Salam sejahtera saya ucapkan kepada yang Berusaha, Datin Siti Norasyikin, Pengetua Sekolah
Menengah Convent teluk intan; dif-dif kehormat; guru-guru; para pelajar; dan hadirin yang budiman.
Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah adab murid terhadap guru.
Hadirin sekalian,
Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang pernah menyatakan bahawa lahirnya seorang Perdana
Menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang mengajarnya
membaca dan menulis. Nah, inilah ungkapan yang mengangkat martabat seorang guru dalam mendidik
anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat matahari yang menyinari
kehidupan insaniah dengan cahaya ilmunya. Kegigihan guru dalam mendidik anak watan dengan ikhlas
tanpa rasa jemu tidak perlu dipertikaikan. Tanpa usaha dan pengorbanan guru, tidak mungkin pelajar
mencapai kejayaan yang cemerlang. Oleh itu, murid-murid perlulah menghargai jasa guru dengan
beradab dengan guru.
Budi bahasa dan adab sopan amalan yang mulia. Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab ketika
berhadapan dengan guru merupakan antara cara kita menghargai jasa guru. Para pelajar perlulah
sentiasa bermuka manis sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberi salam ketika berhadapan
atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan. Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati
guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru menjalankan tugasnya. Mereka
sewajarnya memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa
mengambil peluang bertanya dan berbincang tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan
di kelas, pelajar perlu menjaga tata susila, tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan
dengan mesra. Bukankah guru merupakan lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya, berbudi bahasa serta
beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.
Berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu cara yang tidak boleh
dikesampingkan oleh pelajar yang terpancar akhlak mulianya. Antara ciri pelajar yang berdisiplin ialah
mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme,
vandalisme mahupun ponteng sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan kemas dengan
rambut bersisir rapi. Amalan seumpama ini, memupuk disiplin pelajar untuk bersedia belajar seterusnya
mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Jika disiplin terkawal sudah tentu
memudahkan tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan cemerlang.
Peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, membuktikan kerjasama erat
antara guru dan pelajar dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan pasti menjadi pemangkin
kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah, mematuhi disiplin mencerminkan
penghormatan pelajar kepada guru.
Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan atau sakit juga cara murid beradab dengan
guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Tamsilnya
guru mungkin ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya. Sebagai murid, kita
perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan perasaan
simpati ibarat cubit peha kanan peha kira terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah
membawa buah tangan sebagai tanda bersimpati terhadap mereka. Jika mereka mengalami kemalangan
atau bencana alam, murid perlu mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung.
Jelaslah bahawa frasa 'guru, jasamu dikenang, budimu disanjung' bukanlah sekadar omongan kosong
kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar. Dengan berbuat demikian kita dapat
mengurangkan beban dan masalah yang dihadapi guru. Mudah-mudahan Tuhan akan memberikan
ganjaran atas kebaikan yang murid berikan.
Tuntasnya, murid perlu menginsafi bahawa tidak ada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini
tanpa kehadiran insan bergelar guru. Justeru, murid tidak sewajarnya sombong, berlagak, dan angkuh
terhadap mereka. Sebaliknya, para murid mestilah menghormati guru dan mengamalkan sikap rendah
diri. Maka, jasa dan pengorbanan guru tiada bandingnya walau dengan segulung intan. Justeru, semua
murid perlulah menghargai jaas guru agar ilmu yang diperolehi daripadanya mendapat keberkatan.
Sekian, terima kasih.