Anda di halaman 1dari 2

Dalam menempuhi kehidupan era milenium yang penuh kontroversi ini, kita

dihidangkan dengan sains dan teknologi, budaya membaca kian dipandang enteng
dalam komuniti madani. Jika kita memfokuskan lensa perbincangan ke negara lain,
negara Jepun. Masyarakat Jepun amat menghargai ilmu dan mengamalkan budaya
membaca di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Mereka dapat dilihat
membaca buku semasa menunggu LRT, di kedai kopi dan di rata-rata tempat.
Generasi kini telah diamanahkan sebagai pemimpin negara masa hadapan untuk
melonjakkan nama negara ke mata dunia sebegai negara maju supaya dapat duduk
sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai bahawa setiap penyakit ada
penawarnya. Oleh hal yang demikian, marilah kita mencari solusi yang terbaik bagi
mewujudkan budaya membaca dalam kalangan remaja kita.

Umum mengetahui bahawa langkah yang bertunjangkan kewarasan minda


perlulah diambil, iaitu melalui peranan diri sendiri. Budaya membaca merupakan
suatu hobi yang baik dipraktikkan dan akan menjadi suatu pelaburan yang bijak. Hal
ini demikian kerana wang yang dibelanjakan untuk membeli buku tidak disia-siakan
dengan penambahan ilmu dalam individu tersebut. Setiap remaja berperanan untuk
berdisiplin dan memupuk budaya membaca dalam diri mereka. Pembacaan buku
dapat membentuk keperibadian mulia pada diri remaja. Remaja tersebut perlu
mengambil pendekatan dengan meminjam buku-buku daripada kawan dan rajin
melawat perpustakaan. Masyarakat bolehlah mengambil langkah pertama dengan
membaca satu buku pada setiap bulan. Persis kata peribahasa, alah bisa tegal biasa.
Dengan berbuat demikian, ternyatalah bahawa peranan diri amatlah berkesan
sekiranya perubahan sikap dapat dilakukan.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa cara yang lebih pragmatik


perlulah diambil, iaitu melalui peranan Ibu bapa. Anak-anak diibaratkan sebagai kain
putih dan ibu bapalah yang mencorakannya. Ibu bapa merupakan pendidik pertama
kanak-kanak dan berperanan penting sebagai suri teladan mereka. Ibu bapa haruslah
rajin membaca bahan bacaan yang pelbagai seperti majalah, surat khabar dan novel
agar dapat mempengaruhi anak-anak. Mereka boleh meluangkan masa dengan
membawa anak-anak ke pameran buku atau kedai buku sekiranya terdapat
penjualan murah. Bak kata cendekiawan, melentur buluh biarlah dari rebungnya,
budaya membaca hendaklah dipupuk sejak kecil lagi untuk membiasakan anak-anak.
Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa peranan ahli keluarga,
terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang vital dalam mewujudkan budaya
membaca dalam kalangan remaja.

Selain itu ialah melalui peranan sekolah. Pihak sekolah sentiasa mengadakan
program NILAM. Program NILAM dapat menyemai sikap membaca dengan menulis
sinopsis setiap buku yang dibaca oleh murid-murid. Minggu membaca juga
merupakan satu insentif yang baik dengan memperkenalkan bahan bacaan yang
pelbagai. Pertandingan tentang pengetahuan umum dapat dilaksanakan untuk
menguji tahap pengetahuan murid-murid. Persatuan atau kelab membaca boleh
ditubuhkan dan menggiatkan aktiviti yang menjurus kepada amalan membaca. Pusat
sumber sekolah hendaklah mengemaskini bahan-bahan bacaan terkini agar tidak
diluputi masa dan sentiasa dalam keadaan bersih dan kemas. Oleh sebab sekolah
merupakan rumah kedua para pelajar, maka budaya membaca boleh diwujudkan
dalam kalangan para pelajar. Cogan kata membaca itu jambatan ilmu hendaklah
sentiasa diuar-uarkan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pihak sekolah memainkan
peranan yang signifikan agar pelajar menjadi berilmu.

Akhir sekali, peranan pihak kerajaan. Kementerian Pendidikan Malaysia


khususnya perlulah memperuntukkan bajet kepada perpustakaan awam yang
terdapat di Malaysia untuk kegunaan pelanggan. Mahasiswa yang menuntut di
institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta perlulah diwajibkan membaca novel
sebagai satu kriteria pemarkahan peperiksaan. Pihak kerajaan seyogianya
mengambil inisiatif melaksanakan "perpustakaan bergerak" yang menggunakan trak
untuk menghantar buku-buku kepada penduduk di pedalaman. Maka, penduduk di
sana akan dapat menikmati suasana perpustakaan yang senyap dan kondusif di
samping menuntut ilmu pengetahuan. Jelaslah bahawa pihak kerajaan perlulah
berfikiran kreatif dalam menyeru warga Malaysia agar mewujudkan budaya
membaca dalam kalangan remaja.

Pendek kata, semua pihak perlulah menggembleng memperlihatkan


komitmen bagai aur dengan tebing yang berterusan dalam mewujudkan budaya
membaca dalam kalangan remaja kita. Remaja Penggerak Wawasan, Generasi Muda
Peneraju Wawasan dan Generasi Muda Wawasan Bangsa, itulah cogan kata yang
sering kita lihat yang membuktikan betapa pentingnya remaja dalam menjadi
pemimpin negara masa hadapan. Oleh itu,marilah kita bersama-sama melakukan
anjakan paradigma dan belajarlah budaya membaca dengan membawa sebuah buku
ke mana-mana sahaja dan membaca ketika masa lapang.

Anda mungkin juga menyukai