Anda di halaman 1dari 18

Punca Utama Masalah Disiplin,Pendekatan Menangani Masalah Disiplin

Punca Utama Masalah Disiplin

“Berikan aku 100 orang tua, aku akan mampu menggoncangkan perahu
tertangkup tetapi kalau aku diberikan 10 orang pemuda, nescaya aku mampu
menggoncangkan dunia.” Demikianlah kata-kata mantan Presiden Indonesia tentang
kepentingan golongan remaja dalam memacu sesebuah negara. Pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara. Demikianlah satu proklamasi yang menggambarkan
kepentingan golongan remaja atau lebih dikenali sebagai generasi Y dalam menerajui
kepimpinan negara suatu ketika nanti. Usia remaja merupakan tahap kritikal kerana
pada peringkat ini mereka berada dalam tempoh peralihan menuju alam dewasa. 
Namun, sayang seribu kali sayang, dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit
sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan
sahmura ini. Menurut kajian yang sahih antara masalah yang membabitkan golongan ini
sehingga menjadi buah mulut orang ramai dan menimbulkan kontroversi ialah gejala
vandalisme, buli, gangsterisme dan entah seribu satu macam lagi gejala.

Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah


Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya dan membingungkan kepada
pelbagai pihak mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Sejak beberapa
tahun yang lalu, masyarakat heboh memperkatakan tentang segelintir pelajar sekolah
yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pecah rumah, ponteng sekolah, terlibat
dalam gangster, bakar kereta guru dan juga kes melarikan diri dari rumah. Persoalan
yang bermain di ruang legar minda kita, apakah punca utamanya masalah disiplin? Jika
diperhalusi, pelbagai faktor yang mendorong kepada masalah disiplin dalam kalangan
remaja.

Pertamanya, sebab masalah disiplin dominan adalah dari aspek diri murid.
Perkembangan kognitif, emosi, sosial dan fizikal kanak-kanak berlaku pada kadar yang
berbeza. Maka, setiap murid mempunyai perkembangan yang berbeza dan juga tahap
kemahiran mereka yang berbeza. Namun, terdapat sesetengah murid yang akan
menghadapi kesukaran dalam mengikut pelajaran jika dibandingkan dengan rakan-
rakannya. Sesetengah murid mempunyai kekuatan dalaman atau sokongan ibu bapa
untuk menghadapi cabaran ini dan terus berusaha. Tetapi, sesetengah murid akan
respons dengan bersikap putus asa atau cuba menutup kelemahan melalui helah bela
diri, misalnya tidak menghiraukan pelajaran atau ponteng kelas tersebut. Hal ini berlaku
kerana tingkah laku seperti ponteng kelas atau sekolah merupakan cara murid
mengelakkan kegagalan, teguran sinis daripada guru atau situasi yang mungkin
menimbulkan perasaan malu. Bukan itu sahaja, perasaan rendah diri yang timbul dari
hati murid juga menyebabkan murid mengasingkan diri, tidak bergaul dengan rakan dan
tidak melibatkan diri dalam kerja kumpulan.

Selain itu, keperluan fisiologi manusia seperti makan, minum, tidur, keselamatan,
kasih sayang, pengiktirafan, perasaan kesepunyaan, perkumuhan dan penghormatan
juga menjadi salah satu faktor yang menyebabkan masalah disiplin dalam aspek diri
murid. Hal ini demikian kerana sekiranya keperluan-keperluan ini tidak dapat dipenuhi,
maka murid akan berusaha untuk memenuhi keperluan ini. Dalam hal ini, murid
mungkin menimbulkan masalah di dalam bilik darjah, misalnya melakukan sesuatu
yang tidak sepatutnya untuk mendapat perhatian gurunya.

Seterusnya, kanak–kanak di sekolah rendah memiliki sifat ingin tahu dan


keinginan untuk mencuba sesuatu baharu yang tinggi. Mereka mungkin mudah
dipengaruhi dan tertarik dengan pakaian, gaya bertutur, mimik muka atau gaya berjalan
yang dianggap “cool” yang telah diperhatikan oleh mereka terhadap individu lain atau
daripada media massa. Dengan percubaan gaya baharu yang tidak sepatutnya,
masalah tingkah laku telah ditimbulkan. Bagi murid yang telah lama mengamal tingkah
laku yang tidak sepatutnya, mereka mungkin akan mempengaruhi rakannya.
Kebosanan dengan aktiviti kelas juga telah mendorong mereka melanggar peraturan,
menipu atau mengganggu rakan dalam kelas tanpa tujuan yang munasabah. Sekiranya
perbuatan mereka dibiarkan, mereka mingkin berasa seronok kerana terlepas daripada
peneguhan dan hukuman.

Di samping itu, masalah emosi dalam kalangan murid turut menyumbang kepada
masalah disiplin dan tingkah laku di dalam bilik darjah. Masalah ini boleh bersifat
dalaman dan mingkin tidak jelas kepada guru. Murid seperti ini tidak mempunyai kawan,
sukar menyiapkan tugasan, kerap tidak hadir ke sekolah, menunjukkan sikap afektif
yang kurang sesuai misalnya menangis, perasaan yang kerap berubah, tidak cergas
atau malu. Sebaliknya masalah emosi yang bersifat luaran lebih jelas kerana tingkah
laku murid menarik perhatian guru kepadanya. Murid ini menunjukkan sikap agresif,
tidak mengendahkan amaran guru, kerap tidak hadir ke sekolah, merosakkan harta
benda, membuli, mudah marah dan kurang perasaan empati atau perasaan belas
kasihan.

Sekarang, mari kita lihat punca utama masalah disiplin dari aspek latar belakang
murid. Dalam hal ini, asuhan yang diterima, taraf ekonomi keluarga, bilangan ahli
keluarga, tempat tinggal, jiran dan sebagainya telah banyak mempengaruhi sikap dan
tingkah laku murid terhadap sekolah. Sebenarnya, kekurangnya kawalan oleh ibu bapa
dikatakan menjadi punca utama berlaku tidak boleh dipandang remeh. Hal ini kerana
anak diibaratkan sebagai sehelai kain putih dan ibu bapa yang mewarnakannya.
Mengikut kajian Sapora Sipon (2005), faktor pendapatan keluarga, kelas sosial, etnik,
pengaruh rakan sebaya, penyalahgunaan dadah, ketidakstabilan keluarga kesemuanya
menyumbang kepada masalah ponteng sekolah. Beliau juga menunjukkan bahawa
kebanyakan ibu bapa tidak sedar anak mereka ponteng sehingga guru membuat
aduan. Ibu bapa juga sering kali terpedaya dengan anak yang pandai berpura-pura
berkelakuan baik ketika berada di rumah. Kebanyakan ibu bapa tidak tahu bahawa
anak mereka sering melakukan salah laku di sekolah atau luar sekolah.

Sesungguhnya, kawalan daripada ibu bapa terhadap anak yang bersekolah amat
sukar dilakukan kerana dalam kehidupan kini kedua-dua ibu dan bapa bekerja. Dalam
kajian Prof. Madya Dr. Mahzan Arshad menunjukkan kesibukan harian inilah
mengakibatkan banyak ibu bapa terpedaya dan mengambil ringan terhadap tugas
mengawas anak terutama anak yang masih di bangku sekolah. Bagi pendapat mereka,
sekolah sudah cukup bagi mendisiplinkan pelajar dan menjaga anak pada waktu siang.
Sedangkan dalam hal ini, guru hanya dapat mengawal pelajar ketika waktu
persekolahan sahaja. Di luar sekolah, tugas itu amat sukar atau boleh jadi mustahil bagi
guru membuat pengawasan dan mengambil tindakan kerana guru juga mempunyai
keluarga, anak, kawan dan kehidupan mereka. Walaupun seseorang guru mencuba
yang sebaik bolehnya, dia tetap tidak dapat menggantikan tempat ibu bapa.

Sebenarnya ibu bapa atau penjaga sangat berperanan dalam pembentukan dan
pengawalan disiplin anak-anak mereka. Secara tidak formal, kanak-kanak menerima
didikan awal di rumah dari ibu bapa. Sebab itulah anak diumpamakan seperti kain yang
putih bersih maka ibu bapanyalah yang banyak mempengaruhi pembentukan
keperibadiannya. Dalam hal ini, terdapat sesetengah ibu bapa yang bersikap tegas
terhadap anak-anak mereka manakala terdapat juga sesetengah ibu bapa yang jarang
menunjukkan kasih sayang, misalnya tidak memegang tangan atau memeluk anak
mereka. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam institusi keluarga yang penuh dengan
kasih sayang amat penting dalam mengelakkan berlakunya masalah disiplin di sekolah.
Hujah ini memang tepat kerana cara asuhan yang berbeza amat mempengaruhi
sahsiah murid-murid. Sebagai analogi, murid-murid daripada keluarga penyayang lebih
menunjukkan kasih sayang kepada orang lain dan disenangi oleh rakan sebaya dan
tidak terlalu menuntut perhatian. Manakala murid yang kurang mendapat kasih sayang
atau perhatian di rumah akan cuba mendapatkannya daripada guru atau rakan
sebayanya dengan cara menimbulkan masalah disiplin di sekolah atau selalu
melanggar peraturan sekolah.

Sementelahan pula, Buku Developmental Psychology Childhood and


Adolescence (1996) telah memetik huraian Patterson yang menerangkan bahawa anak-
anak yang bermasalah selalunya tinggal dalam keluarga yang dianggapkan sebagai
tempat melahirkan tingkah laku antisosial dan menentang. Feldman & Weinberger
(1994) juga menerangkan bahawa penampilan sikap negatif oleh pelajar hasil daripada
keluarga yang bermasalah. Keluarga yang selalu bertengkar, sentiasa mabuk, main
judi, kaki perempuan, suka berleter dan suka mengongkong anak-anak dan mengamal
sikap benci-membenci akan menyebabkan anak-anak mereka bersikap negatif tanpa
disedari oleh masyarakat.

Konflik dalam keluarga, pergaduhan ibu bapa, penceraian atau kehadiran adik
baharu boleh mengganggu emosi kanak-kanak jika perubahan ini tidak diurus dengan
baik. Terdapat sesetengah ibu bapa suka melepaskan geram kepada anak-anak atau
meninggalkan anak dengan pengasuh serta mengamalkan pilih kasih. Segala kerenah
ini menjadi ikutan anaknya. Masalah tersebut akan disalurkan melalui tingkah laku yang
tertantu. Dalam hal ini, perasaan kerisauan, perasaan marah atau kecewa yang
terpendam akan dibawa ke sekolah. Anak-anak sebegini akan mulai berani menentang
ibu bapa dan keluarga sendiri untuk mengurang tekanan yang dirasai oleh mereka.
Lama-kelamaan perangai dan tingkah laku akan sebati dengan jiwa mereka. Sikap
inilah yang akan memperkenalkan mereka kepada masyarakat nanti. Misalnya,
perasaan marah terhadap ibu disalurkan kepada guru perempuan atau rakan sebaya di
dalam bilik darjah. Mereka mencari jalan keluar secara drastik iaitu memberontak,
melawan, kurang ajar, mengambil dadah, hidu gam dan menjadi samseng. Kerap kali
berlaku masalah disiplin dan juga lemah dalam pelajaran dalam kalangan mereka
menyebabkan mereka selalu dihukum dan gagal dalam peperiksaan yang seterusnya
menyebabkan mereka tawar hati untuk terus belajar.

Selain itu, kanak-kanak daripada keluarga bertaraf sosioekonomi rendah


mungkin tinggal di kawasan yang sesak, rumah yang sempit dan perlu dikongsi
bersama-sama adik-beradik yang ramai. Makanan dan peluang penjagaan kesihatan
yang diberi oleh ibu bapa juag sangat terhad. Dalam hal ini, mereka berkemungkinan
tidak mendapat segala yang dikehendaki seperti rakan-rakan lain di sekolah. Kanak-
kanak sebegini mungkin hadir ke sekolah dengan pakaian yang kurang kemas,
penggunaan dialek dan juga kurang pengalaman dengan buku-buku atau bahan
pembelajaran. Sesetengah guru tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap kanak-
kanak ini dan rakan sebaya juga mungkin mengejek mereka tentang kemiskinan
keluarganya. Hal ini akan menyebabkan mereka merasakan diri mereka tidak pandai
dan mempunyai perasaan rendah diri serta menghadapi kesukaran dalam pergaulan
harian.

Tambahan pula, kawasan tempat tinggal murid turut mempunyai kesan ke atas
tingkah laku mereka di sekolah. Sekiranya jiran murid terdiri daripada golongan yang
telah tercicir daripada sekolah, kanak-kanak ini mungkin akan berpendapat bahawa dia
sedang membuang masa di sekolah dan tidak sabar untuk mula bekerja seperti kawan
sejirannya. Dorongan untuk keluar dari alam persekolahan bertambah sekiranya murid
itu menghadapi kesukaran dalam mengikuti pembelajaran dan pengajaran di dalam
kelas. Murid tersebut akan lebih yakin terhadap pendapatnya dan mungkin
menimbulkan masalah di dalam kelas.

  Selain itu, pengaruh media massa turut menjadi faktor utama dalam
meruncingkan lagi permasalahan disiplin ini. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai
unsur negatif yang disalurkan melalui media massa terutamanya media elektronik
seperti filem ganas dan lucah yang tidak sesuai dengan agama, akhlak, budaya timur
dan wawasan negara. Laporan televisyen dan akhbar menunjukkan masalah disiplin
remaja berlaku selepas menonton filem berunsur ganas. Perkara ini perlu diberi
tumpuan kerana ia membawa kesan yang jelas iaitu menjejaskan kefahaman mereka
terhadap sesuatu perkara. Bukan itu sahaja, filem Bohsia, Adnan Sempit dan KL
Gengster yang memaparkan tema keganasan yang mendapat tempat dalam kalangan
masyarakat. Sedikit sebanyak remaja yang menebal sikap ingin tahunya itu pasti akan
mengikut aksi yang terpapar dalam filem yang berkenaan. Kesannya akan meresap
secara halus ke dalam diri mereka tanpa disedari kerana remaja banyak belajar melalui
pemerhatian. Dengan itu, tidak dapat dinafikan bahawa kemunculan media massa
memang mendorong masalah ini memuncak dengan drastik.

  Seterusnya, pengaruh rakan sebaya turut menjadi penyumbang utama dalam


peningkatan masalah disiplin pelajar. Hal ini kerana golongan remaja kini banyak
menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya berbanding ahli keluarga. Ahli
sosiologi telah mengistilahkan rakan sebaya sebagai kumpulan kanak-kanak ataupun
kumpulan remaja yang mempunyai lingkungan umur yang sama. Kumpulan rakan
sebaya ini memainkan peranan sebagai agensi tidak formal yang memberikan
pengalaman yang tidak dapat diperoleh daripada keluarga dan juga di sekolah. Bagi
para murid, rakan sebaya adalah tempat mereka mencurahkan masalah dan pengganti
ibu bapa terutamanya bagi golongan yang mempunyai masalah di rumah. Justeru,
mereka amat mementingkan rakan-rakan dan juga akan mencuba sesuatu yang baharu
dalam hidup mereka yang mungkin boleh menggelapkan masa depan sendiri didorong
atas sifat ingin tahu. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan menyebabkan
disiplin pelajar itu turut merosot dengan drastiknya. Sudah terang lagi bersuluh, murid
perlulah bijak dalam memilih rakan jika tidak ingin terlibat dalam masalah ini.

Terdapat juga faktor masalah disiplin daripada aspek sekolah. Mengikut Waller
(1939), asas segala masalah disiplin di sekolah ialah pertentangan pendapat di antara
guru dan murid mengenai sesuatu keadaan di sekolah atas sebab mempunyai
kemahuan yang berlainan masing-masing. Gragey (1970), Maslow dan Rogers (1962),
Boysen (1973) dan Gordon (1974) berpendapat bahawa persekitaran persekolahan
yang ketat kawalannya akan meimbulkan keadaan tidak berdisiplin kerana murid-murid
akan menentang kawalan ketat ini dengan pelbagai kelakuan buruk seperti tidak
menghormati guru, tidak bersopan dan juga menentang guru. Jika guru terlalu garang
sehingga murid terlalu takut kepadanya, maka pertentangan terus tidak dibuat tetapi
perasaan geram akan disalurkan kepada orang ketiga yang tidak bersalah.

Kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi
faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan
masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu imej sekolah terjejas. Tindakan ini
menyebabkan sesetengah murid beranggapan bahawa tindakan mereka yang
melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh
sekolah juga menyebabkan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh
itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan
masalah disiplin murid. Seterusnya, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai
dengan murid turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Hal ini demikian kerana
program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di
pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Tuntasnya,
peranan sekolah memang tidak boleh diabaikan.

Bukan itu sahaja, peranan guru juga amat penting dan boleh menyebabkan
berlakunya masalah disiplin murid. Hal ini demikian kerana guru merupakan rol model
dan sentiasa diperhatikan oleh muridnya. Jika guru bersikap tidak bertanggungjawab,
tidak dapat mengawal sendiri atau tidak menghormati murid, maka ada kemungkinan
besar murid akan menunjukkan sikap yang sama terhadap guru tersebut. Dengan itu,
guru perlu menunjukkan sikap yang baik dengan cara pertuturan dan bahasa yang baik
dan sopan kerana bahasa yang tidak sesuai boleh mencetuskan perasaan tidak puas
hati dan menyinggung perasaan murid dan murid juga akan meniru dan mengikut gaya
komunikasinya. Seperkara lagi, guru perlu menunjukkan minat dan mengambil berat
tentang muridnya. Jika seseorang guru menunjukkan sikap tidak peduli, murid akan
merasakan diri mereka tidak penting dan kehadiran mereka tidak bermakna kepada
guru tersebut. Murid tersebut mungkin akan menunjukkan sikap disruptif semata-mata
untuk mendapatkan perhatian guru.

 Izharnya, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada peningkatan masalah


sosial dalam kalangan remaja. Namun demikian, perkara ini boleh diatasi jika semua
pihak memainkan peranan masing-masing serta saling berganding bahu bagai aur
dengan tebing. Secara tidak langsung, hasrat kerajaan dalam melahirkan modal insan
yang berkualiti tinggi pada tahun 2020 dapat dicapaikan.

Pendekatan Menangani Masalah Disiplin

Peranan dan Tanggungjawab Ibu Bapa

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Setiap ibu bapa mahukan anak-
anak mereka menjadi insan yang baik dan sempurna. Insan yang baik ini diharapkan
akan sekaligus menjadi anggota masyarakat dan warganegara yang berguna. Namun,
sayang seribu kali sayang. Kajian-kajian tentang masalah disiplin di kalangan pelajar
banyak menunjukkan kecondongan anak-anak yang melakukan kesalahan berasal
daripada keluarga yang tiada kejelekitan, terlalu membiarkan atau terlalu keras dengan
disiplin, kurang penyeliaan dan sebagainya. Oleh itu, keutuhan institusi keluarga
begitulah penting dalam usaha menangani gejala sosial lantaran institusi keluarga
diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi keluarga
begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku
Syurgaku diadakan secara besar-besaran. Persoalan yang bermain di ruang legar
minda kita, apakah peranan yang perlu dilaksanakan oleh institusi keluarga dalam
menangani masalah yang menjadi duri dalam daging ini?

Peranan yang dianggap dominan ialah golongan ibu bapa wajar mencurahkan
kasih sayang kepada anak-anak mereka. Mengapakah dikatakan begitu? Hal ini kerana
ibu bapa bertanggungjawab mengasuh anak-anak mereka bagai menatang minyak
yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang
tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran.
Menurut Teori Maslow, salah satu keperluan anak-anak ialah keperluan kasih sayang.
Pemberian kasih sayang daripada ibu bapa kepada anak-anak adalah amat penting
dalam membentuk kestabilan emosi, personaliti anak, kepuasan hidup dan sebagainya.
Kasih sayang yang diberikan oleh kedua-dua ibu dan bapa adalah sama penting.
Namun, terdapat sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta
kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan
atau materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk
dengan urusan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Sebagai
uswah, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti
riadah bersama dengan anak-anak mereka pada hujung minggu. Ibu bapa haruslah
sedar bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang
mencorakkannya.

Remaja memerlukan perhatian, penghargaan dan masa daripada ibu bapa. Ibu
bapa patut menerima anak mereka sepenuhnya dan bukannya membandingkan
dengan anak orang lain. Hal ini demikian kerana kekuatan rasa disayangi boleh
menangani masalah disiplin yang dihadapi. Terdapat juga ramai ibu bapa beranggap
bahawa anak mereka sudah jelas dengan kasih sayang ibu bapa mereka. Oleh itu, ibu
bapa kurang menyatakan perkataan “I love you” kepada anak-anak walaupun amat
sayang akan mereka. Menurut Jayesh Maniar (1998), ibu bapa patut bukan sahaja
menunjukkan kasih sayang melalui gerak geri tetapi juga melalui perkataan. Dalam hal
ini, tanda pemberian kasih sayang yang berkesan ialah apabila anak itu dapat
membalas dan menunjukkan kasih sayang mereka kepada ibu bapa dan seterusnya
kepada orang lain, misalnya kepada adik-beradik.  

Dari semasa ke semasa, keperluan kasih sayang anak-anak berubah. Persepsi


kasih sayang remaja dan anak kecil adalah berbeza. Misalnya, remaja akan
beranggappan bahawa ibu bapanya menyayanginya jika memberinya kebebasan yang
lebih luas. Sebaliknya, ibu bapa mempunyai persepsi yang berbeza tentang persepsi
kasih sayang. Pada pendapat ibu bapa, kebebasan yang diberi kepada anak mereka
mungkin akan mendatangkan mudarat kelak. Pada amnya, remaja akan bersikap ganas
dan cuba menentang apa saja yang pada anggapan mereka mengongkong kebebasan.
Dalam hal ini, ibu bapa yang menghadapi kerenah anak remaja seperti ini harus
bersabar dan meneliti semula kesilapan sendiri. Meskipun pada peringkat awal remaja
memang sukar dikawal, tetapi jika kesilapan diperbaiki dengan cara yang sesuai dan
lembut, anak-anak akan memahami kasih sayang ibu bapa dan juga menghormati
mereka.

Bukan itu sahaja, pada masa yang sama, golongan remaja perlulah dibekalkan
dengan didikan agama dan moral yang sempurna. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh
orang tak kata!  Lantaran itu, ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama
terhadap pembentukan mental remaja kerana didikan agama dan moral mampu
mendorong remaja membezakan antara intan dengan kaca lantas melatih remaja
mengawal tingkah laku mereka. Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa
tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan
minum kepada anak-anak mereka adalah tidak betul. Sebenarnya, mereka juga harus
memastikan bahawa anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna.
Sebagai analoginya, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran
agama kepada anak-anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Justifikasinya, didikan agama yang dibekalkan dapat memastikan anak-
anak mereka mempunyai benteng diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan
untuk melibatkan diri dalam kancah maksiat atau tindakan yang mampu memburukkan
imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga.
Seterusnya, mengurus dan mengawal tingkah laku anak-anak adalah
tanggungjawab yang besar bagi ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa harus selalu
mengawal dan menyelia tingkah laku anak mereka dan tidak boleh terlalu manjakan
anak. Ibu bapa harus bertegur dengan tegas jika anak melakukan perbuatan yang salah
supaya mereka tidak akan mengulangkannya lagi. Misalnya ibu bapa perlu menegur
anak jika mereka bertengkar dengan orang tua atau menggunakan bahasa yang biadap
semasa pertuturan. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah ibu bapa yang terlalu
memanjakan anak telah mentafsirkan gelagat biadap seperti ini sebagai ‘cute’ dan hal
ini akan membawa tingkah laku yang lagi buruk pada masa depan.

Seperkara lagi, ibu bapa juga harus menyelia program-program televisyen yang
ditonton oleh anak supaya mereka tidak dipengaruhi oleh unsur negatif, misalnya
menghalang mereka daripada menonton filem ganas dan lucah yang tidak sesuai
dengan agama, akhlak, budaya timur dan wawasan negara. Ibu bapa juga boleh
memainkan peranan dengan memberi komen-komen yang mengajar mana satu
perbuatan yang baik dan mana yang buruk sambil menonton. Dengan cara sedemikian,
ibu bapa dapat berkomunikasi dengan anak-anak mereka sambil merapatkan lagi tali
perhubungan keluarga.

Sementelahan pula, ibu bapa harus sentiasa bersaing dengan pihak-pihak lain
untuk mendapatkan perhatian anak-anak. Cara untuk mendapatkan perhatian
termasuklah mewujudkan talian berkomunikasi yang sihat dengan anak-anak. Terdapat
sesetengah ibu bapa tidak hendak mendengar pendapat atau penjelasan anak-anak
semasa berlakunya sesuatu perkara. Lama-kelamaan, anak-anak akan tidak suka
berkomunikasi dengan ibu bapa kerana berasa ibu bapa tidak menghormati pendapat
mereka. Dengan itu, kehilangan peluang untuk berkomunikasi dalam sesebuah
keluarga mendorong anak-anak mencari tempat lain untuk mencurahkan perasaan.
Orang yang paling suka didekati mereka adalah teman-teman sebaya yang sanggup
memberi sokongan moral dan simpati. Topik-topik yang sering dibincangkan sesama
sendiri termasuklah nilai minatnya, seperti fesyen pakaian, gosip, hiburan, seks dan
perkara-perkara yang menyeronokkan. Kesan yang buruk termasuklah mereka mungkin
berkongsi pendapat dan mengukuhkan nilai-nilai negatif dalam kalangan mereka.
Justeru, begitu pentinglah ibu bapa dalam memainkan peranan memastikan talian
komunikasi dengan anak-anak berterusan. Ini bererti ibu bapa mendengar apa yang
dicakapkan oleh anak-anak, begitu juga anak-anak mendengar apa yang dicakap oleh
ibu bapa. Dengan itu, barulah ibu bapa dapat memahami segala masalah yang
dihadapi oleh anak-anak mereka dan cuba membantu mereka dalam menyelesaikan
masalah mereka.

            Sebenarnya, peranan ibu bapa dalam mengatasi masalah disiplin


mendatangkan banyak kebaikan. Hal ini demikian ibu bapa merupakan orang yang
terdekat kepada anak-anak mereka. Ibu bapa juga merupakan orang pertama yang
memasuki hidup sosial anak-anak. Mereka mendapat lebih banyak peluang berinteraksi
dengan anak-anak berbanding orang lain. Dengan itu, patutlah mereka memainkan
peranan dominan dalam mengurus dan mengawal tingkah laku anak-anak. Seterusnya,
kebaikan melibatkan ibu bapa dalam mengatasi masalah disiplin termasuklah mereka
boleh menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka. Ibu bapalah yang dapat selalu
berteman di sekeliling mereka. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu memastikan
segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan
diperhatikan oleh anak-anak mereka. Ibu bapa seharusnya sedar bahawa mereka
merupakan cermin kepada anak-anak. Cuba kita bayangkan, dapatkah ibu bapa yang
mempunyai tabiat buruk seperti merokok mendidik anak-anak mereka agar tidak
merokok juga? Jelaslah bahawa ibu bapa sendiri yang berkuasa untuk membentuk satu
budaya keluarga yang sihat semasa mengasuh anak mereka dan juga berusaha untuk
mengelakkan anak-anak terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Mereka dapat
membuat keputusan sama ada menjadi diri sebagai teladan atau sebaliknya. Izharnya,
cara-cara mengatasi masalah disiplin yang diambil oleh ibu bapa adalah lebih efisien
yang konsisten.

Walau bagaimanapun, terdapat juga kelemahan dalam mengatasi masalah


disiplin murid jika ibu bapa memberi kebebasan yang melampau dan bersikap yang
terlalu lembut kepada anak mereka. Anak-anak yang mempunyai ibu bapa sedemikian
akan menjadi terlalu manja dan tidak menghormati orang tua. Akibatnya, mereka tidak
dapat hidup berdikari sepenuhnya dan juga sudah tentunya akan memalukan keluarga
misalnya mereka sering melakukan kesilapan berulang kali sehingga ibu bapa terpaksa
masuk campur dalam urusan mereka. Oleh itu, untuk mengimbangi pertumbuhan anak
pada peringkat awal remaja, ibu bapa harus bertindak lembut dengan penuh pengertian
dan kasih sayang. Layanan ibu bapa hendaklah sesuai dengan pertumbuhan fizikal
mereka. Tindakan yang mungkin memalukan mereka hendaklah dielakkan. Dalam hal
ini, ibu bapa patut lebihkan memujuk daripada mengarah. Hal ini kerana remaja lebih
suka mendengar pujukan ibu bapa berbanding dengan arahan tegas yang diberi oleh
ibu bapa mereka. Sudah terang lagikan bersuluh, ibu bapa perlu menggunakan cara
yang betul untuk mengawal dan menjaga keperluan anak-anak supaya mereka tidak
berberontak dan dapat merasakan kasih sayang daripada ibu bapa.

Secara holistiknya, gejala sosial yang menjadi api dalam sekam perlu
dihapuskan dari akar umbinya kerana api kecil baik dipadam. Oleh itu, ibu bapa
perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan ampuh bagi memastikan
golongan remaja tidak akan dijangkiti sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang
akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Sesungguhnya, mereka perlu
dibimbing agar menjadi modal insan yang berintegriti dan berwawasan. Secara tidak
langsung, impian negara untuk melahirkan golongan yang berminda kelas pertama
akan dapat direalisasikan dan bukan retorik semata-mata.

 Peranan dan Tanggungjawab Sekolah

Apakah peranan sekolah dalam mengatasi masalah disiplin murid? Sebenarnya,


peranan sekolah dalam mengatasi masalah disiplin juga mendatangkan banyak
kebaikan.  Hal ini demikian kerana peranan institusi sekolah adalah setaraf dengan
peranan institusi kekeluargaan dalam membentuk mental dan rohani pelajar. Menurut
Noran Fauziah (1986), sekolah merupakan sebuah institusi sekunder dalam
masyarakat yang mempunyai fungsi formal bagi mensosialisasikan generasi muda
supaya mereka dapat mengambil alih peranan generasi tua pada suatu hari nanti.
Dalam menghadapi arus globalisasi dan cabaran alaf baru, pendidikan moral
dalam kalangan generasi muda perlu diperhebat bagi memupuk tingkah laku serta
budaya hidup yang murni, di samping mewujudkan persekitaran dan suasana yang
kondusif ke arah pembentukan akhlak yang murni bagi melawan arus budaya kuning
yang begitu kuat melanda persekitaran sekarang. Sekolah perlu dapat menyediakan
persekitaran fizikal yang kemas dan selesa. Segala kemudahan yang diperlukan oleh
murid-murid haruslah mencukupi seperti kerusi meja, guru-guru, buku dan makmal.
Ruang untuk bersukan dan rekreasi lain juga harus pada tahap yang memuaskan.

 Di samping mempunyai fungsi mengekalkan kebudayaan, sekolah juga menjadi


agen perubahan sosial kerana melalui kemajuan dalam bidang pendidikan banyak
teknologi baru yang telah dicipta. Lazimnya ciptaan teknologi baru ini akan membawa
kepada perubahan nilai pula. Pendidikan moral juga perlu diajar kepada pelajar bukan
Islam, manakala pelajar Islam pula mempelajari moral atau akhlak dalam mata
pelajaran agama. Pendidikan moral atau akhlak ini bukan sahaja diberi secara langsung
sebagai satu mata pelajaran akademik, tetapi seharusnya juga dilaksanakan secara
implisit atau tersembunyi. Bukan itu sahaja, mata pelajaran sivik telah diperkenalkan
untuk membantu masyarakat mencapai keharmonian, toleransi dan kefahaman yang
mendalam terhadap tanggungjawabnya sebagai warganegara. Dengan itu, masalah
disiplin sekolah seperti merosakkan harta awam dan membuang sampah sesuka hati
akan dikurangkan dengan adanya kesedaran sivik yang tinggi.

Selain itu, pelaksananan disiplin di sekolah perlulah tegas dan adil. Strategi
melaksanakan dan mengawal disiplin perlu bersesuaian dengan pelajar kerana
pelaksanaannya memerlukan pendekatan yang berlainan. Pihak sekolah boleh
menubuhkan satu perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Dalam hal ini, guru yang
pakar dalam bidang ini perlu dilatih agar dapat menjalankan tugas dengan baik bagi
tujuan memberi nasihat serta dorongan agar murid yang terlibat dalam masalah disiplin
berinsaf dan seterusnya mengikut peraturan sekolah yang ditetapkan.

Namun, sesetengah murid mungkin kurang terangsang untuk berubah jika


memberi kaunseling sahaja. Tanggungjawab menegakkan disiplin tidak terhad kepada
guru disiplin atau pengetua sahaja, bahkan memerlukan kerjasama antara semua
pihak. Dalam hal ini, semua guru adalah guru disiplin. Bagi kes-kes tertentu seperti
tingkah laku antisosial seperti merokok, ponteng sekolah, mencederaan pelajar lain,
tidak hormat guru atau melakukan jenayah harus melaksanakan hukuman rotan ke atas
pelajar-pelajar. Ini disebabkan murid yang melakukan kesalahan disiplin tidak akan
berasa sedih dan menyesal sekiranya tidak dihukum atau dirotan. Mereka mungkin
terus mengulangi kesalahan yang sama jika hanya dinasihati dengan nada yang
lembut. Dengan itu, hukuman rotan harus dilaksanakan supaya murid lain dapat
mengambil iktibar dan teladan apabila melihat rakan mereka dihukum rotan. Pendek
kata, kaunseling lebih baik bertindak sebagai pemberi kesedaran manakala hukuman
rotan adalah sebagai pengajaran kepada kesalahan yang telah dilakukan oleh murid.
Maka, pembentukan seorang pelajar yang berdisplin memerlukan gabungan pendidikan
secara lembut iaitu kaunseling dan pendidikan keras iaitu rotan

Sementelahan pula, murid juga digalakkan menyertai kokurikulum yang


disediakan oleh sekolah sama ada dalam kegiatan pasukan beruniform, kegiatan
persatuan akademik atau pun kegiatan sukan. Hal ini kerana dapat mengelakkan murid
daripada menghabiskan masa dengan sia-sia di kompleks beli-belah, panggung
wayang atau tercebur dalam masalah disiplin yang dapat merosakkan akhlak.
Kebaikannya termasuklah kokurikulum mampu menyemai semangat kekitaan dalam
kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan agama serta mampu
membina disipin pelajar yang kukuh. Dengan itu, dibuktilah bahawa kokurikulum baik
untuk memulihkan disiplin pelajar yang kian merosok ini. Seperkara lagi, kegiatan
persatuan yang dijalankan dapat mengembangkan bakat murid dari segi berpidato,
berbahas, berpantun serta kemahiran-kemahiran berucap. Kelab–kelab sukan juga
membantu murid meminati sesuatu permainan dan dapat mengembangkan potensi
mereka dalam permainan tersebut. Misalnya, Program Integrasi Negeri Tangani Anti
Sosial (PINTAS) adalah program yang dicadangkan untuk meningkatkan disiplin dan
kawalan salah laku pelajar di sekolah. Tuntasnya, jelaslah bahawa kegiatan
kokurikulum ini sedikit sebanyak dapat membina sikap dan keperibadian murid dan
serta mencegah murid-murid daripada terlibat dengan perkara-perkara yang negatif.
Dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar, guru turut memainkan peranan
yang amat penting. Hal ini kerana guru boleh dikatakan merupakan orang yang paling
rapat dengan murid selain ibu bapa. Murid selalu menghormati dan percaya kepada
guru. Dengan itu, seseorang guru mestilah bersikap adil semasa mengendali sesuatu
perkara atau masalah disiplin murid dan menyiasat dengan teliti supaya tidak
menyalahkan orang yang tidak bersalah dan juga tidak terpedaya dengan tipu helah
mereka. Guru perlu diingatkan bahawa hanya guru yang bersikap adil akan dihormati
dan dipandang mulia oleh murid-murid.

Tambahan pula, guru haruslah mempunyai perwatakan yang baik. Hal ini
demikian kerana guru merupakan rol model dan sentiasa diperhatikan oleh muridnya.
Jika guru bersikap tidak bertanggungjawab, tidak dapat mengawal sendiri atau tidak
menghormati murid, maka ada kemungkinan besar murid akan menunjukkan sikap
yang sama terhadap guru tersebut. Dengan itu, guru perlu menunjukkan sikap yang
baik untuk mengatasi masalah disiplin murid. Sebenarnya, seseorang guru perlu
mempunyai dua sikap yang bertentangan iaitu tegas dan penyayang sekiranya ingin
menjadi seorang pendidik yang baik. Hal ini kerana guru juga harus bertanggungjawab
membetulkan kesilapan dan kesalahan murid selain menyampaikan ilmu pengetahuan
dan memupuk kemahiran. Dengan itu, seseorang guru harus bertegas dengan
peraturan, prinsip dan kepercayaan. Guru yang tegas adalah guru yang cekap dan
mengambil tindakan susulan ke atas apa yang disuruh atau diarahkan. Guru juga harus
selalu membimbing dan membantu murid yang bersalah dengan menasihati mereka
dengan sabar dan penuh kasih sayang. Dengan mempunyai dua sikap ini, barulah
seseorang guru dapat menyakini pelajar mereka.

Peranan dan Tanggungjawab Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)

Setiap institusi sekolah tidak dapat dipisahkan dengan PIBG yang dianggap
sebagai penghubung pihak sekolah dan masyarakat khususnya kalangan ibu bapa.
Penubuhan PIBG adalah untuk memberi peluang kepada guru-guru dan ibu bapa untuk
berbincang dan merancang program peningkatan serta memperbaiki pencapaian
pelajar dalam sekolah. Dalam hal ini, peranan PIBG dalam menyelesaikan masalah
disiplin tidak boleh diabaikan. Secara khusus, PIBG juga bertanggungjawab dalam
mewujudkan suasana persekitaran yang baik bagi membolehkan pelajar mencapai
perkembangan jasmani, rohani, akhlak dan pemikiran yang seimbang. Dengan itu,
bebanan dan tekanan murid dapat dikurangkan selain kadar masalah disiplin
diturunkan.

Di samping itu, PIBG juga haruslah mengadakan aktiviti-aktiviti atau program


sekolah untuk meningkatkan prestasi akademik mahupun prasarana sekolah. Selain
mendapat permuafakatan dalam melaksanakan program-program sekolah ini,
hubungan antara ibu bapa dan guru juga boleh terjalin dengan rapat dan pengawasan
mereka terhadap anak-anak mereka akan menjadi lebih berkesan. Ibu bapa juga boleh
memahami tindak-tandus anak-anak mereka dalam sekolah. Jadi, pelbagai masalah
disiplin sekolah dapat diatasi melalui kerjasama dan perbincangan kedua-dua pihak dan
PIBG haruslah bekerjasama dengan pihak sekolah dalam usaha memantapkan
peranan untuk menyampaikan ilmu, maklumat, kemahiran, pengalaman dan nilai murni
kepada pelajar.

3.4       Peranan dan Tanggungjawab Kerajaan

Pihak kerajaan boleh memainkan peranan yang penting dalam menangani


masalah disiplin murid. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai autoriti dalam negara
kerana mempunyai kuasa sumber kewangan dan boleh menggubal undang-undang.
Beberapa program untuk remaja perlu dirangka dan dilaksanakan secara berterusan
agar nilai-nilai murni dapat diamalkan oleh golongan remaja. Sebagai contohnya,
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah satu program yang baik kepada
remaja di Malaysia. Bagi remaja yang melanggar undang-undang negara, tindakan
tegas hendaklah diambil oleh pihak kerajaan bagi membendung perlakuan negatif
tersebut. Bukan itu sahaja, Kementerian Pendidikan juga selalu menyokong program
sekolah dan juga memberi kebenaran untuk penubuhan kelab seperti Kelab
Pencegahan Jenayah dan Disiplin untuk melatih dan memberi kesedaran dalam
kalangan pelajar tentang pelbagai aspek jenayah dan pencegahannya.

            Tuntasnya, peranan dan tanggungjawab kerajaan sangat besar dan tidak boleh
dipandang remeh. Semua pihak haruslah bekerjasa untuk mengatasi masalah disiplin
murid ini supaya dapat membentuk modal insan yang berguna pada masa depan.
          

  Penutup

Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat


dan juga sering dihadapi oleh guru-guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran
dijalankan. Bukannya mudah untuk menguruskan masalah tingkah laku dalam kalangan
murid-murid. Adakalanya ia dapat dikawal dan ada kalanya ianya seperti barah yang
boleh menyebabkan lumpuhnya proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Namun, jika
semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan menggemblengkan tenaga
serta saling berganding bahu bagai aur dengan tebing, pastilah dapat membentuk
modal insan yang berkuailiti dan seterusnya dapat merealisasikan aspirasi wawasan
2020.

Anda mungkin juga menyukai