Anda di halaman 1dari 2

Aktivisme dan media sosial

SYAHREDZAN JOHAN

Minggu lepas, saya menjadi ahli panel sebuah forum dianjurkan oleh gagasan anak muda yang
dikenali sebagai “Penabung”. Forum tersebut adalah berkenaan media sosial, anak muda dan
budaya melawan.

Saya ingin kongsikan di sini sedikit sebanyak apa yang telah saya bentangkan pada forum
tersebut.

Sekian lama, penyebaran maklumat menjadi prerogatif kerajaan. Monopoli maklumat ini
membolehkan kerajaan maklumat dimanipulasi oleh kerajaan.

Perbincangan dan isu diolah dan diuli mengikut acuan yang disenangi oleh pihak kerajaan, yang
sedikit sebanyak menjaminkan homogeni pendapat dan pemikiran rakyat. Contohnya, isu seperti
anak muda dan black metal, rempit, budaya melepak dan komik Jepun pernah dahulu menjadi isu
yang hangat diperbincangkan, tetapi ia diterajui oleh maklumat yang disalurkan oleh kerajaan.

Internet telah menukar semua ini. Monopoli maklumat telah dipecahkan. Di Malaysia, ‘detik
gemilang’ internet sebagai sumber alternatif maklumat adalah ketika pilihan raya umum yang
lepas, di mana blog telah sedikit-sebanyak menyebabkan tsunami politik di Semenanjung
Malaysia. Tetapi blog adalah jurnal atau catatan. Ada struktur dan bentuknya dan penulis perlu
ada ciri-ciri penulis.

Blog mungkin mendemokrasikan maklumat, kerajaan bukanlah sumber maklumat yang tunggal
lagi. Tetapi sama seperti demokrasi Yunani purba, demokrasi ini bukan untuk semua.

Sehinggalah tiba media sosial seperti Twitter dan Facebook. Jika blog telah mendemokrasikan
maklumat, media sosial pula telah merakyatkan maklumat.

Dengan media sosial, sesiapa pun boleh menyampaikan maklumat. Ketika sebuah kompleks
membeli-belah meletup, maklumat tentangnya mula tersebar melalui Twitter terlebih dahulu.
Begitu juga ketika perhimpunan Bersih 2 dan 3, di mana cara yang terbaik untuk mendapat
maklumat terkini adalah dengan memantau susur masa Twitter dan Facebook.

Media sosial juga membolehkan sesiapa yang mempunyai pandangan untuk mengutarakannya.
Tak perlu pandai menulis, kriteria yang dicari hanyalah kebolehan menulis dalam 140 aksara.
Atau cukup supaya orang faham jika diutarakan dalam Facebook.

Rakyat Malaysia semakin lama menjadi masyarakat yang begitu senang mengeluarkan pendapat
tentang sesuatu perkara. Melalui media sosial, rakyat kini ghairah memberi ide dua kupang
mereka.

Dengan adanya media sosial juga, tajuk, topik dan isu yang menjadi perbincangan nasional tidak
lagi ditentukan oleh pihak kerajaan. Rakyat biasa boleh menetapkan apa yang ingin
dibincangkan, dan kerajaan pula yang terpaksa mengikut rentak rakyat dalam beberapa perkara.

Contoh terbaik adalah tentangan luar biasa terhadap logo Hari Kebangsaan pada tahun ini,
sehinggakan pihak kerajaan terpaksa menarik balik logo tersebut. Ini adalah isu yang
dibangkitkan oleh pengguna media sosial, bukan ahli politik atau kerajaan.

Lahirlah apa yang dikenali sebagai clicktivism. Clicktivism ini kadangkala dikritik sebagai
sejenis slactivism, atau aktivisme orang malas. Daripada aktivisme akar umbi dengan ‘turun
padang’ untuk bawa perubahan positif, clicktivist hanya menggunakan media sosial untuk
aktivisme mereka. Contohnya dengan klik butang LIKE dalam muka surat Facebook tentang
sesuatu kempen.

Pada prinsipnya, clicktivism tidak salah. Media sosial banyak membantu dalam membawa
aktivisme ke arus perdana.

Mereka yang mungkin tidak ada masa, terlalu sibuk dan sebagainya masih boleh menyumbang
kepada usaha membawa perubahan positif melalui aktivisme.

Apa yang menjadi masalah adalah apabila kita rasa media sosial itu adalah matlamatnya. Bahawa
hanya dengan bermedia-sosial, apa yang diperjuangkan akan berjaya. Inilah yang akan saya cuba
kupaskan dalam bahagian 2 yang akan disiarkan dua minggu lagi.

Anda mungkin juga menyukai