Anda di halaman 1dari 2

Cincin suasa cincin pusaka,

Disimpan rapi di dalam peti;


Hormati yang tua, sayangi yang muda,
Kekalkan perpaduan tanpa sangsi.
Pantun empat kerat ini membuka tirai ucapan saya pada malam ini.
“Kepaduan Persepakatan Bermula di sini”,demikianlah bunyinya tema majlis makan
malam kita pada malam ini.
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat,definisi bagi kepaduan adalah kesatuan
pendapat, cita-cita dan lain-lain, manakala persepakatan membawa maksud
permuafakatan atau persetujuan.
Dengan bersatu demi mencapai satu impian, kita akan menjadi satu kumpulan yang
lebih kuat, gagah perkasa dan berjaya. Justeru, secara realitinya kumpulan masyarakat
berbilang keturunan dan agama di negeri Pahang khususnya di Kuantan ini perlu
bersatu bagi menjadikan Pahang sebuah negeri yang kukuh.
Tema Kepaduan Persepakatan Bermula di Sini merupakan tema yang berpaksikan
bumi nyata dan realiti sebenar masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Matlamat untuk menjayakan majlis makan malam ini adalah untuk mengekalkan dan
meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan
kita dan akan kekal sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan.
Sebanyak lapan nilai yang tidak saling eksklusif dapat diterapkan dalam mencapai
sesebuah perpaduan. Budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan,
kesetian, meritokrasi, pendidikan dan integriti, kelapan-lapan nilai ini telah menjadi
asas kepada perpaduan sesebuah organisasi.
Sebagai contoh, kesetiaan. Kesetiaan adalah penting kerana ia adalah asas kepada
kepercayaan. Contohnya sebagai kawan, anda setia kepada kawan anda tak kisah dari
segi keturunan dan keagamaan, kerana kesetiaan tersebut akan membina kepercayaan.
Satu ikatan peribadi antara anda dengan seorang yang lain. Dengan adanya
kepercayaan antara kawan, maka wujudlah keharmonian di antara masyarakat.
Tambahan pula, KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA begitulah bunyinya
prinsip kedua rukun Negara kita. Semua rakyat dituntut setia kepada raja dan negara.
Seterusnya pendidikan. Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk
mana-mana kumpulan mencapai kejayaan dan di sepanjang sejarah kita telah melihat
hanya empayar yang berteraskan akal yang terus wujud, khususnya dalam konteks
semasa. Sebuah empayar yang terbina daripada kekuatan tentera tidak bertahan dan
tidak mampu bertahan. Pendidikan yang disepadukan dengan nilai, kita akan memiliki
sebuah kumpulan yang bukan sahaja dapat menempatkan pendidikan dan
pengetahuan di mercu segala yang lain malah dapat menghayati erti perpaduan yang
dikecapi selama ini.
Tidak ada satu kumpulan hebat di dunia ini yang mampu mencapai klimaks kehebatan
dengan ahli kumpulannya yang berpecah-belah dan tidak ampuh. Ini fakta sejarah
yang tidak mungkin mampu dinafikan. Susur sahaja kehebatan tamadun dunia apa
sekalipun, ia bermula dengan 'cita-cita kebernegaraan' yang dikongsi bersama.

Justeru, generasi muda khususnya perlu membina kepaduan persepakatan yang


sejujur-jujurnya. Kita perlu banyak meninggalkan syak wasangka. Kita perlu
meruntuhkan kefahaman prejudis yang merosakkan. Kita perlu bersangka baik antara
satu sama lain. Kita perlu mempunyai yakin diri bahawa tempat dan langit terbaik
yang kita miliki ada di bumi bertuah ini.
Semua kumpulan di Malaysia ini perlu menganggap diri mereka adalah bangsa
Malaysia yang berfikir dan bertindak dalam satu nada dan satu matlamat. Ciri-ciri
demografi seperti negeri, daerah, kaum, agama dan budaya wajar dihindari bagi
mewujudkan satu kumpulan yang berfikiran terbuka serta ingin memajukan kumpulan
secara bersama. Perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu
diperkukuhkan lagi dengan menganggap kita adalah sekumpulan masyarakat di
Malaysia dan bangsa Malaysia. Keadaan ini akan dapat mewujudkan suasana yang
aman, harmoni, selesa, keselamatan yang terjamin dan memberi kemakmuran kepada
semua. Setiap kumpulan perlu memahami bahawa negeri yang mempunyai kestabilan
dan keselamatan yang terjamin akan memberi perkembangan ekonomi yang pesat.
Oleh itu semua lapisan masyarakat akan dapat menikmati limpahan daripada
kerancakan ekonomi negara khusunya di negeri Pahang ini.
Sebagai rumusan, setiap kumpulan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum,
agama, budaya dan adat resam memerlukan satu misi bagi memajukan kumpulan
masing-masing secara bersama. Tema Kepaduan Persepakatan Bermula di sini yang
diketengahkan pada majlis makan malam ini adalah satu tema yang amat bertepatan
dengan suasana untuk menyatakan impian satu bangsa satu Negara.
Akhir kata,
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh saya menunpang mandi.
Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai