Anda di halaman 1dari 4

TEMA KARANGAN: - PERPADUAN ASAS KESEJAHTERAAN NEGARA

Ungkapan ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’ dan ‘serumpun bagai
serai,seliang bagai tebu’ tidak asing lagi dalam konteks rakyat Malaysia. Pada
zaman Tuk Nadur berkajang kain, nenek moyang hidup bermasyarakat dalam
segala aspek kehidupan. Sebagai contohnya, mereka mengorak langkah sederap
menceriakan kawasan kediaman, berborak-borak di warung kopi seraya menghirup
teh tarik dan mengecap nasi lemak, memainkan permainan tradisional untuk
mengisi kelapangan, dan seumpamanya. Sayang seribu kali sayang, senario
tersebut jarang kelihatan dalam masyarakat moden akibat desakan hidup, kerjaya,
dan peningkatan kos sara hidup. Oleh itu, mereka tidak menyedari kepentingan
perpaduan demi kemaslahatan nusa dan bangsa. Hal inilah yang berlegar-legar
dalam gawang minda kita. Persoalannya, adakah rakyat Malaysia sedar bahawa
perpaduan asas kesejahteraan baik dari segi politik, ekonomi dan sosial?

Bahawa perpaduan tonggak kesejahteraan kerana keamanan dan


keharmonian yang terjamin tidak dapat dinafikan. Hal ini dikatakan demikian
kerana kerukunan dan keselamatan rakyat terjamin jika rakyat yang berbilang ras,
agama, budaya, adat dan kepercayaan hidup bersatu padu. Andai kata rakyat
bercerai-berai atau berpecah-belah, nescaya keharmonian dan keamanan terjejas.
Contohnya, peristiwa hitam dalam sejarah Tanah Melayu, yakni tragedi berdarah
pada 13 Mei 1969 tercetus akibat rusuhan antara kaum Cina dengan kaum Melayu.
Peristiwa yang mencatatkan titik hitam dalam sejarah negara kita telah
menyebabkan telah mengorbankan ratusan nyawa dan menghuru–harakan negara
kita. Rentetan peristiwa berdarah itu, rakyat Malaysia telah mengambil iktibar
supaya memelihara dan menyemarakkan integrasi kaum demi kedamaian negara.
Dengan memiliki semangat perpaduan yang kental, rakyat akan bersikap lebih
bertoleransi, bersemangat muhibah dan bersikap tolong-menolong serta seterusnya
menjamin keharmonian negara dengan tidak memarakkan api perkauman.
Tegasnya, perpaduan kaum adalah penting untuk mengekalkan keamanan negara
agar kemerdekaan tanah tumpah darah kita dapat dilestarikan.
Kita tidak dapat menafikan hakikat bahawa perpaduan teras kesejahteraan
dari segi kemantapan politik. Parti-parti politik yang terdiri daripada rakyat yang
berbilang kaum bersatu padu dapat menstabilkan siasah negara. Hal ini dinyatakan
begitu kerana kaum yang berbangsa Melayu Cina, dan India mula berpuak-puak
akibat ideologi politik yang berbeza-beza. Senario ini tidak sihat untuk nusa dan
bangsa. Buktinya, Dato’ Onn sanggup meletakkan jawatan dalam UMNO pada
tahun 1951 selepas cadangannya untuk membuka keahlian UMNO kepada semua
kaum ditentang oleh sebahagian besar ahli UMNO pada ketika itu. Beliau
menyedari bahawa Malaysia tidak akan berjaya jika hanya bersandarkan kekuatan
Melayu semata-mata. Bukan itu sahaja, peristiwa menuntut kemerdekaan yang
menjadi peristiwa penting dalam sejarah tanah air berjaya direalisasikan atas
gandingan mantap semua bangsa Malaysia menerusi platform politik yang
bertunjangkan perpaduan dan integrasi nasional. Pendek kata, ‘bersatu teguh,
bercerai roboh’.

Jika dihalusi dari perspektif yang lain, peranan perpaduan sebagai agen
pengukuh sosioeknomi menyebabkan perpaduan menjadi teras kesejahteraan. 
Misalnya, dasar penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah
telah menyebabkan jurang sosioekonomi kaum. Amalan diskriminasi oleh Inggeris
ini telah merenggangkan hubungan antara kaum. Oleh itu, mantan Perdana
Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak memperkenalkan Dasar Ekonomi Baharu
(DEB) pada tahun 1970 yang berserampang dua mata, yakni menyusun masyarakat
semula dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum, berjaya merungkai
masalah tersebut. Tanpa kerjasama antara kaum, akan wujud jurang sosioekonomi,
dan sebagai dampaknya rakyat akan berasa tertindas dan berada dalam kepompong
kemiskinan. Pendek kata, perpaduan amat penting dalam usaha mengukuhkan
sosioekonomi rakyat.
Di samping itu, impak perpaduan yang menjadi asas kesejahteraan telah
tertonjol apabila perpaduan rakyat memacu roda ekonomi negara. Perkara ini saya
nyatakan demikian lantaran perpaduan menjadi tulang belakang yang dapat
mengembangkan sektor pelancongan. Dalam konteks ini, perpaduan yang
ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia akan menarik minat pelancong asing untuk
mengenali budaya masyarakat Malaysia yang berbeza kaum dan agama tetapi
dapat hidup dengan harmoni di bawah satu bumbung. Contohnya, majlis dan
sambutan yang melibatkan perpaduan kaum seperti Festival Pertunjukan
Kebudayaan dan Kesenian, Rumah Terbuka Peringkat Kebangsaan dan Pesta Hari
Gawai mampu menggamit kehadiran pelancong untuk mempelajari budaya rakyat
kita secara lebih dekat. Kesannya, industri pelancongan kita akan berkembang
maju di samping menjana pendapatan dan ekonomi negara.

Akhirnya, perpaduan menjadi asas kesejahteraan kerana imej negara akan


harum mewangi melalui perpaduan rakyat yang erat seperti dakwat dengan kertas.
Dalam konteks ini, kita tidak dapat menafikan bahawa sikap toleransi dan hormati-
menghormati yang dicerminkan oleh masyarakat kita yang hidup dalam pelbagai
kelompok bangsa ini menjadi contoh dan perangsang kepada negara-negara lain
untuk diteladani. Contohnya, masyarakat Malaysia amat terkenal dengan sikap
beramah mesra dengan para pelancong yang datang dari pelbagai pelosok dunia
kerana terbiasa hidup dalam komuniti yang mempunyai kaum yang pelbagai.
Impaknya, imej negara kita sebagai negara yang sejahtera, bertoleransi dan bersatu
padu dapat dipamerkan di mata dunia.
Sebagai intiha wacana, perpaduan rakyat yang berbilang kaum menyumbang
kepada kesejahteraan nusa dan bangsa, kemantapan politik, dan kestabilan
sosioekonomi rakyat. Andai kata rakyat bercerai-berai, anasir-anasir yang
bertopengkan manusia akan mengambil kesempatan untuk menjajah negara kita.
Memandangkan betapa pentingnya perpaduan kaum, terutamanya dalam konteks
tanah air yang tercinta ini, semua pihak hendaklah mengambil prakarsa untuk
menyemaikan dan menyuburkan bibit-bibit integrase agar tumbuh dengan
suburnya di segenap pelosok tanah tumpah darah yang tercinta ini. Dengan
wujudnya perpaduan rakyat yang kukuh, bunga-bunga kesejahteraan,
keharmonian, dan kemakmuran akan mekar di serata pojok tanah air kita, dan
seterusnya menjadi nusa yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

(833 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai