Anda di halaman 1dari 2

Dalam keasyikan negara menari rancak bersama bayang-bayang

pembangunan yang bergerak pantas pada zaman pascakemerdekaan ini,


sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia tentang kes penipuan
ketika membeli barangan atas talian. Penipuan yang dilakukan oleh
penjual barangan atas talian diklasifikasikan sebagai jenayah dan boleh
dimasukkan ke dalam penjara setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Amat menyedihkan melihat pembeli naif yang kehilangan duit sehingga
mencecah angka ribuan atas sebab hal yang demikian. Mengambil
ikhtibar daripada perangkaan ini, apakah cara yang boleh kita lakukan
untuk menjadi pembeli berhemat atas talian? Tepuk dada tanya selera.

Mari kita capahkan lensa perbincangan kepada skop yang lebih


khusus iaitu memilih platform yang mempunyai keselamatan tinggi. Hal
ini dikatakan demikian kerana perlaksanaan sistem pada sesebuah
platform banyak memainkan peranan dalam menjadikan urusan jual beli
lebih selamat. Misalnya, platform seperti Lazada dan Shopee telah
menyediakan sistem dompet tersendiri untuk menguruskan transaksi
antara pembeli dan penjual. Perkara ini membuatkan sesebuah platform
ini dikenali sebagai orang tengah kerana mereka ‘memegang’ duit
pengguna sebelum diberikan kepada penjual.

Selain itu, kita harus membaca ulasan yang ditulis oleh pembeli pada
ruangan ‘review’ mengenai produk yang hendak dibeli. Hal ini dikatakan
demikan kerana ramai pembeli menjadi mangsa penipuan disebabkan
malas mengkaji sebelum membeli. Sebagai contoh, sekiranya ingin
membeli barangan berjenama atas talian, kita harus mengkaji ruangan
‘review’ kerana kedai yang mempunyai penilaian yang tinggi tidak
semestinya menjual barangan yang tulen. Perkara ini membolehkan kita
melihat kualiti barangan, penghantaran serta layanan penjual.

Di samping itu, kita harus merancang sebelum membeli barang.


Merancang sebelum membeli adalah amalan yang dilakukan oleh pembeli
yang bijak untuk menentukan sama ada barang yang hendak dibeli itu
wajar dibeli atau tidak. Beberapa perancangan yang boleh dilakukan oleh
pembeli atas talian termasuklah membuat senarai barang dengan
menyediakan buku catatan sepanjang berbelanja. Dengan buku catatan
ini, kita dapat mengetahui jumlah perbelanjaan setiap hari dan
membolehkan kita merancang bajet pembelian agar tidak berlaku
sebarang kerugian semasa berbelanja.
Tambahan pula, kita harus menggunakan kupon atau program
ganjaran yang disediakan dengan sebaik-baiknya. Hal ini dikatakan
demikian kerana terdapat pelbagai jenis diskaun yang ditawarkan oleh
pasar dalam talian termasuk kupon percuma yang boleh ditebus. Terdapat
juga program ganjaran pelanggan yang menawarkan faedah tambahan
kepada pembeli, di mana mereka boleh mendapatkan diskaun yang lebih
besar dengan lebih banyak pembelian. Hal ini bukan sahaja menjimatkan
duit, tetapi juga menjimatkan masa kerana pembelian secara nyata
memakan masa yang agak banyak.

Bertitik tolak daripada hal ini, kita juga harus melakukan


perbandingan harga sebelum membeli barangan atas talian. Hal ini
dikatakan demikian kerana jurang harga bagi produk yang sama di laman
web yang berbeza juga berbeza. Amalan perbandingan harga sebelum
berbelanja seharusnya diamalkan supaya kita dapat berjimat-cermat.
Pengguna yang berhemat dalam berbelanja dapat menggunakan kos
penjimatan yang mereka peroleh untuk simpanan masa hadapan serta
mengelak daripada peniaga atas talian yang bersifat lintah darah.

Sebagai penutup akhir bicara, kita haruslah berhemah apabila


membeli barangan di atas talian. Semua pihak harus berganding bahu
dalam memastikan pembeli atas talian tidak jatuh ke dalam perangkap
penipu siber.

(507 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai