Anda di halaman 1dari 4

DASAR PENSWASTAAN

Penswastaan di Malaysia mula mendapat perhatian selepas Dato’ Seri Dr. Mahathir
Mohammad menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981. Dasar ini mula dilancarkan
sekitar tahun 1983, selepas pelancaran Dasar Pensyarikatan Malaysia yang juga telah
menyentuh peranan pihak swasta dalam pembangunan dan pengurusan negara. Namun
demikian, tidak seperti Dasar Pandang ke Timur dan Dasar Pensyarikatan Malaysia
yang kurang berkesan, Dasar Penswastaan telah diberi nafas baru, khususnya selepas
perlantikan En. Daim Zainuddin sebagai Menteri Kewangan pada pertengahan tahun
1984 dan krisis ekonomi pada tahun 1985 hingga 1986.

Penswastaan adalah “penyerahan hak milik negara kepada sektor swasta dengan
membawa maksud mengubah hak milik sesuatu perniagaan, perkhidmatan atau
perusahaan daripada hak milik negara, kerajaan atau awam kepada hak milik atau
pengendalian swasta. Istilah penswastaan juga merujuk kepada penggunaan
kontraktor swasta untuk memberi perkhidmatan yang dahulunya diberi oleh sektor
awam. Menurut Pekeliling Am Bil.2 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri,
Dasar Penswastaan adalah bertujuan untuk meringankan beban kewangan dan
pentadbiran kerajaan dengan menyerahkan beberapa sektor tertentu untuk diurus
sendiri oleh pihak swasta. Ia juga bertujuan menggalakkan pertandingan dan
meningkatkan kecekapan serta daya pengeluaran, mempercepatkan pertumbuhan
ekonomi negara, mengecilkan saiz sektor awam dan membuka peluang seluas mungkin
untuk mencapai matalamat DEB.

Langkah penswastaan ini terlihat dengan jelas terhadap penjualan perusahaan


kerajaan kepada sektor swasta seperti perkhidmatan telekomunikasi, jualan atau
pajakan aset fizikal seperti Hospital Lady Templer , membenarkan persaingan dengan
swasta di mana kerajaan pernah memiliki monopoli seperti Sistem Televisyen Malaysia
Berhad.

Melalui dasar penswastaan ini pihak kerajaan berharap dapat mengurangkan beban
kewangan yang sedang ditanggungnya terutama dalam suasana menghadapi
kemelesetan ekonomi dunia. Penjualan aset yang merugikan dan yang memerlukan
perbelanjaan tambahan bagi kerajaan dapat mengurangkan keperluan perbelanjaan
sektor awam pada masa hadapan.

Secara rasional, faedah-faedah drastik dijangka akan dicapai oleh pihak kerajaan
menjelang perlaksanaan dasar ini. Melaluinya kerajaan dapat mengurangkan beban
kewangan akibat naiknya perbelanjaan di sektor awam serta menurunnya pendapatan
negara sejak awal dekad lapan puluhan. Dasar ini juga menggalakkan pertandingan
kerana pecahnya monopoli kerajaan ke atas sektor awam, di samping meningkatkan
ketidakcekapan yang sering menjadi rungutan orang ramai.

Daya pengeluaran juga dijangka meningkat kerana pada kebiasaannya sektor swasta
mampu meningkatkan tahap kecekapan berbanding dengan sektor-sektor kerajaan
atau awam. Penswastaan projek-projek baru seperti air, elektrik dan sebagainya
dijangka akan menyumbangkan pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Penglibatan kerajaan dalam sektor awam telah meningkat dengan pesatnya sejak
tahun tujuh puluhan istimewa selepas tergubalnya Dasar Ekonomi Baru. Begitu pun
saiz sektor awam yang kian membesar itu tidak dapat meningkatkan harapan orang
ramai terhadap mutu perkhidmatan awam serta keberkesanannya turut berkurangan.
Oleh itu penswastaan adalah dasar yang paling rasional dalam menghadapi
permasalahan ini.

Keberkesanan dasar penswastaan ini dapat dilihat pada masa kini, apabila kerajaan
telah berjaya menyerahkan penguasaanya dalam beberapa perbadanan kepada pihak
swasta. Contohnya Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Perbadanan Perkapalan
Antarabangsa Malaysia (MISC), Jabatan Telekom dan beberapa organisasi kecil yang
lain.

Walau bagaimanapun, dasar penswastaan ini telah menimbulkan pelbagai reaksi di


kalangan orang ramai. Sebahagian daripada mereka merasakan bahawa beberapa
agensi perkhidmatan tidak seharusnya diserahkan kepada seorang pengusaha ataupun
sekumpulan orang kerana golongan ini mungkin akan melakukan pemerasan terhadap
rakyat khasnya dan negara amnya.

Isu asas penswastaan yang perlu dibangkitkan di sini ialah kerajaan seolah-olah
mengabaikan konsep pemegang amanah yang dipeloporinya. Jabatan Telekom sebagai
pemegang amanah untuk memberikan kemudahan telekomunikasi kepada rakyat tidak
lagi menjadi kenyataan. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun,
telekomunikasi adalah kemudahan awam yang perlu dijamin perkhidmatannya.

Hasrat kerajaan untuk mewujudkan suasana persaingan yang sihat di antara syarikat-
syarikat apabila penswastaan terlaksana masih belum menjadi kenyataan. Dalam
memperkatakan hal ini, kita merujuk kepada polisi kerajaan dalam mengurniakan
projek penswastaan yang paling besar dalam sejarah negara ini kepada United
Engineering Malaysia Berhad (UEM) bagi pembinaan Lebuhraya Utara Selatan yang
bernilai hampir $3.4 billion. Umum mengetahui bahawa UEM adalah syarikat awam
yang dikawal oleh Hatibudi Nominees, yang merupakan syarikat pemegang amanah
UMNO parti komponen BN terbesar yang memegang tampuk pemerintah negara ini.

Begitu juga dengan pemberiaan tender membina persimpangan Jalan Kuching-Kepong


dan Jalan Pahang kepada Kamunting Corporation. Kamunting merupakan sebuah
syarikat yang dimiliki oleh sekutu-sekutu Syarikat Multi Purpose Holding-Syarikat yang
dikuasai oleh MCA, parti komponen BN yang kedua terbesarnya di negara ini.
Sementara itu, Syarikat Teratai K.G. Sdn. Bhd. yang tidak mempunyai pengalaman
langsung dalam projek pembinaan jalanraya telah diberikan hak membina dan
memungut tol di Jalan Cheras, yang mana telah membangkitkan kemarahan
masyarakat Cheras dan sekitarnya.

Gejala ini menunjukkan penggunaan kuasa politik dan pentadbiran untuk


mendapatkan kepentingan perniagaan bagi menampung keperluan kewangan parti,
dan menambahkan kekayaan serta mengurangkan peluang bagi organisasi-organisasi
perniagaan yang lain. Proses monopoli dalam penswastaan projek Lebuhraya Utara-
Selatan menunjukkan ada sifat tamak kerana jumlah yang bakal diperolehi oleh UEM
adalah berganda berbanding dengan kos pembayaran kompleks UMNO. Manakala tol
yang diperolehi adalah wang hasil titik peluh rakyat yang tidak mempunyai
kepentingan dalam UEM mahupun UMNO sendiri.

Kesimpulannya penswastaan di Malaysia telah membawa berbagai kesan yang positif


dan negatif. Kesan positif nampaknya banyak diperolehi oleh kerajaan dan orang-
orang yang mempunyai kepentingan dalam politik pemerintahan. Sebaliknya, kesan
negative seolah-olah terpaksa dihadapi oleh rakyat bawahan. Keadaan ini tidak akan
disedari oleh rakyat andainya orang-orang yang kritis tidak mendedahkan perkara ini.
Keuntungan yang diperolehi oleh kerajaan tidak bererti sekiranya masyarakat
bawahan menjadi mangsa dan seringkali teraniaya. Kerajaan perlu memastikan supaya
konsep penswastaan yang telah, sedang dan bakal dilaksanakan memberi manfaat dan
keuntungan kepada semua.

Anda mungkin juga menyukai