Anda di halaman 1dari 2

Internet berkuasa jadi sebutan,

Menjadi igauan anak-anak,


Gajet pintar menjadi rebutan,
Apa kesannya kepada kanak-kanak?

Setinggi penghargaan diucapkan kepada pihak penganjur, juri yang arif lagi bijaksana, dan
penonton video yang Budiman sekalian. Nama diberi ialah ________ dari Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil Ladang Pasir Gajah, Kuala Krai ingin menyampaikan sebuah ucapan
yang bertajuk “Kebaikan dan keburukan Gajet kepada Kanak-kanak”.

Hadirin yang dikasihi sekalian,


Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, penggunaan gajet
meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan disebabkan keperluan dan kemampuan setiap
individu untuk memilikinya. Tidak terlepas juga dalam kalangan kanak-kanak yang
mempunyai gajet masing-masing hasil pembelian mereka sendiri atau hadiah daripada ibu
bapa mereka. Setiap perkara terutamanya teknologi hari ini pasti memberikan impak positif
dan negatif. Pucuk pangkalnya ia bergantung kepada kanak-kanak terbabit untuk
memanfaatkan kesan positif daripada penggunaan teknologi tersebut atau merugikan masa
dengan implikasi negatif yang diterima.

Hadirin yang dihormati sekalian,


Objektif ciptaan gajet adalah untuk memudahkan komunikasi antara satu sama lain.
Justeru, jika kanak-kanak menggunakan gajet untuk berhubung dengan rakan-rakan atau guru
berkenaan aktiviti persekolahan ia adalah lebih mudah dan cepat. Selain itu, jika berlaku
kecemasan di sekolah atau diluar sekolah penggunaan gajet oleh kanak-kanak adalah
mustahak bagi memastikan keselamatan diri terjamin. Malahan kini banyak aplikasi gajet
yang membolehkan ibu bapa mengesan kedudukan anak-anak mereka supaya mereka tahu di
mana anak-anak mereka berada. Natijahnya, kemudahan menyampaikan maklumat dengan
ringkas dan cepat hasil penggunaan gajet adalah baik bagi menguruskan diri dan masa kanak-
kanak terutamanya dalam hal berkaitan persekolahan, keselamatan dan keluarga.
Di samping itu, kemudahan mencari maklumat dihujung jari menggunakan gajet
wajar untuk dimanfaatkan oleh kanak-kanak. Dengan jaringan atas talian yang semakin maju
dan murah untuk dimiliki, kanak-kanak boleh menggunakan gajet untuk melayari jalur lebar
dan mencari maklumat tambahan yang dikehendaki. Pelbagai alternatif pembelajaran secara
atas talian yang wajar untuk dimanfaatkan oleh kanak-kanak hari ini. Contohnya, guru-guru
menggunakan aplikasi Youtube sebagai medium pengajaran interaktif bersama kanak-kanak.
Ini disebabkan oleh variasi kandungan yang telah dimuatnaik sebagai video yang mampu
menarik perhatian dan fokus kanak-kanak terhadap sesusatu perkara. Maka, kanak-kanak
juga mampu melakukan pembelajaran secara bersendirian di rumah dengan memanfaatkan
aplikasi-aplikasi pembelajaran yang ditawarkan atas talian.  .Lantaran itu, penggunaan gajet
yang efisen dapat membawa implikasi positif kepada penggunanya terutamanya dalam
kalangan kanak-kanak.
Jika disingkap dari sudut yang berbeza, kanak-kanak yang menggunakan gajet dengan
kerap mudah terleka dengan permainan dan hiburan yang mereka peroleh di atas talian. Kita
tidak boleh nafikan kanak-kanak juga memerlukan hiburan bagi mengurangkan tekanan
dalam pembelajaran tetapi ia perlu dikawal. Ibu bapa harus memainkan peranan penting
dalam memastikan kanak-kanak yang menggunakan gajet dengan kerap tidak mengabaikan
pencapaian akademik mereka. Terdapat kes di mana kanak-kanak lebih gemar bermain
aplikasi permainan secara maya dan juga hanyut dalam penggunaan sosial media sehingga
menjejaskan pembelajaran mereka. Ibu bapa boleh memberikan tempoh masa kepada anak-
anak untuk bermain gajet mereka. Sebagai contoh peruntukkan selama satu jam untuk belajar
dan tiga puluh minit untuk bermain permainan di gajet. Pendekatan ini mampu memberikan
hasil yang baik kepada kanak-kanak kerana pembahagian masa yang seimbang dapat dicapai.
Seterusnya, apabila menggunakan gajet dengan kerap, kanak-kanak akan terdedah
dengan masalah kesihatan. Secara fizikal, mata kita akan terdedah dengan pencahayaan yang
lebih banyak dan kompleks apabila kita menggunakan gajet dalam tempoh yang lama. Maka
kanak-kanak berpotensi untuk rabun dan akan mengalami keletihan mata mengakibatkan
mereka susah untuk fokus pada pembelajaran di sekolah. Selain itu, penggunaan media sosial
di gajet boleh menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak. Sebagai contoh, kanak-kanak
boleh melihat selebriti yang mempunyai kemampuan yang lebih daripada kemampuan
keluarga mereka dan menimbulkan perasaan cemburu kerana mereka tidak dapat apa yang
mereka mahukan. Perkara ini perlu dibendung dan hubungan yang baik dan intim dalam
keluarga kerana ia penting bagi mewujudkan sifat keluarga bahagia tanpa mengira
kemampuan dan kemewahan orang lain. Tuntasnya, penggunaan gajet dalam kalangan kanak-
kanak wajar dipantau oleh ibu bapa dan berinteraksi sekiranya timbul persoalan mengenai
kehidupan masing-masing.

Sidang hadirin sekalian,


Kesimpulannya, secara keseluruhannya, peranti elektronik merupakan salah satu gaya hidup
baharu yang perlu diterima oleh ibu bapa. Mereka hendaklah memastikan anak-anak tidak
menyalah gunakan kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa. Mereka hendaklah bijak
menyelesaikan masalah ini bagai menarik rambut di dalam tepung, tepung tidak berselerak
rambut tidak putus. Semoga setiap anggota masyarakat bertanggungjawab mendidik orang
sekeliling terutamanya kanak-kanak agar sentiasa mencari perkara yang baik supaya
kesejahteraan dan kemajuan negara terjamin.

Sebelum saya mengundur diri, terimalah serangkap pantun dari saya.


Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Dilain masa bersua lagi.

Sehingga berjumpa lagi dilain masa. Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai