Anda di halaman 1dari 20

Kajian Etnik Jawa di Malaysia

PENDAHULUAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat  berbilang


kaum dan etnik. Terdapat tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu,
Cina dan India. Di dalam kelompok kaum tersebut terdapat pelbagai
pecahan etnik yang sudah semestinya mempunyai pelbagai budaya,
bahasa, kepercayaan dan adat resam yang tersendiri.

Dalam tugasan ini, saya memilih etnik Jawa kerana ayah dan ibu saya
berketurunan Jawa Ponorogo. Tugasan ini membicarakan  etnik Jawa
meliputi aspek bangsa,struktur masyarakat, bahasa, kepercayaan, adat
resam dan jantina.

Semua penduduk yang tinggal di kampung saya iaitu Parit Sikon Darat,
Parit Raja , Batu Pahat berketurunan Jawa. Sebahagian besar
mereka  merupakan Jawa Ponorogo manakala selainnya Jawa Megelan.
Mereka bekerja sebagai pekebun kelapa sawit , bertukang dan ada juga
yang bekerja di kilang industri.
Sehingga kini kami masih menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa
perhubungan.  Selain mempunyai masakan Jawa yang menjadi
kebanggaan seperti “sambel godok” dan “pecel leley”, kami juga
mengamalkan adat resam serta kebudayaan tersendiri. Ianya
menjadikan keturunan kami unik dan istimewa.
Kerukunan hidup bermasyarakat menjadikan kampung tempat tinggal
kami aman, damai dan ceria. Berkat kerjasama dan hidup bermuafakat,
kampung kami pernah dicalonkan sebagai penerima anugerah Kampung
Terindah Desa Wawasan peringkat negeri.
Kami  bangga menjadi anak Jawa dan sentiasa berusaha untuk
mengekalkan identiti agar tidak hilang ditelan zaman.

“Tak Kan Jawa Hilang Di Dunia”


Pengenalan Bangsa Jawa

Orang Jawa dari segi zahirnya, berkulit sawo matang, berbadan


sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi
bahasa. Etnik Jawa merupakan sebahagian daripada kelompok Melayu
yang terdapat di Malaysia dan sudah lama bertapak di sini.
Pada masa ini, penempatan orang Jawa tertumpu di bahagian barat
Semenanjung Malaysia terutama di barat Johor, Selangor dan Perak.
Dipercayai, tempat yang mula- mula  diduduki adalah di kawasan
Padang, Parit Jawa, Muar.

Orang Jawa berhijrah ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20 untuk
bekerja sebagai buruh di ladang kopi, ladang getah dan juga di lombong -
lombong bijih timah. Kedatangan mereka ke Tanah Melayu bukan sahaja
untuk bekerja di ladang tetapi juga dipengaruhi oleh faktor ekonomi,
politik dan sosial.

Menurut Wikipedia , kebanyakan imigran Jawa yang datang ke Tanah


Melayu berasal dari beberapa buah daerah di Pulau Jawa seperti di Jawa
Barat, Jawa Tengah dan Jawa Timur seperti dari kawasan
Madiun,Ponogoro, Kudrejo, Lebumin, Demek dan Magelan.
Sejarah mengatakan bahawa,imigran Jawa berhijrah ke beberapa pulau
lain sebelum datang ke Tanah Melayu. Antara pulau yang menjadi
kawasan petempatan mereka ialah Singapura dan Palembang.

Etnik Jawa era 60-an menggunakan nama yang agak unik seperti
Suparji, Wagiman, Supendi, Masjoyo, Mulio, Karto, dan  Toliban untuk
kaum lelaki dan nama seperti Supinah,Tukijah, Jumiton, dan Tukiyem
untuk kaum perempuan. Mereka juga sering menggunakan nama gelaran
seperti Man Ganden,  Amat Ireng, Leman Gundol, Mbah Lanang dan
Nyai Cilik. Namun nama dan gelaran itu kini tidak digunapakai lagi
seiring dengan peredaran zaman.

STRUKTUR MASYARAKAT JAWA


Menurut Clifford Geertz (The Religion of Jawa;1956) masyarakat Jawa
asli di dikelaskan kepada tiga kelas utama iaitu abangan, santri dan
priyayi.

Namun, dalam masyarakat Jawa di Malaysia, kelas sosial tidak


dititikberatkan. Ini kerana kebanyakan masyarakat Jawa di Malaysia
telah mengasimilasikan kehidupan  dengan masyarakat lain. Dalam
menjalani kehidupan seharian, masyarakat Jawa mempunyai beberapa
sistem. Kehidupan mereka diketuai oleh seorang ketua.
Ketua memainkan peranan yang penting dalam menjalani kehidupan
demi menjamin kerukunan masyarakat Jawa. 

Ketua  masyarakat Jawa ialah Lurah dan Kiai. Lurah merupakan


penghulu dalam masyarakat Jawa . Ia mempunyai tanggungjawab dan
memikul amanah yang besar bagi memastikan keselesaan penduduk
kampung. Lazimnya pemilihan Lurah adalah berdasarkan
kebolehan,pengalaman, keturunan dan pengetahuan dalam
agama..Jawatan Lurah kebiasaannya akan disandang  selagi diterima
oleh penduduk kampung.  Jawatan Lurah akan dibantu oleh beberapa
orang pembantu untuk memudahkan urusan pentadbiran. Selain
menjaga keselamatan kampung, Lurah menjadi ketua  ketika aktiviti
gotong-royong dan aktiviti kemasyarakatan yang lain.

Selain  Lurah, terdapat juga jawatan Kiai atau Siak. Kiai dilantik dalam
kalangan kaum lelaki yang berpengetahuan dalam bidang agama dan
soal kemasyarakatan. Kiai bertanggungjawab untuk menjadi imam
dalam sembahyang berjemaah.  Kiai juga bertanggungjawab mengetua
majlis kenduri doa selamat dan semua majlis keagamaan. Seorang Kiai
perlu lengkap dengan ilmu agama dalam memberi petunjuk kepada
masyarakat.

Dalam hal kematian, Kiai berperanan sebagai imam untuk sembahyang


jenazah. Ini adalah sebagai tanda penghormatan ke atas Kiai yang
memainkan peranan yang cukup penting dalam adat  kematian.
KEPERCAYAAN MASYARAKAT JAWA

Kaum Jawa di Malaysia menganut agama Islam. Mereka mengamalkan


pelbagai kepercayaan yang diwarisi sejak turun – temurun. Ada
kepercayaan yang masih diamalkan sehingga hari ini dan ada yang telah
hilang ditelan zaman.

Masyarakat Jawa bermazhabkan Sya’fie dengan memegang teguh lima


rukun Iman dan mempercayai enam rukun Islam. Dua rukun inilah yang
menjadi landasan kepercayaan mereka untuk menjadi seorang Islam
yang sempurna di sisi Allah SWT. mereka  amat mementingkan aspek
persaudaraan selari dengan ajaran agama Islam.Oleh itu, masyarakat
Jawa adalah saudara kepada masyarakat Islam yang lain.
.
Terdapat segelintir masyarakat Jawa yang mengamalkan amalan
animisme. Ia berkaitan kepercayaan terhadap makhluk halus dan
semangat sesuatu tempat. Mereka mempercayai sesuatu tempat menjadi
kediaman makhluk halus sehingga ada yang menganggap tempat itu
keramat.

Terdapat juga sebilangan warga emas masyarakat Jawa yang


mempercayai tentang semangat di tempat yang baru. Sekiranya
semangat tersebut hilang atau diganggu gugat seperti membersihkan
kawasan, dipercayai akan menyebabkanseseorang itu mendapat
penyakit. Oleh itu, mereka perlu membuat beberapa semahan atau
menjamu dengan bertih supaya semangat tersebut pulih seperti sedia
kala.

Selain itu, masyarakat Jawa juga mempercayai beberapa objek yang


mempunyai kuasa seperti busut, batu-batu besar atau pokok-pokok
besar. Kuasa ini dikatakan mampu memberi kesan kepada mereka yang
mengusik atau melakukan perkara yang tidak senonoh kepada objek
tersebut. Justeru itulah ramai dalam kalangan tersebut mengambil
peluang dengan menjadikan busut, batu atau pokok besar sebagai objek
yang boleh mendatangkan keuntungan seperti tikam nombor ekor.

Di samping itu, bagi orang Jawa Kejawen pula,


mereka  mempercayai  pelbagai jenis roh yang tidak kelihatan yang
dapat   menimbulkan bahaya seperti kecelakaan atau penyakit. Untuk
melindungi semuanya itu, mereka memberi upah yang terdiri dari nasi
dan aneka makanan, daun-daun bunga serta kemenyan.
Orang Jawa Kejawen juga suka melakukan kegiatan
keagamaan.contohnya seperti puasa. Mereka  berpuasa pada hari-hari
tertentu misalnya Isnin dan Khamis atau pada hari lahir. Semuanya itu
berasal daripada ajaran tarikat ynag mereka anuti.
 Sungguhpun demikian, amalan dan kepercayaan animisme ini semakin
hilang ditelan zaman kerana Islam menegaskan amalan ini dianggap
sebagai perbuatan syirik dan bertentangan dengan agama.

Masyarakat Jawa juga mempercayai bahawa  hari Jumaat adalah


hari  yang terbaik atau penghulu segala hari. Jumaat keliwon
merupakan  hari yang terbaik untuk beramal dan menuntut pelbagai
ilmu. Menurut masyarakat Jawa, antara keistimewaan malam Jumaat
keliwon adalah sekiranya hujan turun, air hujan tersebut perlu ditadah di
halaman rumah dan air itu amat mujarab untuk dibuat air penerang hati.

Malam Jumaat Keliwon juga dimanfaatkan oleh orang yang


mengamalkan ilmu sesat akan menguji ilmunya buat pertama kali..
Selain itu masyarakat Jawa juga mempercayai bahawasanya jika
sekiranya ada orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat Keliwon,
kuburnya terpaksa dijaga siang dan malam sehingga genap 40 hari
kerana takut digali semula oleh golongan yang tidak bertanggungjawab
untuk diambil lidahnya, kain kafan dan sebagainya untuk dijadikan
tangkal untuk membuat perkara yang dilarang oleh AllahSWT seperti
merompak, sihir dan lain-lain kepercayaan khurafat. 

ADAT RESAM  MASYARAKAT JAWA

Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan, tingkahlaku,


kepercayaan  dan cara hidup. Ianya dilakukan setiap hari atau mengikut
musim sama ada mengikut bulan mahupun tahun. Adat yang dilakukan
akhirnya menjadi suatu  kebiasaan yang diulangi dan akhirnya
dipraktikkan turun- temurun.  Perkataan lain yang sinonim dengan adat
ialah budaya. Adat dan budaya merupakan suatu konsep yang saling
bergantung.

Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu
pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya
dizahirkan dan dapat dilihat pelaksanaannya, misalnya adat bersanding,
adat meminang dan sebagainya, ia sudah menjadi suatu budaya. Ia
membawa maksud budaya merupakan suatu bentuk perlakuan yang
mencerminkan adat sesuatu masyarakat.
Budaya bersifat tidak tetap dan boleh berubah mengikut peredaran masa
dan kesesuaian . Justeru wujud pengkelasan budaya tradisional dan
budaya moden. Adat pula ialah suatu ketetapan yang tidak boleh
berubah.
Oleh hal yang demikian bolehlah dikatakan bahawa adat ialah budaya
yang asal.Resam pula ialah lembaga, peraturan, hukum , norma yang
dijunjung oleh kelompok masyarakat.
Adat resam merupakan suatu peraturan yang sudah diamalkan sejak
turun – temurun dalam sesebuah masyarakat sehingga menjadi
peraturan dan hukum yang mesti dipatuhi. Adat resam merupakan suatu
cara hidup yang diwarisi.

Masyarakat  Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa,


mengamalkan adat resam mereka yang tersendiri. Adat ini merangkumi
semua aspek kehidupan bermula daripada kelahiran, kehidupan
sehinggalah kematian.

Masyarakat Jawa mengamalkan adat resam yang cukup unik. Bermula


dari dalam kandungan , mereka mengamalkan adat yang
tersendiri.  Untuk memahami secara lebih mendalam  adat
resam  masyarakat Jawa, adalah lebih mudah sekiranya kita
membicarakannya satu persatu. Antara adat resam yang masih
diamalkan   ialah:

Lenggang perut
Jagongan
Bengkongan
Puputan / Cukur jambul
Among – among/ Pijak tanah
Sunatan/ Berkhatan
Merisik
Mantu / Perkahwinan
Baraan/ Ziarah raya
Rewang/ Gotong- royong
Nasi ambeng/ ambang

Lenggang Perut

Adat lenggang perut juga dikenali sebagai tingkepan atau mitoni. Ia


dijalankan khusus untuk seseorang wanita yang hamil buat kali pertama.
Upacara ini dijalankan ketika kehamilannya memasuki tujuh bulan .
Tujuan upacara ini dijalankan ialah untuk memohon keselamatan ibu
dan juga bayi yang bakal dilahirkan.
Masyarakat Jawa percaya janin yang berusia tujuh bulan mempunyai roh
yang perlu dijaga dan diraikan. Anak pertama dikatakan membawa tuah
bukan sahaja kepada keluarga malah kepada adik – adiknya yang bakal
dilahirkan kemudian.
Upacara ini dikendalikan oleh Mak Bidan yang bakal menyambut
kelahiran bayi tersebut. Bakal ibu terpaksa melalui beberapa peringkat
upacara.Bakal ibu yang sedang hamil akan dimandikan dengan air
pelbagai jenis bunga diiringi dengan doa yang dibacakan oleh Mak
Bidan. Seterusnya si suami akan memasukkan sebutir telur ayam
kampung ke dalam kain isterinya. Telur tersebut dibiarkan jatuh dan
pecah. Ia merupakan simbolik tanda bayi akan lahir dengan lancar tanpa
sebarang halangan. Ada juga sesetengah masyarakat jawa yang
mengkehendaki si suami membelah buah kelapa muda. Sekiranya
belahan buah kelapa betul – betul di tengah , mereka akan mendapat
anak lelaki. Sebaliknya sekiranya belahan buah kelapa tersebut senget
maka mereka dikatakan bakal menerima anak perempuan.
Para tetamu upacara lenggang perut  biasanya dihidangkan dengan nasi
ambeng. Ketika penyediaan dijalankan, peladen  atau pelayan
dimestikan mengambil dulang yang berisi nasi ambeng secara satu arah.
Mereka ditegah berjalan bolak- balik melawan arah. Ia untuk
mengelakkan bayi yang bakal dilahirkan keluar secara songsang.

Menanam Uri

Selepas seseorang bayi dilahirkan, Mak Bidan akan mencuci dan


membersihkan uri dengan campuran asam beserta sedikit
garam.  Kemudian,  uri akan ditanam di bawah rumah atau persekitaran
rumah.Si ayah, akan ditugaskan menanam uri. Uri bayi perempuan akan
ditanam berserta celak, pensil , dan jarum.  Mereka berharap agar anak
yang akan membesar  nanti menjadi seorang yang cantik, pandai dalam
pelajaran dan pandai menjahit baju.  Uri bayi lelaki pula ditanam
berserta pensil, paku dan jarum dengan harapan apabila dewasa nanti
mereka akan menjadi seorang yang pandai dan gagah.
Pada waktu malam, tempat uri ditanam akan dilengkapi pelita. Selain
mengelak daripada dikorek oleh binatang , mereka juga berharap agar si
bayi tidak diganggu oleh kuasa jahat. Sedikit  tanah dari tempat uri
ditanam akan diambil lalu dibungkus di dalam sehelai kain putih.
Bungkusan tersebut kemudiannya diletakkan di bawah tempat tidur atau
buai si bayi. Masyarakat Jawa beranggapan ianya dapat menemani si
bayi kerana setiap bayi dilahirkan bersama kawan atau “bathor”.
Jagongan

Jagong dalam bahasa Jawa bermaksud duduk. Adat jagongan mudah


dimengertikan sebagai ziarah sambil duduk – duduk. Ada juga yang
mengenali adat ini dengan nama “muyi”.
Pada hari pertama hingga ke tujuh kelahiran, jiran tetangga dan saudara
– mara akan datang menziarahi keluarga bayi. Biasanya kaum
perempuan akan datang berziarah pada siang hari manakala bagi kaum
lelaki,  mereka akan datang pada waktu malam. Ketika berziarah mereka
akan dihidangkan dengan kuih-kuih tradisional seperti rempeyek dan
rengginang.
Tujuan mereka berziarah ialah menemani si ibu dan bayinya. Pada
pandangan masyarakat Jawa,  si ibu yang baru melahirkan lemah
semangatnya  manakala si bayi mudah disampuk oleh sesuatu kuasa
jahat.

Bengkungan

Bengkung ialah sejenis tali pinggang yang dipakai selepas melahirkan


bayi. Bengkung diperbuat daripada kain yang lembut sepanjang 6 hingga
7 meter. Untuk memudahkan cara pemakaiannya, kain bengkung
biasanya akan diikatkan pada sesuatu seperti tiang. Si pemakai akan
melilitkan bengkung tersebut pada bahagian bawah dada sehingga paha
agar rahim mudah sembuh, perut tidak menggelebeh dan ponggong
tidak jatuh. Pada masa kini walaupun terdapat bengkung moden yang
lebih mudah dan murah namun masih ada lagi sebilangan kaum
perempuan yang menggunakan kaedah tradisional demi mengekalkan
adat dan budaya.

Puputan / Potong Jambul


Upacara potong jambul biasanya dijalankan selepas 40 hari bayi
dilahirkan atau selepas si ibu habis tempoh berpantang.  Jiran tetangga
dan saudara – mara dijemput untuk majlis doa selamat. Ketika ini
mereka akan membaca berzanji beramai-ramai.  Selesai bacaan berzanji
bayi akan dibawa keluar. Beberapa orang tetamu yang terdiri daripada
Pak Imam dan mereka yang dikenali sebagai orang alim akan memotong
sedikit jambul sambil membaca sedikit doa agar bayi tersebut membesar
penuh keberkatan. Ada juga kalangan bayi yang dicukur sehingga botak
licin. Rambut tersebut akan dimasukkan di dalam kelapa lalu ditanam di
sekitar rumah.
Pada ketika ini , tuan rumah biasanya akan mengagihkan bunga telur
dan bunga rampai kepada para tetamu. Supaya lebih tahan lama telur
tersebut biasanya dimasak pindang. Ada juga yang menabur beras
berserta sejumlah duit syiling di ruang tamu sebaik sahaja majlis potong
jambul tersebut selesai sebagai simbol apabila dewasa nati anak tersebut
dimurahkan rezeki  dan mudah mendapat makanan(beras) dan kaya
(duit)

Among- Among

Among – among diadakan setiap tahun sejak bayi dilahirkan sehinggalah


bayi tersebut fasih bercakap. Ketika menyambut setahun kelahiran,
biasanya si anak akan dimasakkan seekor ayam ingkong. Ayam yang
hendak disembelih mestilah ayam jantan yang tidak terlalu tua iaitu
“ayam lancor”. Si anak anak diberi bahagian paha dan pada ketika ini
mereka akan menjalani upacara pijak tanah.

 Para tetamu yang terdiri daripada jiran tetangga dan saudara –mara
akan dihidangkan dengan nasi keluban yang dihidangkan di dalam
dulang.  Keluban ialah sejenis lauk yang terdiri daripada  campuran
sayuran seperti daun pucuk ubi, tauge atau capar, kacang panjang dan
kerabu kelapa.

Si anak yang diraikan pula akan dihidangkan dengan bubur abang.


Bubur abang diperbuat daripada beras atau pulut yang dimasak
sehingga  lembut dan diwarnakan dengan warna merah. Bubur abang
merupakan tradisi wajib masyarakat Jawa kerana ia melambangkan
kesyukuran. Adat ini masih dipraktikan oleh sebahagian penduduk lama
di kampung saya.

Sunatan / Berkhatan

Pada masa kini , ramai masyarakat Jawa yang menghantar anak  mereka


ke klinik untuk bersunat kerana ianya lebih selamat berbanding cara
tradisional. Namun terdapat juga sebilangan kecil yang memilih
untuk  menjalani upacara sunatan secara tradisional iaitu dengan
menggunakan khidmat Tok Mudim.

Sebelum upacara sunat dijalankan, kanak-kanak lelaki diminta


berendam di dalam kolam atau parit. Kanak- kanak tersebut diminta
duduk di atas batang pisang ketika Tok Mudim menjalankan tugas.
Sambil menghidu buah limau purut, beberapa orang  ahli keluarga
termasuk si ayah akan menemani sambil memberikan semangat.
Kanak-kanak yang baru bersunat terpaksa menjalani tempoh pantang
yang agak panjang . Kadangkala mereka hanya diberi makan nasi
berlaukkan bilis masak kicap sahaja sehingga mereka benar – benar
sembuh.

Masyarakat Jawa  akan menjemput jiran tetangga,  sanak – saaudara dan


rakan taulan untuk menghadiri majlis meraikan anak mereka. Biasanya
majlis keraian diadakan serentak dengan majlis Khatam Al Quran.

Baraan/ Ziarah Beramai – ramai

Masyarakat Jawa masih mengamalkan semangat kekeluargaan


dan  kemasyarakatan yang tinggi. Budaya ziarah-menziarahi  secara
beramai-ramai atau dikenali sebagai “baraan” masih diamalkan
terutamanya ketika menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Ketika majlis
baraan mereka akan berselawat bersama –sama dan bermaaf- maafan.
Ketika baraan, mereka akan dihidangkan dengan pelbagai juadah.
Antara menu popular masyarakat Jawa pada pagi Hari Raya ialah
ketupat nasi, rendang ayam, serunding kelapa, sambal goreng tempe,
sambal tumis petai, ayam masak pecal dan gado – gado .

Nasi Ambeng

Masyarakat Jawa menyediakan nasi ambeng untuk tetamu yang datang


dalam majlis kenduri doa selamat . Nasi  berserta lauk  diletakkan di
dalam sebuah dulang besar dan dimakan oleh seramai empat atau lima
orang. Nasi yang tidak habis dimakan akan dibungkus. Nasi yang
dibungkus dan dibawa balik sebagai buah tangan ini dikenali sebagai
“nasi berkat”. Antara lauk nasi ambeng yang popular dalam masyarakat
Jawa ialah ayam masak ingkong, mi goreng, serunding kelapa dan
sambal goreng tempe.

KEBUDAYAAN MASYARAKAT JAWA

Etnik Jawa mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Antara kebudayaan


yang menjadi kebanggaan mereka ialah kuda kepang, wayang kulit,
barongan, reoq dan ludrok. Kebanyakan kebudayaan ini  berasal
Indonesia dan terdapat juga pengaruh Hindu.
Kuda kepang berasal dari Indonesia. Ia dipercayai dibawa oleh kumpulan
Wali Songo ketika menyebarkan agama Islam. Mereka bermain  kuda
kepang untuk menarik minat  orang ramai mendekati Islam. Masyarakat
Jawa mempersembahkan kuda kepang ketika majlis keramaian. Kuda
kepang popular di Batu Pahat meliputi kawasan Parit Raja, Seri Medan
dan Senggarang.

Barongan juga merupakan seni masyarakat Jawa . Ia mengisahkan


zaman Nabi Sulaiman AS yang boleh bertutur dengan haiwan. Antara
kumpulan barongan yang masih aktif ialah Kumpulan Barongan Seri
Wahyuni yang berasal dari Parit Bingan , Parit Raja. Ia dipercayai dibawa
oleh hamba abdi yang da[potang dari Riau Lingga.

Wayang kulit Jawa merupakan persembahan kebudayaan yang semakin


terpinggir. Kini hanya tinggal beberapa buah kumpulan sahaja masih
memperjuangkan kesenian ini.

Reoq merupakan kesenian pecahan daripada Persembahan Barongan.


Antara kumpulan yang masih aktif menampilkan persembahan ini ialah
Kumpulan Setia Budi, Parit Nipah, Parit Raja.

PERSPEKTIF JANTINA

Dalam masyarakat Jawa, sejak dari kecil anak-anak lelaki dan


perempuan dilayan secara berbeza. Anak lelaki disuruh bersikap sebagai
seorang lelaki yang sejati manakala anak perempuan sentiasa diingatkan
agar menjaga sopan-santun.

Anak lelaki tidak digalakkan menunjukkan sikap emosi manakala anak


perempuan ditegah daripada bersikap agresif.  Anak lelaki akan diajak
membantu tugas bapa seperti berkebun ataupun bertukang manakala
anak perempuan diajar membantu ibu membuat kerja rumah seperti
mengemas, memasak dan sebagainya.

Dalam masyarakat Jawa, kaum lelaki dianggap sebagai sumber kekuatan


dalam sesebuah masyarakat. Jawatan ketua masyarakat
seperti  pelantikan Pak Lurah mesti disandang oleh orang lelaki.
Mengikut kepercayaan ,orang lelaki  bersikap lebih matang dan tidak
mengikut perasaan berbanding kaum perempuan.  Jiwa seorang
perempuan yang sensitif akan menyebabkan mereka menjadi
emosional  dalam membuat sesuatu keputusan.
Sifat kaum lelaki yang lebih kuat juga menjadikan mereka orang yang
sangat penting dan dilantik sebagai ketua keluarga.  Kekuatan sifat fizikal
dengan susuk badan yang sasa mekar, gagah, maskulin keras dan
perkasa menjadi penyumbang penting dalam menjalankan tugas sebagai
pencari rezeki. Mereka  menyara keluarga dan menjaga segala kebajikan
dan keselamatan keluarganya. 

Lelaki kaum Jawa kelihatan tegas dari luaran tetapi sebenarnya lembut
dari dalam. Mereka tidak akan memarahi anak mereka secara terbuka
sebaliknya melalui isterinya. Hanya melalui pandangan atau jelingan
mata sudah mampu menyampaikan mesej kepada anak – anak.
Perempuan kaum Jawa pula bersikap penuh lemah – lembut dan kasih –
sayang terhadap suami dan anak-anak mereka. Oleh itu anak-anak
mudah mesra dan manja kepada ibu berbanding ayah.  Seorang isteri
amat taat akan suami. Mereka  bukan sahaja taat malahan memuliakan
suami.

Isteri merupakan tulang belakang suami untuk menguruskan rumah


tangga. Sikap mereka yang lemah – lembut dan penuh sopan – santun
amat sesuai dengan tugas mengurus rumah tangga termasuk mencuci,
memasak serta mengemas rumah.

Wanita Jawa dikaitkan dengan sifat berkorban yang tinggi. Mereka


sanggup berkorban apa sahaja demi  memelihara kebajikan dan maruah
keluarga mereka. Mereka akan menunggu suami pulang dari bekerja
dengan sabar. Setelah suami pulang, mereka akan dilayan dengan penuh
kasih-sayang.

Pepatah Jawa ada menyatakan bahawa “Syurga terletak di bawah kaki


suami”. Tiada gunanya walau setinggi manapun amalan yang dilakukan
oleh seseorang isteri jika mereka tidak patuh atau mengabaikan
tanggungjawab terhadap suami dan anak- anak. Apatah lagi kalau
mereka ingkar atau derhaka kepada suami.
IMPLIKASI KEPELBAGAIAN SOSIOBUDAYA

Perbezaan dan kepelbagaian sosiobudaya sukar untuk dinafikan dalam


sebuah negara seperti Malaysia yang lahir dari kelompok masyarakat
yang berbilang etnik. Setiap etnik membawa sosiobudaya berbeza yang
diwarisi dari nenek moyang yang terdahulu.
Kepelbagaian sosiobudaya dalam sistem masyarakat majmuk di negara
ini telah memberikan kesan secara langsung kepada perkembangan
sistem pendidikan.  Kepercayaan dan pegangan hidup ini juga turut
dibawa oleh murid ke dalam kelas dan ianya banyak mempengaruhi
iklim dan budaya dalam bilik darjah.

                Oleh yang demikian, guru haruslah sedar bahawa muridnya


adalah berbeza, Kesedaran tentang kepelbagaian budaya ini amat
penting bagi agar guru dapat  memberikan pendidikan yang seimbang. Ia
juga akan dapat menghakis sikap prejudis guru dalam menangani
kepelbagaian sosiobudaya murid..

IMPLIKASI KEPELBAGAIAN SOSIOBUDAYA KEPADA GURU

Guru yang dedikasi akan mengajar dengan penuh bijaksana dan bersikap
profesional dalam membimbing murid untuk mencapai potensi diri dari
segi akedemik dan sosial.. Pemahaman tentang sosiobudaya murid
adalah perlu kerana ianya  dapat membantu guru menyediakan proses
pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan latar belakang murid.
Guru perlu prihatin dengan latar belakang murid, taraf sosioekonomi,
tempat tinggal, budaya, adat resam, kepercayaan dan agama yang
dianuti. Dengan itu, guru seharusnya memberikan layanan yang adil
kepada setiap muridnya. Pengetahuan tentang sosiobudaya setiap
individu dapat membantu guru mengajar tanpa mengelompokkan murid
mengikut kaum atau kumpulan tertentu. Guru perlu melayan keperluan
dengan mengambil kira faktor persekitaran tempat tinggal murid, status
ekonomi keluarga dan gaya pembelajarannya.

Pembelajaran koperatif adalah satu strategi yang sesuai digunakan


dalam kumpulan muridheterogenous, ini kerana murid akan dapat
berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Ini dapat membantu
mengeratkan hubungan dan mewujudkan kerjasama dalam pelbagai
sosiobudaya.
Menguruskan murid yang berbagai ragam memerlukan kebijaksanaan
guru mewujudkan peraturan dan rutin bilik darjah yang kondusif.
Pematuhan peraturan menjadi satu keperluan untuk mewujudkan
suasana yang terkawal. Susun atur murid di dalam kelas perlu
bersesuaian agar murid dari pelbagai golongan dapat berinteraksi
sesama mereka tanpa ada sekatan budaya. Melalui cara ini satu suasana
pembelajaran yang interaktif akan terbentuk dan menjadikan
pembelajaran lebih menyeronokkan.

Guru haruslah menghormati muridnya serta bersikap adil dan tidak


berat sebelah terhadap satu etnik sahaja.. Mengajar tanpa membezakan
bangsa murid akan dapat membantu guru memahami tingkah laku dan
luahan perasaan muridnya.

Perbezaan  sosiobudaya murid yang wujud perlu ditangani supaya tidak


ada murid yang berasa mereka dipinggirkan oleh guru. Keadaan ini
menjamin semua murid  berpeluang mengambil bahagian dalam setiap
aktiviti yang dijalankan oleh guru dalam kelas. Kebijaksaan guru
mengendalikan murid berbeza budaya akan mewujudkan pergaulan
positif dan tidak berkelompok dalam sesuatu komuniti kecil bilik
darjahnya.

IMPLIKASI KEPELBAGAIAN SOSIOBUDAYA KEPADA MURID

Setiap individu membesar dan terbentuk hasil interaksi dalam


persekitaran masing-masing. Budaya merupakan pengaruh yang paling
berkesan ke atas perkembangan individu. Ini kerana budaya
mempengaruhi cara berfikir, bertindak dan mempengaruhi pandangan
serta perasaan seseorang. Kerap kali terdapat perbezaan antara murid,
faktor ini mendesak guru menggunakan kemahiran secara optimum
dalam pengurusan bilik darjah, adalah penting kepada guru untuk
memahami tingkahlaku dan budaya murid .

Penggunaan bahasa yang standard harus diamalkan oleh murid. Elakkan


penggunaan dialek mengikut kaum,  murid harus diingatkan agar
sentiasa berinteraksi dengan menggunakan bahasa yang betul. Murid
harus diingatkan agar menghormati rakan lain yang tidak faham
penggunaan bahasa mereka. Murid yang terdiri dari pelbagai bangsa
harus bersosial dalam kelompok yang berbeza terutamanya ketika
melakukan aktiviti. Mereka harus berinteraksi tanpa mengira kelas sosial
dan latar budaya masing-masing. Sikap prejudis terhadap bangsa lain
harus dielakkan supaya segala aktiviti yang dirancang oleh guru dapat
dilaksanakan dengan jayanya.

Kepercayaan yang diamalkan oleh murid lain tidak harus dipertikaikan


sesama mereka. Aktiviti yang dijalankan juga haruslah berupaya
menyemai semangat saling mempercayai ke dalam jiwa murid. Proses
sosialisasi antara etnik dibuat tanpa mengira anutan agama dan
hendaklah dikembangkan agar proses pembentukan kendiri murid dapat
dilaksanakan. Secara langsung semangat perpaduan dapat dijalin dalam
masyarakat.
Kemahiran komunikasi memainkan peranan penting ke arah
pembentukan budaya penyayang. Apabila seorang guru menggunakan
kemahiran berkomunikasi terhadap muridnya, maka suasana
pembelajaran yang lebih dinamik dapat dihasilkan. Dengan cara ini,
pembentukan akhlak dan penerapan kemahiran tertentu dapat dilakukan
dengan lebih mudah dan berkesan.
Murid mudah terpengaruh kepada tindakan guru yang menunjukkan
teladan sebagai seorang professional. Oleh itu guru mesti membentuk
program yang bertujuan membangunkan murid, dengan peraturan dan
arahan yang jelas. Ini bertujuan untuk mengurangkan sgala tingkahlaku
negatif.

IMPLIKASI KEPELBAGAIAN SOSIOBUDAYA KEPADA


SEKOLAH
Kepelbagaian sosiobudaya telah mewujudkan sekolah yang terdiri
daripada pelbagai bangsa seperti sekolah jenis Cina dan Tamil.
Kementerian Pelajaran telah berusaha untuk mengatasi masalah
kepelbagaian sosiobudaya ini melalui aktiviti yang dijalankan di sekolah.
Program Integrasi Untuk Perpaduan (RIMUP) adalah salah satu usaha
untuk memupuk perpaduan dalam kalangan murid tanpa mengira kaum.
Sekolah wawasan ditubuhkan untuk mewujudkan perpaduan dalam
kalangan murid di sekolah. Sekolah ini adalah antara sekolah yang
dahulunya terasing antara satu sama lain, kini disatukan dalam satu
sistem pendidikan yang seragam. Penekanan semangat perpaduan dan
integrasi antara kaum sejak kecil lagi iaitu di bangku sekolah rendah
menjadi lebih mudah. Pihak sekolah perlulah menggunakan bahasa
rasmi dan bahasa penghantar dalam segala urusan rasmi.
Pengurus yang baik akan dapat mewujudkan iklim sekolah mesra.
Kerencaman sosiobudaya boleh dimanfaatkan untuk mencapai matlamat
sekolah. Saling kerjasama antara sekolah dan komuniti, khususnya
melalui peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan dapat
memanfaatkan sekolah.

IMPLIKASI KEPELBAGAIAN SOSIOBUDAYA KEPADA


KURIKULUM TERSIRAT
Kurikulum  dirujuk sebagai perancangan bertulis yang sistematik
merangkumi objektif, kandungan, strategi pengajaran dan penilaian
untuk dilaksanakan dalam satu rangka masa tertentu.
Masyarakat yang terdiri daripada pelbagai sosiobudaya memberikan
implikasi kepada kurikulum sekolah. Melalui kurikulum tersirat,
kementerian berusaha membentuk bangsa yang bersatu dan saling
menerima perbezaan budaya antara kaum. Pihak sekolah berusaha
mengaplikasikan penerapan nilai budaya masyarakat dengan
melaksanakan aktiviti sampingan khususnya melalui aktiviti
kokurikulum. Kurikulum tersirat boleh diaplikasikan melalui aktiviti
berpersatuan, kegiatan panitia dan aktiviti dalam unit kokurikulum.
.
Aktiviti yang dijalankan mestilah melibatkan interaksi antara kelas sosial
murid. Secara langsung proses pembentukan nilai dapat diterapkan
kepada murid-murid. Penerapan kepercayaan terhadap nilai-nilai murni
juga boleh dilaksanakan melalui pembentukan kurikulum tersirat. Pihak
sekolah dan guru seharusnya tidak menekankan hanya kepada
kepercayaan agama Islam sahaja. Mana-mana unsur kepercayaan lain
yang tidak bercangah dengan hukum agama Islam boleh diterapkan
kepada murid.

Perlaksanaan aktiviti bahasa dalam kurikulum tersirat juga perlu


dirancang dengan teliti. Murid akan mengambil bahagian dalam setiap
aktiviti yang dilaksanakan dan seterusnya mereka akan mula belajar
menerima serta menghormati bahasa ibunda dan dialek kaum lain.
Kurikulum tersirat juga memberikan pertimbangan terhadap aspek
perbezaan antara jantin untuk memberi kesedaran  terhadap batasan
pergaulan dalam berlainan jantina.

CADANGAN KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


YANG MESRA BUDAYA

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran yang dijalankan perlulah berkesan


dan dapat menarik perhatian khususnya kelas yang mempunyai murid-
murid dari pelbagai latar belakang, kaum dan agama contohnya orang
Melayu, Cina, India dan Sikh. Persekitaran yang mesra budaya perlu
diwujudkan bagi melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran yang
kondusif
Terdapat pelbagai kaedah yang boleh diguna pakai dalam mewujudkan
persekitaran yang mesra budaya terutama yang melibatkan isu bangsa
dan bahasa. Guru perlu merangka kaedah pengajaran dan pembelajaran
yang sesuai untuk semua bangsa. Antara kaedah yang dapat membina
persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang mesra budaya ialah:

1.       Pembelajaran secara kooperatif


Melalui kaedah ini, guru menjadi pemantau dan fasilitator kepada murid
dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Murid tanpa
mengira latar belakang, bangsa dan budaya dapat disatukan dalam satu
kelas dan dapat menjalani proses pembelajaran dengan sempurna. Hal
ini dapat mengurangkan jurang perbezaan antara murid yang berlainan
bangsa dan budaya.

2.  Menyusun kumpulan murid- murid yang berbilang kaum

Murid sewajarnya dikumpulkan dalam kumpulan pelbagai kaum. mereka


d digabungkan dalam satu kumpulan tempat duduk atau ketika
beraktiviti.  Dengan ini, mereka  boleh berkomunikasi dan
berinteraksi.  Ia boleh mewujudkan suasana mesra. Mereka akan
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. Ini dapat
mengelakkan salah faham antara murid dan menambahkan lagi
kemahiran berbahasa Melayu dalam kalangan murid yang bukan
berbangsa Melayu. Dengan ini, wujudlah satu budaya berbahasa Melayu
yang akan menjadi budaya 1 Malaysia

3.  Mewujudkan peraturan bersama yang dijadikan budaya


Peraturan yang dibuat oleh guru dan dilaksanakan oleh murid secara
berterusan lama- kelamaan akan menjadi budaya. Sebagai contoh, guru
mewujudkan peraturan bahawa murid mesti memberi salam atau ucap
selamat kepada guru apabila guru masuk ke kelas. Peraturan ini
kemudiannya akan dijadikan budaya oleh murid- murid. Mereka akan
melakukannya walaupun tanpa disuruh berbuat demikian.

4.  Mengaitkan isi pembelajaran dengan budaya

Guru boleh mewujudkan suasana mesra budaya itu melalui amalan


pedagogi. Untuk mewujudkan suasana P&P yang mesra budaya, salah
satu caranya ialah dengan mengaitkan isi pembelajaran dengan budaya
kaum yang berkaitan. Dalam konteks ini, budaya yang dimaksudkan
ialah budaya kaum- kaum yang pelbagai. Dengan cara ini, murid- murid
akan tahu bahawa budaya mereka itu bukan sekadar warisan tetapi ia
juga bersangkut paut dengan ilmu pengetahuan.

5.    Menggunakan kaedah belajar sambil bermain

Main merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan dan dapat menarik


perhatian murid- murid. Ia juga adalah budaya bagi golongan kanak-
kanak. Dalam budaya pelbagai kaum seperti kaum Melayu, Cina, India,
Bidayuh, Kadazan dan sebagainya pasti ada permainan tradisi. Dengan
menggunakan permainan tradisi dalam P&P, guru bukan sahaja boleh
mengajar topik yang perlu diajar tetapi boleh menyerapkan ilmu
pengetahuan tentang budaya sesuatu kaum .

6. Mewujudkan ruang fizikal yang positif

Ruang fizikal boleh menjadi salah satu daya penarik dalam sesebuah
bilik darjah. Contohnya sudut informasi, ruang hasil kerja murid dan
sebagainya. Dengan wujudnya ruangan seperti ini, guru boleh memupuk
budaya positif seperti budaya cintakan ilmu dan budaya membaca.

7.  Merancang dan menyediakan modul dan bahan pengajaran


yang sesuai

Guru perlu menyediakan alat bantu mengajar (ABM)  yang sesuai


dengan aktiviti yang ingin dijalankan.  ABM perlu mengikut kesesuaian
semua bangsa dan mereka semua boleh menerima ABM tersebut sebagai
alat untuk tujuan pembelajaran.Hak kesama rataaan perlu diamalkan
bagi membolehkan semua kaum dapat menjalani proses pengajaran dan
pembelajaran dengan sempurna.

8.  Kaedah persembahan oleh pelajar

Pelajar digalakkan untuk melakukan perbincangan dengan rakan mereka


yang terdiri dari pelbagai bangsa . Mereka diarahkan untuk membuat
persembahan tentang tajuk yang telah diberi oleh guru seperti mengajar
tentang pakaian tardisional.
9. Kaedah projek

Kaedah pengajaran ini amat berkesan  kepada perkembangan nilai


murni, perpaduan dan kerjasama antara murid tanpa mengira bangsa.
Justeru itu ia menjadi menyumbang utama dalam mewujudkan
persekitaran kelas yang mesra budaya.

REFLEKSI

Apabila menerima tugasan yang diberi, saya tidak melepaskan peluang


untuk mendekati dan mengkaji etnik Jawa kerana terlalu banyak perkara
yang ingin saya i rungkai tentang etnik yang amat  unik dan istimewa
ini.Tugasan saya menjadi lebih mudah kerana selain daripada saya
sendiri , semua penduduk kampung saya berketurunan Jawa.
Menyelami budaya etnik Jawa membuatkan saya agak terkilan kerana
banyak perkara yang telah kami ditinggalkan. Kebanyakan adat, budaya
dan kepercayaan dalam masyarakat Jawa hanya tinggal nama sahaja.
Sebagai contoh, adat lenggang perut dan cukur jambul. Walaupun adat
ini masih diamalkan tetapi pengisiannya amat berbeza. .Adat-adat lama
dalam majlis ini kebanyakkannya dipengaruhi oleh agama Hindu. Oleh
hal yang demikian , ianya telah digantikan dengan tatacara yang
bersesuaian dengan agama Islam seperti majlis doa selamat sahaja.
Etnik Jawa banyak mengalami proses asimilasi berbanding etnik lain.
Generasi muda seperti saya sukar untuk diterima sebagai orang Jawa
yang tulen memandangkan segala kehidupan telah bertukar kepada
masyarakat tempatan. Dari segi bahasa ,walaupun saya  fasih bercakap
dalam bahasa Jawa namun anak- anak saya tidak menguasainya.
Hasil daripada tugasan ini, kesimpulan yang saya dapati adalah terdapat
banyak adat resam dan kepercayaan masyarakat Jawa yang telah
ditinggalkan kerana selain daripada mengalami proses asimilasi, ada di
antara adat dan kepercayaan itu tidak bersesuaian dengan agama Islam.
Kepelbagaian etnik di sekolah dapat menimbulkan keseronokan dalam
kalangan guru dan murid - murid. Mereka dapat mengetahui banyak
perkara tentang kelompok etnik yang lain. Namun sebagai seorang guru,
kita perlu bijak memanafaatkannya demi mencapai wawasan “ 1
Malaysia”
BIBLIOGRAFI

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala


Lumpur

 Mok Soon Sang (2002)..Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan


Semester 3. Edisi Ketiga Terbitan Ke-4 Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Subang Jaya.

Clifford Geertz, 1981, Abangan, Santri, Priyayi dalam Masyarakat


Jawa, Pustaka Jaya, Jakarta.

http://zanas.wordpress.com/pembinaan-bangsa-dan-negara-malaysia-
yang-berdaulat/kedatangan-imigran/

http://pab25.blogspot.com/2008/06/who-are-orang-jawa-orang-jawa-
people-of.html
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?
y=2011&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
http://newspaper.pikiran-rakyat.com/prprint.php?
mib=beritadetail&id=132798
http://id.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Jawa
http://razalitumirin-zali.blogspot.com/2009/06/masyarakat-jawa-di-
malaysia.html
http://ilzaf.multiply.com/journal/item/46/KENALI_PRIBUMI_SEMEN
ANJUNG_MALAYSIA_?&show_interstitial=1&u=%2Fjournal%2Fitem
http://firmanbudi.wordpress.com/2009/03/01/history-of-
java/http://id.wikipedia.org/wiki/Jawa
http://www.cari.com.my
http://id.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Jawa
http://id.wikipedia.org/wiki/Tari_Tayub

Anda mungkin juga menyukai