Anda di halaman 1dari 6

Karangan SPM - Langkah Memupuk Semangat Kejiranan

Soalan: Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan.

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat".Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara.Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotongroyong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta . Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan.Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat.Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli

dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan.Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi. Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.

Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan.Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur.Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.

Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan.Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan.Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu. Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin

menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing . Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh . Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

Thursday, September 24, 2009 Langkah Untuk Menggalakkan Orang Ramai Menaiki Pengangkutan Awam di Negara Kita. Pengangkutan awam di negara kita sedang berkembang maju.Kerajaan juga telah mengadakan pelbagai langkah untuk menggalakkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengatasi masalah kesesakan khususnya di kawasan bandar.Jelaskan langkah-langkah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam . .......... Zaman beralih, musim bertukar , selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali.Untuk menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma.Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api, komuter dan monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam. . ..........Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa serampang dua mata .Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.

. ..........Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat ditingkatkan.Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan pengangkutan awam. . ..........Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka.Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. . ..........Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin, sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah kenderaan awam seperti bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang sama, pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi memastikan pemandu pengangkutan benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang

berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat. . ..........Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT umpamanya, tempat meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang sama turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya dengan pengangkutan tambahan atau bas fider yang dikatakan menjadi masalah kepada pengguna komuter dan LRT.Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat.Justeru adalah penting sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju.Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat menaiki kemudahan awam tersebut turut meningkat.Biarpun langkah ini memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan di negara kita adalah amat besar.Oleh itu langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap indah khabar dari rupa . . ..........Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya , pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi penerangan tentang kebaikankebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar agar menaiki perkhidmatan awam.Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kendera sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka. . ..........Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar

dengan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di negara-negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia. Lihat catatan di bawah ini dengan teliti.Huraikan pendapat anda tentang kepentingan semangat kejiranan tersebut.Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan. KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN Mewujudkan masyarakat bersatu padu Melahirkan masyarakat yang prihatin Mengakrabkan hubungan sesama jiran Contoh Jawaban Jiran ialah sekelompok masyarakat setempat yang tinggal berhampiran antara satu dengan lain. Jiran diibaratkan sebagai saudara kandung tempat kita mengadu atau mendapatkan pertolongan.Jiran yang baik ibarat cubit paha kiri paha kanan pun terasa amat sukar ditemui. Sesungguhn ya, banyak kepentingan yang diperoleh jika kita mengutamakan hubungan yang erat sesama jiran atau mengamalkan semangat kejiranan. Salah satu kepentingan semangat kejiranan ialah kita dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu.Hal ini dapat dilaksanakan melalui budaya ziarah-menziarahi semasa perayaan besar seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas, Hari Gawai dan Deepavali.Selain itu kita juga boleh berkunjung ke rumah jiran ketika mereka mendapat musibah atau sakit.Kunjungan kita ke rumah jiran mungkin dapat melegakan penderitaan yang dialami mereka dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim.Selain itu, hubungan antara kaum dan agama juga dapat dieratkan. Semangat kejirananjuga berupaya mewujudkan masyarakat yang prihatin. Hal ini boleh terjadi seandainya jiran tetangga saling mengambil berat antara satu dengan lain. Hubungan yang terjalin akan memudahkan kita untuk meminta bantuan ketika dalam kesusahan. Selain itu, kita juga boleh mengharapkan jiran memerhatikan rumah kita semasa kita pulang ke kampung atau pergi melancong. Pada masa yang lain mungkin kita pula akan dipinta oleh mereka untuk berbuat perkara yang serupa.Te gasn ya, semangat kejiranan akan melahirkan rasa prihatin dalam kalangan masyarakat. Semangat kejiranan yang dipupuk juga memudahkan tugas yang besar dilaksanakan secara bergotongroyong.Apabila hubungan sesama jiran sudah menjadi akrab seperti aur dengan tebing, sesuatu tugas yang berat dan besar seperti membersihkan kawasan kampung atau perumahan dapat dilaksanakan secara bersama-sama tanpa sebarang masalah. Oleh itu, tugas yang berat menjadi mudah laksana hati kuman sama dicecah hati gajah sama dilapah. Lantas suasana yang harmoni dapat dibentuk dalam masyarakat. Kesimpulannya, semangat kejiranan wajar dipupuk dalam masyarakat kita agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan harmoni. Sekiranya hal ini dapat dilakukan, maka akan tercapailah cita-cita negara untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu dan penyayang sebagaimana dihasratkan dalam matlamat Wawasan 2020. BM 1 SPM BAHAGIAN A ESEI RANGSANGAN