CEPAT Betul Masa Berlalu Kerana Bulan Ramadan Yang Lepas Masih Segar Dalam Ingatan Kita Semua

Anda mungkin juga menyukai

Anda di halaman 1dari 2

CEPAT betul masa berlalu kerana bulan Ramadan yang lepas masih segar dalam ingatan kita semua.

Begitulah kedudukan perjalanan masa pada zaman mutakhir ini.

Apa yang lebih penting adalah kesedaran untuk merenungi apa yang sudah kita laksanakan
sepanjang Ramadan lalu.

Kemungkinan ada dalam kalangan kita yang berbelanja secara boros semata-mata untuk
menyediakan hidangan berbuka dan bersahur.

Saban tahun, tatkala tiba bulan Ramadan kita mengeluarkan belanja lebih tinggi daripada bulan lain.

Kita tidak pernah menganggap perkara itu tidak dianjurkan oleh agama dan terus mengamalkan
pembaziran.

Malah, beberapa hari sebelum Ramadan lagi kita sudahpun membuat perancangan dan menyusun
atur menu untuk berbuka dan bersahur.

Tidak kurang juga ada dalam kalangan suri rumah mula membelek buku masakan semata-mata mahu
menyediakan menu hidangan yang menepati cita rasa ahli keluarga.

Apakah keadaan seumpama itu akan berterusan lagi pada tahun ini sedangkan ada perkara lain yang
sewajarnya kita rancang.

Sepatutnya, kita perlu muhasabah diri supaya setiap perkara negatif ketika Ramadan pada tahun
yang lalu tidak kita ulangi pada tahun ini.

Kita perlu menghayati intipati falsafah sebenar ibadat puasa pada Ramadan ini supaya apa yang
diamalkan tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Ramadan adalah bulan pendidikan atau ‘Syahru at-Tarbiyah’ iaitu bulan yang mendidik kita dalam
pelbagai perkara.

Ramadan sepatutnya mendidik kita belajar bersabar dan tidak mudah marah apabila berdepan
sesuatu permasalahan.

Ramadan adalah bulan yang mendidik kita supaya bijak mengurus kos sara hidup agar tidak berlaku
pembaziran.

Marilah kita berlaku jujur pada diri sendiri dengan bertanya apakah perbelanjaan sara hidup pada
Ramadan yang lalu benar-benar menepati kehendak agama.

Kalau gaya perbelanjaan kita boros, maka kita wajib memperbetulkan sikap buruk itu semata-mata
untuk menjadikan ibadat puasa pada Ramadan tahun ini lebih bermakna di sisi agama.

Dalam urusan tanggungan kos sara hidup ketika Ramadan, bagaimana pula dengan aspek peribadi
kita?

Adakah kita masih bersikap negatif dengan tidak tunduk dan patuh kepada perintah Allah agar umat
Islam sentiasa bertutur kata yang baik dan tidak menunjukkan sikap buruk.

Apakah budaya hidup yang berselitkan amalan mengumpat, menghina dan memfitnah masih kita
lakukan ketika bulan Ramadan?
Sedangkan Allah SWT sudah memberikan amaran keras terhadap sesiapa sahaja yang berpuasa
bahawa ganjaran pahala ibadat puasa dihitung sebagai ‘sifar’ sekiranya tidak menjaga tutur kata.

Tidakkah Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam sabdanya yang bermaksud: “Barangsiapa yang
tidak mahu meninggalkan perkataan kotor ataupun perbuatan keji, maka Allah tidak perlu kepada
usaha dia untuk meninggalkan makan dan minumnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Dalam sabda lain, Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan perkara sama antaranya: “Setiap
amalan anak Adam itu untuk dirinya sendiri kecuali ibadat puasa kerana puasa adalah untuk-Ku dan
Aku sendirilah yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai. Apabila suatu hari salah seorang
antara kalian berpuasa, maka janganlah dia berkata kotor dan jijik. Apabila ada seseorang yang
mencelanya atau memusuhinya, maka hendaklah dia berkata, ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa.”
(Hadis Muttafaqun ‘Alaihi)

Syariat puasa itu tidak terhad kepada bentuk menahan makan minum dan kehendak nafsu syahwat
semata-mata, ibadat puasa turut memberi makna kita menahan lidah daripada bercakap perkara
bertentangan dengan nilai agama.

Rasulullah SAW pernah memberitahu umatnya dengan sabdanya yang bermaksud: “Berapa ramai
orang yang berpuasa, akan tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya itu kecuali hanya
rasa lapar dan dahaga sahaja. Dan berapa ramai orang yang solat malam, akan tetapi dia tidak
mendapat apa-apa daripada solat malamnya itu kecuali hanya terbatas kepada berjaganya sahaja.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah dan disahihkan oleh Al-albani)

Kita seharusnya memberi perhatian mengenai peringatan Rasulullah SAW itu sekiranya tidak mahu
ibadat puasa yang kita laksanakan hanya mendapat rasa lapar dan dahaga sahaja, sedangkan di sisi
Allah ia tidak memberikan apa-apa makna.

Justeru, puasa pada bulan Ramadan adalah platform pendidikan terbaik dalam memperbetulkan
sikap dalaman diri kita.

Puasa Ramadan selama sebulan dalam setahun ini adalah ujian untuk Allah SWT menilai sama ada
puasa kerana ikut-ikutan semata-mata atau kita tunaikannya dengan sepenuh taat dan sentiasa
menjunjung tinggi etika dan adab ketika berpuasa.

Itu baru sekadar beberapa perkara negatif yang mungkin sudah kita lakukan sepanjang Ramadan lalu.

Masih banyak aspek lain lagi yang kita benar-benar perlu renungkan supaya ibadat puasa Ramadan
tahun ini berada dalam kategori puasa yang diberkati dan diredai Allah SWT.

“Ya Allah, panjangkanlah umur kami semoga kami dapat bertemu Ramadan tahun ini dan seterusnya
beribadat kepada-Mu, Ya Allah.”

Anda mungkin juga menyukai