Anda di halaman 1dari 3

TAUK PIDATO: AKHLAK SAHABAT RASULULLAH MODEL INSAN CEMERLANG

(puisi)
Hormatilah ibumu sesungguh hati,
Jasa mereka tidak terperi,
Assalamualaikum ucapan diberkati,
Akhlak sahabat Rasullah,
Model Insan Cemerlang tajuk diberi.

Sejambak mawar, seharum kasturi buat peneraju acara, barisan panel hakim yang sentiasa
berasimilasi dengan kebenaran, saudara penjaga masa yang cakna dengan randiknya, warga pendidik
yang mencetus revolusi negara seterusnya warga intelektual pencetus wawasan negara.

Andai patah sayap rajawali,


Bertongkat jua patik ke mari,
Bukan kerana ingin mencari autoriti,
Tetapi untuk membawa kita semua, memahami, menerokai serta menghayati tajuk pidato saya
pada hari ini. “Akhlak Sahabat Rasulullah, Model Insan Cemerlang”.

Sebelum lidah menutur kata, sebelum bibir rancak berbicara, terlebih dahulu izinkan saya
mendefinisikan tajuk pidato saya satu per satu. Frasa akhlak bermaksud perilaku yang dilakukan
berlandaskan syariat atau sifat yang tertanam dalam jiwa dengan keimanan. Manakala frasa sahabat
Rasulullah membawa maksud mereka yang hidup semasa zaman nabi Muhammad lalu mengenali dan
menjadi rakan seperjuangan Muhammad semasa mengembangkan Islam. Frasa modal insan membawa
erti modal yang ada pada seseorang insan, seperti ilmu pengetahuan, dan kekuatan mental, fizikal serta
rohani. Seterusnya frasa cemerlang pula menurut kamus dewan membawa maksud menyerlah atau
menonjol. Oleh itu, secara generalisasinya, ‘Akhlak Sahabat Rasulullah, Model Insan Cemerlang’
diringkaskan sebagai akhlak dan ketokohan yang ada pada sahabat –sahabat Rasulullah merupakan model
yang terbaik untuk dicontohi dalam membentuk insan bestari yang berguna untuk agama, masyarakat
bangsa dan negara.

Sidang hadirin yang bervisi,

Meniti wacana fikrah saya yang pertama, “Keimanan Bilal bin Rabah Model Insan Cemerlang”.

Ahad, Ahad, Ahad.. Kalimah tauhid inilah yang membasahi lidah sahabat Rasulullah Bilal
bin Rabah tatkala dirinya disiksa dan diheret mengelilingi Kota Mekah di bawah terik mentari di tengah-
tengah padang pasir. Namun, keimanan yang kental telah merasuk jiwa Bilal lantas dirinya sedikit pun
tidak berpaling daripada mengesakan Allah. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 102,
“ bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa”
Masihkah kita ingat akan peristiwa kemalangan maut di Turki yang melibatkan pelajar  Malaysia,
Allahyarham Muhammad Ammar? Kedua ibu bapanya telah menerima kehilangan anak ini dengan penuh
yakin bahawa ada hikmah terselindung di sebalik ujian .
Hadirin pencetus minda bijaksana,

Wacana fikrah saya yang kedua ialah “Kepatuhan dan Kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq Model Insan
Cemerlang”.

Saidina Abu Bakar merupakan tokoh sahabat yang paling akrab dan dikasihi oleh Rasulullah.
Setianya Abu Bakar saat menutup lubang kala jengking di  Gua Thur dalam peristiwa hijrah dan patuhnya
beliau apabila sanggup menderma seluruh hartanya untuk perjuangan Islam. Ketika ditanya oleh baginda
Nabi Muhammad SAW ketika beliau menginfakkan hartanya untuk peperangan Tabuk, apakah yang telah
kamu tinggalkan kepada keluarga kamu wahai Abu Bakar? Dijawab dengan senang hati olehnya, aku
tinggalkan buat keluargaku Allah dan Rasul. Dalam peristiwa ini, jelas menunjukkan ketaatan dan
kesetiaan Abu Bakar terhadap Rasulullah selaku pemimpin dan pemerintah yang patut kita contohi.

Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 59,

Maksudnya : “Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan pemerintah di antara kamu”

Seharusnya, kita selaku rakyat Malaysia haruslah mentaati pemimpin selagi mana mereka
beriman kepada Allah dan Rasul dan tidak mengajak rakyatnya melakukan perkara yang mungkar.

Hadirin penjana minda berwawasan,

Wacana fikrah saya yang keempat  di bawah lembayung kata “Keluasan Ilmu Ali b. Abi Talib, Model
Insan Cemelang.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah ini adalah bertepatan dengan didikan yang
telah diberi oleh Nabi Muhammad kepada Ali b. Abi Talib semenjak beliau kecil lagi. Oleh yang
demikian, beliau merupakan antara sahabat yang memiliki ketinggian ilmu sehingga dilantik menjadi
penulis wahyu. Nik Nur Madihah seorang pelajar cemerlang SPM 2008 yang telah mendapat keputusan
cemerlang 20 A pasti telah mencontohi Saidina Ali Karamallahu wajhah ini dalam kesungguhan
menuntut ilmu selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,

‫طلب العلم فريضة على كل مسلم‬

Maksudnya : Menuntut ilmu itu wajib kepada setiap orang Islam ( lelaki atau perempuan )

Hadirin penjana transformasi negara,

Wacana fikrah saya yang terakhir ialah “ Wawasan Akhirat Khalid al-Walid, Model Insan
Cemelang”.

Matlamat akhir bagi setiap umat Islam adalah untuk mendapat kebahagiaan di akhirat dan inilah
wawasan Khalid al-Walid, sahabat Rasulullah yang mendapat gelaran pedang Allah. Beliau sangat
bercita-cita untuk mati syahid di medan peperangan dan sikapnya sangat positif dalam menghadapi setiap
rintangan perjuangan. Walau bagaimanapun, impian tersebut tidak tercapai kerana perancangan Allah
mengatasi segalanya.

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 54

“Mereka merancang, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang”

Khalid telah meninggal dunia di atas katil di kamar tidurnya. Demikianlah kekuasaan Allah dan
manusia akan kembali kepada-Nya sesuai dengan kemahuan-Nya. Pengorbanan parajurit Angkatan
Tentera Malaysia yang berjuang malah ada yang terkorban sewaktu peristiwa pencerobohan di Lahad
Datu, Sabah adalah salah satu contoh rentetan kepada perjuangan tanpa getir.

Akhir kalam, seandainya segala isi yang telah saya kupaskan tadi dibumikan dan dicontohi oleh
masyarakat mutakhir ini, maka impian kita untuk melihat modal insan yang berjuang memuliakan Islam
hingga hayat yang terakhir dan berkepimpinan persis sahabat Rasullah SAW akan terlaksana.

Sedap sungguh gulai sembilang,


Gulai dibeli di Restoran Abdullah,
Untuk melahirkan modal insan cemerlang,
Rujuklah model sahabat Rasulullah.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikm wrt.

Anda mungkin juga menyukai