Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
Jamaliah Malia Contoh karangan, Contoh karangan respon terbuka, PMR, SPM 18
comments
Karangan 1.
Acap kali negara kita menganjurkan sukan berprestij di dunia seperti Formula One,
LeTour De Langkawi, Sukan Komenwell dan sebagainya. Pecapaian Malaysia sebagai
penganjur tidak dapat dinafikan kehebatannya. Walaupun begitu, pencapaian Malaysia
sebagai peserta amatlah mengecewakan. Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha haruslah
dilakukan untuk memajukan sukan negara.
Punca utama para atlet tidak bergiat lama dalam bidang ini kerana tiada jaminan masa
depan kepada mereka. Oleh itu, suatu usaha harus dilakukan untuk menjamin masa depan
mereka. Terutama peluang pekerjaan jika berlaku kecederaan kepada mereka. Selain itu,
elaun dan pencen harus diberikan kepada mereka yang bergiat aktif dalam mewakili Malaysia,
tidak kira sama ada atlet tersebut menang ataupun kalah. Di samping itu, suatu organisasi
harus ditubuhkan untuk menjaga kebajikan atlet Malaysia.
Bak kata pepatah, meluntur buluh biar dari rebungnya. Oleh itu, untuk membentuk atlet,
pendedahan haruslah dimulakan dari peringkat kanak-kanak. Sekolah sukan haruslah dibina di
setiap daerah atau disetiap negeri. Sekolah sukan berkaitan pula dibina dari peringkat sekolah
rendah. Di sekolah tersebut, kelengkapan sukan haruslah lengkap. Segala ilmu seperti teknik
pernafasan yang betul diajar selain teknik menguasai permainan sukan yang dipilih. Subjek
sukan dimasukkan dalam silibus dan diuji, sama seperti ujian bagi mata pelajaran lain.Oleh
itu, pelajar tersebut akan memandang serius dalam subjek tersebut.
Di peringkat sekolah pula, Bulan kesukanan perlulah diadakan. Pelbagai aktiviti kesukanan
haruslah diadakan dan hadiah yang menarik pula perlulah ditawarkan sebagai ganjaran. Selain
itu, perlawanan persahabatan dalam sukan serta perlawanan peringkat sekolah haruslah
ditingkatkan untuk mencungkil bakat terpendam para pelajar yang seharusnya menjadi pelapis
atlet yang sedia ada. Sementelahan, kemudahan untuk sukan dan peruntukan untuk membeli
peralatan sukan haruslah disediakan selain galakan daripada pihak guru dan ibu bapa.
Konklusinya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk memajukan lagi sukan di negara
kita. Pihak Kerajaan haruslah giat menjalankan kajian untuk memantapkan lagi sukan negara.
Semua pihak termasuklah ibu bapa seharusnya memberi bimbingan dan galakan kepada anak-
anak yang berkecenderungan terhadap bidang sukan. Majulah sukan untuk negara.
Sumber: Karangan-Bahasa-Melayu
Karangan 2.
Sukan di negara ini mengalami zaman kemelesetan yang begitu ketara kerana tiada lagi
kejayaan yang diraih seperti awa tahun 50-an, 60-an atau 80-an. Keadaan ini telah
menimbulkan rungutan pelbagai pihak terutama peminat sukan di negara ini. Media massa
pula asyik mengeluarkan pelbagai teori dan langkah untuk menangani masalah sukan di
negara ini tanpa hasil jua. Jelaslah, ada pelbagai tindakan drastik yang boleh dilakukan oleh
semua pihak.
Sudah pasti perubahan minda masyarakat harus berlaku terutama persepsi mereka
terhadap sukan. Anggapan bahawa sukan tidak memberi apa-apa kesan atau tiada prospek
ekonomi harus dikikis dengan segera. Sukan sama juga seperti kerjaya lain jika dilakukan
dengan betul, sistematik dan tabah berupaya menyumbangkan sumber kewangan yang
lumayan kepada penggamalnya. Oleh itu, perubahan paradigma masyarakat hendaklah
berubah selaras dengan perubahan zaman yang mengutamakan sukan di peringkat global.
Selain itu, kerajaan harus memberikan ganjaran yang setimpal kepada ahli sukan yang
berjaya di dalam kejohanan peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Sumbangan dalam
bentuk kewangan atau pemberian latihan berupaya menyuntik semangat baru kepada ahli
sukan untuk berusaha mencapai kejayaan yang lebih baik lagi. Pemberian insentif ini juga
memberi satu harapan kepada golongan muda terutama kanak-kanak untuk mempunyai
impian menjadi ahli sukan dan menerima ganjaran itu. Jadi, ganjaran kepada ahli sukan
perlulah wujud dan usahlah kita menganggap pemberian ganjaran ini tidak penting dalam
pembangunan sukan negara.
Jika kita mahu memiliki kelompok ahli sukan yang ramai dan baik, sudah pasti pembinaan
kemudahan sukan ditingkatkan. Pembinaan stadium, gelanggang dan padang menjadikan
acara sukan lebih mudah dan murah untuk disertai oleh masyarakat di negara ini. Keadaan ini
menyebabkan kemahiran asas dalam sesuatu asas sukan itu sudah dimiliki oleh masyarakat di
negara ini dan hanya perlu digilap sahaja oleh jurulatih negara apabila tiba masanya.
Sesungguhnya, pembinaan kemudahan sukan menjamin negara memiliki satu kelompok ahli
sukan yang berwibawa.
Tambahan pula, negara boleh menganjurkan kejohanan sukan bertaraf dunia di negara ini.
Penganjuran sukan sebegini memberi peluang kepada ahli sukan negara untuk bersaing
dengan ahli-ahli sukan dunia yang sememangnya lebih baik. Persaingan yang hebat ini
menjadikan ahli sukan kita lebih fokus dan menyedari kelemahan serta mampu meningkatkan
kualiti diri mereka sejajar dengan pengalaman yang diperoleh. Maka, lebih banyak
penganjuran acara sukan dunia di negara ini, semakin bertambahlah mutu ahli sukan kita.
Sumber: norazmanmahat.blogspot.com
Karangan 3.
Sebagai wartawan sebuah majalahsukan, anda ditugaskan untuk menulis rencana yang
bertajuk“Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara”.
Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada Kejohanan Piala
Asia (AFC) serta tumbangnya jagoan badminton negara dalam Kejohanan Badminton Dunia
baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Itu
belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang, dan
sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada
peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif
dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika
bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran “jaguh kampung?” Ataupun atlet kita
kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa pun
pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk
meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi” dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.
Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak
jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan
persatuan-persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-
persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM),
dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara
“sebulat suara” ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari
pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi,
menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah “dianak tirikan” oleh mereka.
Kedangkalan ilmu tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku,
mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdulah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan
jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani
oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak
dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang
bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, bak kata pepatah,
“hanya jauhari yang mengenal manikam”.
Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi
nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing dan mampu mengibarkan
cabaran negara pada peringkat antarabangsa. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan
telah menyediakan peruntukan yang cukup banyak untuk menyokong program-program
pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut
Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti
kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini,
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman pernah menegur tentang cara pemakanan
para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang
dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola
sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan
program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus
ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992,
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan kebangsaan
yang mampu memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun
munculnya “gandingan emas”, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan
pasukan negara dalam Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu menterjemahkan segala-
galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus
berusaha. Dengan pengemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya “sinar di hujung
terowong” dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.
Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan
antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha
memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri di dalam situasi pertandingan yang
sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang
mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap
pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru,
penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman
dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian ratu
squasy negara, Nicole Ann David sehingga membolehkan beliau berada pada kedudukan
teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-
putus dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang
diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, “seperti melepaskan batuk
di tangga”. Sebaliknya ia menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam
kalangan para atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.