Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN WAKIL MURID SEMPENA HARI GURU

Terima kasih Pengerusi Majlis. Salam sejahtera saya ucapkan kepada


Yang Berusaha Tuan Guru Besar, En Ahmad Shakri bin Hamzah, Guru-
guru Penolong Kanan, guru-guru dan rakan sekalian. Saya sebagai wakil
murid, ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Guru kepada semua
guru di sekolah ini. 

Hadirin sekalian,
Hari ini merupakan hari yang amat sesuai untuk kita mengadakan
sambutan bagi mengenang dan menghargai jasa guru. Tarikh 16 Mei
setiap tahun telah dipilih sebagai Hari Guru. Pada tahun ini, ‘Guru Obor
Hemah Menyinari Pertiwi’ dipilih sebagai tema Hari Guru. Tema ini amat
bertepatan sekali dengan dunia pendidikan sekarang yang amat mencabar
untuk melahirkan murid yang lebih kreatif dan berinovasi. Segalanya
bermula daripada inspirasi seorang guru. Lantaran itu, marilah kita
menghargai dan mengingati jasa guru.

Rakan-rakan sekalian,
Insan yang mendidik, mengasuh dan membimbing kita sehingga kita dapat
mencapai kejayaan haruslah kita sanjung. Kesabaran dan kesungguhan
mereka mendidik kita amatlah besar nilainya. Seharusnya jasa itu dikenang
sepanjang hayat. Guru tidak pernah jemu mengajar kita supaya kita dapat
membaca, menulis dan mengira. 

Guru juga merupakan pengganti ibu bapa kita di sekolah. Oleh itu, kita
mestilah menghormati guru. Segala nasihat dan tunjuk ajar guru mestilah
kita dengar dan patuhi. Jangan sesekali kita abaikan segala nasihat dan
bimbingan mereka. 

Rakan sekalian, 
Guru ialah orang yang sering memberi semangat kepada kita untuk rajin
belajar sehingga kita berjaya. Mereka sedia mendengar segala masalah
yang kita fahami dalam pelajaran. Oleh itu, guru merupakan pendidik yang
sangat berdedikasi semasa mengajar kita di sekolah. 

Wahai para guru yang kami sayangi, jutaan terima kasih kami ucapkan
kerana tidak pernah jemu mendidik kami dengan sabar. Jasamu sungguh
bererti kepada kami semua. Terima kasih, cikgu. Saya akhiri ucapan saya
ini dengan fragmen sajak Guru Oh Guru karya Usman Awang. 

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa


Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa


Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Sekian, terima kasih.