Anda di halaman 1dari 3

KIRA-KIRA 23 tahun lalu, seorang bayi lelaki yang baru melihat dunia ditinggalkan di sebuah kawasan pembuangan sampah

di pekan Mentakab, Pahang. Bagaikan mengerti nasib yang menimpa dirinya, anak yang lahir tanpa kerelaan ibu bapanya itu tidak mudah mengalah meskipun semalaman menahan lapar dan kesejukan di tepi timbunan sampah. Mujur, anak kecil itu tidak menjadi santapan anjing mahupun biawak. Lebih untung, kelibatnya disedari oleh pasangan Cina yang datang membuang sampah di situ. Dia terus dibawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum dihantar ke Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan. Didaftarkan dengan nama Leong Swee Hsin, bayi lelaki ini terus menghuni rumah perlindungan tersebut sebelum diserah kepada keluarga angkat berketurunan Cina dari Shah Alam. "Pada 1991 ketika berusia lima tahun, saya diserahkan kepada satu keluarga Cina dan nama saya ditukar kepada Marven Tan Kwong Hsing. Kehidupan berkeluarga pada awalnya sangat menyenangkan namun keadaan berubah dua tahun selepas itu. "Akibat rugi berniaga, bapa angkat sering memukul saya. Keadaan lebih teruk jika dia mabuk. Pada 1993, bapa pernah naik angin apabila saya menyambutnya pulang pada jam 1.30 pagi. "Dalam keadaan mabuk, kepala saya dihentak dengan botol arak sehingga berdarah dan perut saya dicurah dengan air panas. Kesannya masih ada sampai sekarang. "Akibat tak tahan dengan layanan buruk di rumah itu, saya nekad melarikan diri ke balai polis. Ketika itu hanya tujuh tahun," cerita bayi terbuang, Muhammad Khairul Hafiz Abdullah, 23. Pelariannya mendapat simpati pegawai polis yang bertugas dan dia dihantar ke Rumah KanakKanak Tengku Budriah, Cheras sehingga tahun 1994 sebelum dipindahkan ke Rumah KanakKanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar, Perak untuk menyambung pelajaran ke tingkatan satu. Bunuh diri Di sana, menurut lelaki yang lebih mesra dengan panggilan Khairul ini, hatinya sangat hiba apabila menjelang cuti sekolah apatah lagi musim lebaran. Biarpun pada masa itu dia belum memeluk agama Islam, hatinya dipagut rasa syahdu bila menjelangnya Aidilfitri. Jiwanya tambah kosong tatkala rakan-rakannya yang lain dikunjungi pelawat ataupun diambil pulang bercuti sedangkan dia hanya mampu memandang kemesraan mereka di balik dinding konkrit. "Pernah sekali saya menangis dan meracau. Saya merintih kepada Allah, 'kenapa kau lahirkan aku tanpa mak dan ayah. Aku rindukan kasih sayang mak dan ayah. Mengapa aku dilahirkan begini. Lebih baik aku bunuh diri dari terus dihina dan dikutuk sebagai anak haram, anak sial dan anak luar nikah'," ceritanya.

Khairul mengakui, ketandusan kasih sayang memaksanya melarikan diri dari JKM demi menjejaki ibu bapanya dan mencari identiti dirinya yang sebenar, pada masa itu umurnya baru 14 tahun. "Apabila keluar dari JKM, baru saya kenal apa itu dunia. Sebelum ini saya tidak kenal, apa yang baik dan apa yang buruk. Tanpa sebarang wang dan pengenalan diri, saya hidup merempat. "Saya buat apa saja kerja untuk dapatkan wang. Ibarat baru keluar dari tempurung, terlalu banyak perkara di luar yang saya tak tahu. Saya sering ditipu dan terpaksa menipu untuk mencari sesuap nasi. "Kenaifan saya pada waktu itu merumitkan lagi keadaan apatah lagi, hidup saya pada masa itu tiada haluan," kata Khairul. Dia ditahan polis beberapa kali kerana tiada kad pengenalan diri. Khairul mula memahami ragam manusia apabila dia bekerja sebagai pelayan di sebuah hotel empat bintang di Bandar Hilir, Melaka dengan gaji RM350 sebulan. "Jumlah RM350 itu sangat bernilai buat saya, tetapi sebenarnya saya ditipu hidup-hidup. Sepanjang hari bekerja di hotel, saya hanya diberi sisa makanan pelanggan. Ada masanya saya terpaksa bongkar tong sampah hanya untuk hidup. "Saya juga sering dijadikan taruhan siapa yang paling kuat minum arak oleh rakan-rakan. Habuan yang ditawarkan RM1,000 jika menang. Dalam kesempitan pada waktu itu, saya tidak boleh menolak. "Pada malam Krismas tahun 2005, saya menang besar dalam taruhan. Malangnya, dalam perjalanan pulang, saya ditimpa kemalangan. Saya cedera parah. Hidayah Islam "Semasa tidak sedar, saya didatangi mimpi aneh. Saya melihat Kaabah dan mendengar alunan suara yang sangat merdu. "Selepas diazankan, ada seorang hamba Allah datang kepada saya dan berkata, 'belum ajalmu, belajarlah menghargai hidupmu'," katanya yang pernah menceritakan mimpinya itu kepada penceramah terkenal, Farid Ravi Abdullah. Sejak peristiwa itu, Khairul mula mendalami Islam dan bergelar Muslim pada Mac 2006. Kini Khairul sudah boleh merasa lega. Percaturan hidupnya dipermudahkan biarpun terpaksa menunggu selama tujuh tahun untuk mendapatkan kad pengenalan. "Saya mempunyai sijil lahir dan didaftarkan sebagai bayi Cina. Namun, ia tidak mudah untuk saya mendapatkan kad pengenalan walaupun lahir di Malaysia dan berada di bawah jagaan JKM.

"Saya benar-benar tertekan. Hendak mencari kerja payah, berurusan dengan bank susah, malah permohan bantuan daripada agensi kerajaan juga tidak diiktiraf kerana saya diberi taraf penduduk tetap. "Saya terpaksa berdepan dengan pandangan sinis, cacian dan maki hamun daripada orang perseorangan yang memandang hina insan berstatus anak tidak sah taraf seperti saya. "Alhamdulillah, selepas mendapat taraf warganegara 1 April lalu, saya lega. Saya membayangkan perjalanan saya lebih mudah selepas ini," ujarnya yang kini mengusahakan ternakan ikan keli di Kulai, Johor. Bapa kepada Muhammad Haikal Wafiy yang berusia setahun setengah masih berusaha menjejaki ibu bapa kandungnya namun sehingga kini belum berhasil. "Bagi insan yang senasib dengan saya, persediaan dan pendedahan untuk melangkah ke dunia luar adalah sangat penting. Jika tidak, hidup pasti tiada haluan," katanya.

Anda mungkin juga menyukai