Anda di halaman 1dari 10

Tazkirah : Amalan-amalan Murah Rezeki

Posted on October 17, 2019 · Leave a Comment

Boleh dikatakan semua orang mahukan rezeki yang banyak, mudah dan berkat. Dalam pekerjaan kita seharian
mencari rezeki, mestilah sentiasa tanamkan niat dalam hati supaya Allah mengurniakan kita rezeki halal, berkat,
mudah serta luas. Terdapat amalan-amalan yang boleh menjadi sebab Allah melimpahi hamba-Nya dengan
keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk
memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.

Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup
kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak
menutup kefakiranmu.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyakkan istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh
kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Rasulullah SAW :
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya,
menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu
rezeki.
Sabda Rasulullah SAW :
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah SWT

Banyak ingat Allah SWT buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri
kepada orang beriman.
Firman-Nya:
“…(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya
dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Surah Ar-Ra’d, ayat 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan
ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”
(Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Rasulullah SAW :
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah)
daripadanya.”
(Hadis Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit,
anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Rasulullah SAW :
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti
sabda Rasulullah SAW :
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…”
(Hadis Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat
menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya
semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata:


“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi
oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan
tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah)
adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim

Rasulullah SAW bersabda :


“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-
saudaranya.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk
mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.”
(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada
Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla
kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain,
nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”
(Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu
dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga
mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang
(solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”
(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah


Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah
berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi
sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.”
(Surah Ibrahim, ayat 7)

Firman-Nya lagi:
“… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”
(Surah ali-Imran, ayat 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia
mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali
lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki
jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah
hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.”

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan.
Wallahu a’lam.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan
pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia
kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang
dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam
skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak
dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang
baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal
kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (Surah at-Thalaq, ayat 3)

Nabi SAW bersabda:


“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti
burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu
Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan
beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak
terlintas di hatinya.”
(Surah at-Talaq, ayat 2-3

Ganjaran Amalan Digandakan Pada Jumaat


 
JUMAAT adalah hari yang sangat istimewa bagi umat Islam. Ia adalah hari untuk
melipatgandakan ibadah kepada Allah.

Umat Islam bukan saja melakukan ibadat harian wajib seperti solat fardu, bahkan Nabi
Muhammad saw menganjurkan beberapa ibadat sunat yang dapat menambahkan ketakwaan
kepada Allah. Antara ibadah itu adalah:

Membaca surah as-Sajdah pada sembahyang Subuh yang diiringi pula sujud tilawah ke hadrat
Allah.

Tiada ganjaran yang lebih besar bagi mereka yang melakukan ibadat ini melainkan syurga
Allah. Hal ini seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila anak cucu Nabi Adam
membaca surah as-Sajdah kemudian mereka sujud kepada Allah, syaitan mengasingkan
dirinya dari majlis itu dalam keadaan menangis sambil berkata: "Celakalah aku, anak cucu
Nabi Adam diperintah untuk sujud kepada Allah, lantas mereka sujud kepada Allah. Maka,
bagi mereka itu balasannya syurga, sedangkan aku juga disuruh untuk sujud kepada Allah,
tetapi aku ingkar. Oleh itu, untukku api neraka." (Hadis riwayat Abu Daud)

Membaca surah al-Kahfi.

Ganjaran bagi orang yang membacanya adalah mendapat petunjuk dan pimpinan daripada
Allah sepanjang minggu itu.

Hal itu berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa yang membaca surah al-
Kahfi pada Jumaat, nescaya Allah akan menyinari dirinya dengan cahaya antara dua Jumaat."
(Hadis riwayat Baihaqi)

Membanyakkan membaca selawat ke atas Nabi.

Ganjaran bagi mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Nabi pada Jumaat adalah
kasih sayang dari Rasulullah. Sabda Baginda bermaksud:

”Sesungguhnya antara hari kamu yang paling mulia adalah Jumaat, perbanyakkan berselawat
ke atasku, kerana selawat kamu itu disampaikan kepada ku."

Jumaat adalah hari yang Allah gandakan ganjaran amalan baik hamba-Nya yang soleh.

Umat Islam digalakkan mengisi malam Jumaat dengan memperbanyakkan ibadat dan pada
siangnya, bersegera ke masjid seawal waktu yang mungkin untuk merebut ganjaran pahala
yang besar.
Mereka yang mendengar khutbah Jumaat dengan khusyuk dan bersedekah kepada orang
miskin pada Jumaat, itulah orang yang mendapat ganjaran besar daripada Allah.

Keistimewaan itu bertambah menyerlah apabila Allah mensyariatkan sembahyang Jumaat


yang wajib dilaksanakan secara berjemaah.

Antara kepentingannya adalah:

Mengukuhkan ikatan kasih sayang antara sesama Islam, yang mana ia adalah unsur
terpenting bagi menjamin kekuatan umat Islam.

Memberi ilmu, tunjuk ajar serta nasihat kepada umat Islam melalui khutbah. Ia adalah
peluang terbaik untuk memperbaiki kualiti diri.

Pentingnya sembahyang Jumaat, Nabi memberi amaran keras kepada mereka yang tidak
hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Rasulullah bersabda bermaksud : “Barang
siapa secara mudah meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut,
Allah akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran.”

Sembahyang Jumaat ini terlalu penting. Oleh itu, bagi memastikan umat Islam berada di atas
landasan yang membawa kecemerlangan dan kejayaan, Baginda meletakkan garis panduan
kepada mereka yang menghadirinya.

Perkara itu , bagi memastikan ibadat Jumaat itu benar-benar dapat mendidik jiwa orang yang
menghadirinya. Antaranya adalah:

Mengemas diri dengan sebaik-baiknya dan mandi membersihkan dirinya. Ia agar jemaah lain,
terutama yang berhampiran dengannya tidak terganggu oleh bau badan atau pakaiannya yang
busuk.

Nabi bersabda bermaksud: ”Apabila seseorang kamu menghadiri sembahyang Jumaat, maka
hendaklah dia mandi." (Hadis riwayat Muslim)

Segera ke masjid dengan penuh ketenangan.

Mendapatkan saf yang paling depan, berzikir, membaca al-Quran serta berpeluang
mendengar khutbah dengan jelas. Baginda bersabda bermaksud: “Barang siapa yang mandi
pada Jumaat, kemudian pergi ke masjid pada awal waktu, maka seolah-olah dia berkorban
seekor unta." (Hadis riwayat Bukhari)
 
Tazkirah: Lima jenis sabar
SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang
tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai
nafsu kepada yang disukai Allah.

Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna
dan nama.

Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja'ah), lawannya bacul (al-jubn),
manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut 'dabtun nafs' dan lawannya
'al-batr'.

Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi
pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.

Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: "Hai orang-orang beriman,
bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan
bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)

Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:

1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di
kalangan nabi.

Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan
kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana
kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.

2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan
runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.

3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti
orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.

4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak
suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.

Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:

Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar
daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.

Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang
boleh melemahkannya.

Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan
amal ketaatannya.

5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha
mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh
kebenaran dan kebaikan.
Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan
dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan,
bahkan kekayaan dan kekuasaan

Tazkirah Ringkas : Belajarlah Adab


Sebelum Mempejari Ilmu
 
Belajarlah Adab Sebelum Mempejari Ilmu
 
Adab adalah sangat penting dan lebih diutamakan sebelum kita mempelajari sesuatu ilmu. Tiada
gunanya jika seseorang itu memiliki Ilmu yang hebat dan tinggi, tetapi tidak memiliki adab dan
akhlak yang baik sesama manusia. Malah bukan itu sahaja, Ilmu sesorang itu akan menjadi sia-
sia sekiranya ia sedikitpun tidak memberi kesan ke atas pribadi dan tingkah lakunya.
 
Saudara,
Ilmu dan adab itu sebenarnya tidak boleh dipisahkan dan ia hendaklah saling lengkap
melengkapi di antara satu sama lain. Semakin tinggi ilmu seseorang itu, maka semakin tinggilah
adab dan akhlaknya kepada orang lain. Bukan setakat itu sahaja, semakin tinggi adab dan
akhlaknya pula, maka semakin tinggilah darjatnya di Hari Akhirat nanti berbanding dengan
mereka yang hanya memiliki ilmu agama tetapi buruk adabnya.
 
Ulama terkenal iaitu Abdullah bin Al-Mubarak rahimullah pernah mengatakan:
“Kita dengan (mempelajari walau) sedikit ilmu adab itu lebih diperlukan (diutamakan) dari hanya
memperbanyakkan ilmu (agama).”
 
 Selain itu, Imam Malik bin Anas pula (guru kepada Imam Syafie) pernah menasihati seorang
lelaki dari bangsa Quraisy dengan kata beliau yang cukup menarik iaitu:
”Wahai anak saudaraku, belajarlah (ilmu) adab sebelum kamu mempelajari ilmu (agama).”
 
Oleh yang demikian, marilah kita mengambil berat serta menitik beratkan soal adab dalam
mempelajari ilmu, mahupun mengajarkannya kepada orang lain. Ini adalah kerana orang yang
tinggi adabnya kepada orang lain, walaupun tidak mempunyai ilmu yang banyak, lebih baik dan
mulia berbanding orang yang mempunyai banyak ilmu tetapi kurangnya adab.
 

Ibu bapa adalah warisan zuriat yang membawa kepada lahirnya kita ke dunia dan sebab itu
agama Islam meletakkan ibu bapa di tempat yang tinggi dalam hubungan kekeluargaan bahkan
digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah


melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat
baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau
kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan
peliharaan kamu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka
(sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah
engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada
mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

(Surah al-Isra’ 17:23)

Hadith berikut pula jelas menunjukkan betapa tingginya kedudukan yang diberikan Islam kepada
ibu bapa.

Hadith tersebut bermaksud:

Amal perbuatan yang amat disukai Allah swt ialah solat (yang tepat)
pada waktunya, berbakti kepada orang tua dan berjihad pada jalan Allah.

(Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Muslim)

Berbuat baik atau taat kepada dua ibu bapa bermaksud menghormati dan melakukan pekerjaan
yang disukai mereka dan pekerjaan yang dilakukan itu janganlah bersalahan dengan kehendak
yang disuruh Allah SWT. Melakukan pekerjaan yang disukai kedua ibu bapa memang menjadi
tanggungjawab besar bagi seseorang anak. Besarnya jasa ibu dan ayah memang tidak dapat
dinilai sama sekali.

Pada masa anak masih dalam kandungannya, ibu telah menempuh pelbagai penderitaan dan
kesusahan. Ibu dan ayah terpaksa berjaga siang dan malam untuk mengawasi dan membendung
kesihatan anaknya yang masih kecil. Seorang ibu rela tidak tidur malam demi menjaga anaknya
yang masih kecil darpada digigit nyamuk. Ibu dan bapa sanggup perut kosong selagi perut anak
yang masih kecil itu masih belum berisi. Begitulah besarnya pengorbanan ibu dan bapa terhadap
anaknya. Jadi tidak hairanlah jika Islam menitik beratkan soal berbuat baik dan menghormati
kedua ibu bapa.

Islam mewajibkan anak menghormati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya bukan saja
ketika mereka masih hidup, malah selepas mereka meninggal dunia pun, amalan baik dan
penghormatan itu wajib dikekalkan oleh anak-anaknya.

Disamping itu juga, kewajipan untuk anak-anak mentaati kedua ibu bapa diperkuatkan lagi
dengan sepotong hadith yang diriwayatkan Imam Muslim yang bermaksud:

Apabila mati seseorang anak Adam, maka putuslah amalnya melainkan


tiga perkara, (iaitu): sedekah jariah, ilmu bermanafaat kepada orang lain
dan anak soleh yang mendoakannya.

(Hadith riwayat Muslim dan Ahmad)

Justeru, marilah kita terus berbuat baik terhadap ibu bapa kita (sekiranya mereka telah
meninggal dunia) dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran dan mendoakannya.

Di antara doa yang boleh kita gunakan untuk mendoakan ibu bapa kita ialah:

 Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan ibu bapaku dan rahmatilah serta sayangilah mereka
sebagaimana mereka menyayangi dan mengasihi aku di masa kecil. (Surah Al Israk: Ayat
25)
 Ya Tuhan kami! Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada
hari terjadinya hisab (Hari Kiamat). (Surah Ibrahim: Ayat 41)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda bermaksud:

Keredaan Allah bergantung kepada keredaan bapa dan kemurkaan Allah


bergantung kepada kemurkaan bapa.

(Hadis Riwayat: Imam Tarmizi)

Dari itu hormatilah ibu bapa sepanjang hayat di kandung badan. Lakukanlah perbuatan yang
menyenangkan hati mereka semasa mereka masih hidup dan berdoalah kepada mereka setelah
mereka meninggal dunia. Moga-moga dengan berbuat demikian hidup kita akan diberkati dan
dirahmati Allah dan kita menjadi manusia yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Insya Allah

Anda mungkin juga menyukai