Anda di halaman 1dari 4

Istilah negara bangsa dapat ditakrifkan sebgai sebuah negara yang mempunyai kedaulatan dengan rakyatnya berkongsi satu

bahasa, budaya dan nilai. Pelbagai fakor yang boleh dijadikan pemangkin negara bangsa, sebagai contoh lingua franca, integrasi, kewarganegaraan, patriotisme, demokrasi dan ekonomi yang diamalkan oleh sesebuah negara itu. Negara bangsa adalah satu konsep yang dikaitkan dengan membentuk sebuah negara yang bersatu padu sebagaimana yang pernah dialami oleh bangsa Burma dalam pembentukan negara Myanmar. Negara Myanmar sendiri dibentuk oleh kebangkitan nasionalisme rakyatnya untuk mengusir kerajaan kolonial dari Myanmar melalui pergerakan kebangkitan nasional pada awal abad ke-20. Perkembangannya mengalami intenfikasi setelah Myanmar mencapai kemerdekaan pada pada 4 Januari 1948 dan berhasil untuk membentuk sebuah negara yang berdaulat. 1 Selain dari segi konteks politik dan sosial, perubahan dari aspek ekonomi juga jelas menonjolkan ke arah pembentukan negara bangsa khususnya selepas era kolonial. Ekonomi yang diamalkan di Myanmar adalah mengikut acuan sendiri dengan membentuk negara kebajikan walaupun agak perlahan, namun begitu perkara yang harus dilihat bagaimana Myanmar mampu mewujudkan rangka ekonomi sendiri untuk menunjukkan mereka boleh menjadi negara yang mempunyai masyarakat yang menyokong penuh tindakan pemerintah Myanmar. Myanmar yang mempunyai dua jalur pesisiran pantai iaitu Rakhine di Barat Daya dan pantai Taninthayi menerima hujan yang banyak menjadikannya sebagai negara pengeluar padi di Asia Tenggara selain pelbagai buah-buahan tropika. Aktiviti pertanian telah melahirkan masyarakat petani yang terdiri dari pelbagai etnik namun telah bersatu padu menentang penjajah dengan penubuhan Liga Petani Seluruh Burma, Liga Penanam Seluruh Burma dan berbagai kesatuan sekerja yang bergabung dengan parti-parti Sosialis dan Komunis bagi mendapatkan kemerdekaan, ini menjadi warisan kepada masyarakat Myanmar yang membentuk perpaduan melalui ekonomi.2 Selepas mencapai kemerdekaan, ekonomi era kolonial terus ditamatkan bagi menjalankan ekonomi mengikut pemerintahan Myanmar sendiri. Myanmar dilihat berupaya mengembangkan ekonomi berdasarkan kepada sistem pendidikan tinggi dan pendidikan teknikal yang sedia ada, kadar celik huruf yang tinggi, satu kelompok kelas menengah yang
1

Abu Talib Ahmad. 2000. Sejarah Myanmar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Hal. 315
2

B.K Drake. 1979. Burma: Pergerakan Nasionalis Dan Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Longman Malaysia Sdn Bhd. Hal. 49

berpendidikan barat, kewujudan prasarana yang paling asas, perkhidmatan awam yang terlatih yang diwarisi dari zaman penjajah, dan sistem perundangan yang berjalan dengan baik sepanjang tahun 50 an. Pada ketika itu, Myanmar boleh dikatakan agak ketinggalan dengan negara jiran seperti Thailand dengan purata pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KNK) mencapai empat ratus peratus setahun tetapi memadai untuk membawa Myanmar pada tahun 1960-an ke arah industrialisasi yang berteraskan penggunaan tekstil serta barangan pengguna pasaran dalam luar negara. Perubahan yang jelas dibawa oleh pemerintah Myanmar ialah melalui Perlembagaan Myanmar pada tahun 1947 telah menetapkan garis panduan yang penting tentang ekonomi sosialis demokratik, antaranya hak pemerintahan memiliknegarakan semua sektor eknomi, hak negara terhadap semua tanah, kebajikan pekerja dari segi keahlian dalam kesatuan sekerja, perumahan dan insurans serta hak rakyat mendapatkan pekerjaan, pendapatan minimum dan penjagaan atau rawatan semasa sakit, hak berehat serta riadah dan hak mendapatkan pendidikan. Melalui garis panduan ini, proses nasionalisasi dimulakan dengan giatnya pada tahun 1948. Perubahan ini melibatkan kepentingan ekonomi British seperti syarikat pengangkutan Irrawaddy Flotilla. Semua konsesi balak milik syarikat asing dihakmiliknegarakan bagi bertujuan membasmi sama sekali pengaruh kapitalisme. Walaubagaimanpun, kesan dari pembasmian ekonomi kapitalisme semasa era kolonial telah mewujudkan monopoli khususnya dari golongan pemerintah ketenteraan Myanmar yang kemudiannya membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah bagi mengekalkan kestabilan politik rejim tentera Myanmar sendiri. Ekonomi Myanmar sedikit merosot apabila dasar sosialisme cara Burma dilaksanakan secara giat selepas tahun 1962.3 Perubahan ini jelas mendatangkan kesan negatif kepada Myanmar apabila perjalanan ekonomi menunjukkan berlakunya kelembapan, kurang maju dan memerlukan perubahan menyeluruh dalam membangunkan kembali ekonomi ke arah yang lebih terbuka kepada global selepas tahun 1988. Perkara ini berjaya dilaksanakan oleh kerajaan Myanmar dengan membentuk dasar ke arah ekonomi pasaran bebas bagi meningkatkan bilangan projek yang yang melibatkan prasarana seperti jalan raya, jambatan dan sekolah serta membaiki peninggalan sejarah silam seperti di Pagan untuk tujuan industri pelancongan. Pada masa yang sama pelabur-pelabur juga mula memasuki Myanmar seperti dalam sektor perhotelan, industri
3

Abu Talib Ahmad. 2000. Sejarah Myanmar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Hal. 347

minyak dan gas asli, pembalakan serta perikanan. Walaupun ekonomi Myanmar mengalami kelembapan namun ciri-ciri negara bangsa masih dapat dilihat melalui konsep sosialime cara Burma dan ekonomi pasaran bebas yang diamalkan. Kerajaan Myanmar turut melancarkan program Pydawtha (Negara Makmur) namun tergendala ekoran kejatuhan harga padi di pasaran antarabangsa dan masalah rasuah dalam kalangan pegawai pemerintah meskipun tujuan asal Pydawtha merupakan satu rancangan jangka panjang yang baik untuk Myanmar.4 Umpamanya dalam bidang pertanian, melalui program ini misalnya mempunyai beberapa matlamat utama seperti meningkatkan pengeluaran pertanian, mempelbagaikan pertanian, meningkatkan eksport pertanian, meningkatkan pendapatan petani serta menjamin pendapatan yang lebih adil kepada petani. Sebagai pengeluar, kehidupan petani selepas tahun 1988 tidak mengalami perubahan besar, mereka perlu menyerahkan 30 peratus hasil pertanian kepada kerajaan dengan harga yang rendah. Pihak tentera juga memastikan harga padi tidak naik begitu tinggi demi menjaga kebajikan penduduk bandar yang lazimnya lebih lantang menentang kerajaan. Hal ini menunjukkan kebergantungan rakyat kepada pemerintah Myanmar khususnya golongan petani walaupun pada pandangan dunia luar mereka ini adalah golongan tertindas oleh pemerintahan tentera Myanmar. Kesimpulannya, melalui ekonomi Myanmar turut menerapkan ciri-ciri negara bangsa walaupun banyak kekangan yang terpaksa dihadapi terutamanya selepas mendapatkan kemerdekaan dan tidak dinafikan berlakunya perubahan kepada pembangunan khususnya dari segi ekonomi yang mengutamakan kebajikan rakyat walaupun dasar ini tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya. Namun begitu tidak dinafikan keadaan politik Myanmar yang sentiasa bergolak menyebabkan perkembangan ekonominya tidak begitu memberangsangkan sehingga mengaburi kepada ciri-ciri negara bangsa yang ada pada Myanmar selain mendapat kritikan dari dunia global. Perkara ini bagaimanapun menonjolkan kemampuan Myanmar mempertahankan kedaulatan negara dengan sistem pemerintahan mereka tersendiri dan tidak perlu mendapatkan bantuan luar yang sudah jelas mereka melengkapi ciri-ciri yang perlu ada pada negara bangsa walaupun dilihat agak membebankan rakyatnya sendiri. BIBLIOGRAFI
4

Abu Talib Ahmad. 2000. Sejarah Myanmar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Hal. 322

Abdul Rahman Embong. 2006. Negara-Bangsa Proses Dan Perbahasan. Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Abu Talib Ahmad. 2000. Sejarah Myanmar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Azizah Abbas. 1981. Mengenali Sejarah Asia Tenggara Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia.

B.K Drake. 1979. Burma: Pergerakan Nasionalis Dan Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Longman Malaysia Sdn Bhd.

Jamilah Mohd Hasan. 2002. Negara Serata Dunia Myanmar. Singapura: Times Books International.