Anda di halaman 1dari 4

PENDISIPLINAN PELAJAR : TANGGUNGJAWAB SIAPA Pengerusi : Selamat pagi dan Salam 1 Malaysia.

Warga dewan sekalian, Kita bertemu lagi dalam gelanggang Forum Remaja bersama saya Yoges pada pagi yang berbahagia ini. Sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita pada hari ini, kita sedia maklum, dewasa ini, masalah disiplin dalam kalangan pelajar boleh dikatakan berada dalam tahap yang agak membimbangkan semua pihak. Justeru, masalah ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Sesuai dengan tajuk forum kita pada kali ini Pendisiplinan pelajar: Tanggungjawab Siapa? Persoalan inilah kunci utama forum yang ingin kita gunakan sebagai pembuka pintu-pintu kecemerlangan pendidikan akhlak di sekolah khususnya dalam persoalan mengatasi masalah disiplin pelajar. Sebelum mengupas tajuk ini dengan lebih mendalam, terlebih dahulu, mari kita berkenalan dengan dua orang ahli panel kita pada hari ini. Jangan ragu dan jangan risau kerana warga dewan sememangnya tidak asing lagi dengan panel-panel kita pada hari ini. Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel pertama, Khidhir bin Harun yang merupakan penuntut tahun ketiga ijazah kaunseling di Universiti Malaya. Apa khabar saudara? Panel Pertama : Alhamdulillah sihat saudara Pengerusi. Seterusnya ahli panel kedua, segak berkemeja putih saudara Sham Kumar, penuntut tahun akhir ijazah psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia. Selamat datang saudara. Sebelum saya menyimpang dengan lebih jauh, soalan saya pada panel pertama, apakah sebenarnya konsep tanggungjawab dan disiplin. Panel Pertama : Terima kasih pengerusi yang cantik molek pekertinya membawa rasional persoalan. Terlebih dahulu, yang dihormati, barisan tetamu kehormat, kombinasi intelektual kehakiman, rakan-rakan panel yang lain dan seterusnya hadirin yang dirahmati Allah sekalian. Pada pendapat saya, tanggungjawab dan disiplin tidak dapat dipisahkan dan sudah semestinya membawa kepada persoalan yang berkait dengan kawalan individu, pemimpin, masyarakat dan sebagainya. Kawalan inilah yang penting dalam menentukan jati diri, akhlak, serta kualiti yang ingin dicapai ataupun di tonjolkan. Ringkasnya tanggungjawab adalah rukun utama dalam pembentukan disiplin. Di sekolah, disiplin satu kawalan sosial bagi mewujudkan suasana tenteram supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan teratur dan lancar. Maka disinilah terletaknya tanggungjawab yang digalas oleh semua pihak yang terlibat dengan disiplin pelajar sama ada murid itu sendiri, guru disiplin, guru-guru, pihak pentadbiran mahupun ibu bapa atau masyarakat umumnya. Bagi masyarakat di luar sekolah, tanggungjawab dan disiplin adalah asas penting bagi membentuk kerukunan hidup selaras dengan norma, nilai dan aspirasi negara. Amanah

yang dipikul dengan baik adalah tunjang kepada kawalan sosial yang baik. Namun tidak dinafikan, ramai juga masyarakat di luar sana menganggap tanggungjawab dan disiplin adalah suatu perkara yang sangat negatif iaitu merupakan masalah sosial dan tidak amanah sedangkan hakikatnya ia merupakan usaha yang perlu bagi memperbaiki etika dan gaya hidup bertamadun manusia. Contohnya orang Jepun yang membangunkan negara mereka setelah menjadi padang jarak padang tekukur dan kini merupakan negara moden seperti sekelip mata. Asasnya tidak lain dan tidak bukan adalah tanggungjawab dan disiplin yang hebat. Pengerusi : Terima kasih kepada panel pertama kita atas lontaran konsep yang utuh lagi berisi. Sebentar tadi panel pertama ada menyatakan bahawa, disiplin dan tanggungjawab perlu bergerak seiring untuk mencapai tahap kecemerlangan yang maksimum. Ia boleh diibaratkan sebagai irama dan lagu, iaitu tidak sempurna disiplin tanpa tanggungjawab, dan tanpa tanggungjawab, disiplin tidak akan dapat dibentuk. Justeru, saya ingin menanyakan persoalan seterusnya kepada ahli panel kita yang kedua, apakah asas kepada pendisiplinan pelajar agar kecemerlangan secara holistik dapat dicapai?

Panel Kedua : Soalan yang amat menarik daripada pengerusi kita pada hari ini. Baiklah sebenarnya, latar belakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. Saya berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat pendisiplinan terletak di bahu ibu bapa. Seharusnya, pihak ibu bapa perlu sedar akan kepentingan hubungan yang erat dengan guru-guru di sekolah. Perjumpaan berkala di antara ibu bapa para pelajar dengan pihak sekolah perlu diadakan sekerap yang boleh. Tindakan ini amat penting kerana ianya boleh menjadi medium perbincangan prestasi dan disiplin anak-anak mereka di sekolah. Hal ini amat signifikan kerana sekiranya golongan ibu bapa mengambil remeh tentang masalah disiplin anak-anak mereka di sekolah, golongan anak-anak itu akan merasa bebas dan terbiar sehingga menyebabkan mereka membuat tindakan yang bertujuan untuk mendapatkan perhatian seperti melawan guru, ponteng kelas, ponteng sekolah, membuli dan sebagainya yang mana hal ini akan menambah dan meningkatkan masalah kes disiplin di sekolah. Oleh itu, pihak ibu bapa dan guru di sekolah perlu mengadakan hubungan yang baik supaya segala masalah yang berkaitan dengan pelajar dapat diselesaikan sebelum nasi menjadi bubur.

Pengerusi : Terima kasih kepada panel kedua atas pandangan yang amat bernas sebentar tadi. Sekarang sudah terang lagi bersuluh bahawa sebenarnya terdapat banyak asas pendisiplinan yang boleh diimplementasikan untuk mengawal masalah disiplin pelajar di sekolah. Sungguh intelektual pemikiran saudari panel kita yang kedua. Tetapi saya ingin bertanya secara ringkas tentang pendapat ahli panel kita pada hari ini, siapakah yang sebenarnya menggalas tanggungjawab utama bagi mendisiplinkan pelajar di sekolah? Saya persilakan panel kita yang pertama dahulu untuk memberikan sedikit ulasan.

Panel Pertama : Terima kasih kepada pengerusi atas persoalan yang diujarkan. Pada pendapat saya, pihak yang menggalas akauntabiliti utama dalam mendisiplinkan pelajar adalah golongan ibu bapa. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Hal ini disebabkan ibu bapalah yang sentiasa memerhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Di samping itu, golongan ibu bapa mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak-anak mereka sejak berada di dalam kandungan lagi. Di samping itu, ibu bapa juga perlu meningkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, menunjukkan keperibadian yang mulia, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Justeru, Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak agar anak-anak tidak kehilangan arah dan menjadi insan yang berilmu dan beragama, penyumbang kepada kemantapan ummah seantero dunia, insya-Allah. Pengerusi : Begitu hebat kata-kata atau pendapat yang diutarakan oleh panel kita sebentar tadi. Diharapkan ianya dapat dijadikan pegangan dan panduan oleh golongan ibu bapa di luar sana untuk mendidik anak remaja kita menjadi insan yang berilmu dan beragama, insya-Allah. Sekarang kita perdengarkan pula pendapat daripada panel kita yang kedua, secara ringkas tentang siapakah yang menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar? Panel Kedua : Terima kasih saudari pengerusi yang tidak kurang petah bicaranya. Pada pandangan saya, pihak yang menggalas peranan utama dalam mendisiplinkan pelajar ialah Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Hal ini disebabkan, dari sudut psikologi, peringkat remaja adalah peringkat paling berpengaruh dalam kehidupan mereka. Pada peringkat inilah, pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling diterima. Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa lain. Oleh itu, pendekatan logikal ialah menggunakan remaja untuk mempengaruhi remaja lain. Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur. Oleh itu, adalah disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan ahli PRS hendaklah dipantau bersama kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan juga ibu bapa. Oleh itu, sekiranya ahliahli PRS menerima latihan secukupnya dalam menangani masalah disiplin pelajar di sekolah, masalah disiplin ini akan dapat diatasi.

Pengerusi : Begitu hebat sekali wacana yang dilontarkan oleh panel kedua kita sebentar tadi. Kesimpulannya perkara yang berkaitan dengan masalah ini sebenarnya bukanlah suatu perkara yang patut kita pandang remeh. Setiap individu mempunyai tanggungjawab dalam membendung kemelut ini daripada terus menjadi barah. Terima kasih saya ucapkan kepada kedua-dua ahli panel kita kerana sudi hadir dan sudi menyuarakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini tidak sekadar masuk telinga kanan,

keluar telinga kiri. Nampaknya masa amat mencemburui kita sebelum mengakhiri bicara forum kita pada hari ini, terimalah serangkap pantun dari saya:

Tuailah padi antara masak, Esok jangan layu-layuan; Intailah kami antara nampak, Esok jangan rindu-rinduan. Sekian sahaja untuk hari ini, terkasar bahasa, tersilap bicara, mohon dimaafkan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Yang Maha Pencipta, dan yang kurang elok itu datangnya daripada kekhilafan diri kami sendiri.

Anda mungkin juga menyukai