Anda di halaman 1dari 2

CARA MENJAGA ALAM SEKITAR

PENDAHULUAN
Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa, agama
dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air seperti
sungai dan laut. Namun demikian, mutakhir ini, arus modenisasi menderaskan lagi pembangunan
negara. Pelbagai projek sosioekonomi dijalankan dengan begitu rancak namun secara tidak sedar
alam sekitar sudah terjejas. Kita sebenarnya tersepit antara keinginan menjadi sebuah negara maju
dengan alam sekitar yang perlu dipelihara, bak kata peribahasa ditelan mati mak, diluah mati bapa.
Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya mensyukuri nikmat pemberian Tuhan
yang amat berharga ini. Oleh itu, langkah-langkah bersama yang pragmatik dan proaktif perlu diambil
untuk memeliharaalam sekitar.

AKTIVITI TANAMAN POKOK


Salah satu langkah yang efektif dalam penjagaan alam sekitar adalah dengan menggalakkan tanaman
hijau. Tanaman pokok seperti pokok-pokok bunga dan sayur-sayuran sangat berguna dalam
kehidupan manusia. Kepentingan pokok terhadap alam sekitar umpama aur dengan tebingiaitu saling
memerlukan. Sebagai contohnya, pihak ibu bapa atau pihak sekolah boleh menggalakkan aktiviti
penanaman pokok seperti pokok-pokok bunga di kawasan persekitaran untuk menyahut seruan atau
menyokong kempen penanaman pokok yang dijalankan pihak kerajaan bagi memulihara alam sekitar.
Kesannya, alam sekitar yang hijau dapat memberikan udara yang nyaman dan segar kepada
penghuninya sekali gus dapat menghijaukan alam sekitar. Tegasnya, galakan dalam aktiviti
penanaman pokok dapat menjaga alam sekitar kita daripada tercemar.

PENJAGAAN KEBERSIHAN SUNGAI


Selain itu, penjagaan kebersihan sungai juga salah satu cara menjaga alam sekitar. Usaha ini penting
kerana sungai sungai merupakan nadi kehidupan kita kerana sungai merupakan sumber bekalan air
yang utama kepada manusia dan haiwan. Untuk memastikan sungai terpelihara daripada sebarang
aktiviti pencemaran, semua anggota masyarakat perlulah melibatkan diri secara aktif dan kolektif
dalam menjayakan Kempen Cintai Sungai Kita yang dianjurkan oleh pihak berautoriti.

Aktiviti membersihkan sungai perlulah dijalankan secara berkala dan bukannya hangat-hangat tahi
ayam. Masyarakat juga perlulah mengelakkan tabiat membuang sampah ke dalam sungai kerana
perbuatan terkutuk itu akan mendatangkan kemudaratan kepada semua makhluk Tuhan. Kesannya,
sungai yang bersih dapat menjamin kesihatan yang baik di samping dapat menjaga alam sekitar
daripada berlakunya bencana alam seperti banjir kilat. Izharlah bahawa pemeliharaan alam sekitar
dapat dicapai melalui kerjasama menjaga kebersihan sungai.

AMALAN KITAR SEMULA


Seperkara lagi, langkah yang juga praktikal ialah semua rakyat perlu mengamalkan kitar semula
barang terpakai. Program kitar semula memainkan peranan yang penting bagi pengurusan alam
sekitar dan sumber semula jadi yang mapan. Sebanyak 40 peratus sampah sarap seperti tin, besi
buruk, botol, kertas dan barangan plastik boleh dikitar semula. Contohnya, jika kertas dapat dikitar
semula secara maksimum kita dapat mengurangkan 4,360 tan sampah sehari yang bersamaan 78,000
batang pokok. Impaknya, kita dapat menyelamatkan alam sekitar seperti pokok dan dapat pula
mengurangkan kos sumber tenaga serta menambah pendapatan keluarga. Hal ini dikatakan sambil
menyelam minum air. Pendek kata, amalan kitar semula yang dipraktikkan oleh semua rakyat
Malaysia dapat memelihara alam sekitar di negara kita.

PERANAN KERAJAAN
Kerajaan memainkan peranan yang penting dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Tindakan yang tegas haruslah diambil untuk memastikan masalah pencemaran alam sekitar dapat
dibendung segera. Undang-undang yang ketat boleh diwujudkan oleh kerajaan dengan mengawal dan
mengecilkan had jumlah bahan pencemar yang boleh dilepaskan terhadap alam sekitar oleh kilang-
kilang industri. Setiap industri pencemar harus memastikan jumlah pencemaran yang dilepaskan tidak
melebihi piawaian yang ditetapkan.

Seterusnya, kerajaan boleh menggalakkan kilang-kilang industri menggunakan peralatan kawalan


pencemaran yang canggih dan mesra kepada alam sekitar. Kerajaan boleh memperkenalkan subsidi
atau pemberian geran bagi peralatan tersebut. Kaedah ini dapat menggalakkan firma-firma supaya
melabur dalam industri yang tidak mengancam alam sekitar. Sebaliknya, cukai ataupun denda yang
tinggi harus dikenakan terhadap industri yang tidak mematuhi piawaian dan menyebabkan
pencemaran.

PENUTUP
Sebagai intihanya, pemeliharaan alam sekitar dapat dilaksanakan dengan pelbagai langkah yang
diambil oleh pelbagai pihak kerana memelihara alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama.
Sesungguhnya alam sekitar ini merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya.
Oleh itu, semua pihak perlu bersendel bahu dan bergabung tenaga ibarat ke bukit sama didaki, ke
lurah sama dituruni untuk memikul amanah menjaga dan memelihara alam sekitar kita.

Hal ini bersesuaian dengan pesanan Mantan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri
Joseph Kurup yang menyeru semua pihak tanpa mengira umur, sektor swasta atau kerajaan perlu
bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi memelihara dan memulihara alam sekitar yang semakin
terancam pada hari ini sehingga menyebabkan banjir,tanah runtuh dan pelbagai bencana alam yang
lain. Diharapkan komitmen jitu daripada pelbagai pihak dapat melestarikan keindahan alam sekitar
yang menjadi platform kepada kesihatan rakyat di negara kita. Hal ini bersesuaian dengan cogan kata
‘Negara Bersih, Rakyat Sihat’.

Anda mungkin juga menyukai