Anda di halaman 1dari 3

Kasih yang tidak berbelah bahagi

NORDEN MOHAMED
28 November 2012

Siapa yang tidak sayangkan anak? Si kecil yang lahir ke dunia ditatap dengan perasaan kasih
sayang oleh ibu dan bapanya.

Senyumannya cukup menghiburkan. Tangisannya pun menimbulkan rasa sayu kerana ia tanda si 
kecil takut dan mahukan pelukan.

Tidurnya diiringi dengan dendangan lagu dan zikir. Bangunnya disambut dengan agah hingga si
kecil mengekek tertawa.

Dari kecil hingga ke dewasa, dialah racun, dialah juga penawar. Ibu dan bapa akan mendidik,
mengasuh, mengajar, mengherdik dan memukul agar si kecil itu membesar dan jadi manusia
berguna.

Bersyukur dan sejuk hati ayah dan ibu andainya si kecil membesar sebagai anak yang berakhlak, 
cerdas dan cergas.

Dia akan menjadi kebanggaan keluarga. Dia juga menjadi harapan untuk membantu si ibu dan
bapa apabila mereka merangkak ke usia senja. 

Bagaimana pun, bukan semua anak yang lahir itu akan menjadi  orang yang berjasa untuk diri,
keluarga, agama dan bangsa.

Ada juga anak yang dilahirkan tidak sempurna. Itulah takdir. Terima sahajalah.

Yang penting si anak akan terjaga, biarpun layanan terhadapnya umpama seorang bayi di
sepanjang hayatnya.

Ada juga yang meliar dan mengular hingga menyusahkan sesiapa sahaja.

Tidak kurang yang jadi pengganggu ketenteraman keluarga hingga menyusahkan sanak saudara.

Jika dahulu dia dibela penuh kasih sayang, kini dia dibela hingga dia keluar lokap atau penjara.

Anak yang menggembirakan ibu bapa akan disebut-sebut. Namun, sebaliknya jika dia
menyusahkan keluarga, dia tetap anak, meskipun seluruh jiwa ibu dan bapa menderita
memeliharanya.

Dialah darah daging yang akan dikasihi hingga ke akhir hayat ibu dan ayah. Malah, andainya
sebaliknya terjadi pada si anak, ibu dan ayah akan rela dia pergi.
Begitulah, kasih sayang di antara ibu bapa dan anak.  Mengapa kasih ibu dan bapa kepada anak
sampai begitu? Mengapa perasaan itu tidak boleh digalang-ganti atau dijual beli? Inilah yang
dinamakan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, atau unconditional love.

Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi ini tiada batasan waktu dan jarak.

Bila yang disayangi itu tiada di depan mata, hati terus merindu akan kehadirannya. Jauh di mata,
dekat di hati.

Tatkala berlaku perselisihan walau betapa besar pun perkaranya, ingatan ‘air yang dicincang
tidak akan putus,’ menjadi penyendal terlerainya rasa kasih itu.

Bergaduhlah bagaimana sekali pun, ‘bila biduk lalu, kiambang pun bertaut.’

Kasih yang tidak berbelah bahagi itu umpama hubungan  sepasang kekasih, tetapi yang lebih dari
itu.

Ia merangkumi kasih ibu kepada anak, adik beradik dan sanak-saudara. Ia juga mencakupi kasih
seseorang kepada persahabatan rakan sekerja, kepada syarikat, kepada parti, malah cinta kepada
negara.

Tentu sekali kemuncak kasih yang tidak berbelah bahagi ini adalah kepada Yang Maha
Mencipta. Seseorang yang sudah mempunyai kasih yang tidak berbelah bahagi kepada rakan
sekerjanya sanggup meletak jawatan bersama seandainya rakannya itu diyakini telah dizalimi
oleh syarikat.

Begitu juga bagi yang menyayangi tempat kerjanya, dia akan bekerja bermati-matian seolah-olah
itu  akan runtuh tanpanya.

Sayang kepada parti menjadikannya  pejuang hingga ke akhir hayatnya.

Seseorang yang mempunyai kasih terhadap negaranya tidak akan menjual walau seinci tanah dan
air, martabat dan maruah negaranya kepada orang lain.

Kasih yang tidak berbelah bahagi seseorang kepada Yang Maha Penciptanya akan menjadikan
dia berdoa penuh harapan, bersyukur bila menerima nikmat dan tunduk dengan akur serta patuh 
bila menerima musibah walau ia mendatang kepadanya bertali arus tanpa henti. 

Kita terlalu banyak menumpahkan kasih yang bersyarat. Bila ayah tak beri mainan, si anak tak
mahu berkawan dengan si ayah.

Bila rakan sekerja tidak membantu kerja, persahabatan pun menjadi renggang.

Bila parti mengenepikannya, dia jadi pembelot. Bila pemerintah dirasakan tidak adil, negara pula
hendak digadai. Bila Yang Maha Pengasih tidak memakbulkan doa, tangan tidak mahu ditadah
lagi.
Ada beza di antara kasih yang bersyarat dan kasih yang tidak berbelah bahagi. Kasih yang
bersyarat itu terjadi bila kita asyik meminta-minta. Kasih yang tidak berbelah bahagi itu terjadi
bila kita sentiasa memberi, memberi dan memberi.

Meminta-minta  akan menjadikan kita tamak. Memberi pula akan meresapkan rasa bahagia di
hati. 

Anda mungkin juga menyukai