Anda di halaman 1dari 2

AES bukan jembalang menakutkan

YUSOF HARUN
15 November 2012

Sejak AES diperkenalkan pada 23 September lepas, tidak ada orang yang kelihatan menyokong
pelaksanaan “kamera perangkap” itu. Macam-macam komen dibuat bagi menjustifikasikannya.
Sementara JPJ yang mempelopori projek ini berpuas hati dengan pencapaiannya, banyak badan
lain termasuk NGO dan pengguna jalan raya mempertikaikannya.

Bagi orang yang mudah terpengaruh dengan pembantah projek ini, AES sudah menjadi satu
liabiliti buat kerajaan terutama menjelang PRU 13. Nama AES kini dikaitkan dengan “kronisme”
kerana pemilihan syarikat-syarikat yang bertanggungjawab menjalankannya. Kita harus ingat
AES bukanlah jembalang yang harus ditakuti, sama ada siang atau malam dan ketika hujan atau
waktu tengah hari. AES merupakan singkatan kepada sistem penguatkuasaan automatik yang
kini dianggap satu keajaiban dalam menurunkan kadar kemalangan.
Contohnya sejak diperkenalkan, kadar kesalahan trafik seperti pemanduan melebihi had laju dan
melanggar lampu isyarat yang dicatat di lebuh raya utara selatan dekat Slim River dan di Jalan
Ipoh, Kuala Lumpur jatuh 22 peratus.

Kita harus mempercayainya kerana itu mengikut statistik dikeluarkan JPJ. Bagi JPJ setakat ini 14
lokasi dipilih sebelum ia dikembangkan melalui fasa kedua kepada 817 lokasi yang lain
membabitkan lokasi dianggap kawasan kemalangan maut.

Mungkin bagi orang awam, mereka akan membantah apa saja yang dibuat kerajaan tanpa
terlebih dulu melihat keberkesanannya. AES sebenarnya mahu mendisiplinkan pemandu yang
guna jalan raya di negara ini.

Jika kita melihat JPJ, macamlah polis menggunakan kaedah “menghukum” sebagai jalan
mendisiplinkan pemandu, ia ternyata kaedah yang berjaya menepati matlamat. Kerja
menghukum pemandu bukanlah baru sehingga jika tidak silap, pengguna jalan raya di Malaysia
berhutang sekitar lebih RM200 juta kerana gagal melangsaikan kesalahan trafik.

Bagi pembangkang tidak ada berita lebih baik daripada langkah kerajaan memperkenalkan AES
kerana mereka boleh mempermodal isu ini untuk meraih sokongan. Pada hemat mereka,
kemarahan rakyat jika dapat dimaksimumkan boleh mengubah haluan politik Malaysia.

Dipendekkan cerita, separuh daripada kita yang menggunakan jalan-jalan raya tidak menganggap
pengguna lain ada hak sama. Kita sahaja ada urusan lebih penting daripada orang lain sehingga
perlu memecut kenderaan macam driver ambulan sehingga kadangkala lebih laju dari ambulan
atau kenderaan kecemasan lain.

Rumusannya, pengguna jalan raya di Malaysia kurang berdisiplin apabila berada di belakang
stereng kenderaan masing-masing. Had laju ditetapkan kerajaan sering dicemar dengan
pemanduan ala formula satu.

Mereka memandu melebihi 150km sejam. Mereka yang berkenderaan mewah sanggup
membayar saman tidak seberapa itu sesuai dengan saiz injin dan imej kereta mewah.

Manakala pemandu tempatan bergelut dengan AES, pemandu dari negara-negara jiran seperti
Singapura dan Thailand yang menggunakan lebuh raya kita seperti datang untuk melepaskan
gian. Mereka juga memandu dengan tidak mengambil kira kadar had laju. Kalau kena saman pun
mereka mampu melangsainya kerana nilai mata wang mereka seperti Singapura, jauh lebih
tinggi.

AES bukanlah undang-undang Tuhan. Ia ada cacat cela seperti yang didakwa, tetapi peratus
kelemahan kamera perangkap itu amat kecil berbanding matlamat JPJ dan pihak berkuasa. Ini
dibuktikan sejak dilancarkan, kadar kemalangan di beberapa tempat yang dipasang AES
menurun.

Pembangkang sudah pun mendapat ilham untuk mempermodalkan isu ini. Baca saja akhbar, kita
dapati mereka cuba mengaut hasil daripada kemarahan rakyat. Kerajaan tidak boleh membiarkan
JPJ melaksana sesuka hati dengan tanpa mengambil kira sentimen pengundi dalam pilihan raya
akan datang.     

Bagi pembangkang yang dibelenggu dengan pelbagai isu seperti anak Anwar - berdepan isu
agama dan sebagainya, AES harus dipanaskan ke tahap maksimum. Kalau kadar kemalangan di
Malaysia mencatat satu rekod baru bertaraf dunia, itu bukan urusan mereka.

Sekiranya disiplin pemandu di Malaysia bukan saja tidak berubah malah menjadi lebih parah, itu
masalah kerajaan BN.

Dalam kata lain, tak mengapa sekiranya lebih ramai rakyat dan pemandu Malaysia terkorban
dalam kemalangan jalan raya di negara ini asalkan pembangkang boleh menang pilihan raya.
Setidak-tidaknya kita tahu, itulah ‘sistem’ yang digunakan oleh mereka untuk menjatuhkan
kerajaan.

Anda mungkin juga menyukai