Anda di halaman 1dari 5

Punca-punca yang mempengaruhi masalah sosial dalam kalangan remaja

Pengaruh rakan sebaya merupakan sebab utama yang mendorong remaja terlibat dalam
masalah sosial. Hal ini disebabkan oleh rakan sebaya merupakan seseorang yang mempunyai
hubungan yang karib dengan remaja berbanding dengan ibu bapa. Remaja kini lebih suka
menemani rakan berbanding dengan keluarga. Mereka lebih percaya dengan rakan untuk
menceritakan dan mengadu masalah yang dihadapi. Pakar psikologi berkata, remaja akan lebih
mudah mengikuti dan mencontohi rakan sebaya yang seusia kerana mereka mempunyai minat,
sifat, perasaan dan identiti yang sama. Kumpulan atau geng rakan sebaya ini mempunyai
peraturan tertentu. Oleh itu, setiap ahli kumpulan mesti mematuhi dan mengakuri peraturan
kumpulan tersebut. Rakan sebaya yang bersikap negatif akan memudaratkan kehidupan remaja
bagai api yang mampu membinasakan kehidupan. Apabila sekumpulan rakan sebaya menghisap
dadah, pastilah remaja yang dalam kumpulan ini akan didesak supaya melakukan perkara yang
sama. Misalnya, hampir 80% daripada jumlah pelajar sekolah di Kuantan ditahan polis di atas
kesalahan penyalahgunaan dadah mengaku terlibat dalam masalah sosial itu akibat pengaruh
rakan sebaya yang negatif. (Berita Harian, 2020). Keadaan ini akan melahirkan masalah dalam
diri remaja yang tidak ingin dipinggirkan atau dipandang takut untuk mencuba. Akhirnya,
mereka akan membuat keputusan untuk mengikuti rakan sebaya dengan meniru tindakan mereka
itu.

Disingkap dari perspektif lain, institusi kekeluargaan yang bermasalah boleh


menyebabkan masalah sosial dalam kalangan remaja. Ibu bapa yang sering bertelingkah dan
bergaduh di hadapan remaja akan menyebabkan kepincangan institusi keluarga. Terdapat
sesetengah ibu bapa yang sangat sibuk dengan pekerjaan sehingga anak mereka diabaikan dan
tidak mendapat prihatin yang sepenuhnya. Hal ini menyebabkan mereka menghadapi stress dan
berasa bosan di rumah. Suasana yang tidak harmoni seperti ini menyebabkan hubungan yang
renggang antara ibu bapa dengan remaja. Oleh itu, mereka akan lari dari rumah dan melakukan
perkara yang tidak berfaedah untuk melepaskan tekanan. Selain itu, keluarga yang mengongkong
akan menyebabkan remaja memberontak dan mereka akan melawan perkataan ibu bapa jika
berpeluang keluar dari keadaan itu. Sebaliknya, keluarga yang terlalu memberikan kebebasan
akan menyebabkan mereka melakukan sesuatu dengan sesuka hati tanpa berfikir panjang.
Tambahan pula, dahagakan keseronokkan merupakan punca seterusnya yang
menyebabkan remaja terjebak dalam gejala sosial. Remaja mempunyai perasaan inginkan
hiburan yang tinggi pada peringkat usia ini. Dengan itu, perasaan ingin mencuba akan dicetus di
kalangan remaja apabila terdapat perkara-perkara baru yang dapat memberikan keseronokan
wujud di sekeliling mereka. Terdapat dapatan kajian yang menunjukkan bahawa dalam situasi
sebenar mat rempit mengambil bahan terlarang apabila terlibat dalam kegiatan lumba haram
untuk tujuan keseronokan. (Zalmizy Hussin dan P. Sundramoorthy, 2016). Sama ada diakui atau
tidak, mereka akan terdorong untuk mencuba dan melakukan perbuatan tersebut untuk mendapat
kegembiraan. Mereka akan berasa puas hati tanpa memikirkan akibat perbuatan mereka itu betul
atau tidak. Hal ini menyebabkan remaja terjebak dengan pencurian, pergaulan bebas,
gangsterisme, mat rempit, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

Di samping itu, pengaruh media massa juga menyumbang isu sosial dalam kalangan
remaja. Dalam meniti arus kemodenan ini, banyak novel dan majalah yang mempunyai unsur
seks yang melampau boleh merangsang perasaan remaja lalu menyebabkan tingkah laku
immoral. Kebanyakan filem di internet yang dari negara asing membawa nilai dan fikiran yang
bertentangan dengan budaya masyarakat kita. Filem-filem ini mengagung-agungkan budaya
asing bahawa budaya ini adalah cara hidup moden yang sesuai dengan dunia kini. Terdapat juga
video di media massa yang menayangkan gengterisme, pengaulan bebas, budaya kelab malam
dan penagihan dadah. Remaja yang tidak berfikiran matang akan mengikuti dan mencotohi
tindakan tersebut. Apabila situasi tersebut berlaku, remaja mudah terjemurus dalam gejala social
yang meruntuhkan akhlak mereka. Sebagai contoh, pencetusan budaya ‘black metal’ dalam
kalangan remaja akibat daripada pengaruh budaya asing.

Kekurangan didikan agama dan moral yang tidak kukuh turut merupakan punca yang
menyebabkan remaja terjebak dalam gejala sosial. Fahaman agama dan moral yang cetak
menyebabkan remaja tidak dapat membezakan antara perkara yang baik dan buruk. Remaja juga
tidak menghayati ajaran moral dan mengingkari perintah agama. Mereka akan melakukan
perbuatan negatif sewenang-wenangnya kerana mereka tidak takut pada pembalasan atau dosa di
atas perbuatan mereka. Contohnya, remaja mungkin hidup dalam situasi kelam-kabut.
Pengabaian ajaran agama moral akan menyebabkan remaja tidak mempunyai panduan hidup
untuk mengatasi masalah yang dihadapi dalam kehidupan. Natijahnya, pegangan agama dan
moral yang tidak sempurna menyebabkan remaja kurang kesedaran diri sehingga menyebabkan
mereka mudah terlibat dalam gejala sosial.

Lain daripada itu, tekanan yang dihadapi oleh remaja menyumbang kepada masalah
sosial. Tekanan seperti tekanan untuk berjaya dalam peperiksaan, tugasan kolej atau universiti
yang terlalu banyak dan pemilihan dan peluang kerjaya yang terhad. Mereka sentiasa berada
dalam keadaan yang tegang kerana ekspektasi ibu bapa yang tinggi terhadap mereka untuk
memperoleh keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan. Mereka sering dimarahi dan
dipersalahkan semasa mereka gagal mencapai target. Dalam konteks ini, remaja tidak dapat
meluahkan perasaan kepada ibu bapa atau guru mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka akan
mencari kaedah untuk menghilangkan stres yang dihadapi. Tuntasnya, remaja akan ponteng
sekolah, melakukan vandalisme dan menghidu gam untuk melepaskan tekanan dan geram.

Kemerosotan kawalan dan pengawasan disiplin sekolah mendorong berlakunya gejala


sosial dalam kalangan remaja. Peraturan sekolah yang longgar menyebabkan pelajar melanggar
disiplin sekolah kerana tindakan mereka tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Pihak sekolah
yang tidak mengambil berat dan kurang prihatin tentang hal ehwal pelajar akan memberi
kesempatan kepada remaja. Mereka akan mengambil peluang untuk melakukan gejala sosial
seperti kes buli dan memeras ugut. Hukuman yang terlalu ringan juga mendorong pelajar berani
untuk melakukan apa-apa sahaja perkara secara bebas. Susulan itu, ketiadaan unit kaunseling
yang dapat mendengar masalah dan menasihati remaja menyebabkan mereka berasa terpinggir.
Kesannya, sikap acuh tak acuh sekolah menyebabkan masalah sosial dalam kalangan remaja
semakin berleluasa.

Penguatkuasaan undang-undang yang lemah menyebabkan masalah sosial dalam


kalangan remaja semakin meningkat. Hal ini disebabkan oleh pihak berkuasa tidak menjalankan
rondaan yang kerap untuk membanteras lumba haram, pemandu mabuk dan mat rempit.
Hukuman dan denda yang longgar terhadap pesalah-pesalah menyebabkan mereka tidak berasa
takut. Sebagai contoh, denda RM150,000 dan penjara maksimum sehingga 20 tahun masih
dianggap tidak setimpal dan hanya wajar kepada kes pemandu mabuk yang membabitkan
kecederaan sederhana dan kemalangan. (Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof
Dr Zainur Rashid Zainuddin, 2020). Kempen yang kurang berkesan seperti kempen anti merokok
dan anti dadah juga menyebabkan kes-kes tersebut tidak dapat dikurangkan. Waktu operasi pusat
hiburan yang terlalu panjang dan tidak terkawal juga memberi peluang kepada remaja untuk
melakukan gejala sosial seperti berjudi.
Rujukan

Athirah Huda Zalhe, Portal Islam dan Melayu (ISMAWEB), 2020. Pemandu mabuk: Hukuman
cadangan kerajaan masih ringan. Dicapai pada 11 November 2020 dari
https://ismaweb.net/2020/07/16/pemandu-mabuk-hukuman-cadangan-kerajaan-masih-
ringan/

Shahrinnahar Latib, Berita Harian, 2018. Pengaruh rakan sebaya faktor utama terjebak dadah.
Dicapai pada 11 November 2020 dari
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/08/456932/pengaruh-rakan-sebaya-faktor-
utama-terjebak-dadah

Zalmizy Hussin dan P. Sundramoorthy, 2016. Mat Rempit Dan Pengambilan Bahan Terlarang Di
Pulau Pinang. Dicapai pada 11 November 2020 dari
https://www.ippbm.gov.my/index.php/en/malaysian-journal-of-youth-studies-
2019/2016/202-vol-15-disember/1698-mat-rempit-dan-pengambilan-bahan-terlarang-di-
pulau-pinang

Anda mungkin juga menyukai