara - tiang amat diperlukan sebagai penegak dan pasak kepada
negara tersebut. Dalam konteks sejarah Malaysia, ia dimasyhurkan sebagai Rukun

1
Negara. Jika diperhalusi, Rukun Negara itu sendiri memancarkan roh patriotisme dan
nasionalisme Malaysia sejati yang sewajarnya dipegang sebagai ideologi negara:
menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan dalam kehidupan bernegara supaya
keamanan dan kedaulatan negara terus terpelihara, sekaligus dapat memajukan serta
memakmurkan Malaysia berlandaskan silaturahim kemalaysiaan. Persoalannya ialah
bagaimanakah Rukun Negara dapat berperanan untuk mencapai matlamat yang
dinyatakan di atas?

Pertama, agama merupakan sendi peradaban manusia bertamadun. Dalam kehidupan


beragama, Tuhan merupakan kuasa tertinggi dan terkudus yang menjadi pusat
pengabdian manusia. Perintah dan larangan daripada Tuhan (yang terpatri dalam agama)
secara keseluruhannya menuntut panganutnya (Islam, Kristian, Buddha dan Hindu
misalnya) supaya mematuhi kesemua kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Pada
prinsipnya, jika seluruh rakyat Malaysia beramal dengan perintah dan larangan agama
masing-masing, pastinya matlamat Rukun Negara, khasnya keamanan dan kemajuan
negara, akan dapat dicapai. Ini bermakna, rakyat Malaysia yang tidak mempercayai
Tuhan (atau tidak mengamalkan ajaran agamanya), mereka telah meruntuhkan tiang
negara yang pertama – kepercayaan kepada Tuhan.

Dalam konteks ini, terdapat dua tuas penting yang kita perlu fahami. Pertama, agama
tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana politikus dengan mengambil ingatan
bahawa agama dan politik juga tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan Muslim. Justeru,
jika dasar-dasar keagamaan Islam hendak diperjuangkan menerusi wasilah demokrasi dan
politik kepartian, perlembagaan Malaysia sesungguhnya tidak menegah hak sedemikian.
Akan tetapi, perjuangan tersebut seharusnya dimanifestasikan secara bertanggungjawab
dan diprakarsakan dengan penuh hikmah supaya dakwah Islam dapat disampaikan
dengan berkesan, dan citra Islam serta umatnya pula tidak tercalar.

Kedua, tidak ramai yang memahami makna kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.
Status ini hanya diberikan kepada agama Islam sebagai menghargai peranan dan
sumbangannya dalam memercukan kegemilangan tamadun Melayu di rantau Nusantara
sejak abad ke 12 lagi. Apabila Islam diangkat sebagai agama persekutuan, dengan
sendirinya rakyat Malaysia mempunyai dua bentuk ‘agama’ sekaligus – agama hakiki
dan agama rasmi. Ini bermakna setiap rakyat Malaysia mempunyai agama hakiki masing-
masing sama ada Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Pada masa yang sama,
seluruh rakyat Malaysia juga mempunyai satu agama rasmi yang sama – Islam.

Perlu dinyatakan di sini bahawa perasaan pemilikian bersama (kesepunyaan) terhadap


Islam sebagai agama rasmi bagi seluruh rakyat Malaysia, tidak menjejaskan agama hakiki
mereka sendiri; kepentingan Islam sebagai agama persekutuan dan agama rasmi Malaysia
berperanan penting sebagai pengukuh perasaan saling menghormati terhadap agama
Islam khasnya serta sesama rakyat Malaysia seluruhnya. Kita seharusnya memahami
hakikat ini dan menerimanya secara ikhlas demi keharmonian negara, dan justeru kerana
itu, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan Malaysia
berperanan sebagai mekanisme penting yang dapat menghindarkan sentimen anti-Islam
kerana Islam merupakan agama rasmi seluruh rakyat Malaysia! Perlulah direnung dengan

2
akal budi yang sejuk-dingin, apalah gunanya rakyat Malaysia membenci agama rasmi
mereka sendiri – Islam, meskipun kita mempunyai agama hakiki yang berbeza?
Bukankah sentimen jelek sedemikian akan mempermusuhkan sesama rakyat Malaysia
khasnya antara Muslim dengan bukan Muslim pula?

Perbezaan dari segi agama hakiki adalah fitrah-lumrah manusia (perhatian: tidak ada
paksaan dalam beragama), dan persamaan dari segi agama rasmi pula merupakan antara
mercu tanda penting kebanyakan negara-negara moden hari ini. Malangnya, sebahagian
besar rakyat Malaysia masih tidak memahami kepentingan Islam sebagai agama
persekutuan dan agama rasmi mereka sendiri. Bahkan, ada pihak yang mengatakan
perbezaan agama merupakan punca perpecahan kaum di Malaysia. Terdapat dua sebab
mendasarnya.

Pertama, mereka tidak memahami kepentingan Islam sebagai agama persekutuan dan
agama rasmi seluruh rakyat Malaysia. Terlebih jengkel lagi, terdapat sebilangan parti
politik menentang kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan
sejak 1950-an lagi.

Kedua, kepelbagain agama hakiki di Malaysia sengaja dipertentangkan antara satu sama
lain oleh pihak-pihak yang jahil terhadap agama, perlembagaan dan sejarah Malaysia.
Sepatutnya, perbezaan agama hakiki dilihat dari perspektif yang holistik dan harmonis
kerana pada prinispnya, kesemua agama menyeru penganutnya supaya hidup
berdampingan dalam budaya kemanusiaan yang luhur. Oleh itu, kepercayaan kepada
Tuhan dan pematuhan kepada ajaran keagamaan, jelas berperanan penting untuk
menghakikatkan gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia.

Kedua, kesetiaan kepada raja dan negara. Rakyat Malaysia mempunyai latar belakang
keturunan, sejarah dan kebudayaan yang berbeza iaitu Melayu, Cina dan India. Oleh itu,
perlulah diprakarsakan landasan persamaan tertentu yang dapat menyatukan seteguh-
teguhnya puncak jiwa mereka sebagai satu bangsa – bangsa Malaysia. Antara landasan
tersebut ialah kesetiaan kepada raja dan negara. Ini bermakna seluruh rakyat Malaysia
hanya mempunyai satu raja (Yang Dipertuan Agong) dan negara (Malaysia) sebagai aset
pemilikan bersama.

Penghayatan yang holistik terhadap Rukun Negara yang kedua ini, bukan sahaja
berupaya mengikis prasangka dan prejudis perkauman, malah menjadi umbi kekuatan
negara dan kesatuan bangsa Malaysia. Namun, kesetiaan tidak dapat dilihat dengan mata
kasar – hakikat hati yang tersirat. Sungguhpun begitu, kesetiaan dapat juga dibuktikan
secara zahirnya. Misalnya, rakyat Malaysia yang mendaulatkan bahasa kebangsaan
negaranya, tidaklah dapat disangsikan hakikat kesetiaan mereka kepada negara ini kerana
‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’.

Ketiga, keluruhan perlembagaan. Seluruh aspek kehidupan manusia perlu berlunaskan


prinisp keadilan undang-undang tertinggi. Undang-undang tertinggi dalam sesebuah
negara moden dinamakan perlembagaan. Perlembagaan merupakan kerangka dasar yang
menunjangi seluruh dimensi pemerintahan negara dan rakyatnya. Oleh sebab itu,

3
keunggulan negara dan keutuhan rakyat bergantung kepada keluhuran perlembagaan.
Dalam konteks ini, perlembagaan bukan sahaja dilihat sebagai luhur, malah terlebih
penting lagi, perlu diperluhurkan dengan cara memuliakan dan menghormatinya;
bukannya menentang dan menyanggah perlembagaan.

Mana-mana pihak yang menentang perlembagaan, ini bermakna mereka telah menodai
keluhuran perlembagaan, dan natijahnya, mereka telah mencabut tunjang keutuhan
negaranya sendiri, seperti yang berlaku dalam tragedi berdarah 13 Mei. Di sinilah
terletaknya kepentingan azamat prinsip ketiga Rukun Negara – keluhuran perlembagaan,
yang merupakan tiang seri negara ini; manakala prinsip-prinsip Rukun Negara yang lain,
bertindak sebagai tiang pengimbang yang saling melengkapi.

Keempat, kedaulatan undang-undang. Prinisp ini bertaut rapat dengan keluhuran


perlembagaan kerana undang-undang merupakan cabang-ceraian perlembagaan.
Kedaulatan undang-undang merujuk kepada citra perundangan yang adil, malah mesti
dilaksanakan atas prinisp keadilan menerusi proses keadilan untuk memberikan hak
keadilan kepada seluruh rakyat. Ini selari dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan
Malaysia (Perkara 8) bahawa semua rakyat dilayan sama rata dan sama tarafnya di sisi
undang-undang.

Pada prinsipnya, peruntukan ini misalnya, jelas bertujuan menjamin keharmonian dalam
kehidupan bernegara (politik, ekonomi dan sosial) menerusi dasar keadilan dan proses
pengadilan. Justeru, kedaulatan undang-undang bukan sahaja penting untuk mengatur
proses kehidupan dan menyelesaikan permasalahan rakyat secara adil, malah di atas
pundak prinsip itu jugalah terletaknya maruah rakyat dan kehormatan negara di persada
antarabangsa. Sesiapa sahaja yang mencemarkan kedaulatan undang-undang negara,
merekalah pendosa dan penderhaka negara.

Kelima, kesopanan dan kesusilaan. Perlu ditegaskan bahawa meskipun diletakkan


sebagai prinsip Rukun Negara terakhir, namun peranan dan kepentingannya tetap setara
dengan prinisp-prinsip yang lain. Keberadaannya dalam Rukun Negara membuktikan
betapa kita mementingkan nilai-nilai ketimuran yang kita warisi daripada pusaka sejarah
dan peradaban silam; betapa kita menjunjung nilai-nilai keMalaysiaan dalam kerancakan
arus kemodenan dan kemajuan negara; betapa kita nekad menghayati nilai-nilai
kemanusiaan dan kemasyarakatan dalam koridor ketamaduan rumpun Melayu dan Asia
Raya.

Perlu ditegaskan, kesopanan dan kesusilaan tersebut perlulah dihayati dalam kesemua
aspek kehidupan sebagai neraca keberadaban dan potret peradaban Malaysia, khasnya
dalam konteks pembinaan satu bangsa yang dicita-citakan - bangsa Malaysia.
Bagaimanapun, ini tidaklah bermakna kita menolak kebudayaan asing; mana-mana yang
positif dan progresif, sewajarnyalah diteladani. Oleh itu, sekiranya rakyat melanggar adab
kesopanan dan resam kesusilaan Malaysia, tidak syak lagi mereka telah meranapkan tiang
negara yang terakhir – robohnya citra negara dan budaya bangsa yang berdaulat.

4
Setiap rakyat Malaysia bukan sahaja perlu memahami, malah menghayati kesemua
prinsip Rukun Negara sebagai kesan tanda ketaatsetiaan mereka terhadap Malaysia.
Akibat mengabaikan walaupun hanya satu daripada prinisp-prinisp tersebut, dengan
sendirinya kita telah meruntuhkan satu daripada tiang negara – Rukun Negara, dan pada
akhirnya, mengundang keruntuhan terhadap negaranya sendiri. Ini bermakna
wargenagara sedemikian bukan sekadar persis duri dalam daging, bahkan tidak layak
mendapat hak kerakyatan Malaysia!

Hakikatnya, kita belum mendarahdagingi Rukun Negara. Inilah kunci permasalahan


dalam konteks gagasan pemajuan negara dan rekayasa bangsa Malaysia sejak 1970.
Namun, yang menariknya, tidak ada sesiapa pun menolak Rukun Negara, dan ini
menunjukkan seluruh rakyat Malaysia, pada prinsipnya, menerima keberadaan Rukun
Negara. Bagaimanapun, penerimaan sahaja tidaklah memadai justeru penghayatannya
yang terlebih diperlukan. Jika kita menerima Rukun Negara sebagai ideologi bitara
kenegaraan dan teori pemersatuan bangsa Malaysia, bagaimana pula dengan praktik
penghayatannya?

Dalam hal ini, perbezaan ideologi kepolitikan, perbezaan darah keturunan dan
kebudayaan serta ketercapahan stratifikasi sosial-ekonomi, bukanlah pengempang iltizam
untuk mengarusperdanakan penghayatan Rukun Negara. Pada dasarnya, dua perkara
perlulah diperhatikan. Pertama, menyerantakan kefahaman mengenai Rukun Negara
secara tuntas, dan keduanya, memperkukuh penghayatan Rukun Negara semangkus-
mangkusnya – bermula dari aras kepemimpinan negara dan disokong dengan kesedaran
patriotik dan nasionistik oleh seluruh rakyat Malaysia. Inilah acuan dan amanah yang
sewajibnya kita junjung sebagai manusia-khalifah di Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai