Anda di halaman 1dari 2

Peranan Ibu Bapa Membentuk Jati Diri Anak-anak

Anak yang dilahirkan adalah anugerah yang dikurniakan daripada Ilahi kepada pasangan ibu
bapa. Anak juga merupakan amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa
untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan yang berguna kelak. "Anak ibarat
kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya". Ungkapan ini membawa maksud anak-anak
yang dilahirkan ke dunia ini tidak tahu apa-apa, bahkan mereka juga tidak tahu membezakan
mana yang baik dan mana yang buruk. Oleh itu, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk
membentuk keperibadian anak-anak mereka.

Jati diri anak-anak bermula di rumah. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam
menyemai kesedaran tentang pentingnya kehidupan beretika. Antara caranya ialah mencurahkan
kasih sayang kepada anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa perlu mengambil berat dan
mencurahkan kasih sayang terhadap anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa patut meluangkan
masa bersama-sama dengan anak-anak untuk memahami serta mengambil berat tentang
kehidupan mereka khususnya pelajaran mereka, hobi serta pergaulan mereka dengan rakan-
rakan.

Selain itu, ibu bapa patut menjaga anak masing-masing bagai menatang minyak yang
penuh. Misalnya, bercerita kepada anak-anak yang masih kecil sebelum mereka tidur serta
bergembira sesama anak-anak semasa sambutan hari jadi mereka atau semasa mereka
memperoleh kejayaan. Lantaran itu, anak-anak akan membesar dan menjadi manusia yang
beradab sopan, ceria serta berkeyakinan diri. Mereka tidak akan melibatkan diri dengan masalah
sosial kerana sedar bahawa perbuatan tersebut akan menyakiti hati ibu bapa. Sebaliknya, mereka
menjadi orang yang mempunyai sahsiah yang baik, yakni, menghormati ibu bapa, bersopan
santun, dan mendengar nasihat ibu bapa.

Ibu bapa perlu memberikan contoh teladan yang baik kepada anak-anak seperti yang
ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Ibu bapa harus menjadi contoh kepada anak-
anak mereka kerana anak-anak ini akan melihat dan ingat apa yang berlaku. Anak-anak
seterusnya akan meneliti dan mencontohi apa yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka bak kata
pepatah bapa borek, anak rintik.. Selain itu, komitmen, pengorbanan dan kesungguhan ibu bapa
dalam mendidik juga turut diperhatikan oleh anak-anak. Contohnya, ibu bapa perlu bercakap
dengan lemah lembut supaya anak-anak mereka turut bertutur dalam nada yang lemah lembut.
Bukan sahaja ibu bapa, malah ahli keluarga yang lain turut memainkan peranan penting Sebagai
contoh, seorang abang yang baik tutur katanya terhadap orang tua akan menjadi ikutan oleh
seorang adik.

Seterusnya, sebagai ahli keluarga yang saling menyayangi ibu bapa sepatutnya
menunjukkan sikap tauladan yang baik. Dengan menunjukkan sikap tauladan yang baik, anak-
anak akan menjadi segan jika mereka berkelakuan buruk. Jadi,mereka akan turut menunjukkan
sikap tauladan yang baik bersama.

Selain itu, ibu bapa juga perlu mengajar anak-anak mereka melakukan kerja-kerja rumah
seperti mengemas bilik tidur, menyapu sampah, mencuci pinggan-mangkuk dan sebagainya.
Perkara ini perlu dilatih sejak kecil dan secara berperingkat. Contohnya, mencuci pinggan-
mangkuk. Pada mulanya mungkin ibu bapa boleh menyuruh anak-anak mencuci pinggan yang
mereka gunakan sahaja. Namun, apabila sudah terbiasa, mereka akan mencuci pinggan yang
terdapat di dalam singki.

Kesimpulannya, ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dengan anak-anak.
Lantaran itu, ibu bapa sewajarnya mengajar anak-anak dengan nilai-nilai murni ini. Keluarga
yang bahagia sangat penting agar proses pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan anak-
anak dapat dilakukan terutamanya di rumah. Sikap-sikap yang positif haruslah disemai dalam
jiwa anak-anak bagi menjamin kesejahteraan hidup dan pembentukan keperibadian mulia
mereka. Anak-anak yang berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang ini mesti diberi
penekanan dari segi mental dan fizikal supaya kelak dapat menjadi tunggak negara.