Anda di halaman 1dari 3

9.

0 REFLEKSI KAJIAN

Saya berasa sangat gembira kerana dapat menyempurnakan kajian tindakan saya
dengan baik. Saya sangat bersyukur kerana mendapat bimbingan dan tunjuk ajar
daripada mentor dan rakan-rakan guru di sekolah saya. Saya ingin mengambil
kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka atas
bimbingan dan teguran yang diberi oleh beliau sangat berguna kepada saya dalam
menyempurnakan kajian tindakan ini. Segala tunjuk ajar dan idea yang diberikan
sentiasa mencetuskan pemikiran saya agar menghasilkan pelbagai idea baru dalam
melaksanakan kajian ini. Dengan ini, saya berpeluang untuk memajukan diri dalam
bidang pendidikan khas ini.

Ini merupakan pengalaman pertama saya membuat kajian tindakan dalam


bidang pendidikan khas yang mana bidang ini bukanlah dalam pengkhususan saya.
Dengan merujuk kepada rakan-rakan guru yang pakar dan laporan-laporan kajian
lepas yang telah dilakukan oleh pengkaji lain, saya berasa lebih yakin dalam
penulisan laporan kajian ini dengan mengikut format yang tepat. Dengan itu, kajian
tindakan ini dilaksanakan dengan lebih berkesan. Saya telah diamanahkan untuk
mengajar murid-murid bermasalah pembelajaran yang terdiri daripada murid autism,
sindrom down, ADHD, lembam dan sebagainya. Matapelajaran yang di amanahkan
kepada saya adalah Matematik. Pada awalnya agak sukar lebih-lebih lagi ini bukan
bidang saya, namun atas tunjuk ajar para guru disekolah dan beberapa ilmu dan
pengalaman yang dicedok dari kursus-kursus yang pernah saya ikuti sebelum ini
memberi kekuatan dan semangat kepada saya untuk menjalankan kajian ini.

Seperti yang kita sedia maklum, murid-murid masalah pembelajaran ini


khususnya murid autism cenderung kepada masalah tingkah laku. Dalam konteks
pendidikan, tingkah laku bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku yang
boleh merosakkan kelancaran dan keberkesanan proses pengajaran dan
pembelajaran khususnya di dalam bilik darjah. Mengurus tingkah laku kanak –kanak
khas bukanlah suatu yang mudah. Apatah lagi kanak-kanak tersebut mengalami
lebih dari satu ketidakupayaan . Austisme merupakan sejenis masalah gangguan
perkembangan otak kanak –kanak yang menyebabkan mereka mengalami masalah
tertentu. Kanak-kanak austime biasanya mengalami masalah dalam komunikasi,
interaksi social pemikiran dan emosi. (Kate Wall, 2010) Penjelasan klinikal yang
pertama telah diberikan dalam syarahan perubatan pada tahun 1943 oleh Dr. Leo
Kanner .

Antara kaedah yang saya gunakan untuk mengurangkan tingkah laku


bermasalah murid saya ialah dengan mengaplikasikan pengajaran berstruktur
semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pengajaran berstruktur ini
dibangunkan oleh unit TEACCH, University of North Carolina, Amerika Syarikat.
Kaedah ini dibangunkan hasil daripada dapatan kajian mengenai gaya pembelajaran
murid-murid ini yang mengalami Autisme. Antara dapatan ini adalah mereka lebih
mudah belajar jika proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan visual.

Kaedah pengajaran berstruktur mengutamakan objektif untuk mendidik murid


untuk berdikari dan tidak bergantung kepada guru dalam aktiviti-aktiviti harian
termasuklah aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Salah satu pendekatan yang
digunakan dalam pengajaran berstruktur ialah fail tugasan. Fail tugasan telah
pengkaji ubah suai menjadi “Busy Kidz File”. Penggunaan Busy Kidz File ini
khususnya dapat membantu murid-murid menjalani proses pembelajaran secara
hands-on, seronok, berdikari dan interaktif. Bahan-bahan visual digunakan untuk
membantu mereka memahami tugasan yang perlu dilaksanakan. Pendekatan ini
secara langsung dapat membantu mengurangkan tingkah laku bermaslah murid.
Apabila murid sudah mula minat untuk belajar, secara automatiknya tingkah laku
bermasalah murid dapat dikurangkan seperti berkhayal, cepat marah, bangun dari
tempat duduk dan sebagainya. Hal ini kerana murid sudah leka dengan
pembelajaran yang dapat menarik minatnya. Penggunaan “busy Kidz File” ini juga
berkesan kerana seringkali murid-murid ini dilatih tubi sebelum mereka dapat
menguasai sesuatu kemahiran. Dengan menggunakan fail tugasan, guru-guru tidak
perlu menyediakan bahan bantu mengajar baru setiap kali mereka hendak
mengajar. Ini adalah kerana tugasan fail dapat digunakan berulang-ulang kali.
Secara tidak langsung, ia menjimatkan masa dan tenaga guru.

Dalam kajian ini, dari segi pelaksanaan tindakan, secara keseluruhannya


semua berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang. Namun, di sebalik
kejayaan intervensi ini, masih terdapat faktor kekurangan yang memberi kesan
terhadap dapatan kajian saya. Antaranya, peserta kajian saya berasa kurang selesa
dan kekok terhadap kamera yang merakam tingkah laku mereka. Kekangan masa
juga menjadi faktor kekurangan dalam melaksanakan kajian tindakan ini. Walaupun
agak kesuntukan masa tetapi masih sempat mengumpul data yang penting. Dengan
menyedari kekangan dan kelemahan yang terdapat dalam kajian tindakan ini, saya
mengemukakan cadangan penambahbaikan pada bahagian seterusnya untuk
mengatasi masalah yang wujud.

Daripada penyelidikan tindakan yang telah saya laksanakan, saya telah


memperolehi banyak pengalaman. Baru saya sedar betapa pentingnya semangat
seorang guru dalam menambah baik amalan di dalam kelas yang membawa
perubahan yang besar kepada murid-murid. Secara keseluruhannya, saya dapat
belajar tentang kepentingan untuk bekerja secara sistematik bagi menjayakan
sesuatu tindakan. Sebelum sesuatu tindakan dilaksanakan, saya perlu jelas dengan
focus sendiri. Bukan senang untuk melaksanakan satu-satu kajian yang mana ianya
memerlukan kerjasama dan pelaksanaan yang teliti bagi memastikan kajian yang
dirancang dapat tercapai. Pemikiran yang positif, kekentalan jiwa serta komitmen
yang tinggi amat diperlukan dalam diri seorang pengkaji bagi memastikan segala
perancangan mengikut masa yang ditetapkan serta pengetahuan yang mendalam
terhadap perkara yang dikaji. Kajian ini memberi saya peluang untuk meningkatkam
pemikiran diri, menambah baik amalan saya dalam bilik darjah terutamanya dalam
mendidik anak-anak berkeperluan khas.

Saya berharap kajian tindakan ini dapat dimanfaatkan kepada guru-guru


untuk memperbaiki mutu keberkesanan pengajaran dan pembelajaran khususnya
dalam bidang pendidikan khas. Semoga kajian ini menjadi rujukan dan panduan
kerana telah dibuktikan bahawa penggunaan Busy Kids File membantu
mengurangkan tingkah laku bermasalah murid Autisme.