Anda di halaman 1dari 5

SOALAN 1

Pada jam 10:00 malam, 2 November 2021, di depan Restoran Mak Jemah, Kajang, Chang telah dicederakan
dengan pisau pada muka dan tangan kiri. Malek telah ditahan kerana disyaki melakukan jenayah tersebut. Dia
kemudiannya telah didakwa atas kesalahan mencederakan Chang.

Berikut adalah antara keterangan-keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan:

i. Chang:

Chang menyatakan dia sedang berdiri di depan pintu Restoran Mak Jemah apabila seorang lelaki yang berjalan
keluar dengan laju dari dalam restoran itu terlanggarnya dan lelaki itu hampir terjatuh. Lelaki itu memaki
hamunnya kerana berdiri di depan pintu. Melihatkan keadaan lelaki itu yang menggenggam penumbuk seolah-
olah hendak memukulnya, Chang menolak lelaki itu ke belakang. Lelaki itu tiba-tiba menyerangnya dengan pisau
(Chang tidak nampak dia mengeluarkan pisau itu) dan terus mencederakan pipi kanan Chang. Apabila Chang
meletakkan tangan kirinya pada mukanya, lelaki itu mencederakn pula tangan kirinya sebelum melarikan diri.

Chang turut menyatakan yang dia langsung tidak mengenali lelaki itu dan tidak pernah terserempak dengannya
sebelum ini. Sebelum ini semasa perbarisan cam, dia mengesahkan yang Malek adalah lelaki itu. Akan tetapi,
sekarang dia sendiri menjadi kurang pasti dengan kebenaran pengecamannya.

ii. Pita video:

Mahkamah telah membenarkan pihak pendakwa mengemukakan pita video daripada kamera litar tertutup (CCTV)
di tempat kejadian. Pita video itu menunjukkan yang kejadian itu benar-benar berlaku, akan tetapi identiti
penyerang itu tidak jelas. Apa yang kelihatan ialah, penyerang itu bertubuh tinggi daripada Chang, tidak bermisai
atau berjanggut, memakai seluar jeans dan jeket gelap yang tidak dapat dipastikan warnanya kerana video itu
dalam bentuk hitam putih. Video itu menunjukkan darah yang bersemburan daripada muka dan tangan Chang
selepas dicederakan dan keadaaan Chang yang membongkok kesakitan.

Pihak pembela membantah kebolehterimaan pita video itu kerana ia sekadar mengulangi keterangan oleh Chang.
Paparan ganas dalam pita itu juga akan mendatangkan implikasi buruk terhadap Malek kerana saksi-saksi
kemungkinan besar akan simpati pada Chang dan menyalahkan Malek.

iii. Korporal David:

Korporal David menyatakan yang dia menjalankan rondaan di tempat kejadian dan ternampak ia berlaku dari
jauh. Dia tidak nampak muka penyerang. Dia mengejar penyerang itu tetapi kehilangan jejak beberapa ketika
kemudian. Apabila dia mula berpatah balik ke arah Restoran Mak Jemah, dia terdengar bunyi desiran daun di
sebatang pokok yang berhampiran. Dia mendapati seorang lelaki bertubuh tinggi, tidak bermisai atau berjanggut,
memakai seluar jeans dan jeket gelap berada atas pokok dalam keadaan tercungap-cungap. Korporal David
menyuruhnya turun. Lelaki itu patuh dan David terus menahannya. Lelaki itu ialah Malek.

Bincangkan kerelevanan dan kebolehterimaan keterangan-keterangan di atas.


SOALAN 2

Pada jam 9.15 malam, 24 November 2021, pihak polis menerima panggilan daripada Velvet dan Nikki, yang
memaklumkan rumah mereka di Kajang Mewah telah dipecah masuk dan ada barang-barang yang telah dicuri.
Semasa tiba di tempat kejadian, polis mendapati tingkap stor di tingkat bawah telah dipecahkan untuk
membolehkan pencuri itu masuk.

Beberapa hari selepas beberapa siri siasatan dan mengambil kenyataan daripada beberapa orang jiran di sekitar
perumahan tersebut, pihak polis telah menahan Ezad kerana disyaki melakukan jenayah tersebut. Dia
kemudiannya telah didakwa atas kesalahan pecah rumah dan melakukan jenayah curi.

Berikut adalah antara keterangan-keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan:

i. Velvet dan Nikki:

Mereka menyatakan bahawa kejadian itu berlaku pada waktu petang 24 Ogos 2018, antara jam 4:00 petang dan
9:00 malam. Pada waktu itu, mereka keluar menziarahi rakan mereka di Bandar Baru Bangi. Velvet menyatakan
yang dia menyusun barang di stor sehinggalah Nikki mengajaknya keluar. Apabila mereka pulang, Velvet serta
merta pergi semula ke stor untuk menyambung kerjanya, dan pada masa itulah dia mendapati tingkap stor telah
dipecahkan dan barang-barang di dalamnya serta barang-barang lain telah hilang.

Mereka turut menyatakan yang mereka langsung tidak mengenali Ezad dan tidak pernah terserempak dengannya
sebelum ini.

ii. Inspektor Dania:

Inspektor Dania: menyatakan dia tiba bersama beberapa orang pegawai polis di rumah Velvet dan Nikki pada jam
9:30 malam, 24 Ogos 2018. Dia menjumpai kesan tapak kaki yang sangat jelas pada tanah di bahagian luar tingkap
stor yang dipecahkan itu. Inspektor Dania telah mengambil gambar dan membuat sampel tapak kaki tersebut.
Selepas analisis makmal, tapak kaki itu disahkan terhasil daripada kasut sukan Polo saiz 10 ½. Pendakwa raya ingin
mengemukakan sampel tapak kaki dan laporan analis itu sebagai keterangan.

ii. Ezad:

Ezad menyatakan yang dia memakai kasut sukan Polo itu dari pagi sehingga ke malam pada 24 Ogos 2018, akan
tetapi dia tidak pernah ke Kajang Mewah. Katanya,” Saya ni kenderaan pun tak ada, kawan pun tak ada,
macammana saya nak ke Kajang Mah eh Kajang Mewa tu?”

Bincangkan kerelevanan dan kebolehterimaan keterangan-keterangan di atas.


SOALAN 3

Bobby didakwa kerana membunuh isterinya Rokiah. Berikut adalah antara keterangan-keterangan yang
dikemukakan semasa perbicaraan:

i. Natasha Hudson:

“Sehari sebelum Rokiah mati, dia telefon saya. Rokiah kata,”habislah aku Natasha. Suami aku dah tahu pasal
hubungan aku dengan Tan. Matilah aku dibunuhnya!”

ii. Thayalan:

“Dua minggu sebelum kematian Rokiah, saya keluar makan dengan Balqis dan Bobby. Semasa itulah saya
memberitahu Bobby , Aku selalu nampak Tan keluar dengan isteri kau.” Bobby jawab, “ Ah, tipulah. Aku tak
percaya.”Saya ketawa dan berkata, “Cemburu ke?” Bobby tak menjawab dan terus menukar topik perbualan.

iii. Balqis

(keterangan sama seperti Thayalan tetapi dengan sedikit tambahan) Bila Thayalan tanya, “Cemburu ke?”
Bobby tak menjawab tetapi berbisik perlahan seolah-olah berfikir,”Hmm...Tan,” sambil tersenyum sebelum
menukar topik perbualan.

iv. Inspektor Sahab:

“Dua hari selepas kematian Rokiah, saya mengambil kenyataan daripada Thayalan di rumahnya. Thayalan
menceritakan kepada saya perbualannya dengan Bobby (sama seperti di atas). Saya mencatitkan semuanya.
Semasa saya berjalan ke arah kereta saya, tiba-tiba Thayalan meluru kearah saya dan berkata, Inspektor, ada
satu perkara lagi saya tak beritahu. Sehari sebelum Rokiah mati, Bobby beritahu saya yang dia benci Rokiah
dan rasa macam nak bunuh Rokiah.”

(Semasa ini Thayalan bangun dan menafikan yang dia ada berkata sedemikian kepada Inspektor Sahab).

Bincangkan kerelevanan dan kebolehterimaan keterangan-keterangan di atas.


SOALAN 4

Munah sangat gemar menonton wayang. Pada suatu malam, selepas menonton filem Aku No. 1 di pawagam
Tunjang Silver Village (TSV), Munah berjalan menuruni tangga berkarpet ke arah tandas. Malangnya beliau
terjatuh di tengah-tengah tangga dan cedera buku lalinya. Sebulan selepas itu, dia menyaman TSV atas
kecederaannya, atas alasan-alasan berikut:

a. kakinya tersangkut di celah koyakan karpet. Dia tidak dapat melihat koyakan itu kerana lampu malap.
b. TSV telah secara cuai membiarkan karpet itu berada dalam keadaan berbahaya.

Keterangan-keterangan berikut telah dikemukakan semasa perbicaraan:

i. Keterangan Afdlin yang menyatakan beliau sedang bermain Mobile Legend di telefon pintarnya sambil duduk di
anak tangga terakhir semasa kejadian berlaku. Semasa Munah terjatuh, seorang lelaki yang tidak dikenali
(kemungkinan salah seorang penonton) bergegas menuruni tangga ke arah Munah dan berkata: "Abang nampak
cik adik jatuh sebab koyak kat karpet tu, cik adik ok tak? Huh, itulah, tempat ni pun gelap sangat! Mereka patut
baiki semua ni."

ii. Keterangan Malique, yang seminggu selepas kejadian, Malique telah dipanggil oleh pihak pengurusan TSV untuk
memasang karpet baru menggantikan karpet yang lama. Walaubagaimanapun semasa menggantikan karpet itu,
menurut Malique, dia tidak nampak sebarang koyakan.

iii. Keterangan Maniam, bekas teman lelaki Munah, yang duduk di belakang Munah semasa menonton filem Aku
No. 1. Selepas tayangan tamat, dia mengekori Munah. Dia memang nampak Munah terjatuh, tetapi pada
pendapatnya, Munah terjatuh kerana dia sedang mabuk. Munah, menurut beliau, memang suka minum arak
sebelum masuk ke pawagam.

iv. Laporan hospital X (yang merawat Munah) yang disediakan oleh jururawat Sandra, yang menyatakan bahawa
buku lali Munah tidaklah cedera teruk sangat; dan Munah pun tidak terasa sakit sangat, tetapi ini kemungkinan
besar kerana Munah memberitahunya yang dia ada curi-curi minum arak semasa menonton dan kesan alkohol itu
membantunya untuk tidak merasakan kesakitan.
SOALAN 5

Sheila, seorang pejalan kaki, menyaman Thuraisamy, seorang pegawai di sebuah firma, atas kecederaan yang
beliau alami. Sheila menyatakan yang beliau sedang menyeberangi sebatang jalan apabila secara tiba-tiba sebuah
kereta yang dipandu oleh Thuraisamy membuat pusingan U secara tiba-tiba dan melanggarnya dari belakang dan
terus meninggalkan tempat kejadian dengan tergesa-gesa tanpa mempedulikannya.

Thuraisamy menafikan semua dakwaan Sheila dan menyatakan yang walaupun beliau memandu kereta pada hari
itu, tetapi beliau mematuhi semua peraturan trafik dan langsung tidak melanggar sesiapa.

Sheila ingin mengemukakan keterangan oleh rakannya Hafizi yang berdiri di tepi jalan di hadapan bangunan firma
tempat Thuraisamy bekerja semasa hari kejadian. Hafizi terdengar seorang lelaki bercakap dengan kuat kepada
seorang lelaki yang lain dan bergegas pergi dengan keretanya. Hafizi tidak melihat wajahnya, tetapi mendengar
suaranya. Walaupun Hafizi tidak kenal Thuraisamy, tetapi beliau kerap terserempak dengan Thuraisamy dan cam
suaranya. Menurut Hafizi, suara Thuraisamy hari itu kedengaran bernada marah.

Sheila juga mahu mengemukakan keterangan oleh Nicholas, yang pada hari kejadian telah pergi ke tempat
Thuraisamy bekerja. Semasa bertanyakan di mana Thuraisamy, penyambut tetamu memberitahu beliau yang
Thuraisamy tiada di pejabat. Beliau baru keluar dan kelihatan sangat marah. Nicholas adalah antara individu yang
telah membantu Sheila selepas Sheila dilanggar.

Sheila juga mahu mengemukakan keterangan Bandi, pegawai kewangan di pejabat Thuraisamy yang menyatakan
bahawa pada petang hari kejadian, Thuraisamy menelefonnya dan bertanyakan lokasi bengkel panel untuk
membaiki kerosakan kereta rasmi yang digunakannya. Menurut Bandi, Thuraisamy memberitahunya yang beliau
terlanggar lubang di jalan dan kereta itu terbabas sedikit sehingga tercalar bumper depannya kerana bergeser
dengan tiang lampu.

Bincangkan kebolehterimaan dan kerelevanan keterangan-keterangan di atas.

Anda mungkin juga menyukai