Anda di halaman 1dari 2

KEBAIKAN PENDIDIKAN KESELAMATAN JALAN RAYA TERHADAP MURID-

MURID SEKOLAH

Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) merupakan satu inisiatif jangka


panjang yang bermula dari peringkat kanak-kanak. Tujuan PKJR dilaksanakan
adalah bagi melahirkan generasi baru pengguna jalan raya yang mengamalkan
budaya selamat, beradab, berhemah dan berhati-hati di jalan raya. Usaha
melahirkan generasi pengguna jalan raya yang berhemah adalah amat penting bagi
menyumbang kepada keharmonian, kemakmuran dan pembangunan negara kita.
Persoalannya, apakah kebaikan PKJR terhadap murid-murid sekolah?

Pertama sekali, PKJR mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan


murid tentang aspek keselamatan jalan raya. Pendedahan tentang jenis-jenis
kemalangan jalan raya yang sering berlaku dalam kalangan murid sekolah wajib
dilaksanakan kerana kebanyakan kemalangan jalan raya di negara kita adalah
melibatkan mereka. Dengan pengenalan PKJR, kita dapat memastikan murid tidak
akan melakukan tindakan yang mampu mengancam nyawa mereka di jalan raya.
Sebagai contoh, melalui pembelajaran PKJR, murid faham bahawa dia tidak
sepatutnya bermain-main bersama rakan di tengah jalan bagi mengelakkan daripada
dilanggar kereta.

Selain itu, PKJR dapat memberikan galakan atau dorongan kepada murid
untuk mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya. Seperti yang kita sedia
maklum, kebanyakan murid tidak mengambil tahu tentang peraturan yang ditetapkan
di jalan raya. Mereka menganggap peraturan jalan raya hanya perlu dipatuhi oleh
pemandu kenderaan tanpa menyedari bahawa mereka juga merupakan pengguna
jalan raya. Namun begitu, persepsi ini dapat diubah melalui PKJR. Murid-murid akan
mempelajari undang-undang yang harus diikuti oleh mereka semasa menggunakan
jalan raya untuk melintas jalan. Sebagai contoh, setelah mengikuti pengajaran PKJR,
murid tahu bahawa mereka perlu menggunakan laluan pejalan kaki atau jejantas
untuk melintas jalan.

Bukan itu sahaja, PKJR juga membolehkan murid mengamalkan nilai-nilai


murni dan bertingkah laku baik. Hal ini demikian kerana PKJR turut mendidik murid
tentang sikap positif dan kelakuan baik yang harus diamalkan ketika berada di jalan
raya. Antara sikap positif yang diterapkan adalah seperti bersabar, toleransi,
rasional, berhemah tinggi dan lain-lain. Melalui penyerapan nilai-nilai murni ini,
peribadi murid akan menjadi lebih bermoral dan tidak mudah terjebak dengan
perkara-perkara yang tidak sihat. Hal ini sudah pastinya dapat menjamin masa
depan mereka nanti.

Seterusnya, PKJR turut membantu murid untuk mengenal pasti keadaan


berbahaya yang terdapat di jalan raya dan mempelajari cara-cara mengatasinya.
Untuk pengetahuan anda, perkembangan mental, fizikal dan psikomotor kanak-
kanak yang terhad menyebabkan mereka terdedah kepada risiko dan bahaya ketika
berada di jalan raya. Oleh itu, PKJR dapat memperkembangkan mental, fizikal dan
psikomotor mereka agar lebih peka terhadap persekitaran. Dengan itu, mereka akan
dapat menggunakan jalan raya dengan lebih selamat.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Untuk memastikan
negara kita mempunyai pengguna jalan raya yang berhemah pada masa hadapan,
kita haruslah mempersiapkan diri kanak-kanak dan melatih mereka untuk mematuhi
peraturan dan undang-undang jalan raya. Oleh itu, kita haruslah menyokong
pelaksanaan PKJR agar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dan tidak ada
nyawa yang akan terkorban lagi.

Anda mungkin juga menyukai