Anda di halaman 1dari 20

1

2.0 Menganalisis pandangan tokoh.

TOKOH AL- GHAZALI

Segala puji bagi Tuhan yang Maha Pengasih. Bersyukur saya kehadrat Tuhan kerana
untuk julung kalinya saya diberi peluang untuk mengkaji dan membuat ulasan buku terhadap
seorang tokoh yang amat disegani tidak hanya pada masa kegemilangan beliau bahkan
sehingga masa kini iaitu Imam Al-Ghazali. Beliau merupakan seorang ulama, ahli fikir dan ahli
falsafah Islam yang terkemuka hingga kini. Peninggalan beliau bukanlah harta bertimbun yang
menjadi rebutan,tetapi peninggalannya merupakan khazanah ilmu yang tidak dapat dinilai
dengan sebarang material sekalipun. Ulasan saya yang ini adalah hasil dari sebuah buku yang
dapat saya namakan di sini sebagai ‘ Biografi Imam Al-Ghazali – Hujjatul Islam dan Pembaru
Kurun ke-5 ( 450-505 Hijrah)’.

Semoga apa yang dapat saya coretkan di sini mendapat teguran yang membina dari yang
berhak dan juga dapat meningkat pengetahuan umum mengenai tokoh yang sangat dikagumi
ini. Saya juga sedar bahawa tugasan ini telah dapat mewujudkan hubungan mesra dan
persefahaman sejagat di kalangan rakyat Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang
kaum yang hidup secara harmoni, saling memahami, saling menghormati dan bekerjasama
antara satu dengan yang lain. Selain itu, ia juga telah dapat mempamerkan keupayaan refleksi
kendiri dengan menjadikan kejayaan tamadun serta tokoh-tokoh utama yang silam sebagai
role-model.

Hujjatul Islam Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali, Abu Hamad Muhammad bin Muhammad bin
Muhammad At-Thusi, yang digelar dengan gelaran Zainuddin. Beliau dilahirkan di Thus dari
iklim Khurasan ( Iran ) pada tahun 450 Hijrah. Beliau berasal dari keluarga yang miskin.
Bapanya dari kalangan yang tidak berpelajaran, tidak pandai menulis. Beliau melakukan kerja
menenun wool lalu dijual di kedainya di Thus. Walaupun tidak berpelajaran, beliau mempunyai
cita-cita yang tinggi iaitu ingin melihat anaknya menjadi orang alim dan soleh. Sifat ini
merupakan satu sifat yang mulia yang perlu ada dalam setiap diri individu muslim kerana umum
mengetahui tentang kepentingan ilmu pengetahuan untuk kejayaan dunia dan akhirat.
Menjelang saat-saat kematian, beliau telah mewasiatkan Al-Ghazali dan seorang saudaranya
iaitu Ahmad kepada seorang ahli sufi yang merupakan sahabat beliau. Beliau berpesan agar
sahabatnya memelihara kedua-duanya dan memberi mereka pendidikan sehingga habis harta
peninggalannya nanti.
2

Setelah bapanya meninggal dunia, maka tinggallah Al-Ghazali dan saudaranya bersama
sahabat bapanya, seorang ahli sufi dan ahli kebaikan. Beliau mengajar kedua-duanya sehingga
habis semua harta peninggalan orang tua beliau. Ahli sufi tersebut sudah tidak mampu lagi
untuk membiayai mereka berdua, lalu meminta mereka untuk menuntut di sekolah supaya
segala keperluan makan dan minum mereka terjaga. Al-Ghazali akur dan itulah yang menjadi
sebab kepada kebahagian dan ketinggian darjat mereka berdua.

Ketika Al-Ghazali masih kanak-kanak lagi, beliau telah mempelajari pelbagai ilmu daripada
ramai guru yang berada di serata tempat dan ceruk rantau. Pertamanya, beliau telah
mempelajari beberapa tajuk dari fiqh di negeri Thus dengan Imam Ahmad Ar-Radzakani,
kemudian beliau pergi ke Jurjan untuk belajar dari Imam Abi Nashr Al-Isma’ili. Selepas itu beliau
kembali semula ke Thus. Kemudian Al-Ghazali datang ke ‘Nisabur’ dan telah mendekati Imam
Al-Haramain Abu Al-Ma’ali Al-Juwaini ( 419-478 Hijrah). Beliau telah belajar dengan
bersungguh-sungguh dan berijtihad sehingga mahir dalam mazhab ( Syafi’i), perselisihan,
debat, usuluddin, usul fiqh, mantiq, membaca hikmah dan falsafah. Beliau mampu menguasai
seluruhnya sehingga beliau bangun berhujjah dan membatalkan sesetengah dakwaan mereka.
Beliau telah menyusun kitab-kitab dari pelbagai aspek ilmu yang telah dipelajari dengan
susunan yang baik dan kedudukan yang lebih unggul.

Beliau merupakan seorang ilmuan yang sangat bijak, benar pandangannya, mempunyai
fitrah yang menakjubkan, mempunyai ingatan yang kuat, daya tangkap yang tajam, pandangan
yang mendalam dan berkebolehan menyelami makna-makna yang terperinci sehingga gurunya
Al-Juwaini menyifatkannya dengan perkataannya: “ Al-Ghazali adalah lautan yang dalam”. Al-
Hafiz ‘Abdul Ghafir bin Isma’il menyifatkan Al-Ghazali pada peringkat ini, bahawa beliau
seorang yang bersungguh-sungguh dan berijtihad sehingga beliau dapat menyelesaikan
pendidikan dalam waktu yang singkat, mengalahkan generasi-generasinya. Inilah kelebihan
yang terdapat dalam diri Imam Al-Ghazali. Beliau tidak pernah jemu menuntut ilmu dan beliau
3

sentiasa ada kemahuan untuk mengetahui sesuatu ilmu secara lebih mendalam.

Al-Gahazali menetap di Nisabur sehingga wafat Imam Al-Haramain pada tahun 478 Hijrah.
Selepas itu, beliau telah merantau pula ke perkhemahan sultan untuk berjumpa dengan wazir “
Nazzam Al-Malik” yang majlis ilmunya dihadiri oleh ramai ulama dan ahli falsafah. Di sini
merupakan tempat perdebatan ilmu dan beliau telah menonjolkan dirinya dengan mengalahkan
lawannya sehingga beliau telah terkenal di seluruh daerah. Beliau tetap berada di perkhemahan
sultan sehingga tahun 484 Hijrah. Beliau telah dilantik untuk mengajar di madrasah An-
Nazzamiyyah di Baghdad. Lalu beliau pergi ke Iraq untuk menjalankan tugasnya di mana ketika
itu umurnya mencecah tiga puluh empat tahun. Kedatangan beliau telah disambut dengan
meriah. Orang ramai begitu kagum dengan keindahan perkataannya, kefasihan lidahnya,
huraiannya yang terperinci dan isyarat-isyaratnya yang halus. Kehormatan dan kedudukannya
semakin tinggi di Baghdad sehingga beliau telah mengalahkan kedudukan pembesar-pembesar
ulama, pemimpin-pemimpin (umara’) dan darul khilafah. Beliau juga telah menjadi Imam Iraq
selepas Imamah Khurazan yang tsiqah iaitu Abdul Ghafir. Sesungguhnya beliau telah mencapai
kejayaan dan menikmati kamanisan dunia yang fana dengan keharuman nama dan
kemasyhuran. Walaupun begitu, beliau tidak pernah berhenti dari menuntut ilmu. Justeru beliau
telah mempelajari ilmu-ilmu halus ( Ad-Daqiqah) yang menyebabkan berlaku peralihan total
dalam kehidupan beliau. Beliau telah menyedari bahawa tidak ada ketamakan dalam mencapai
kebahagiaan akhirat melainkan dengan taqwa dan menjauhkan diri dari kehendak hawa nafsu.
Untuk mencapai semua itu adalah dengan memutuskan hubungan hati dari dunia dan berpaling
dari dunia yang memperdayakan, berpaling dari kedudukan dan harta benda serta melarikan
diri dari segala kesibukan dan ikatan dunia lalu kembali kepada akhirat yang kekal dan
menghadap hakikat kepentingan kepada Allah.
4

Beliau telah membuat perhitungan ke atas segala amalan yang telah dilakukan selama ini
dan beliau dapati yang paling baik ialah mengajar dan mendidik, tetapi beliau dapati dirinya
menghadap kepada ilmu-ilmu yang tidak penting dan tidak mendatangkan manfaat di jalan
akhirat. Selepas itu, beliau telah muhasabah tentang niat dalam pengajaran dan beliau dapati ia
tidak ikhlas kerana Allah Ta’ala, bahkan faktor dan penggerak utamanya ialah mengejar
kemewahan dan menyebarkan nama baik, maka beliau telah membuat kesimpulan
bahawasanya beliau sedang berada di tepi jurang yang hampir runtuh dan beliau merasakan
beliau akan jatuh ke dalam api neraka jika beliau tidak berusaha untuk merubah keadaan. 

Beliau telah berazam dan bertekad untuk keluar dari Baghdad tetapi beliau telah tewas
dengan nafsunya sendiri sehingga 6 bulan beliau telah berperang dengan tarikan nafsu dan
godaan syaitan. Pada bulan Rejab tahun 488 Hijrah, telah berlaku peristiwa yang menyebabkan
beliau terpaksa meninggalkan tugas-tugasnya di mana beliau tidak mampu mengajar kerana
kehilangan kata-kata. Setelah itu beliau bermujahadah kepada Allah agar dipulihkan dirinya
agar beliau mampu mengajar pada suatu hari nanti untuk memperbaiki hati-hati manusia.
Beliau sentiasa berdoa kepada Allah dan Allah telah memakbulkan doa orang yang menderita.
Keadaan tersebut telah memudahkan dirinya berpaling dari kemewahan , harta benda, anak-
anak dan sahabat-sahabat. Selepas itu beliau telah keluar menuju ke Makkah.

Beliau telah meninggalkan Baghdad pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah dan telah
menunaikan haji seterusnya menuju ke Syam. Di sana beliau telah menetap selama sepuluh
tahun dan sebahagian waktunya dihabiskan di Baitul Maqdis. Kebanyakan waktu beliau
digunakan untuk ber’uzlah dan khalwat, riyadhah ( latihan) dan mujahadah diri. Beliau sibuk
mensucikan dan menjernihkan hatinya dengan berzikir kepada Allah Ta’ala dan beliau beri’tikaf
di menara masjid Damsyiq sepanjang hari. Ketika ini beliau telah menyusun beberapa buah
karangan yang terkenal seperti ‘Ihya’ Ulumuddin’ dan kitab-kitab yang diringkaskan daripadanya
seperti Al-Arba’in dan risalah-risalah yang lain. Setelah ber’uzlah selama sepuluh tahun, beliau
telah kembali ke negerinya iaitu Thus untuk meneruskan ‘uzlahnya. Namun di bawah desakan
para wali dan permintaan yang berulang kali agar beliau keluar kepada manusia untuk
mengajar, maka beliau pun keluar ke Nisabur untuk mengajar di Madrasah An-Nazzamiyyah
pada bulan Zulkaedah tahun 499 Hijrah. Beliau talah memasang azam, tekad dan niat yang
baru ketika keluar mengajar dan menyebarkan ilmu. Segala-gala yang dilakukan dengan tujuan
yang berbeza sama sekali dengan yang sebelumnya. Ia adalah semata-mata kerana Allah
dengan tekad untuk memperbaiki dirinya sendiri dan orang lain.
5

Beliau menetap dan mengajar di Nisabur dalam jangka masa yang singkat. Setelah itu,
beliau telah kembali ke rumahnya di Thus. Beliau telah menjadikan kawasan rumahnya sebagai
madrasah penuntut ilmu dan mengkhaskannya untuk tasawwuf. Beliau telah membahagikan
waktu kepada beberapa tugas iaitu menghafal Al-Quran, duduk dengan ahli-ahli hati, mengajar
panuntut ilmu, mengerjakan solat dan puasa. Dengan demikian tidak pernah kosong waktunya
dan orang-orang yang bersama dengannya dari perkara yang tidak berfaedah. Beliau telah
meninggal dunia di Thus pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir tahun 505Hijrah (1111M).

Imam Al-Ghazali termasuk salah seorang dari tokoh-tokoh pemikir Islam yang mempunyai
pelbagai pengetahuan dan kebudayaan yang luas. Beliau tidak menjurus kepada satu atau dua
bidang ilmu dan pemikiran sahaja sebagaimana kebanyakan tokoh-tokoh Islam terkemuka yang
lain.Jika disebut Ibnu Sina atau Al-Farabi, maka akan terlintas di fikiran dua ahli falsafah agung
dari ahli falsafah Islam dan jika disebut Imam Al-Bukhari , Muslim dan Ahmad, terlintas di fikiran
tokoh-tokoh yang mempunyai kemampuan menghafal, amanah, teliti dan berpengetahuan.
Tetapi berbeza sekali dengan Al-Ghazali, jika sebut namanya maka bercabanglah ilmunya dari
seluruh aspek. Beliau adalah faqih yang bebas, Al-Ghazali mutakallim, Imam sunah dan
pembelanya, Al-Ghazali yang berjiwa sosial, mengetahui hal ehwal alam, rahsia-rahsia diri dan
selok belok hati. Beliau juga ahli falsafah yang bangit menentang falsafah dan menyingkap apa
yang ada padanya. Boleh dikatakan beliau adalah seorang lelaki yang mengetahui segala
sesuatu dan dahaga kepada cabang-cabang pengetahuan.

Al-Ghazali adalah seorang tokoh Islam yang mendalami sesuatu ilmu secara terperinci.
Beliau terkenal sebagai hujjatul Islam dan pembaharu iaitu beliau akan membuat pembaharuan
atau pemahaman yang lebih jelas mengenai sesuatu ilmu yang diterokainya. Beliau berbeza
dengan ulama-ulama lain yang mana usaha mereka menghafal apa yang diterimanya,
mengulangi dan menukilnya. Bahkan beliau seorang alim yang aktif, maklumat yang
diterimanya diteliti dan diuji sejauh mana kebenaran dan kebatilannya. Oleh itu, ada kalanya
beliau menolak, merubah atau menjelaskan dan menghuraikan lalu membuat pembaharuan. 
6

Al-Ghazali memberi sumbangan yang cukup besar dalam perkembangan Ilmu Kalam. Beliau
telah mengarang begitu banyak penulisan berkaitan dengan Ilmu Kalam. Dalam penulisannya,
beliau banyak mematahkan hujah-hujah daripada pihak yang keterlaluan ketika membahaskan
isu-isu yang timbul daripada perbincangan Ilmu Kalam. Al-Ghazali lebih tertarik membahaskan
Ilmu Kalam menurut metodologi para sahabat dan juga Rasulullah. Beliau menguatkan hujah-
hujahnya berteraskan Al-Quran, As –Sunnah dan perbahasan para sahabat. Terdapat dalam
sejarah, Imam Al –Ghazali tidak menyukai majlis-majlis perdepatan berkaitan ilmu Kalam. Jika
dijemput ke majlis seperti itu, beliau hanya berdebat dengan menggunakan metodologi yang
tersebut di atas. Beliau berpendapat perdebatan yang diasaskan kepada hujah akal tanpa
berpaksikan kepada sumber primer iaitu Al-Quran dan As-Sunnah hanya akan menambahkan
lagi kerisauan dan kecelaruan dalam masyarakat Islam pada ketika itu.

Justeru itu, Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ulumuddin ketika membincangkan berkaitan
dengan teori dan konsep ilmu tidak meletakkan Ilmu Kalam sebagai satu ilmu yang bermanfaat
kepada masyarakat. Bahkan beliau menganggap sesiapa yang keterlaluan dalam
membincangkan isu-isu berkaitan dengan sifat dan perbuatan Allah adalah termasuk di dalam
golongan orang yang melakukan bid’ah di dalam Islam. Beliau menyatakan bahawa ilmu kalam
tidak bermanfaat kepada manusia kerana dua sebab; pertama, ilmu ini tersimpang jauh dari
matlamatnya yang utama iaitu mengenal Allah. Kedua, perbincangan ahli Ilmu Kalam terlalu
jauh sehingga menyimpang daripada apa yang dibincangkan oleh para ulama’ salaf.

Perbahasan berkaitan dengan isu-isu Ilmu Kalam telah membuka ruang kepada
golongan munafiq dan musuh-musuh Islam menimbulkan keraguan kepada akidah dan
pegangan umat Islam. Menyedari hakikat tersebut dan didorong atas rasa tanggungjawab
setelah melihat tiada seorang pun ulama pada ketika itu bangun menentang musuh-musuh
Islam yang menggunakan ilmu falsafah sebagai senjata utama melemahkan pegangan akidah
umat Islam, Al-Ghazali bangun menentang hujah-hujah golongan tersebut. 
7

Pada mulanya, beliau langsung tidak mengetahui berkaitan dengan ilmu falsafah. Namun
atas rasa tanggungjawab membela agama Allah, beliau mempelajari dengan semangat dan
ketekunan yang tinggi. Beliau mengkaji penulisan –penulisan yang berkaitan dengan ilmu
falsafah terutamanya ilmu falsafah Yunani. Dengan kesibukannya mengajar ilmu-ilmu agama,
beliau menggunakan masa terluang untuk mempelajari ilmu falsafah secara individu tanpa
berguru dengan mana-mana guru falsafah yang terkenal. Dengan niat yang ikhlas untuk
membela agama Allah daripada serangan ilmu falsafah khususnya ilmu falsafah ketuhanan
Yunani, Allah SWT memberikan kepadanya ilmu-ilmu berkaitan falsafah dalam tempoh masa
yang singkat iaitu kurang dari dua tahun.

Al-Ghazali memberikan sumbangan yang besar dalam bidang ini khususnya meneroka
bidang baru berkaitan falsafah Islam. Setelah menganalisa ilmu falsafah yang dipelajarinya, Al-
Ghazali membahagikan golongan yang membahaskan falsafah kepada tiga golongan; pertama,
atheis, kedua, natural dan ketiga theologi. Golongan pertama ialah golongan yang mengingkari
wujudnya pencipta yang mentadbir seluruh alam ini. Golongan kedua ialah golongan ilmuan
yang banyak mengkaji berkaitan dengan tabiat, kejadian dan anatomi manusia, tumbuhan serta
haiwan. Golongan ini mendakwa apabila mati mereka tidak akan hidup semula, justeru mereka
menafikan adanya hari akhirat. Golongan ketiga adalah ahli theologi iaitu ahli yang
membincangkan soal-soal ketuhanan seperti Plato, Aristotle dan Sokratus. Golongan ini
membahaskan perkara-perkara berkaitan tuhan dengan bersumberkan akal. 

Selain itu, Al-Ghazali adalah orang pertama yang mengklasifikasikan semula ilmu falsafah
kepada enam bahagian iaitu matematik, mantiq, fizik, ketuhanan, siasah dan akhlak. Matematik
menurut Al-Ghazali ialah berkaitan dengan ilmu hisab dan kejuruteraan. Ia tidak berkaitan
dengan perbahasan dari sudut agama. Mantiq pula ialah ilmu yang berkaitan dengan logik akal
dan bagaimana akal sebagai agen penyusun hujah-hujah yang dikemukakan. Ilmu fizik pula
berkaitan dengan kajian alam, langit, bintang-bintang, air, udara dan alam seluruhnya.
8

Selain itu, ilmu ketuhanan dalam falsafah mengkaji aspek ketuhanan dari perspektif akal.
Ilmu ketuhanan ini didasari oleh perbincangan mantiq dan logik. Ilmu ini menurut Al-Ghazali
tersimpang daripada falsafah ketuhanan yang sebenar. Siasah menurut Al-Ghazali adalah
perkara yang berkaitan dengan unsur-unsur keduniaan yang membantu manusia menjalani
kehidupan seharian dengan lebih baik. Ilmu yang terakhir dalam ilmu falsafah menurut Al-
Ghazali ialah akhlak iaitu ilmu yang berkaitan bagaimana seseorang menjalani kehidupan
seharian dengan lebih baik. Menurut Imam Al-Ghazali, ilmu yang terakhir dalam ilmu falsafah
ialah akhlak iaitu ilmu yang berkaitan bagaimana seseorang menjalani kehidupan seharian
dengan sikap dan peribadi yang mulia.

Kepakaran Al-Ghazali dalam bidang falsafah tidak dapat disanggah lagi. Hakikat ini telah
disuarakan oleh Dr Sulaiman Dunia, sarjana Islam terkenal dengan menyatakan bahawa
perbahasan Al-Ghazali mengenai masalah-masalah falsafah adalah jauh lebih baik daripada
perbahasan ahli-ahli falsafah sendiri. Justeru itu, dalam kitabnya Dr Sulaiman Dunia membuat
kesimpulan bahawa metodologi yang diasaskan oleh Al-Ghazali adalah lebih jelas dan
terperinci. Antara penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang falsafah ialah Maqasid Al-
Falasifah, Al-Munqiz min aldhalal dan Tahafut Al-Falasifah. Abu Hassan An-Nadawi juga
menyifatkan Al-Ghazali sebagai seorang yang istimewa seperti yang diungkapkannya di dalam
salah satu penulisannya ( “…. Dan kaum muslimin sangat memerlukan kepada pengarang dan
pengkaji seperti ini, yang akan menghadapi falsafah dengan penuh keimanan dan kepercayaan,
berfikiran bebas dan mempunyai keberanian ‘ilmiah untuk mengingkari kemaksuman falsafah,
kequdusan dan kegeniusannya dan kedudukan mereka mengatasi kedudukan akal dan fikiran
manusia biasa. Sifat ini dipunyai oleh Al-Ghazali seperti dalam kitabnya Tahafut Al-Falasifah,
maka beliau datang pada waktunya dan memenuhi hajat zamannya..”).
9

Kita telah ketahui bahawa Al-Ghazali telah menjadi ahli falsafah kemudian beliau telah
membongkar keburukan ilmu falsafah dan meneroka ilmu baru berkaitan falsafah. Beliau
menyerang habis-habisan ilmu falsafah ketuhanan Yunani. Begitu juga dengan tasawwuf.
Apabila beliau melibatkan diri menjadi sebahagian dari ahli sufi, beliau sekali lagi
membersihkan tasawwuf daripada perkara-perkara kurafat dan daripada perkara yang terkeluar
dari pengamalan agama Islam yang sebenar. Namun begitu dalam bidang tasawwuf, Al-Ghazali
mempunyai guru. Antara gurunya yang termashur ialah Al-Junaid dan Al-Harith Al-Muhasibin.

Al-Ghazali dilihat tidak pernah berdiam diri apabila menyedari pengamalan tasawwuf yang
diamalkan oleh segelintir masyarakat pada zamannya terpesong daripada ajaran Islam. Beliau
dengan tegas menjelaskan, menghuraikan dan memberikan konsep yang tepat kepada
masyarakat pada zamannya. Selain itu, jika beliau menyedari kesalahan yang dilakukan oleh
masyarakat dalam bidang tasawwuf, beliau akan melemparkan kritikan yang membina yang
bertujuan untuk membetulkan kesalahan dan menghalang daripada penyelewengan yang
berlaku berterusan sehingga mencemarkan kemurnian Islam. Setelah penelitian kritis yang
dilakukan oleh Al-Ghazali, beliau mendapati ahli sufi pada zamanya terpesong daripada jalan
sebenar akibat daripada kecetekan dan kejahilan terhadap ilmu yang berpunca daripada
kesibukan mereka beribadat semata-mata.

Justeru itu, Imam Al-Ghazali telah mencadangkan kepada khalayak pada ketika itu supaya
mendalami dan menguasai ilmu yang berkaitan dengan tasawwuf sebelum tekun beribadah. Ini
menjamin pengamalnya tidak tersimpang daripada jalan yang sebenar. Buktinya, jika ditinjau
metodologi penulisan Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ulumuddin kita akan dapati bahawa Al
Ghazali memulakan kitabnya dengan perbahasan berkaitan teori dan konsep ilmu, kemudian
beliau membahaskan berkaitan dengan fiqh ibadah atau konsep ibadah menurut perspektif
hukum Islam. Selepas itu, Al-Ghazali menulis berkaitan dengan fiqh muamalah iaitu teori,
hokum yang berlaku dalam kehidupan seharian. Selepas menerangkan teori-teori penting
berkaitan dengan ilmu, ibadah dan muamalat, barulah Al-Ghazali membincangkan aspek-aspek
tasawwuf seperti hati, sabar dan sifat-sifat lain yang berkaitan dengan zuhud dan peribadi
mulia.
10

Antara penulisan terkenal Al-Ghazali dalam bidang tasawwuf ialah kitab Ihya’ulumuddin.
Kitab ini telah menjadi rujukan penting ilmu fiqh dan tasawwuf di serata dunia dari zaman
penulisannya hingga ke hari ini. Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain
seperti Bahasa Melayu , Parsi, Urdu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis. Selain itu, kitab ini
menjadi sumber rujukan ulama’ di rantau alam melayu. Hasilnya lahirlah kitab Siyar assalikin
dan Hidayatul salikin serta lain-lain kitab tasawwuf yang ditulis oleh ulama’-ulama; kelahiran
Nusantara seperti ulama’ kelahiran Patani, Palembang dan semenanjung tanah melayu. Antara
pendorong Al-Ghazali menulis kitab ini ialah kerana kesedarannya yang tinggi terhadap
penyelewengan teori dan konsep fiqh serta tasawwuf dalam masyarakat. Kitab ini secara
terperinci menjelaskan hubung kait antara fiqh dan tasawwuf.

Metodologi Al-Ghazali ketika menulis kitab ini ialah dengan merujuk pertamanya kepada
sumber primer iaitu Al-Quran dan Sunah. Kemudian diikuti dengan athar-athar sahabat dan
tabi’in. Setelah merujuk pada sumber primer dan sekunder barulah Al-Ghazali mengutarakan
pemikirannya terhadap konsep yang ditulisnya. Kehadiran kitab Ihya’ulumuddin memberi
implikasi besar dalam pengajian tasawwuf. Sumbangan ini adalah cukup besar dalam bidang
tasawwuf kerana Al-Ghazali telah memurnikan semula ilmu tasawwuf daripada kesesatan dan
bid’ah. Kitab Ihya’ulumuddin bukan sekadar membawa pembaharuan dalam bidang tasawwuf
bahkan membawa pembaharuan dalam bidang penulisan ilmu fiqh.

Jika diteliti, kita akan dapati Al-Ghazali menerokai metodologi penulisan baru fiqh yang
berasaskan kepada gabungan antara ilmu fiqh dan tasawwuf. Selain itu gaya bahasanya cukup
menarik dengan menggunakan susunan tatabahasa yang mudah. Di dalamnya kita dapat
membaca fiqh dan tasawwuf dalam waktu yang sama. Sebagai contoh, ketika menghuraikan
berkaitan solat, Al-Ghazali bukan sekadar menulis berkaitan teori dan amali perlakuan solat
berserta rukun-rukunnya, bahkan beliau juga menekankan soal kehadiran hati, khusyuk dan
khuduk dalam perlakuan solat.  Perbahasan berkaitan kehadiran hati, khusyuk dan khuduk
adalah intipati daripada ilmu tersebut. Selain itu, ketika Al-Ghazali menulis berkaitan muamalat.
beliau bukan sahaja mengkhususkan berkaitan teori jual beli dan untung, bahkan beliau menulis
berkaitan dengan keperluan-keperluan kaum muslimin yang perlu dipenuhi sebagai tuntutan
fardu kifayah dan mutiara nasihat kepada pembekal dan pembeli ketika melaksanakan urusan
muamalat.
11

“Sebahagian ilmu tidak akan menyerah dirinya kepada kamu sebelum kamu menyerah
sepenuh jiwa raga kepadanya. Apabila kamu telah menyerah sepenuh jiwa raga kepadanya,
sebahagian ilmu diberikan kapada kamu, namun sebahagian lagi masih belum tentu untuk
menerima kamu.”

Melalui ungkapan ini, Al-Ghazali menekankan bahawa seseorang yang ingin menuntut ilmu
haruslah membersihkan hati mereka daripada pekerti buruk dan unsur negatif. Malahan
kesucian jiwa dan kemuliaan akhlak merupakan asas untuk memperoleh kesucian ilmu dan
keberkatan daripada Tuhan supaya dapat dimanfaatkan untuk diri dan orang lain. Aktiviti
pembelajaran juga dianggap sebagai satu ibadah dan tujuannya adalah supaya seseorang
dapat mendekatkan diri dengan penciptanya. Selain itu, proses mencari ilmu tidak dapat
berjalan lancar sekiranya hati seseorang dipenuhi dengan sifat-sifat negatif seperti marah,
dengki, takbur, bongkak, dan sebagainya.

 Oleh yang demikian, individu yang menuntut ilmu pengetahuan haruslah mengurangkan
hubungan dengan dunia, kaum keluarga, dan kampung halaman. Pada pendapatnya, perkara-
perkara seperti ini boleh mengganggu tumpuan dan melalaikan seseorang dari mencari ilmu
dengan lebih gigih lagi, terutamanya jika sibuk dengan hal-hal keduniaan. Begitu juga dengan
Ibnu Khaldun yang mengatakan bahawa pendidikan seseorang akan menjadi lebih sempurna
dengan cara merantau untuk mencari ilmu. (meninggalkan kampung halaman).

Setiap pelajar tidak boleh menceburi diri ke dalam sesuatu disiplin ilmu baru sebelum
mempelajari secara sempurna disiplin ilmu terdahulu. Ini disebabkan disiplin ilmu adalah
tersusun secara sistematik di mana sebahagian ilmu berkait antara satu sama lain. Pendapat
seperti ini turut ditegaskan oleh Ibnu Khaldun, yang menyebut bahawa pengajaran ilmu kepada
pelajar hanya akan dirasakan berkesan apabila dilakukan secara beransur-ansur dan sedikit
demi sedikit. Hal ini dikatakan kerana seseorang belum tentu memahami sesuatu ilmu pada
peringkat awal pembelajaran.

Selain itu, Imam Al-Ghazali juga menyarankan agar seseorang menuntut ilmu secara tertib
mengikut keutamaan. Maknanya, kita perlulah menuntut ilmu yang paling penting dahulu kerana
dikhuatiri umur tidak panjang. Ilmu-ilmu inilah yang menjadi bekalan untuk menyempurnakan
ilmu mulia iaitu ilmu akhirat.
12

Semua pandangan atau pemikiran yang dibawa oleh Al-Ghazali ini telah ditulis di dalam
karyanya Ihya Ulumuddin yang mana dalam bentuk nasihat kepada anak muridnya serta
nasihat kepada pendidik. Nasihat dan pandangan ini memberi sumbangan yang terbesar dalam
pendidikan. Secara keseluruhannya dapat disimpulkan bahawa ilmu pengetahuan memang
penting dan amat perlu dalam diri setiap insan. Pandangan-pandangan dan penekanan Al-
Ghazali dapat dijadikan ikutan yang baik dalam menjalani proses pendidikan tidak kira apa topik
sekalipun selagi ianya membawa kebaikan dan faedah bersama. Imam Al-Ghazali mengatakan
ilmu dapat dipelajari melalui pancaindera, namun didapati bahawa ilmu yang dipelajari ini palsu
apabila kita mempelajarinya secara dekat. Sebagai contohnya apabila kita melihat bintang, kita
mendapati ia sebesar wang satu dinar sahaja. Tetapi berdasarkan ilmu ukur, kita mendapati ia
lebih besar dari bumi. Beliau juga telah menjelaskan kelemahan mata di mana salah satunya
ialah mata tidak mampu melihat objek yang terlalu jauh atau terlalu dekat. Oleh itu, ilmu
berdasarkan pancaindera bukanlah ilmu yang hakiki.

Seterusnya beliau telah meletakkan kepercayaan kepada kemampuan akal untuk


mendapatkan ilmu. Al-Ghazali membandingkan kemampuan akal adalah lebih bermakna jika
dibandingkan dengan pancaindera. Al-Ghazali menyatakan walaupun akal mempunyai ‘daya
lihat’ namun masih banyak lagi hal yang tidak terjangkau oleh akal. Oleh itu, akal perlu
dirangsang, digerakkan dan diberi perhatian. Al-Ghazali juga menyatakan bahawa ilmu juga
diperolehi melalui hati. Cara ini bersifat rohani sepenuhnya tanpa apa-apa hubungan dengan
dunia iaitu tidak melibatkan proses deria zahir dan akal. Memperolehi ilmu dengan hati dengan
menutup pancaindera dan mengasingkan diri untuk menjernihkan akhlaknya.

Menurut Al-Ghazali, sumber ilmu berdasarkan wahyu adalah paling utama. Al-Quran juga
menegaskan bahawa sumber ilmu lain jika diiringi dengan kajian dan orientasi yang betul akan
dapat menyempurnakan kebenaran ilmu wahyu kerana ilmu ini berasal daripada sumber ilmu
yang sama iaitu Allah S.W.T. Selain itu, Al-Ghazali juga telah mengklasifikasikan keseluruhan
disiplin ilmu kepada dua iaitu ilmu-ilmu praktis (muamalat) dan ilmu-ilmu spiritual. Dari segi
metodologi pengajaran, Al-Ghazali tidak mengemukakan satu kaedah pengajaran yang khas
tetapi beliau mempunyai beberapa prinsip yang harus dipegang oleh pelajar dan pendidik
dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Disamping itu, Al-Ghazali juga telah menekankan
keperluan pendidikan pada peringkat awal dan peranan bagi perkembangan dan pendidikan
selanjutnya. Al-Ghazali juga banyak memberikan sumbangan dalam pendidikan Islam.
13

Berhubung dengan masalah mencari ilmu pengetahuan,al-Ghazali menjelaskan semua ilmu


yang dicari oleh manusia datangnya daripada Allah SWT. Tegasnya Allah SWT adalah guru
yang utama, Jibril adalah guru yang kedua dan guru yang ketiga adalah Nabi Muhammad saw.
Semua manusia mendapat ilmu dari para nabi. Tidak seorang pun yang terkecuali daripada
proses ini (Hamid Fahmy Zarkasyi : 1990). Menurut al-Ghazali guru ialah seseorang yang
menyampaikan sesuatu kepada orang lain atau kepada pelajarnya. Dalam definisi lain al-
Ghazali menyatakan guru ialah seseorang yang menyampaikan sesuatu yang baik, positif,
kreatif atau membina kepada seseorang yang berkemahuan tanpa mengira peringkat` umur,
dengan pelbagai cara dan kaedah tanpa mengharapkan ganjaran.

Pada pendapat saya, saya berasa amat kagum dengan ketokohan Imam Al-Ghazali sebagai
Hujjatul Islam dan Pembaru dalam agama. Ternyata tiada siapa yang mampu untuk mengatasi
beliau dari sudut ilmu dan pengamalan pada zaman itu. Dua gelaran yang diberikan kepada
beliau adalah amat bertepatan dan kena pada ketokohan beliau. Telah dinyatakan sebelum ini
beliau bukanlah seorang penuntut ilmu yang hanya mampu mempelajari sesuatu ilmu dari guru
kemudian menulis dan menghafalnya sahaja, bahkan beliau melampaui batas-batas
pemerolehan ilmu seperti itu, beliau telah pergi jauh sehingga mampu untuk mengcungkil dan
mengorek segala permasalahan dan segala kepincangan dalam sesuatu bidang ilmu itu.
Ternyata pemikiran beliau dapat mengatasi ilmuan-ilmuan pada zaman itu.

Sekiranya beliau masih ada pada zaman kini, beliau pasti menjadi seorang tokoh ilmuan yang
cukup hebat dari sudut ilmu dan pengamalan. Dengan kecanggihan ilmu teknologi dan
komunikasi serta pemerolehan maklumat tanpa sempadan kini pasti akan digunakan
sepenuhnya oleh beliau untuk menggali segala ilmu dan pengetahuan tanpa terhenti dalam
satu bidang sahaja sebagaimana yang ada pada tokoh ilmuan pada masa kini. Tidak mustahil
dengan kecanggihan ilmu yang ada, beliau mampu menulis lebih banyak buku hasil gabungan
pengajian islam dengan bidang-bidang lain seperti ekonomi, sosial, politik, hubungan
antarabangsa, geografi, sains dan bidang-bidang lain. Sudah tentu buku-buku yang
dihasilkannya menjadi sumber rujukan di seluruh pelosok dunia kerana saya menyedari bahawa
apabila Al-Ghazali mendalami sesuatu bidang pengetahuan sudah pasti beliau menjadi seorang
yang menguasai bidang tersebut dengan izin Allah mengatasi cerdik pandai yang telah lama
berada dalam bidang tersebut.
14

Ini dapat dibuktikan dalam setiap ilmu yang diceburinya sentiasa ada pemikiran-pemikiran
baru yang bersifat pembaharuan atau pengembangan konsep yang dikemukakan oleh ilmuan
terdahulu sebelumnya. Semoga pada zaman ini akan lahir ilmuan-ilmuan Islam yang mampu
menguasai ilmu sebaik Al-Ghazali. Masyarakat Islam menanti dengan penuh harapan
kehadiran ilmuan Islam yang boleh digelar sebagai Al-Ghazali 2. Al-Ghazali telah lama pergi,
ulama’ datang silih berganti, namun sukar mencari pengganti, sebijak Al-Ghazali.

Selain itu pada masa kini masih dapat mengetahui bahawa banyak kaedah Imam Al- Ghazali
dapat digunakan seperti, kaedah perbandingan. Kaedah ini digunakan dalam pengajaran,
perbincangan untuk membuktikan kebenaran fikiran dan kepercayaan mereka kepada karya-
karyanya. Dalam kitab Ihya Ulum Ad-Din, Imam al-Ghazali menerangkan perbezaan pendapat
di kalangan cerdik pandai tentang kebaikan dan keburukan akhlak. Selain itu, kaedah halaqah.
Kaedah ini terus menerus digunakan oleh yayasan pendidikan dalam dunia Islam. Semenjak
bermulanya dakwah Islamiah, para pelajar mengelilingi gurunya dalam separa bulatan untuk
mendengar syarahannya. Imam Al-Ghazali juga melaksanakan kaedah halaqah semasa
menyampaikan ilmu kepada penuntut-penuntutnya di sekolahnya. Sekolah tersebut didirikan
berhampiran dengan rumahnya untuk penuntut-penuntut ilmu dan juga sebagai persinggahan
ahli sufi.

Selain itu ialah,kaedah petunjuk. Kaedah ini digunakan semasa menanamkan dasar-dasar
agama kepada anak-anak. Imam al-Ghazali memulakan dengan meniru, iaitu menunjuk cara
kepada anak-anak, diikuti dengan meyakini dan menguatkan dengan dalil-dalil, membaca ayat
Al-Quran dan menerangkan kandungan serta maknanya. Selain itu,kaedah dialog atau
perbincangan. Kaedah ini melalui soal jawab untuk sampai kepada fakta yang tidak dapat
diragukan, dikritik dan dibantah lagi. Imam Al-Ghazali pernah menggunakan kaedah
perbincangan dan dialog bagi mendalamkan lagi kefahaman seseorang terhadap ilmu
pengetahuan. Kaedah ini dapat mengasah otak dan memperkuatkan pendapat di samping
kepercayaan kepada diri sendiri dan berkemampuan berbicara tanpa teks.
15

Kesimpulannya, Al-Ghazali memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ilmu


falsafah Islam. Imam Al-Ghazali adalah seorang yang gigih dalam menuntut ilmu dan
menyebarkan ilmu pengetahuan. Kita sepatutnya mencontohi beliau dalam kedua bidang
tersebut. Beliau telah memberi sumbangan yang besar dalam tamadun ilmu. Karya-karyanya
menjadi rujukan sehingga ke hari ini. Seharusnya kita semua ingat bahawa kaedah-kaedah
pengajaran yang diamalkan di seluruh dunia kini adalah berpunca daripada Al-Quran dan
Sunnah.

Kitab tulisan Al – Ghazali

Kubur Al- Ghazali


16

3.0 REFLEKSI

Bersyukur kepada tuhan kerana setelah bertungkus lumus berusaha akhirnya saya
berjaya menyempurnakan tugasan projek ini. Sepanjang proses penyelesaian tugasan ini, saya
melalui pelbagai rintangan dan cabaran serta memerolehi pengalaman baharu. Akhirnya
dengan bimbingan pensyarah, saya telah menyiapkan tugasan projek ini.

Tugasan projek ini merupakan satu cabaran kepada saya. Saya perlu membuat
persembahan grafik dengan menggunakan peta minda i-think dengan merujuk buku Tamadun
Islam dan Tamadun Asia ( TITAS ). Ini merupakan kerja kumpulan. Setelah siap menjawab
soalan satu iaitu persembahan grafik, saya perlu menganalisis pandangan seorang tokoh
pilihan berdasarkan karyanya. Soalan kedua ini merupakan soalan individu. Bagi menjawab
soalan kedua ini, saya dapat memilih tokoh Al-Ghazali dari tamadun Islam. Kami sekelas
memilih tokoh-tokohnya dengan membuat undian. Saya berasa kagum kerana saya dapat
berjaya menjawab soalan kedua ini iaitu menganalisis pandangan tokoh pilihan saya.

Pada awalnya, saya berasa keliru dan takut kerana ini merupakan satu soalan yang sukar.
Ini merupakan satu cabaran bagi saya. Apabila siap mengundi tokoh-tokoh untuk menganalisis,
di dalam kelas, saya bertungkus-lumus untuk mencari maklumat mengenai tokoh pilihan saya
melalui internet, buku-buku rujukan dari pusat sumber IPGKRM. Bukan sekadar internet dan
buku sahaja saya memilih sebagai rujukan. Tambahan pula, saya mencari maklumat mengenai
tokoh pilihan saya di Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ), surat khabar dan juga berbincang
dengan rakan-rakan yang mengambil subjek Sejarah sebagai subjek minor mereka. Rakan-
rakan dari unit Bahasa Tamil dan Bahasa Melayu semester 1 banyak membimbing dan
membantu saya dengan memberi pelbagai bantuan seperti memberi maklumat mengenai tokoh
Al-Ghazali semasa perbincangan.
17

Tambahan pula, Pensyarah saya En. Abdul Hadi Bin Sulaiman ( Ustaz ) turut membimbing saya
untuk menyelesaikan tugasan ini. Beliau membimbing saya untuk mencari maklumat-maklumat yang
perlu. Dengan maklumat yang diperolehi, saya cuba menulis esei bagi menjawab soalan dua ini.
Dengan menjawab soalan ini saya dapat mengenali secara mendalam tentang Imam Al-Ghazali.
Beliau merupakan seorang tokoh dari tamadun Islam. Beliau juga digelar sebagai ahli falsafah.
Dengan kerja menganalisis tentang beliau saya dapat banyak maklumat mengenai Imam Al-Ghazali.
Nama sebenar beliau adalah Abu Hamad Muhammad bin Muhammad bin Ahmad. Imam Al-Ghazali
dilahirkan pada tahun 450 Hijrah bersamaan dengan 1058 Masihi di at- Taabiran/Ghazalah di bandar
Tus, Khurasan (Iran).

Beliau digelar "Al-Ghazali" bersempena dengan gelaran bapanya yang bekerja sebagai pemintal
bulu kambing (al-Ghazzal). Beliau berasal dari keluarga yang miskin. Bapanya merupakan seorang
ahli Sufi yang sangat warak. Bapanya mempunyai cita-cita yang tinggi iaitu ingin melihat anaknya
menjadi orang alim dan soleh. Beliau meninggal dunia pada hari Isnin 14 Jamadilakhir tahun 505
Hijrah ( 1111M) di Tus dan jenazahnya dikebumikan di tempat kelahirannya. Selain itu, Imam Al-
Ghazali mempunyai daya hafalan dan ingatan yang kuat dan bijak berhujah. Beliau juga menguasai
berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan. Imam Al-Ghazali sangat mencintai ilmu pengetahuan.
Beliau juga telah mengarang lebih kurang 300 buah buku.

Dengan menyiapkan tugasan ini saya dapat mengembangkan ilmu saya tentang latar belakang
tamadun Islam. Saya dapat mengenali tentang tokoh tamadun Islam iaitu Al-Ghazali. Saya juga telah
dapat mengetahui tentang latar belakang beliau serta sumbangan beliau dalam tamadun Islam. Saya
juga dapat mengenali apa yang dimaksudkan dengan tamadun menurut pandangan Imam Al-
Ghazali. Melalui membuat penganalisasan tentang beliau, saya dapat mengetahui tentang sejauh
manakah pengajaran Islam yang diasaskan oleh Imam Al-Ghazali terlibat dengan pembinaan
tamadun Islam. Ia diasaskan berasas kepada ajaran-ajaran Islam yang mulia yang membantu
masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang penuh dengan kebenaran dan kerukunan. Selain
itu, Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa, untuk mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di
akhirat, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu dan diamalkan dengan baik dan ikhlas hanya
kerana Allah S.W.T. Melalui mengetahui maklumat sebegini, saya dapat merumuskan bahawa
sesuatu tamadun harus mempunyai masyarakat yang mengamalkan corak kehidupan yang berakhlak
moral.
18

Dengan tugasan ini saya dapat tahu , Imam Al-Ghazali adalah seorang ahli fikir Islam yang telah
meninggalkan jasa yang dapat di nilai melalui hasil-hasil karyanya. Saya juga dapat mengenali
bahawa dalam bidang keagamaan sumbangan Al-Ghazali paling terkenal dan telah dihuraikan oleh
ramai ulama selepasnya ialah Kitab Ihya’ Ulumuddin yang menghidupkan ilmu-ilmu agama. Imam
Al-Ghazali dapat mengarang buku ini ketika beliau berumur 50 tahun. Buku itu membicarakan secara
jitu dan terperinci berkenaan jiwa dan agama. Kitab ini dikatakan masih menjadi pegangan umat
Islam sekarang. Tambahan pula, saya dapat tahu bahawa beliau bukan sahaja lebih terkenal dalam
bidang falsafah dan keagamaan, beliau juga dikaitkan dengan sains politik. Fakta ini dapat dibuktikan
bahawa Al-Ghazali pernah belajar ilmu sains politik daripada gurunya, Imam Juwaini, yang pernah
bertugas sebagai imam di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah.

Melalui menyelesaikan tugasan ini, saya juga dapat mengenali bahawa kepelbagaian dalam
masyarakat menyumbangkan unsur-unsur kontradiksi , berpaduan dan tidak bersatu padu .Tamadun
Islam juga menekankan dan mengutamakan nilai perpaduan antara masyarakat. Selain itu, saya juga
dapat mengetahui bahawa pertembungan budaya tamadun Islam dengan Malaysia telah banyak
mempengaruhi dalam pembinaan Malaysia. Ia telah mengakibatkan Malaysia mempunyai banyak
persamaan dengan tamadun Islam dari segi aspek politik, sosial, dan pendidikan. Kesemua aspek
tersebut saling mempunyai persamaan di antara tamadun Islam dan tamadun Malaysia. Cara
pemikiran dan cara pengamalan hidup di Malaysia juga telah mempunyai pengaruh tamadun Islam
yang mengakibatkan tamadun Malaysia mempunyai persamaan dengan tamadun Islam.

Kemudian, kejayaan tamadun Islam dalam aspek pendidikan juga telah banyak
mempengaruhi pembinaan tamadun Malaysia. Penekanan kepada ilmu pengetahuan dan
pendidikan. Melahirkan ramai ulama-ulama Islam. Selanjutnya, saya juga dapat mengetahui
bahawa kita sentiasa harus berbuka minda untuk menerima segala perubahan dan budaya
yang diterap dalam budaya yang sedia ada.Ia membantu kita untuk mengelakkan diri daripada
keselisihan faham dan pergaduhan.Melalui berbuat demikian, kita boleh melahirkan generasi
yang sanggup berfikiran luas untuk lebih mentamadunkan seuatu negara.

Seterusnya, saya juga dapat mengenali bahawa memperoleh ilmu pengetahuan dalam
golongan masyarakat sesuatu tamadun amat penting dalam pembinaan tamadun.Ia dapat
19

melakukan perubahan dalam aspek sosial melalui melahirkan masyarakat yang boleh
berfikir.Ini dapat membantu untuk pembinaan sesuatu tamadun.

Saya juga telah dapat mengenali aspek-aspek yang dapat mempengaruhi sesuatu
pembinaan tamadun. Mengikut kefahaman aspek-aspek seperti politik , pendidikan, agama
dan kepercayaan , dan sosial dapat mempengaruhi sesuatu pembinaan tamadun.Perubahan-
perubahan yang berlaku dalam dalam aspek-aspek politik, pendidikan , agama dan
kepercayaan serta sosial telah membuka ruang kepada sesuatu tamadun untuk lebih maju
dan menjadi lebih bermoden.

Selain daripada diatas, saya juga dapat mengenali bahawa tokoh-tokoh yang terdapat
dalam tamadun Islam telah banyak memberi sumbangan untuk menjadikan tamadun tersebut
lebih bermoden. Mereka telah memberi banyak pendapat dan juga telah banyak melakukan
perubahan dalam aspek-aspek seperti politik , pendidikan , agama dan kepercayaan serta
sosial dalam pembinaan tamadun. Bukan setakat itu sahaja , tetapi mereka juga telah
membuka ruang kepada pembinaan tamadun lain seperti pembinaan Malaysia untuk
menjadikan perubahan-perubahan tersebut sebagai asas kepeda pembinaan tamadun
masing-masing.

Kemudian, saya sebagai seorang guru pelatih saya juga dapat mengenali bahawa kita
perlu menyesuaikan diri dengan keadaan supaya dapat menghadapi dengan dunia yang
makin berubah-ubah. Tamadun Islam dan tamadun Malaysia telah melakukan banyak
perubahan untuk mentamadunkan negara masing-masing supaya dapat bertanding negara
yang makin berkembang. Begitu juga dengan seorang guru. Guru harus sentiasa melakukan
perubahan dan juga harus menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku supaya dapat
meningkatkan pencapaian.

Tugasan ini memberikan impak yang positif kepada saya. Saya dapat menjelaskan tentang latar
belakang kebudayaan ,pemikiran dan sejarah kemajuan tamadun bangsa-bangsa di dunia. Walaupun
20

pelbagai halangan yang saya hadapi namun dengan pembimbingan pensyarah saya dan juga
bantuan dari rakan sekelas serta idea baharu yang didapati semasa perbincangan dalam kumpulan,
saya berjaya menyiapkan tugasan ini dengan sempurna sekali. Pada pendapat saya,tugasan ini
sangat penting kerana saya dapat tahu dengan lebih mendalam mengenai tamadun Islam dan juga
mengenai Imam Al-Ghazali. Ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga.

Melalui projek ini juga saya dapat memupuk nilai kreativiti yang sememangnya diperlukan
oleh seorang guru. Selain itu tugasan ini juga mengajar saya menguruskan masa dengan baik
kerana perlu mengagihkan masa untuk projek-projek yang perlu diserahkan pada tarikh yang
ditetapkan. Sepanjang menyiapkan tugasan ini pelbagai masalah dan kesukaran telah saya
hadapi. Saya terpaksa membuat beberapakali penambahbaikan bagi memastikan tugasan ini
benar-benar cemerlang dan bermanfaat. Sesungguhnya kesabaran saya benar-benar diuji bagi
menyiapkan tugasan ini namun berkat usaha tanpa jemu serta sokongan dari pelbagai pihak
akhirnya tugasan ini berjaya disiapkan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada
pensyarah saya, beliau banyak membimbing saya dan memberi taklimat tugasan projek yang
jelas. Segala pengajaran yang diberi oleh beliau, saya amat menghargainya, Sekian terima
kasih.

Disediakan oleh,

_______________

LOGESWARAN A/L BHASKARAN

Anda mungkin juga menyukai