Anda di halaman 1dari 3

Teks Ucapan GB sempena program SERI MURNI KASIH LAUTAN BUDI KEKAL ABADI

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih pengacara majlis.


Yang diraikan Cikgu Morni bin Gani, Guru Penolong Kanan Pentadbiran,
Yang dihormati barisan guru Penolong Kanan , guru- guru, para tetamu maya, anak-anak didik
dan warga SK Seri Menanti sekalian.

Hadirin yang dimuliakan,


Terima kasih kerana dapat melapangkan masa menghadiri Google Meet dan FB Live pada pagi
ini bersempena majlis ‘Seri Murni Kasih Lautan Budi Kekal Abadi’ untuk persaraan Guru
Penolong Kanan Pentadbiran yang kita kasihi, Cikgu Morni bin Gani. Untuk makluman semua,
tarikh sebenar Cikgu Morni menamatkan perkhidmatan beliau adalah pada 4 Disember 2021 ini.
Setelah 4 tahun berkhidmat di sekolah ini, akhirnya masa untuk beliau menamatkan
perkhidmatannya telah tiba. Dengan itu kita akan kehilangan orang yang banyak menabur bakti
di sekolah ini.

Hadirin yang dikasihi,

Terlebih dahulu, saya mewakili warga sekolah ini terutama para pendidik, merakamkan rasa
terharu kerana perpisahan ini. Masa terlalu pantas berlari. Tidak terasa kita sudah 4 tahun
bersama Cikgu Morni, menabur jasa dan bakti di sekolah ini. Kadang kala akibat kesibukan
dengan tugas seharian dan pelbagai komitmen yang kita tempuhi, menyebabkan kita tidak terasa
begitu pantasnya juga tempoh perkhidmatan Cikgu Morni telah berakhir. Sesungguhnya berat
mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah yang kita rasai sekarang ini. Berat
sungguh bagi kami untuk melepaskan beliau.

Beliau telah banyak menyumbangkan jasa terhadap kemajuan, perkembangan dan pembangunan
sekolah, sama ada dari segi akademik, kokurikulum, keceriaan dan pembinaan modal insan
sepanjang tempoh perkhidmatannya di sekolah ini. Cikgu Morni seorang yang mementingkan
pendidikan dan sentiasa memikirkan hala tuju sekolah ini. Dengan berbekalkan ilmu yang ada
,beliau tidak lokek berkongsi ilmu pengetahuan, malah segala pendapat dan pandangan kami
sentiasa akan diperhalusi dan diterima dengan hati yang terbuka. Jalan penyelesaian sentiasa ada
terhadap masalah yang kami hadapi di sekolah ini.

Cikgu Morni juga sentiasa komited membentuk elemen keceriaan dan sentiasa memastikan
prasarana di sekolah ini lengkap supaya PdPc berjalan lancar. Contohnya projek keceriaan
kawasan sekolah, projek membaiki jalan tempat ibu bapa menghantar anak dan banyak lagi
projek-projek lain yang dilaksanakan di bawah kelolaan beliau. Terima kasih tidak terhingga
kami ucapkan kepada Cikgu Morni atas semua usaha tersebut.

Hadirin yang berbahagia,


Bagi pihak sekolah dan majikan iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia, saya merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala bakti, pengorbanan dan susah payah
yang Cikgu Morni lalui semata-mata menyumbang terhadap pendidikan generasi muda Malaysia
sebagai modal insan terbilang terutamanya di sekolah ini.

Kita semua pastinya nanti akan merindui gelak tawa dan senyuman manis Cikgu Morni di
sekolah. ”Memories last forever, never do they die, friends stay together, never say goodbye”.
Semoga hubungan silaturahim ini akan berkekalan sepanjang zaman. Kami berdoa semoga Allah
SWT akan melimpahkan rahmatNya dan peliharaanNya kepada beliau, dipanjangkan usia
dengan keberkatan, diberikan kesihatan tubuh badan dan dipermudahkan segala urusan pada
setiap masa. Semoga Allah mengganjari kebaikan atas usaha murni yang telah beliau
sumbangkan.

Sebelum mengakhiri ucapan saya, izinkan saya mewakili warga SK Seri Menanti menyusun
sepuluh jari memohon maaf atas segala kekurangan dan kesilapan yang berlaku sepanjang
perkhidmatan Cikgu Morni di sini. Kami berharap hubungan baik dan komunikasi yang telah
terjalin antara kita berterusan biarpun jasad hilang dari pandangan.

Perigi  tuan semak siratan,


Ukur tali nampak serupa;
Pergi tuan semarak ingatan, 
Luhur budi tidak dilupa.

Pandai terbilang putera perkasa,


Tengok puteri akar dicari;
Andai ada ruang dan masa,
Jenguklah kami bugarkan memori.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai