Anda di halaman 1dari 6

Cara-cara Memupuk Semangat Perpaduan

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di
hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman
atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga
kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan
orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah
Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat". Jadi, kita
perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati
dalam melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar
hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk
setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-


royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama
sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan
berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain
yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka
dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang
mengatakan bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang
boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini,
kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka


semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan
silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat.
Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang
pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini,
semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil
menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa
perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan
sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan.
Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk
bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga


untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat.
Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk
melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol,
terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan,
kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak
juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang
bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui
aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak
langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain
seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah
sama dituruni.

Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan
diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat
mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang
teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk
sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam
masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan
Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai
contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara
bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian
yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu
ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau
saling membantu dalam kehidupan.

Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung


dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan
semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran
kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang
dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita
mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap
sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan
bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran,
kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.
Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan
dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi,
melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan
yang dialami oleh jiran kita itu.

Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan


penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan
sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung
dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-
masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya
akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa
“bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan
semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam
setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat
kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan
sejahtera.
Kepentingan Kehidupan Berjiran

 mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.


 mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni, aman damai dan sejahtera.
 mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.
 menjamin keselamatan kawasan kejiranan.
 memupuk semangat bekerjasama dan tolong-menolong.
 membantu meningkatkan perkembangan ekonomi masyarakat dan
negara.
 membantu menjayakan projek masyarakat setempat.
 mengelakkan berlakunya kes-kes jenayah seperti pecah rumah,
kecurian dan lain-lain.
 menghapuskan perasaan hasad dengki, fitnah-memfitnah dan berburuk
sangka antara jiran.
 menjana perkembangan dan kemajuan sesebuah kawasan kejiranan.
 membantu mengatasi masalah kemiskinan, pengangguran, buta
huruf dalam kawasan kejiranan.
 memberikan gambaran yang positif kepada masyarakat sekeliling,
pelancong dan lain-lain.

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak


watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat  peribahasa
seikat bak sirih, serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan
anggota masyarakat yang hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan
luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu
sama lain. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jiran boleh ditakrifkan sebagai
orang yang tinggal berhampiran dengan rumah seseorang. Namun begitu, terdapat
lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan
bahawa amalan kehidupan berjiran dalam kalangan masyarakat Malaysia pada
masa ini dikatakan semakin sirnaibarat hidup segan mati tak mahu. Sebahagian
rakyat yang hidup dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini
lebih cenderung kepada sifat nafsi ataupun individualistik dan bersilengah. 
Mereka ini tidak menyedari akan kepentingan hidup berjiran terutamanya dalam
kehidupan hari ini yang berwarna-warni. Persoalan yang sering berlegar-legar di
gawang minda kita ialah apakah kepentingan hidup berjiran kepada individu,
masyarakat dan negara?

            Salah satu signifikan hidup berjiran ialah semangat kerjasama dalam
kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat dapat dipupuk. Semangat
kerjasama amat penting dalam kehidupan berkomuniti untuk mewujudkan
kehidupan yang harmoni dengan tolong-menolong antara satu sama lain. Tanpa
kerjasama antara satu sama lain sudah pasti sesuatu kerja yang sukar tidak
dapat diselesaikan dengan mudah. Kerjasama ini mampu dipupuk menerusi
penglibatan anggota masyarakat secara holistik dalam menjayakan aktiviti yang
dilaksanakan di kawasan perumahan mereka. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui
penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan
tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis
sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan
semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan. Mereka akan lebih
mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit,
bangsa atau kepercayaan. Menurut laporan majalah “The Times” di Australia,
kegiatan gotong -royong yang diamalkan di Malaysia merupakan antara yang
terbaik di dunia.  Impaknya, dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti berfaedah
seperti ini akan membawa anjakan paradigma bukan sahaja kepada kawasan
perumahan malah kepada kesihatan anggota masyarakat itu sekali. Hal ini kerana
dengan mengadakan aktiviti gotong-royong kawasan perumahan bukan sahaja akan
kelihatan kemas bahkan juga membawa kebaikan kepada kesihatan masyarakat itu
sendiri. Tegasnya, sikap kerjasama dapat dipupuk melalui kehidupan berjiran dan
seterusnya dapat membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

            Selain itu, hidup berjiran juga penting kerana dapat membentuk semangat
kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Hal ini kerana apabila
setiap rakyat hidup berjiran maka secara tidak langsung dapatlah menyahut
proklamasiPerdana Menteri Malaysia , Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia
yang menekankan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Sinergi dan
usahasama sebeginilah sewajarnya dijadikan panduan dan diaplikasikan  dalam
institusi masyarakat  bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh persis
peribahasa Melayu, ‘ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua’.  Contoh
pendekatan yang boleh diambil untuk memupuk semangat perpaduan dan bersatu
padu dalam kalangan rakyat adalah dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang
melibatkan semua kaum dalam pada masa yang sama seperti mengadakan “Rumah
Terbuka Kebangsaan” bagi setiap perayaan yang terdapat di Malaysia. Melalui
pengimplimentasianprogram ini, semangat kejiranan dapat dijalinkan dalam
masyarakat yang berbilang kaum ini agar boleh meluaskan horizon pemikiran dek
kerana berpeluang mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat
lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar  dapat diterapkan dengan nilai
saling menghormati, bertolenrasi  dan saling menyayangi antara satu sama lain.
Secara tidak langsung, tragedi 13 Mei  1969 yang merupakan sejarah hitam
negara di mana berlaku perbalahan antara kaum di Malaysia sehingga
mengakibatkan rakyat huru-hara dan negara kucar-kacir hanya akan berada
dalam kotak memori sahaja, dan bukan untuk diulangi lagi kelak. Ringkasnya, hidup
berjiran mampu membentuk masyarakat berbilang kaum yang stabil dari segi
spiritualserta fizikal dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah
kegemilangan.

            Di samping itu, hidup berjiran juga penting kepada negara kerana dapat
memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan
membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan ’Negara Maju Rakyat
Sihat’menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka
pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara
lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam
suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh
kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara
adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai
kemudahan dan infrastrukturdi kawasan taman-taman perumahan seperti dewan
orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti
atas inisiatif kehidupan berjiran dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota
masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Kesannya, bukan sahaja
masyarakat akan menikmati pelbagai keselesaan  yang disediakan bahkan juga
masyarakat akan pembangunan modal insan yang seimbang dapat dicapai. Situasi
ini dapat dikatakan sambil menyelam minum air. Jelaslah bahawa kehiduppan
berjiran penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan
kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak
kerajaan sekali gus membantu kerajaan melaksanakan pembagai program rakyat.

            Kehidupan berjiran juga merupakan salah satu elemen penting dan vital
yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati
diri dan  semangat cinta akan negara. Negara yang cemerlang lahir daripada
rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata. Jika
masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang
harmoni maka negara akan melakar kejayaan yang gemilang. Melalui hubungan
kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat
diimplimentasikan seperti mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran
sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam
sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan  contoh paling jelas, dan
atas sokongan  rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo
mengelilingi dunia sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kejayaan. Hal
Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan
mereka  melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi
melonjakkanMalaysia di persada antarabangsa. Ringkasnya, anggota masyarakat
yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara dapat
dilahirkan melalui kehidupan berjiran.

            Dari sudut yang berbeza, hidup berjiran yang wujud dalam kalangan
masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk
pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak
disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni
budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan.
Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran
pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar dan mampu memikat hati
barisan pemimpin dunia untuk mempelajari formula Malaysia dalam mengekalkan
perpaduan antara rakyat seperti yang diutarakan Mantan Timbalan Perdana
Menteri Britain, John Presscott suatu ketika dahulu. Sebagai contohnya, pada
sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta
tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang
amat  disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar,
produk pelancongan seperti Program ’Homestay’ atau Inap Desa di kawasan luar
bandar juga dapat menunjukkan kemaslahatan hidup berjiran dalam kalangan
masyarakatnya. Secara implisitnya, ekonomi negara yang memberangsangkan akan
dapat dicapai oleh Malaysia. Pendek kata, kehidupan berjiran dalam kalangan
masyarakat Malaysia sangat berfaedah dalam industri pelancongan negara.

            Kalau ditelusuri dari sudut yang lain, hidup berjiran dalam kalangan
masyarakat akan membawa impak positif kepada masyarakat konvensional itu
sendiri iaitu kesedaran hidup berjiran mampu membawa kepada jaminan
keselamatan penduduk setempat. Hal ini kerana dengan wujudnya Rukun Tetangga
yang terdiri daripada ahli-ahli masyarakat di kawasan kejiranan itu sendiri,
mereka akan menjalankan rondaan pada waktu malam secara berkumpulan bagi
memastikan kawasan perumahan mereka berada dalam keadaan selamat
sejahtera. Program ini juga  mampu membantu pihak polis dalam usaha untuk
mengurangkan  kegiatan jenayah yang biasa berlaku di kawasan perumahan
seperti pecah masuk rumah. Jika perkara ini tidak ditegah secara serius,
dikhuatiri akan  membawa kepada banyak implikasi seperti harta benda dirompak
dan yang paling memilukan jika membawa maut kepada ahli rumah yang menjadi
mangsa keadaan dalam kegiatan kebejatan moral ini. Maka, apabila terlaksananya
program sebegini yang melibatkan semua pihak, purata kes jenayah dalam negara
akan berkurangan dari semasa  ke semasa. Secara tidak langsung, nama Malaysia
juga harum di segenap seantero mayapada dek kerana Malaysia merupakan antara
negara paling selamat untuk didiami di dunia hasil daripada kajian yang dilakukan
oleh “The World Justice Project” yang bertempat di New York, Amerika
Syarikat. Hal ini sama dengan cogan kata “jiran sepakat membawa berkat”.
Tegasnya, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat mampu menjana
kawasan perumahan yang harmoni dan aman.
         
           Secara intihanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa kehidupan berjiran
merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di
Malaysia yang signifikan. Amalan yang murni ini menjadikan negara kita unik pada
pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Oleh itu,
semua rakyat Malaysia perlu bangkit dan lari daripada kealpaan tentang
mengamalkan kehidupan berjiran ini. Rakyat Malaysia tidak seharusnya
mempunyai sikap evasif dan bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar melepaskan
pucuk masing-masing malah perlu berganding bahu ibarat berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing dalam usaha untuk menjayakan amalan kejiranan ini.
Diharapkan agar komitmen padu daripada semua pihak ini dapat memupuk dan
meningkatkan lagi semangat perpaduan dan bekerjasama dalam sanubari setiap
rakyat Malaysia yang sangat dituntut untuk mengekalkan keamanan yang telah
dikecapi. Semoga aspirasi Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 akan tercapai jua dengan
terzahirnya permuafakatan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa. Ingatlah
bahawa rakyat bersatu, negara maju!

Anda mungkin juga menyukai