Gejala gengsterisme semakin menjadi-jadi pada masa ini. Keadaan ini amat
membimbangkan masyarakat keseluruhannya. Bincangkan langkah-langkah yang boleh
diambil untuk membendung gejala ini daripada terus menular.
Antara langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan masalah ini ialah ibu bapa
mestilah memantau dan mengambil berat dengan setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-
anak. Hal ini demikian kerana pada masa ini ibu bapa lebih banyak mementingkan kerjaya
dan wang berbanding meluangkan waktu bersama-sama anak-anak di rumah bak kata
pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Lantaran itu, anak-
anak akan mudah untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Selagi ibu bapa kurang
memberikan perhatian kepada anak-anak, selagi itulah perkara ini tidak boleh diselesaikan.
Selain itu, setiap individu mestilah pandai dalam memilih rakan. Hal ini demikian kerana
remaja pada masa ini lebih banyak membazirkan waktu mereka bersama-sama rakan-rakan
sebaya hanya untuk menginginkan kebebasan. Implikasinya, remaja-remaja akan terjerumus
dalam melakukan aktiviti yang tidak sihat. Tamsilnya, mereka akan mengikut kumpulan-
kumpulan gangster dan sebagainya. Jika perkara sebegini masih berleluasa maka kes-kes
seperti ini tidak akan berkurangan.
Di samping itu, pihak kaunselor sekolah juga perlulah mengambil inisiatif dalam
membendung masalah ini dengan cara mengadakan program yang berkaitan dengan
masalah pelajar di sekolah. Hal ini disebabkan kerana remaja sekarang lebih suka
membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah berbanding
menyertai program yang memberi keinsafan dan pengajaran. Dengan ini, pelajar yang
bermasalah akan berminat untuk menyertai program yang diadakan ini. Sebagai contoh,
guru kaunselor mestilah dapat menarik minat pelajar-pelajar tersebut dengan cara berjumpa
dan memberi nasihat kepada pelajar itu. Dengan adanya cara sebegini, remaja-remaja akan
berubah dan insaf jika mengikuti program tersebut.
Institusi keluarga biasanya terbentuk daripada kelompok yang paling asas, iaitu
ayah, ibu, dan anak-anak. Sementara itu, gejala sosial merujuk kepada perkara-perkara
negatif yang dilakukan oleh sesiapa saja. Gejala sosial yang melanda masyarakat kita hari
ini berkait rapat dengan nilai kehidupan dalam institusi keluarga. Banyak pihak yang
berpendapat bahawa kanak-kanak yang dididik dengan baik dapat meryerapkan nilai-nilai
murni sebagai persiapan untuk menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Salah satu usaha pengukuhan institusi keluarga terletak pada usaha pemupukan
semangat yang kental. Melalui cara ini, benteng bagi menangkis sebarang masalah sosial
yang melanda masyarakat kita dewasa ini akan wujud. Antara masalah sosial itu
termasuklah masalah penyalahgunaan dadah, perlakuan sumbang mahram, kes
pembuangan bayi, jenayah perogolan yang membabitkan pelajar, dan gejala laku musnah.
Oleh itu, setiap anggota keluarga perlulah berganding bahu untuk memastikan
bahawa semangat yang kental terjelma dalam kalangan anggota keluarga dan
akhirnya dapat mengelak daripada gejala-gejala sosial.
Selain itu, melalui usaha pengukuhan institusi keluarga, ibu bapa perlu diberi
pendedahan tentang kemahiran keibubapaan. Hal ini demikian kerana kemahiran
keibubapaan bagi sesesetengah ibu bapa amat terhad. Antara kemahiran yang dapat
diterapkan termasuklah komunikasi efektif, mesra keluarga, nilai kekeluargaan, toleransi,
keibubapaan cemerlang, dan kasih sayang. Penerapan ciri-ciri tersebut dalam kehidupan
alam rumah tangga dapat membentuk keluarga bahagia. Oleh yang demikian, dengan
sendirinya anak-anak remaja tidak akan terdorong untuk keluar rumah mencari
keseronokan yang berkemungkibnan mendedahkan gejala-gejala negatif kepada
mereka.
Kesimpulannya, masalah sosial perlu ditangani segera. Jika tidak ditangani segera,
masalah ini pasti akan menggugat kestabilan masyarakat dan negara. Peranan ibu
bapa dan anggota keluarga amat penting untuk melahirkan anak yang mampu
menangani segala dugaan dan cabaran ini. Tegasnya, pengukuhan institusi
keluarga tetap menjadi benteng utama demi menghadapi pelbagai masalah sosial
dewasa ini.
Soalan Contoh:
Pencemaran alam telah menjadi satu isu global yang diputuskan oleh Perhimpunan Bangsa-
bangsa Bersatu. Impak ini memberi kesan yang ketara kepada manusia terutama di
Malaysia.
Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan langkah mengatasinya.
Pencemaran alam memang telah menjadi satu ancaman utama dalam pembangunan
manusia sejagat. Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengakui berlakunya
perubahan cuaca dunia akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah membuktikan
masalah ini semakin kronik. Pencemaran alam memang disebabkan oleh sikap manusia itu
sendiri sehingga menyebabkan banyak impak negatif yang timbul. Agaknya manusia tidak
serik melihat kemusnahan yang mereka lakukan selama ini?
Tambahan pula, kejadian tanah runtuh dan banjir serta jerebu membawa keadaan
kesihatan masyarakat yang kurang baik.Kejadian demam, batuk dan wabak penyakit yang
merebak menyebabkan kos rawatan perubatan masyarakat kita terus meningkat. Keadaan
ini sudah pasti membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah yang
terpaksa memikirkan keseinambungan hidup selain mendapatkan rawatan penyakit mereka.
Jadi,pencemaran alam memang memberi impak yang ketara dalam kehidupan kita.
Lantaran itu, masyarakat kita terutama generasi muda yang dilahirkan ialah
generasi yang sudah terdedah dengan pencemaran alam. Generasi muda kita ialah generasi
yang sudah ‘sakit’. Jadi, tidaklah kita terkejut apabila kita sering mendapat khabar tentang
golongan belia yang tidak mampu untuk mengharungi cabaran alam yang memerlukan
ketahanan fizikal yang tinggi. Generasi muda mudah berasa penat dan tidak mampu
menyelesaikan masalah fizikal yang mereka tempuhi. Mungkin juga generasi muda kita
kekurangan kemahiran mendengar atau mempunyai penyakit lelah sejak kecil.
Imej negara sudah pasti akan terjejas terutama pada mata masyarakat antarabangsa.
Pada mereka sikap masyarakat negara ini yang tidak peka yang menyebabkan alam kita
tercemar begitu teruk. Kita dipandang sebagai masyarakat materialistik kerana terlalu
ghairah memusnahkan alam semata-mata untuk mengaut keuntungan kebendaan.
Kehadiran pelancong turut berkurangan bukan sahaja imej negara tetapi kurangnya
kawasan untuk dilawati akibat pencemaran alam ini.
Mungkin langkah yang terpenting dalam menangani isu ini ialah kerajaan
menguatkuasakan akta yang lebih tegas dan berat hukumannya. Kerajaan hendaklah berani
mengambil tindakan bersama-sama menghukum pesalah pencemaran alam ini tanpa rasa
segan silu. Kerajaan perlulah mempamerkan sikap yang telus dalam memastikan alam kita
terus terbela. Kerajaan merupakan benteng pertama negara dalam menentang pencemaran
alam.
Kesimpulannya, semua pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan
mereka. Alam bukanlah hak kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi
akan datang. Jadi, alam bukan satu anugerah tetapi satu tanggung jawab yang memerlukan
pengorbanan masyarakat untuk memastikan alam terus menerus diwarisi oleh manusia
sejagat. Mungkin kali ini kita akan berjaya menangani kemelut yang semakin mencengkam
ini.
Soalan Contoh:
Gaya hidup sihat satu amalan yang murni.
Nyatakan cara-cara mencapai gaya hidup sebegini.
Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa
impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan
yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang
masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah
pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi
satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh
dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
Tindakan awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu diet pemakanan yang
seimbang dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, ramai yang suka
mengambil satu jenis makanan sahaja seperti hanya memakan daging tanpa mengambil
sayur dalam diet mereka. Ketiadaan diet yang seimbanglah atau hanya menumpukan
pemakanan mereka terhadap satu aspek sahaja yang menyukarkan seseorang untuk
mencapai matlamat gaya hidup yang baik ini. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan
kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria kerana semua zat yang diperlukan oleh
badan diperoleh menerusi pemakanan yang baik itu.
Selain itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani
oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti berjalan atau
berlari bersendirian atau melakukan aktiviti bersukan bersama-sama keluarga atau ketika
hujung minggu untuk mendapatkan senaman sebegini. Aktiviti senaman sudah lama diakui
oleh pakar perubatan mampu menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih stabil dan
baik serta menjadikan sistem imunisasi mereka lebih tinggi. Maka, semakin kerap senaman
dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda yang cerdas
datangnya daripada badan yang cergas.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu.
Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain
didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian
atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama
mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Sesungguhnya,
aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi untuk memperoleh gaya hidup yang sihat
ini.
Pada masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting dimiliki oleh seseorang itu
untuk menangani tekanan kehidupan moden. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang
itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa
tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat
memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Maka, semakin positif minda
seseorang itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
Kesimpulannya, gaya hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan
yang dipaparkan tadi. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan
gaya hidup sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita
semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
Soalan Contoh:
Aktiviti kokurikulum berperanan untuk melahirkan remaja yang berwawasan dan
berdisiplin.Berikan pendapat anda tentang perkara tersebut.
Aktiviti kokurikulum merujuk aktiviti yang luar darjah yang melibatkan aktviti yang
berpersatuan, lasak dan mungkin kemahiran tertentu. Kegiatan luar darjah ini berupaya
untuk memberikan satu perspektif baharu kepada pelajar dalam menjalani kehidupan
mereka di sekolah dan luar sekolah. Kelebihan kegiatan ini turut dipaparkan di dalam
pelbagai media massa di negara ini yang membuktikan manfaat menyertainya. Jadi,
pembabitan pelajar dalam kegiatan ini memang membawa pelbagai impak positif dalam
kehidupan mereka.
Sebenarnya, aktiviti kokurikulum memberikan pelajar satu keyakinan diri yang hakiki
menerusi pembabitan mereka dalam setiap aktiviti kokurikulum yang dijalankan itu.
Keyakinan diri ini timbul kerana setiap kali berjaya melaksanakan sesuatu tugasan itu
mereka akan menimba pengalaman yang memberi mereka satu jangkaan awal apabila
melakukan aktiviti lain pula. Sudah pasti perasaan ini memudahkan mereka untuk menjalani
kehidupan selepas sekolah yang lebih mencabar suasananya. Maka, penglibatan
kokurikulum memang memberi manfaat kepada seseorang pelajar itu.
Selain itu, pelajar yang melibatkan diri dalam kokurikulum turut memiliki tahap disiplin
diri yang tinggi dalam diri mereka. Pemilikan disiplin yang tinggi ini terhasil kerana semua
aktiviti kokurikulum memerlukan seseorang pelajar itu mematuhi beberapa peraturan tertentu
yang meliputii pakaian seragam, aktiviti, masa berlatih dan tempoh akhir untuk menyiapkan
sesuatu projek itu. Semua aktiviti ini hanya boleh dilakukan jika seseorang pelajar itu
mempunyai disiplin yang tinggi kerana masa untuk belajar dan beraktivti hanya boleh
diseimbangkan menerusi satu disiplin yang tinggi. Oleh itu, pelajar yang melibatkan diri
mereka secara aktif dalam aktiviti ini akan mempunyai satu sikap mementingkan disiplin
yang tinggi.
Malah, pembabitan pelajar dalam kokurikulum menghasilkan pelajar yang berhati mulia
dan baik. Rasa hormat kepada ibu bapa, guru dan rakan sebaya terhasil kerana setiap
aktiviti kokurikulum menekankan aspek menghormati orang lain. Kekerapan melakukan
aktivit ini secara tidak langsung akan menerapkan nilai-nilai kesopanan yang jitu dalam diri
mereka. Jelaslah, kokurikulum mampu membentuk pelajar menjadi pelajar yang memiliki ciri-
ciri sopan yang tinggi.
Mungkin satu impak positif kegiatan kokurikulum yang baik ialah aktiviti ini memberikan
pelajar satu sikap bersaing yang tinggi. Sikap persaingan positif ini menyebabkan pelajar
tidak gentar untuk menghadapi setiap cabaran yang mendatang. Mereka seolah-olah sudah
lali untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan dugaan dalam aspek alam
persekolahan atau kehidupan biasa mereka.
Konklusinya, pelajar yang melibatkan diri mereka dalam aktiviti kokurikulum akan
berjaya memiliki satu personaliti yang berkualiti tinggi. Semua ciri yang diutarakan di dalam
hujah ini akan membantu mereka untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan
dugaan yang besar ini. Cuma pelajar yang sebegini lebih mudah untuk menyelesaikan
masalah mereka itu. Slogan 'pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa” sesuai menjadi
pedoman kita dalam aspek ini.
Soalan Contoh:
Perkembangan Sains dan Teknologi menyebabkan ramai dalam kalangan kita mencari
maklumat melalui internet. Jelaskan kelebihan yang diperoleh apabila kita menggunakan
internet.
Antara faedah apabila kita menggunakan internet ialah kita mudah mendapat informasi
melalui laman-laman sesawang yang disediakan oleh pelbagai pihak. Sebelum adanya
internet kita terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mencari sesuatu maklumat yang
hanya terdapat dalam buku-buku atau media cetak yang lain. Oleh itu, kita boleh
mendapatkan sebarang maklumat dengan cepat tanpa perlu menghabiskan terlalu banyak
masa untuk mencarinya. Sebagai contoh, kita boleh mendapatkan maklumat mengenai
sesuatu perkara dengan hanya menaip kata kunci di bahagian kotak pencarian dan
maklumat tersebut siap untuk digunakan. Sememangnya, internet memudahkan kita
mendapat maklumat yang diperlukan menggunakan hanya hujung jari kita.
Selain itu, internet juga memudahkan kita berhubung dengan orang lain sama ada
melalui e-mel ataupun ruang sembang. Sebelum ini kita hanya bergantung kepada surat
yang mengambil masa yang agak lama untuk sampai kepada penerimanya ataupun telefon
untuk berhubung dengan orang yang jauh daripada kita. Dengan internet, kita dapat berutus
surat secara elektronik dan bersembang dalam alam maya dengan suasana yang lebih
kondusif dan pantas. Misalnya, terdapat pelbagai penyedia platform untuk kita mengutus
surat dan bersembang seperti “Yahoo Messenger” dan “Gmail”. Internet sememangnya telah
sedikit sebanyak telah mendominasi penghantaran surat pada hari ini.
Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa terdapat banyak faedah yang kita peroleh
sekiranya menggunakan kemudahan ini. Dengan demikian, kita hendaklah menguasai
teknologi ini dengan sebaik mungkin. Sekiranya kita menguasai teknologi ini, sudah tentu
kita tidak akan ketinggalan dalam menguasai ilmu yang semakin berkembang pesat ini.
Jelaslah bahawa internet telah membantu kita dalam banyak aspek kehidupan kita pada
masa ini.
Telefon bimbit sudah menjadi kemestian kepada setiap golongan masyarakat. Lebih-lebih
lagi, golongan remaja pada masa ini yang begitu ghairah menggunakan telefon bimbit.
Huraikan pendapat anda tentang kesan negatif penggunaan telefon bimbit kepada mereka.
Kebelakangan ini, isu penggunaan telefon bimbit merupakan suatu perkara yang tidak
asing lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Perkara yang menimbulkan pertanyaan
kepada kita adalah mengapakah telefon bimbit yang sepatutnya digunakan bagi
menyenangkan pengguna berubah menjadi suatu barang yang boleh memberikan unsur
negatif kepada mereka? Siapakah yang bertanggungjawab dalam menangani masalah ini
daripada terus berlaku? Segala persoalan ini kerap kali menerjah minda kita namun
penyelesaiannya masih belum ditemui. Adakah kerjasama yang diberikan oleh beberapa
pihak dalam membendung isu ini seperti ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat sekeliling
masih tidak mencukupi? Apakah kesan negatif yang akan timbul sekiranya golongan remaja
tersebut begitu ghairah menggunakan telefon bimbit?
Antara kesan negatif yang akan diperoleh sekiranya para remaja begitu ghairah
sewaktu menggunakan telefon bimbit ialah berlakunya kerosakan bahasa Melayu. Hal ini
berlaku demikian kerana golongan remaja ini gemar meringkaskan perkataan semasa
menggunakan Sistem Khidmat Pesanan (SMS) dengan alasan menjimatkan ruang pesanan.
Lantaran itu, golongan remaja yang sudah terbiasa menggunakan perkataan singkatan ini
akan turut menggunakan perkataan singkatan tersebut sewaktu sesi pengajaran dan
pembelajaran(P&P) di sekolah terutamanya dalam subjek-subjek yang memerlukan mereka
menulis atau mengarang. Tamsilnya, golongan remaja yang begitu ghairah menggunakan
telefon bimbit ini akan terbawa-bawa menggunakan perkataan singkatan tersebut semasa
mengarang essei sekaligus menjadikan bahasa Melayu terjejas. Oleh itu, keghairahan
penggunaan telefon bimbit dalam kalangan muda-mudi jelas merosakkan bahasa Melayu
sekiranya tidak digunakan dengan sebaik-baiknya.
Selain itu, kesan negatif yang akan diperoleh jika para remaja begitu ghairah sewaktu
meggunakan telefon bimbit ialah mereka akan kurang memberi tumpuan sewaktu menelaah
pelajaran di sekolah dan hilang minat untuk mengulang kaji pelajaran di rumah. Hal ini
berlaku bemikian kerana mereka terlalu taksub menikmati kecanggihan telefon bimbit
sehingga hilang fokus untuk belajar. Lantaran itu, prestasi akademik remaja tersebut akan
merosot dan keinginan mereka untuk terus belajar akan mula terhakis.
Tamsilnya,kemudahan-kemudahan yang di sediakan dalam telefon bimbit tersebut seperti
permainan, Sistem Khidmat Pesanan(SMS) dan sebagainya telah menjadikan mereka
menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut tanpa batasan. Oleh itu, penggunaan
telefon bimbit tanpa kawalan jelas menghilangkan minat golongan remaja untuk memberi
tumpuan kepada pelajaran mereka.
Penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan juga akan mendatangkan kesan negatif
kepada remaja tersebut seperti berhadapan risiko menerima maklumat palsu atau gambar
yang mencolok mata. Hal ini berlaku demikian kerana terdapat sebilangan individu yang
gemar menangguk di air keruh untuk kesenangan mereka sendiri. Justeru, remaja tersebut
akan berasa seronok tanpa menyedari pada hakikatnya mereka ditipu oleh individu yang
tidak bertanggungjawab. Tamsilnya, remaja tersebut akan berhabisan wang semata-mata
ingin menikmati tawaran-tawaran yang disediakan seperti gambar-gambar lucah yang kerap
menerjah dunia moden ini. Oleh itu, penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan jelas
memberikan kesan negatif kepada minda generasi muda hari ini.