Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan Pidato

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.


Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang
arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, guru-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin
sekalian.
Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk
“Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-
uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sesuai dengan
statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu
diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang
digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu
dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-
bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang
dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan
mengikut arus perubahan zaman.
Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak
kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk
kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu,
kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah
tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu
bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak.
Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga
sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan
Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti
kata pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya
akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.
Hadirin sekalian,
Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak
berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk
memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran
dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP
perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta
yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu.
Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam
kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan
dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan
membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di
negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu
bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan
seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa-bahasa
antarabangsa yang lain di dunia ini.
Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan
1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan
akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi
dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan
akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini
dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober
2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963
Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam
dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti
pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis
rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan
bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang
demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.
Hadirin sekalian,
Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa.
Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak
penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan
dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk
mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah
ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu
diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut
undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti
yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai
pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan
bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak
mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.
Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk
memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak
perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira
kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan
dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita.
Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini
akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan
“Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan
terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.
Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahiwabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai