Anda di halaman 1dari 40

REKA BENTUK MODEL KURIKULUM

KEMAHIRAN KEUSAHAWANAN 4.0 BERASASKAN KOMPETENSI

BAGI SEKOLAH MENENGAH DI MALAYSIA

SARINAH BINTI JAIMIL


BAB SATU

PENGENALAN

1.1 Latar Belakang Kajian

Simbiosis revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0), Pendidikan Teknikal dan latihan

vokasional (TVET) dan pengangguran graduan dalam bidang pendidikan sering menjadi

perdebatan dalam kalangan sarjana sejak akhir-akhir ini. Graduan adalah modal insan

yang terpenting dalam sesebuah negara (Zaliza, Mohd Safarin & Ridzwan, 2014). Modal

insan pula adalah tunjang utama kejayaan sesebuah organisasi menghadapi era IR4.0

(Zafir & Mohd Nazmy, 2018). Ini bermaksud, graduan adalah tunjang utama dalam

menghadapi cabaran IR4.0. TVET merupakan enjin pembangunan sosial dan ekonomi

negara untuk menghadapi ledakan IR4.0 bagi melahirkan modal insan berkemahiran

tinggi seiring dengan keperluan industri semasa (Azubuike, 2011; Rosnani, 2018; Zafir

& Mohd Nazmy, 2018). Namun, apakah yang dimaksudkan dengan IR4.0? Apakah pula

perkaitan antara TVET dengan IR4.0 dan pengangguran graduan?

Pengangguran adalah salah satu polemik pada masa kini yang dihadapi oleh semua

negara di dunia sama ada kesannya kritikal atau terkawal dan menjadi isu sensitif kepada

masyarakat terutama dalam kalangan graduan. Polemik ini memberi pelbagai kesan

negatif kepada kerajaan, masyarakat dan juga individu (Suraya Fadilah, Muhammad

Firdaus, Hazmi, Muhammad Khairi & Amirul Zharif, 2018). Isu utama dalam

pembangunan ekonomi sesebuah negara adalah sumber manusia dan kadar

pengangguran. Tidak hairanlah kenapa pengangguran ini dianggap sebagai satu

malapetaka utama kerana mampu mengebumikan keadaan ekonomi dan menjadi

halangan kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara (Hina, 2017; Muhammad

Rafli, Cong, Lui & Mohamad Izzuan, 2020).

2
Di Malaysia, masalah pengangguran graduan menjadi isu utama yang

diperdebatkan. Masalah pengangguran graduan sering berlaku setiap kali universiti

mengeluarkan beribu-ribu graduan dan isu ini bukan perkara baharu dan menjadi

masalah kepada negara (Mohd Shahrir, 2015). Realiti yang harus diterima oleh golongan

muda yang hidup dalam keadaan ekonomi hari ini adalah kesukaran untuk mencari

pekerjaan kerana memiliki kelulusan pada hari ini bukan satu jaminan mendapat

pekerjaan yang diimpikan (Zaidi, 2013).

Pada tahun 2018, sebanyak 341,311 graduan telah dikeluarkan. Universiti awam

(UA) mengeluarkan seramai 132,518 graduan, diikuti Institut Pendidikan Tinggi Swasta

(IPTS) sebanyak 128,104 graduan, Politeknik sebanyak 28,685 graduan, Kolej

Vokasional mengeluarkan seramai 14,185 graduan, ILKA KPLB sebanyak 11,907

graduan dan Kolej Komuniti seramai 10,432 graduan. Manakala lain-lain Institut

Pengajian Tinggi (IPT) mengeluarkan kurang daripada 10,000 graduan, iaitu ILKA

KSM (9,605 graduan), ILKA KBS (4,343 graduan), ILKA MOA (1,274 graduan) dan

IPT lain seramai 258 graduan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019). Sungguhpun

ribuan graduan telah dikeluarkan oleh universiti tempatan namun begitu, didapati

kebanyakan graduan masih belum mendapat pekerjaan yang diinginkan bersesuaian

dengan kelayakan yang dimiliki.

Hal ini dibuktikan dengan data yang dipaparkan di Jadual 1.1 yang menunjukkan

kadar pengangguran graduan bagi lima tahun berturut-turut. Didapati peratus graduan

menganggur dari Kolej Komuniti dalam skala antara 2.6 % hingga 5.8% sahaja

berbanding IPT yang lain. Ini disebabkan kurikulum pembelajaran di Kolej Komuniti

berfokuskan kemahiran dan sekaligus memudahkan mereka mendapat pekerjaan

3
memandangkan permintaan tenaga kerja hari ini lebih kepada kemahiran (Kementerian

Pendidikan Malaysia, 2020).

Jadual 1.1:

Laporan Kajian Pengesanan Graduan Menganggur 2014 hingga 2018

2014 2015 2016 2017 2018


Jenis IPT
(%) (%) (%) (%) (%)
Universiti Awam (UA) 24.8 23.9 22.7 21.6 20.7
Institut Pendidikan Tinggi 26.2 25.6 72.8 25.1 24.6
Swasta (IPTS)
Politeknik 26.1 20.5 11.3 5.5 3.9
Kolej Komuniti 5.8 2.6 2.8 3.3 3.4
Sumber: Laporan Kajian Pengesanan Graduan, KPM (2019)

Oleh itu, persoalannya adalah: Siapa yang harus dipersalahkan? Adakah graduan itu

sendiri, universiti atau kerajaan? Adakah graduan kurang kemahiran yang diperlukan

dalam dunia pekerjaan? Apakah dasar kerajaan dalam mewujudkan pekerjaan dalam

kalangan graduan? Adakah graduan kita dilengkapi dengan kemahiran praktikal untuk

membolehkan mereka memenuhi permintaan pasaran kerja semasa? Apakah pula

kemahiran yang harus diterapkan bagi mengurangkan kadar pengangguran graduan?

Sekiranya soalan-soalan ini tidak dijawab, polemik pengangguran graduan akan

berterusan di Malaysia. Walaupun terdapat banyak kajian yang berfokus pada

pengangguran graduan di pelbagai negara, namun didapati hanya sedikit perhatian

dijalankan untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan ini. Lantaran itu, penawar

terbaik untuk menyelesaikan masalah pengangguran graduan di Malaysia tanpa mengira

latar belakang graduan adalah keusahawanan.

4
Keusahawanan merupakan jalan alternatif untuk graduan yang belum bekerja

untuk mendapatkan pekerjaan (Aziz, 2019). Bidang keusahawanan telah menjadi

pekerjaan yang paling penting dan merupakan pilihan kerjaya bagi semua orang di

seluruh dunia (Grigore, 2014). Negara yang memiliki kadar aktiviti keusahawanan yang

tinggi mempunyai kadar pengangguran yang rendah seperti USA, UK dan Jepun

(Ezeanokwasa & Nwachukwu, 2014). Setiap graduan harus mengerti hakikat bahawa

faktor pencapaian akademik bukan merupakan faktor tunggal untuk mengisi kekosongan

jawatan namun hanya sebagai keperluan asas untuk disenarai pendek dalam proses

saringan pekerja (Hamidah, Rohailin, Siti Zuraydah & Rusyda, 2017).

Rentetan daripada itu, kerajaan telah melancarkan beberapa inisiatif untuk

menangani lambakan graduan menganggur yang bertambah saban tahun. Kerajaan amat

menitikberatkan bidang keusahawanan dalam TVET kerana keusahawanan merupakan

salah satu cara untuk menangani isu pengangguran ini. Kerajaan telah melancarkan satu

program yang dinamakan Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) bertujuan untuk

membantu bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui latihan kemahiran

insaniah dan latihan pekerjaan dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran

dan pengalaman bekerja seterusnya meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan

pekerjaan (Amanuddin, Khairon Hamizah, Muhammad Naim, Nur Zahidah Nafisah &

Thevamalar, 2013). Kumpulan sasaran program ini adalah graduan menganggur yang

datang daripada keluarga berpendapatan rendah atau tinggal di kawasan pedalaman dan

juga graduan yang bekerja tetapi tidak setaraf dengan kelulusan ijazah yang diperolehi.

Berdasarkan statistik yang dilaporkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2019),

bilangan graduan ialah sebanyak 341,311 orang namun peruntukan untuk program

SL1M pada tahun 2018 sebanyak RM50 juta dan hanya terhad kepada 25 000 graduan

5
menganggur sahaja. Keutamaan diberikan kepada graduan di kawasan pedalaman sahaja

sedangkan jumlah graduan pada 2018 adalah 341,311 orang. Ini menunjukkan hanya 7%

sahaja jumlah graduan yang dapat menikmati inisiatif kerajaan ini. Bagaimana pula

dengan nasib graduan yang tinggal di kawasan bandar yang sememangnya berhadapan

dengan kos hidup yang tinggi? Mereka juga modal insan negara yang tidak harus

diketepikan.

Selain itu, kerajaan negeri turut mengambil inisiatif untuk menangani kemelut ini.

Sebagai contohnya kerajaan negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri

Selangor (PKNS) telah menjalankan Program Usahawan Siswazah PKNS (GROW)

sejak tahun 2003 dengan memberi tumpuan kepada latihan dan pembudayaan

keusahawanan yang mensasarkan graduan yang berminat menceburi bidang

keusahawanan. Program ini memberi pengetahuan dan latihan untuk mengendalikan

perniagaan selama enam bulan. Begitu juga dengan kerajaan Terengganu yang telah

melancarkan program Terengganu Graduate Transformational Program (T-GTP) khusus

untuk graduan menganggur yang berasal dari negeri tersebut. Pada tahun 2016, kerajaan

Terengganu telah memperuntukkan RM3.7 juta itu dengan menyasarkan pengambilan

seramai 500 pelatih setahun dengan bayaran elaun RM1,000 sebulan bagi setiap pelatih

yang mengikuti program ini.

Sungguhpun program-program ini telah dilancarkan hampir sedekad lalu akan

tetapi impak daripada program-program yang telah dilaksanakan tidak seperti yang

disasarkan memandangkan bilangan graduan menganggur semakin bertambah saban

tahun. Ini membuka mata kita bahawa program ini tidak mencapai keberkesanan yang

diharapkan. Ini dibuktikan dengan kenyataan Law (2018) bahawa sebilangan besar

daripada 400, 000 pelajar yang menamatkan pengajian setiap tahun tidak bekerja setelah

6
tamat pengajian. Malahan hanya 20% graduan tempatan yang mempunyai kemahiran

teknikal yang diperlukan oleh majikan. Selain itu, laporan statistik pekerjaan pada suku

tahun ke-empat 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (2019) juga turut melaporkan

bilangan mereka yang tidak mendapat pekerjaan juga telah meningkat kepada 450,300

orang (2019) berbanding 411,100 orang (2018). Kadar pengangguran juga meningkat

dari 3.2 peratus kepada 3.3 peratus pada November 2019 dan Disember 2019

(Kementerian Pendidikan Tinggi 2018). Ini juga menunjukkan bahawa persaingan untuk

mendapatkan pekerjaan adalah sengit. Baru-baru ini, KPT juga telah melancarkan

program PENJANA KPT-CAP yang memberi penekanan terhadap pengurangan kadar

graduan menganggur dan meningkatkan kemahiran graduan untuk memenuhi pasaran

kerja yang bersesuaian. Ini membuktikan bahawa program-program yang diperkenalkan

sebelum ini belum dapat merungkai polemik ini.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa polemik pengangguran graduan

belum menemui titik penamat. Pengangguran graduan akan terus diperkatakan dan

seterusnya kekal menjadi isu nasional sekiranya kerajaan tidak mencari alternatif untuk

menjuruskan graduan ini dalam bidang keusahawanan secara betul dan tepat (Zaidi,

2013). Lantas, apakah strategi jangka masa panjang untuk menangani kemelut ini

memandangkan strategi-strategi yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini lebih

kepada strategi jangka masa pendek?

Justeru, satu strategi jangka masa panjang untuk mengatasi polemik ini adalah

melalui pemerkasaan kemahiran keusahawanan melalui TVET semasa mereka di usia

muda lagi seperti dalam peribahasa Melayu ‘melentur buluh biar dari rebungnya’.

Menurut Maigada, Saba & Namkere (2013), kemahiran keusahawanan dalam TVET

dirancang untuk membentuk individu untuk bekerja sendiri, mempunyai kecukupan

7
ekonomi dan mencipta pekerjaan melalui latihan jangka pendek atau jangka panjang.

Pendedahan awal terhadap golongan pelajar untuk menjadi usahawan dalam menghadapi

etika pasaran peluang pekerjaan semakin mencabar setelah tamat belajar merupakan satu

pendekatan yang proaktif (Mohd Salleh & Zulnaidi, 2018). Banyak kajian menunjukkan

bahawa sekolah rendah dan sekolah menengah merupakan tahun penting dalam

memperoleh kemahiran keusahawanan (Deveci & Seikkula-Leino, 2018). Kajian

Ezeanokwasa & Nwachukwu (2014), Dilanchiev (2014) dan Adeyemi, Adelowo &

Ilesanmi (2019) membuktikan bahawa kemahiran keusahawanan dapat menyelesaikan

masalah pengangguran. Ini kerana kemahiran keusahawanan akan menjadikan seseorang

individu berfikir dengan kreatif (Rosique-Blasco et al., 2016; Daniel et al., 2017; Entika

et al., 2017; Mohd Hasril et al., 2017; Esmalaily & Norasmah, 2019; Prufer & Prufer,

2019; Mamabolo & Myres, 2020; Olutuase et al., 2020), mampu menyelesaikan masalah

(Mimi Mohaffyza et al., 2016; Entika et al., 2017; Mohd Hasril et al., 2017; Badawi et

al., 2019; Prufer & Prufer, 2019; Reyad et al., 2019; Mamabolo & Myres, 2020;

Olutuase et al., 2020), berinovasi dan berusaha (Mohd Hasril et al., 2017; Badawi et al.,

2019; Reyad et al., 2019; Mamabolo & Myres, 2020; Olutuase et al., 2020), mempunyai

sikap kepimpinan (Thom, 2015; Mimi Mohaffyza et al., 2016; Mohammad Salman et

al., 2016; Prufer & Prufer, 2019; Reyad et al., 2019; Sanitha & Rubert, 2020), berani

mengambil risiko (Rosique-Blasco et al., 2016; Daniel et al., 2017; Entika et al., 2017;

Badawi et al., 2019; Mamabolo & Myres, 2020), mengenal pasti peluang (Thom, 2015;

Mohd Nasir & Abdul Said, 2018; Zaliza et al., 2018; Mamabolo & Myres, 2020; Sanitha

& Rubert, 2020), berfikir secara kritikal (Badawi et al., 2019; Prufer & Prufer, 2019;

Olutuase et al., 2020), mampu membuat keputusan yang terbaik (Entika et al., 2017;

Sanitha & Rubert, 2020), berkebolehan untuk bekerja sendiri (Mohd Nasir & Abdul

8
Said, 2018; Zaliza et al., 2018) dan beberapa kemahiran lagi untuk menjadikan mereka

modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam yang sesuatu bidang

(Adeyemi, Adelowo & Ilesanmi, 2019). Kesemua kemahiran ini akan diperolehi melalui

penerapan kemahiran keusahawanan. Dengan adanya kemahiran-kemahiran yang

disemai daripada peringkat awal ini akan membentuk individu menjadi modal insan

yang berupaya menjadi pencipta pekerjaan.

Namun begitu, dalam usaha kerajaan untuk mencari pelbagai solusi untuk

mengurangkan kadar pengangguran graduan, kerajaan sekali lagi berhadapan dengan

cabaran baharu iaitu ledakan IR4.0. IR4.0 adalah penambahbaikan kepada revolusi

industri ketiga yang merupakan perubahan dalam dunia fizikal, digital dan biologikal

(Diwan, 2017; Schwab, 2017) yang memerlukan tenaga kerja yang mempunyai tahap

kemahiran yang tinggi (Balasingham, 2016). Adam, Muhammad Hilmi & Taufiq (2019)

menegaskan agar graduan perlu bersedia untuk berhadapan dengan cabaran IR4.0 kerana

dunia hari ini menuntut modal insan yang mampu mencorakkan IR4.0 agar lebih

bermanfaat. Kesan daripada perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas, ia

memerlukan satu pelan perancangan yang mampan dan menyeluruh oleh semua pihak

yang terlibat termasuklah penggubal dasar negara supaya perkembangan ekonomi

berasaskan IR4.0 dapat dimanfaatkan sebaiknya (Shukri, 2020). Beberapa persediaan

yang perlu diberi penekanan dalam usaha kerajaan untuk berhadapan dengan cabaran era

IR4.0 demi mencapai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah perubahan

dalam kurikulum, penyampaian dan pembelajaran secara berkesan, pengajian lebih

fleksibel menerusi dalam talian dan juga memberi tumpuan pada teknologi maklumat

dan keusahawanan (Berita Harian, 2018).

9
Seiring dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan modan insan kelas pertama,

Malaysia hendaklah membuat persediaan secara komprehensif dalam menghadapi era

revolusi digital sekaligus memperkukuhkan kompetensi tenaga kerja untuk menghadapi

IR 4.0. Justeru, suatu kurikulum kemahiran keusahawanan perlu direka bentuk yang

menekankan kepada elemen-elemen kemahiran keusahawanan berteraskan IR4.0.

Zulnaidi & Mohd Kamil (2018) menegaskan penerapan aspek pengetahuan dan

kemahiran keusahawanan dilaksanakan melalui seminar, latihan berniaga, sandaran di

industri atau pertandingan rancangan perniagaan oleh ekosistem keusahawanan di

institusi pendidikan. Kepentingan penerapan kemahiran keusahawanan melalui

pendidikan keusahawanan di peringkat pengajian menengah sewajarnya dimanfaatkan

oleh kerajaan sebagai salah satu alternatif penyelesaian jangka panjang untuk

mengurangkan kadar pengangguran graduan di Malaysia yang semakin meruncing

apatah lagi dengan kemunculan IR4.0. Oleh itu, untuk mencapai status negara

berpendapatan tinggi pada tahun 2050, sebuah dasar harus dibentuk untuk mendidik dan

melatih generasi muda dengan pengetahuan perniagaan dan kemahiran keusahawanan

(Akbar, Bon & Wadood, 2020).

1.2 Rasional Kajian

Berdasarkan kajian lepas membuktikan bahawa kemahiran keusahawanan dapat

mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan (Ezeanokwasa &

Nwachukwu, 2014; Muogbo Uju & John-Akamelu, 2018). Meskipun penerapan

kemahiran keusahawanan telah dilaksanakan di peringkat pengajian tertiari oleh

sesetengah universiti tempatan namun didapati isu ini masih terus diperkatakan. Ini

kerana, penerapan kemahiran keusahawanan sepatutnya dilakukan semasa seseorang

10
individu masih di peringkat pengajian menengah agar budaya keusahawanan dapat

disemai dari awal (Abdul Wafi, Yusmady & Melor, 2017; Hamzah & Zulnaidi, 2020).

Sehingga pada hari ini, belum ada kurikulum pendidikan keusahawanan khusus

yang berfokuskan kemahiran keusahawanan. Di Malaysia, pendidikan keusahawanan

diterapkan melalui kurikulum Pengajian Keusahawanan namun didapati penerapan

kemahiran keusahawanan tidak jelas. Justeru, reka bentuk model kurikulum kemahiran

keusahawanan 4.0 wajar dilaksanakan dan amat rasional untuk diimplimentasikan dalam

pendidikan masa kini memandangkan belum ada kurikulum kemahiran keusahawanan

apatah lagi yang berorientasikan IR 4.0 di Malaysia khususnya bagi pelajar sekolah

menengah.

Kajian reka bentuk model kurikulum kemahiran keusahawanan 4.0 yang

berasaskan kompetensi bagi sekolah menengah di Malaysia berdasarkan kepada

rasional-rasional yang berikut:

(a)Kemahiran keusahawanan merupakan salah satu faktor yang mendorong niat dan

kecenderungan seseorang individu menceburi bidang keusahawanan (Mazlina &

Maitilee, 2015; Najafabadi, Zamani & Mirdamadi, 2016; Oguntimehin &

Olaniran, 2017; Nasihah,Radin Siti Aishah & Norasmah, 2018; Yakubu &

Norashidah, 2018; Zulnaidi & Mohd Kamil, 2018; Wan Mohd Zaifurin & Ibrahim,

2019). Justeru, sekiranya kemahiran keusahawanan disemai pada peringkat awal

lagi, maka mereka akan cenderung untuk memilih profesion keusahawanan

sebagai kerjaya. Maka hasrat kerajaan untuk menjadi sebuah negara

keusahawanan unggul menjelang 2030 dapat direalisasikan melalui kurikulum ini.

(b) Pengkaji lepas telah membuktikan kemahiran keusahawanan membantu

mengurangkan pengangguran dalam kalangan graduan melalui peningkatan taraf

11
hidup dan pembangunan pangkalan teknologi tempatan yang membantu dalam

memindahkan teknologi yang sangat diperlukan untuk pembangunan negara

Ezeanokwasa & Nwachukwu (2014). Oleh itu, penerapan kemahiran

keusahawanan melalui pendidikan keusahawanan merupakan langkah

penyelesaian jangka panjang (Amani, 2017). Ini kerana, kurikulum kemahiran

keusahawanan merupakan salah satu sistem sokongan dalam ekosistem

keusahawanan yang dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran seseorang

individu dalam bidang perniagaan.

(c)Pembangunan kemahiran keusahawanan sangat kritikal untuk mewujudkan budaya

yang mana keusahawanan adalah menjadi bahagian penting dalam evolusi kita

dan model ekonomi baharu secara semula jadi (Sousa & Almeida, 2014). Ini

menunjukkan bahawa kemahiran keusahawanan amat penting dalam menghadapi

cabaran revolusi industri keempat yang merangkumi teknologi automasi,

komunikasi dan digital kerana kemunculan revolusi baharu ini memberi kesan

terhadap ekonomi negara dan pengangguran.

1.3 Penyataan Masalah

Banyak kajian lepas yang membuktikan bahawa wujudnya beberapa faktor yang

menyebabkan pengangguran dalam kalangan graduan tidak pernah mencapai titik

penyelesaian. Faktor-faktor berikut mempunyai perkaitan dengan kemahiran yang

seharusnya diterapkan dalam diri graduan sebelum mereka menamatkan pengajian atau

memasuki dunia pekerjaan kelak.

Faktor kemahiran kebolehpasaran graduan merupakan faktor utama yang

menyebabkan permasalahan ini berlaku. Isu kemahiran kebolehpasaran ini penting

12
kerana ia merupakan penanda aras kepada situasi pasaran kerja semasa. Ramai graduan

berhadapan dengan masalah menyesuaikan atau memperlengkapkan diri dengan

kehendak pasaran kerja (Lubna, Wan Moharani, Zulkipli & Hishomudin, 2017). Ini

memperlihatkan terdapat lompong dalam nilai kebolehpasaran dalam diri seseorang

graduan yang menganggur. Natijahnya, ramai graduan yang menjadi penganggur

biarpun mendapat keputusan yang baik. Pendapat ini menyamai kajian daripada Enah,

Ridzwan, Mohd Adib & Mohd Azlan (2018); Ilhaamie, Rosmawani & Yusmini (2018);

Onoyase (2019) menyatakan bahawa graduan seringkali berhadapan dengan kegagalan

semasa proses mencari kerja kerana hanya bergantung kepada kelayakan akademik

semata-mata tetapi tidak mempunyai kemahiran kebolehpasaran.

Hal ini juga selari dengan dapatan kajian Mohammad Imtiaz, Kalai Selvi, Tanzila,

Nasimuzzaman, Md Nasiruzzaman & Asif Mahbub (2018) yang mendapati hampir

semua daripada responden kajian iaitu graduan di Klang Valley bersetuju bahawa

mereka kurang kemahiran kebolehpasaran. Ini membuktikan bahawa kemahiran

kebolehpasaran memberi impak terhadap kadar pengangguran dalam kalangan graduan

baharu. Oleh itu, graduan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi

dalam bidang pengajian mereka akan mudah mendapat pekerjaan. Justeru, Mohammad

Imtiaz et al. (2018) turut menyarankan agar memasukkan elemen kemahiran teknikal

dan kemahiran kebolehpasaran dalam kurikulum untuk setiap kursus atau bidang

pengajian yang ditawarkan di institusi pendidikan.

Mohamad Idham, Asliza, Wan Nor Syazana, Wan Effa & Adi Hakim (2014)

menjalankan kajian berbentuk kuantitatif bagi mengenal pasti faktor-faktor penting yang

mempengaruhi pengangguran graduan daripada perspektif 150 majikan dan pekerja di

Malaysia. Analisis kajian mendapati bahawa tiga faktor peramal iaitu kemahiran

13
kebolehpasaran, ketidaksepadanan pekerjaan dan kemahiran berbahasa Inggeris

menunjukkan hubungan positif terhadap pengangguran graduan. Ini bermaksud, kurang

kemahiran atau tiada kemahiran kebolehpasaran turut menyumbang terhadap kadar

pengangguran graduan di Malaysia. Pengangguran graduan yang disebabkan oleh faktor

kemahiran kebolehpasaran graduan turut dialami oleh negara luar. Kajian Alkatheri &

Al-Ghamdi (2019) di Arab Saudi mendapati tahap kecekapan graduan juga penyebab

kepada pengangguran. Ini kerana, graduan beranggapan bahawa mereka mempunyai

kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja semasa namun persepsi daripada

majikan adalah sebaliknya. Dapatan kajian Pereira, Vilas-Bolas & Rebelo (2019)

menemukan tiga kemahiran kebolehpasaran yang paling kurang dikuasai oleh

mahasiswa dari 5 universiti di Eropah yang berasal dari 32 negara adalah kemahiran

peribadi, kemahiran interpersonal dan kemahiran keusahawanan.

Faktor ketidaksepadanan kemahiran graduan dengan pasaran kerja semasa pula

merupakan faktor kedua yang perlu diambil perhatian oleh pihak yang

bertanggungjawab. Masalah ketidaksepadanan kemahiran dianggap sebagai salah satu

penyebab utama masalah pengangguran kerana ia menyumbang kepada pengangguran

di banyak negara (Mohamad Idham et al. (2014); Amani, 2017; Saari 2017). Wujudnya

isu ketidaksepadanan kemahiran di Malaysia dalam kalangan graduan terbukti dengan

jumlah graduan yang berdaftar dengan Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

Program ini menerima penyertaan seramai 10,701 graduan semenjak program ini

dilancarkan sedekad yang lalu. Peningkatan ini menunjukkan bahawa graduan

berhadapan dengan masalah ketidaksepadanan pekerjaan dengan tahap kelayakan

mereka (Mohd Zuhdi, Mohd Nizam & Ruhizan, 2017).

14
Menurut kajian Liu, Salvanes & Sorensen (2016), sekiranya kadar pengangguran

meningkat sebanyak 3%, maka peratus ketidaksepadanan kemahiran graduan kolej di

Norway dijangka meningkat sebanyak 30%. Begitu juga dengan dapatan kajian Erken,

Van Loon & Verbeek (2015) yang mana satu per sembilan daripada faktor

pengangguran semasa kemelesetan ekonomi yang telah melanda Belanda adalah kerana

ketidaksepadanan kemahiran. Kemahiran yang dimiliki oleh graduan berbeza dengan

apa yang mereka perlukan untuk berfungsi dengan berkesan apabila mereka masuk ke

dalam dunia pekerjaan (Eze et al., 2016). Maka wujudlah ketidaksepadanan kemahiran

yang menyumbang kepada pengangguran graduan. Ketidaksepadanan kemahiran

berlaku jika pekerja memiliki tingkat kemahiran yang lebih tinggi atau lebih rendah

daripada yang diperlukan untuk melaksanakan pekerjaan (Berlingieri & Erdsiek, 2012).

Ini bertepatan dengan dapatan Pellizzari & Fichen (2017) yang menjalankan kajian

empirikal untuk mengukur ketidaksepadanan kemahiran 22 negara di seluruh dunia

berdasarkan data daripada OECD Survey of Adult Skills (PIAAC) membuktikan

graduan lebih cenderung underskill berbanding bukan graduan.

Dapat disimpulkan disini bahawa antara faktor pengangguran graduan di malaysia

adalah kerana terlalu banyak kemahiran dan kelayakan yang terlalu tinggi yang

diperlukan di pasaran kerja sehingga menyukarkan graduan untuk mendapatkan

pekerjaan. Walaupun bilangan universiti semakin bertambah sejak beberapa dekad yang

lalu, namun didapati banyak universiti kurang memberi perhatian terhadap kualiti output

mereka dalam menyeimbangkan kemahiran yang diperoleh oleh pelajar dengan

kemahiran yang diperlukan dalam pasaran (Alkatheri & Al-Ghamdi, 2019). Implikasi

terhadap isu ini telah menyebabkan peningkatan kadar pengangguran graduan

terutamanya sejak kemelesetan ekonomi yang mana hanya sebilangan kecil sahaja

15
graduan yang mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam pasaran (Razak, Ahmad &

Mello, 2014; Sahin et al., 2014; Erken, Van Loon & Verbeek, 2015; Restrepo, 2015;

Liu, Salvanes & Sorensen, 2016; Amani, 2017; Flisi et al., 2017; Herz & Van Rens,

2018).

Faktor keempat yang menyebabkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan

adalah kecenderungan keusahawanan yang rendah dalam kalangan graduan. Salah satu

inisiatif untuk mengurangkan kadar pengangguran graduan adalah dengan melibatkan

diri mereka dengan aktiviti keusahawanan kerana kepakaran dan pengkhususan yang

diperolehi semasa di pengajian peringkat tertiari kadangkala tidak menjamin graduan

mendapat kerjaya yang diimpikan (Erinawati Aliza, 2014). Namun didapati tahap

kecenderungan keusahawanan dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi di

Malaysia kurang menggalakkan. Malaysia merupakan antara negara terendah yang

mempunyai kecenderungan keusahawanan di rantau Asia Pasifik dan Asia Tenggara

(Pemantauan Keusahawanan Global (GEM), 2013). Tiga tahun selepas itu, GEM

2016/2017 juga mendapati lebih separuh daripada rakyat Malaysia iaitu 55.9 peratus

tidak menganggap kerjaya keusahawanan sebagai pilihan kerjaya utama (Tee, Arnida &

Abdullah, 2019). Dapat disimpulkan bahawa isu pemilihan kerjaya keusahawanan bukan

hanya terpalit kepada golongan graduan namun hampir seluruh rakyat Malaysia.

Isu ketidak kecenderungan keusahawanan dalam kalangan pelajar tertiari dapat

dilihat berdasarkan hasil kajian Amier Hafizun, Sakinah & Mohamad Afdzam (2018)

iaitu pelajar di Kolej Komuniti Segamat tidak cenderung untuk menjadikan

keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama meskipun mereka telah didedahkan dengan

pelbagai program untuk membudayakan keusahawanan oleh pihak Kolej Komuniti. Ini

kerana graduan pada masa kini lebih cenderung untuk bekerja di industri berbanding

16
memilih kerjaya keusahawanan (Te et al., 2019). Fakta ini menyamai laporan SME

Corporation (2016) bahawa tahap kecenderungan keusahawanan mencatatkan penurunan

setiap tahun iaitu 13 peratus pada tahun 2012, 12 peratus masing-masing pada tahun

2013 dan 2014 dan menurun pada tahun 2015/2016 pada kadar 6 peratus. Laporan ini

agak merisaukan kerana pelajar yang mempunyai kecenderungan untuk menjadi

usahawan dihipotesis akan menjadi usahawan setelah menamatkan pengajian kelak

(Hamzah & Zulnaidi, 2020). Ini bermaksud terdapat kemungkinan pelajar tidak

melibatkan diri dengan keusahawanan apabila tamat belajar kelak memandangkan

mereka tidak mempunyai kecenderungan terhadap keusahawanan. Kerisauan ini

terbukti dengan laporan Kajian Pengesanan Graduan (2018) menyatakan bahawa hanya

10.8 peratus daripada graduan 2018 yang bekerja sendiri. Sungguhpun penawaran

pekerjaan semakin terhad di negara Malaysia tetapi memilih usahawan sebagai kerjaya

pilihan hanya berada pada tahap sederhana (Azmi, 2012). Apakah yang menyebabkan

permasalahan ini berlaku? Adakah agak terlewat untuk menyemai minat terhadap

keusahawanan apabila mereka telah berada di peringkat pendidikan tertiari?

Berdiskusi tentang teknologi masa kini, ia secara langsung berkaitan dengan

IR4.0. Berdasarkan kajian Muhammad Rafli, Lee, Lui & Mohamad Izzuan (2020)

menunjukkan bahawa IR4.0 akan menjadi salah satu faktor pengangguran graduan di

Malaysia pada masa akan datang. Tempias IR4.0 ini bukan sahaja melanda negara kita

namun juga turut dialami oleh negara lain seperi di Britain dan Turki (Matovcikova,

2017; Sumer, 2018). Tidak dinafikan kemunculan IR4.0 memberi banyak kebaikan

kepada dunia sejagat namun Klaus (2017) menjelaskan bahawa IR 4.0 dapat membawa

konsekuensi yang besar terhadap ekonomi, gaya hidup, kesihatan, pendidikan, pasaran

buruh dan pembangunan kemahiran. Bagaimana IR4.0 ini boleh memberi impak negatif

17
kepada sesebuah negara? Fathiyah, Roszilah, Azrul & Mohamad Satar (2019) menjawab

persoalan ini dengan menjelaskan bahawa tahap kemahiran seseorang menentukan kesan

IR4.0 terhadap pekerjaan. Ini kerana, pengangguran dalam kalangan graduan mungkin

berlaku sekiranya kemahiran yang ada tidak lagi sesuai dengan perkembangan teknologi

IR4.0. Sumer (2018) juga berpendapat IR4.0 memberi perubahan dalam kategori

pekerjaan manual dan kognitif yang mana mengakibatkan berlakunya isu pengangguran.

Kajian yang dijalankan oleh Rafiq (2019) yang melibatkan 400 pelajar universiti

awam di Malaysia mendapati 55 peratus daripada responden kajian menyatakan bahawa

universiti belum memberikan usaha yang cukup dalam mendidik atau memberi

kesedaran mengenai IR 4.0. Apa yang mengejutkan adalah pelajar universiti

beranggapan bahawa IR4.0 menyumbang kepada kadar pengangguran graduan

memandangkan hanya 30 peratus yang bersetuju bahawa IR 4.0 dapat meningkatkan

peluang pekerjaan. Apakah nasib yang bakal menimpa bakal graduan pada masa akan

datang? Apakah masih ada peluang pekerjaan bagi mereka apabila menamatkan

pengajian kelak? Apakah kelulusan yang mereka perolehi nanti akan diperlukan dalam

pasaran kerja pada era IR4.0? Apakah kemahiran-kemahiran semasa mereka sudah

memadai untuk berdepan dengan masa hadapan? Inilah beberapa persoalan yang akan

membawa kepada keperluan kajian ini. Justeru, kerajaan haruslah mengambil langkah

proaktif untuk menangani faktor-faktor pengangguran graduan agar polemik ini tidak

terus menjadi malapetaka kepada negara.

Bertitik tolak daripada isu-isu yang berbangkit, kerajaan telah mengambil langkah

drastik bagi membantu golongan ini bagi mengatasi masalah kebolehpasaran dan

ketidaksepadanan kemahiran. Salah satunya adalah memperkenalkan program

Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protege) pada 28

18
Januari 2019 yang mana telah dijenamakan semula daripada SL1M dan dipindahkan di

bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan. Protege merupakan satu program

latihan keusahawanan dan kebolehpasaran bagi membentuk dan membimbing para belia

dengan kerjasama pakar industri dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang

kompetitif dan bersedia ke pasaran global serta pencari kerja yang berkemahiran bagi

memenuhi keperluan industri semasa. Para graduan akan diperlengkapkan dengan

kemahiran keusahawanan bagi membolehkan mereka menggunakan ilmu yang dipelajari

sepanjang program untuk menjalankan perniagaan sekiranya tidak diambil bekerja oleh

Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Selain itu, TalentCorp yang merupakan sebuah badan di bawah Jabatan Perdana

Menteri juga telah bekerjasama dengan KPT, TalentCorp, My-Partners serta rakan

industri untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri perkhidmatan

dengan melancarkan program Graduate Career Accelerated Programme (GCAP) pada

tahun 2009. Program ini dijalankan selama 6 minggu untuk setiap pengambilan.

Graduan didedahkan dengan latihan interaktif yang berasaskan keperluan industri seperti

kemahiran menyelesaikan masalah, etika perniagaan, meningkatkan kemahiran

berkomunikasi dan menulis. Graduan akan dianugerahkan Sijil Profesional dalam

Pengurusan Perkhidmatan Global (PCGSM) setelah menamatkan program agar mereka

dapat meningkatkan peluang bekerja di GLC, PKS dan syarikat multinasional seperti

sektor kewangan, pelancongan dan telekomunikasi. Namun, sehingga tahun 2013,

seramai 1536 graduan telah menamatkan latihan GCAP dan 1052 graduan pula sedang

menjalani latihan di pelbagai lokasi di negara ini (TalentCorp, 2021). Sekali lagi isunya

di sini adalah adakah program ini dapat menjangkau ribuan graduan menganggur

memandangkan peserta hanya terhad kepada sejumlah pelatih sahaja?

19
Kementerian Pendidikan Tinggi juga telah mengambil inisiatif untuk

menyelesaikan isu pengangguran dalam kalangan graduan. Sebagai kesinambungan

daripada Pelan Strategik Keusahawanan IPT 2013-2015 yang telah mencapai

objektifnya untuk menjadikan pembangunan dan pendidikan keusahawanan sebagai

salah satu agenda utama dan petunjuk prestasi di IPT tempatan, Pelan Tindakan

Keusahawanan IPT (2016-2020) telah dilancarkan untuk memperkukuhkan

keusahawanan ke arah kecenderungan untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya

pilihan. Pelan ini berdasarkan 2 strategi utama merangkumi 4 inisiatif utama. Salah satu

inisiatif utama adalah menjalankan rangka kerja penjana pekerjaan dalam kalangan

graduan dengan mensasarkan 5 peratus pelajar bergraduat menjadikan keusahawanan

sebagai kerjaya pilihan. Apa yang menyedihkan adalah hanya 2 peratus sahaja daripada

jumlah yang bergraduat setiap tahun graduan yang menceburi bidang keusahawanan

selepas menamatkan pengajian (Kementerian Pendidikan Tinggi, 2016).

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengatasi polemik ini,

namun bilangan graduan menganggur semakin meningkat saban tahun yang mana faktor

pengangguran itu masih disebabkan oleh faktor kemahiran kebolehpasaran graduan

(Mohamad Idham et al., 2014; Lubna et. al, 2017; Enah et. al, 2018; Ilhaamie et.

al,2018; Mohammad Imtiaz et. al, 2018; Onoyase, 2019), faktor ketidaksepadanan

kemahiran graduan (Mohamad Idham et al., 2014; Razak et al., 2014; Samah et al.,

2015; Mohd Zuhdi et al., 2017), faktor kecenderungan keusahawanan pada tahap rendah

(Amier Hafizun et al., 2018; SME Corporation, 2016; Kajian Pengesanan Graduan,

2018) dan juga faktor kemunculan IR4.0 (Fatiyah et al., 2019; Muhammad Rafli et al.,

2020). Dengan pelbagai usaha yang dijalankan oleh kerajaan seperti melaksanakan

program berbentuk keusahawanan, perubahan kurikulum di IPT dan membuat

20
usahasama dengan pihak industri namun isu kebolehpasaran, ketidaksepadanan

kemahiran dan kurang berminat dengan bidang keusahawanan masih juga berlaku dalam

kalangan graduan di Malaysia.

Terdapat banyak kajian mengenai pengangguran graduan dalam kesusasteraan

namun masih terdapat jurang dalam kajian lepas yang harus diisi dalam kajian ini.

Dalam literatur pengangguran graduan di Malaysia, penyelidikan kebanyakannya

tertumpu kepada penyebab pengangguran graduan (Mohamad Idham et al., 2014; Zaliza,

Mohd Safarin & Ridzuan, 2014; Che Mohd Zulkifli & Shanmuganathan, 2016; Mohd

Azman, Muhammad Fairuz, Norhayati, Muhammad Hussain & Salmiah, 2017; Law,

2018; Juliana, Naraz, Geetha & Nur A’amilyn, 2020) dan hanya sedikit kajian yang

specifik mengkaji cara untuk menyelesaikan polemik ini (Shadiya, Mah, Nurul Alya &

Zarina, 2019). Walaupun begitu, kajian-kajian tersebut banyak berfokus kepada

penyelesaian jangka pendek seperti keberkesanan program-program yang telah

dilaksanakan untuk membantu graduan (Siti Hajar, 2012; Amir Asraf, 2013).

Kesimpulannya, setakat ini tiada kajian dilakukan terhadap pembangunan model

atau modul untuk menangani polemik ini. Oleh itu kajian ini dijalankan untuk cuba

mengatasi masalah-masalah ini daripada perspektif praktikal dengan mengambil kira

cadangan Nasihah et al. (2018) agar satu modul kemahiran keusahawanan harus

diterapkan di setiap peringkat pengajian untuk dijadikan sebagai kerangka modul serta

garis panduan. Ini bagi memastikan setiap pelajar melengkapkan diri dengan kemahiran

keusahawanan untuk meningkatkan keinginan kerjaya keusahawanan dalam kalangan

pelajar. Cadangan ini bertepatan dengan saranan Badariah, Abdul Rahim & Mariana

(2015) dan Deveci & Seikkula-Leino (2018) bahawa penerapan kemahiran

keusahawanan harus dilaksanakan semasa di peringkat sekolah menengah lagi.

21
Kemahiran keusahawanan dalam TVET adalah ubat mujarab untuk menangani

pengangguran dalam kalangan graduan. Seseorang individu yang memiliki kemahiran

keusahawanan akan beradaptasi dengan lebih baik kepada masyarakat di masa depan

dan dapat mengatasi masalah dalam kehidupan seharian dengan lebih mudah (Yildirim,

I. & Bakirci, H., 2019). TVET merupakan satu program yang berorientasikan kemahiran

yang mana dapat memberikan kemahiran keusahawanan melalui penerapan sikap

berdikari. Kemahiran keusahawanan dalam TVET akan membantu seseorang individu

memperoleh pemikiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk bekerja sendiri atau

untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka sekiranya mereka ingin bekerja makan gaji

dan sekaligus akan mengurangkan pengangguran (Lasisi, Adeagbo & Alayande, 2019).

Ini kerana, kemahiran keusahawanan seringkali dikaitkan dengan keinginan seseorang

untuk menceburi bidang keusahawanan. Banyak kajian lepas membuktikan betapa

berpengaruhnya kemahiran keusahawanan terhadap minat seseorang individu untuk

menceburi bidang keusahawanan (Mazlina & Maitilee, 2015; Oguntimehin & Olaniran,

2017; Nasihah et al., 2018; Yakubu & Norashidah, 2018; Zulnaidi & Mohd Kamil,

2018; Aziz, Ninghardjanti & Susantiningrum, 2019; Faizal, 2019; Wan Mohd Zaifurin

& Ibrahim, 2019).

Kemahiran keusahawanan juga dikatakan satu ciri penting dan wajib ada dalam

diri seseorang graduan untuk mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi untuk berjaya

memasuki pasaran pekerjaan setelah tamat pengajian (Beranek, 2014; Galloway, Mark

& Chilas, 2014; Yoonyoung & Feda, 2015; Bell, 2016; Hatem, Hassan & Riyad, 2016;

Rae & Melton, 2016; Lindberg, Wilson, Bohman & Hulten, 2017). Malahan graduan

akan mempunyai nilai tambah kebolehpasaran yang menyebabkan mereka lebih disukai

oleh majikan kerana mereka menganggap graduan lebih bertanggungjawab terhadap

22
tindakan mereka sendiri, mempunyai kemahiran kerja berpasukan dan tahu bagaimana

melaksanakannya (Beranek, 2014; Laguador & Ramos, 2014) dan juga dapat

meningkatkan produktiviti dan mempunyai prospek kerjaya yang baik di tempat mereka

bekerja (Paduraru 2013; Yoonyoung & Feda 2015). Malahan, elemen kemahiran

keusahawanan seringkali menjadi elemen yang penting dalam kajian kemahiran

kebolehpasaran (Mohd Yusof et al., 2013; Zaliza, Arasinah, Tee & Mohd Hasni, 2016;

Sulaili, 2017; Zaliza & Arasinah, 2017; Enah et al., 2018; Ilhaamie et al., 2018).

Salah satu cara untuk menerapkan kemahiran keusahawanan yang dapat

memperkukuhkan daya saing dalam menghadapi era revolusi terkini adalah melalui

pendidikan keusahawanan. Ini kerana pendidikan keusahawanan berupaya untuk

membangunkan modal insan yang tahu menggunakan teknologi sekaligus membimbing

mereka untuk berfikir secara kreatif dan inovatif sehingga mampu untuk menciptakan

peluang pekerjaan dengan memanfaatkan teknologi digital dalam IR4.0 (Arief &

Yulleila, 2019). Kajian Doddy (2017) mendapati pendidikan keusahawanan memberi

kesan positif terhadap kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar yang menuntut

di Universitas 17 Agustus 1945 Jakarta. Kemahiran keusahawanan seperti kemahiran

teknikal, kemahiran pengurusan perniagaan dan kemahiran keusahawanan peribadi

dipengaruhi oleh tahap pendidikan keusahawanan. Pendidikan keusahawanan membantu

dalam meningkatkan pasaran usahawan dengan membina landasan yang kukuh bagi

pengusaha untuk cemerlang dan berjaya dalam perniagaan mereka (Almahry, Sarea &

Hamdan, 2018).

Ironinya di Malaysia, penekanan terhadap penerapan kemahiran keusahawanan

melalui pendidikan keusahawanan lebih tertumpu kepada pelajar di peringkat pengajian

tertiari. Akan tetapi, sehingga kini amat kurang kajian berkenaan penerapan kemahiran

23
keusahawanan terhadap pelajar di sekolah menengah. Penyelidikan yang dijalankan

hanya berfokuskan kepada pelajar di kolej atau universiti (Mohd Asri & Ahmad Esa,

2012; Mohd Hafeez, 2013; Armanurah et al., 2014; Badariah et al., 2016; Sarinah &

Norasmah, 2017; Wei, Aziah, Azhan & Abd Latif (2018) manakala di peringkat sekolah

menengah pula hanya mengkaji tahap penerapan kemahiran keusahawanan terhadap

pelajar sahaja (Nasihah et al., 2018; Semalaily & Norasmah, 2019). Oleh itu, kajian ini

akan mengisi jurang kajian tersebut dengan membuat penerapan kemahiran

keusahawanan seawal peringkat pengajian menengah.

Kerajaan telah memperkenalkan kurikulum Pengajian Keusahawanan kepada

pelajar menengah atas pada tahun 2017 bertujuan untuk mendedahkan pelajar dengan

konsep dan kemahiran keusahawanan merangkumi pengurusan dan kewangan, etika dan

perundangan serta teknologi dan trend global untuk berdepan dengan cabaran IR4.0

(DSKP Pengajian Keusahawanan, 2017). Timbul persoalan di benak adakah kesemua

elemen kemahiran keusahawanan telah diterapkan dalam kalangan pelajar melalui

kurikulum ini sudah memadai? Adakah kemahiran keusahawanan dalam kurikulum

tersebut selaras dengan keperluan dalam IR4.0? Melalui penelitian penyelidik didapati

kurikulum tersebut tidak menyatakan dengan jelas elemen-elemen kemahiran

keusahawanan yang akan diperolehi oleh pelajar. Ini kerana, kemahiran dalam

kurikulum tersebut hanya mencakupi kemahiran pengurusan dan kemahiran kewangan

walhal berdasarkan kajian lepas didapati terdapat banyak elemen kemahiran

keusahawanan yang penting dimiliki oleh seseorang individu untuk menjadi modal insan

yang berkualiti namun tidak ditekankan secara explicit. Lebih-lebih lagi, elemen-elemen

kemahiran keusahawanan yang diterapkan melalui kurikulum tersebut juga belum

mencukupi dengan keperluan yang diperlukan dalam pasaran kerja era IR4.0.

24
Sejajar dengan isu-isu yang diperbincangkan di atas, wujud keperluan untuk

membangunkan satu model kurikulum berfokuskan kemahiran keusahawanan di sekolah

menengah yang menyatakan dengan jelas elemen-elemen kemahiran keusahawanan

yang akan diperolehi pelajar. Ini bertepatan dengan saranan Mohd Syahrir et al. (2017)

agar pembangunan pendidikan keusahawanan menerusi pembangunan silibus dan bahan

bersesuaian untuk kegunaan komuniti pengajar dalam bidang keusahawanan dan

seterusnya memberikan insfastruktur dan kemudahan yang bersesuaian. Ini selaras

dengan matlamat pendidikan keusahawanan untuk memberikan murid pengetahuan,

motivasi serta kemahiran keusahawanan dan bukan teori semata-mata.

Menyorot kepada cadangan Badariah et al. (2015) bahawa kemahiran dan aktiviti

keusahawanan dapat didorong melalui pendidikan dan latihan keusahawanan di

universiti awam yang mana harus bermula daripada sekolah rendah lagi agar pelajar

didedahkan dengan bidang keusahawanan pada usia yang sangat muda untuk menarik

minat mereka dalam bidang ini. Penerapan pendidikan yang serupa harus diteruskan di

peringkat menengah di mana proses pembelajaran akan merangkumi langkah-langkah

asas untuk memulakan dan memasuki dunia usahawan dan peranan usahawan dalam

dunia sebenar. Apatah lagi hampir semua model pembangunan pendidikan

keusahawanan menerapkan kemahiran keusahawanan (Miller ,1983; Gibb, 1987;

Kourilsky, 1995; Zaodatol Akmaliah et al., 1997; Nieman, 2003; NSCEE, 2004; Rohayu

et al., 2011; Junid et al., 2015 dan Carlos & Carlos, 2016) namun didapati kurikulum

pendidikan keusahawanan di peringkat sekolah menengah tidak menerapkan kemahiran

keusahawanan secara explicit. Hujah ini disokong dengan kenyataan Cheng, Chan &

Mahmod (2014) yang menyatakan bahawa pendidikan keusahawanan di Malaysia tidak

sesuai dengan harapan kemahiran pelajar dengan pemerolehan kemahiran dan didapati

25
isi kandungan dalam kurikulum terkini tidak mampu memenuhi kehendak serta tidak

selaras dengan jangkaan pelajar (Mohd Nor, Fakhrul & Mohamad, 2015).

Fathiyah et al. (2019) juga melontarkan idea mereka agar golongan graduan harus

memiliki satu set kemahiran yang membolehkan mereka diterima untuk bekerja dalam

lingkungan IR4.0. Kajian Shvetsova & Kuzmina (2018) menunjukkan bahawa terdapat

jurang antara kemahiran yang diperlukan dan kemahiran yang dibangunkan pada era

IR4.0. Ini disebabkan oleh kurangnya kesedaran yang jelas mengenai kemahiran yang

memenuhi keperluan IR4.0. Ini membuktikan bahawa penyelidikan terhadap kerangka

pembangunan model kemahiran keusahawanan berteraskan keperluan kemahiran IR4.0

sangat penting. Evolusi dalam revolusi perindustrian tidak hanya mempengaruhi model

pengeluaran dan perniagaan malahan ia juga mempengaruhi kemahiran yang diperlukan

oleh pekerja pada masa depan dalam pelbagai industry memandangkan IR4.0

memerlukan tenaga kerja yang khusus dan berkemahiran (Benesova & Tupa, 2017).

Tuntutan pekerjaan dalam era IR4.0 juga memerlukan kecekapan dan kemahiran baharu.

Oleh itu, gabungan kemahiran yang diperlukan akan menjadi semakin kompleks dan

akan terus berkembang seiring dengan berkembangnya persekitaran kerja berteknologi

yang memerlukan generasi pekerja masa depan untuk mengembangkan kecekapan

digital dan kemampuan belajar sepanjang hayat pada usia yang lebih awal (Kergroach,

2017). Justeru, kemahiran yang sesuai dengan IR4.0 haruslah diterapkan semasa di

sekolah menengah lagi dan bukannya di peringkat pengajian tertiari.

Disamping itu, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti komponen kemahiran

keusahawanan yang selari dengan keperluan era IR4.0. Menurut kajian Maisiri, Darwish

& Van (2019), kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam IR 4.0 terbahagi kepada

dua iaitu kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah. Kemahiran insaniah pula terbahagi

26
kepada kemahiran berfikir, kemahiran sosial dan kemahiran peribadi. Kemahiran

keusahawanan merupakan salah satu kemahiran peribadi yang amat diperlukan dalam IR

4.0 (Avis, 2018; Harteis, 2018; Azmi, Kamin, Noordin & Nasir, 2018; Sharinatol, Seri

Bunian & Nik Mohd Iznan, 2019). Ketersediaan kemahiran dan kemampuan yang

relevan dalam tenaga kerja negara akan mempengaruhi kejayaan penerapan IR4.0 sama

ada di peringkat mikro dan makro. Sebaliknya, kekurangan set kemahiran yang

diperlukan akan mengakibatkan penurunan prestasi yang ketara dan daya saing yang

berkurang dalam organisasi (Benesova & Tupa, 2017; Mavrikios, Georgoulias &

Chryssolouris, 2018). Namun, IR4.0 lebih dari sekadar kemajuan teknologi yang mana

ia juga harus mengutamakan pembangunan sumber manusia yang melibatkan

pembangunan kemahiran yang akan diperlukan pada masa akan datang (Schallock,

Rybski, Jochem & Kohl, 2018). Negara-negara membangun menghadapi kekurangan

profesional yang kritikal dengan set kemahiran IR4.0 yang diperlukan (Pradhan &

Agwa-Ejon, 2018). Justeru, adalah penting untuk mengkaji secara lebih mendalam

keperluan penting untuk kemahiran dalam ekonomi digital dan untuk menentukan

bagaimana kemahiran ini dapat dibangunkan dan dimasukkan ke dalam sistem

pendidikan sedia ada.

Kesimpulannya, terdapat kewajaran untuk membangunkan satu model kurikulum

kemahiran keusahawanan berorientasikan kemahiran IR4.0 yang mengandungi objektif

pembelajaran, kandungan kurikulum, kaedah pembelajaran dan kaedah penilaian

berasaskan kompetensi untuk memberikan pengetahuan dan kemahiran berkaitan

keusahawanan kepada pelajar. Kurikulum berasaskan kompetensi digunakan dalam

kajian ini kerana ia selaras dengan saranan Foyster (1990) iaitu kurikulum berasaskan

kompetensi haruslah mengikut kadar kebolehan pelajar, menepati keperluan industri dan

27
pasaran pekerjaan, pengintegrasian teori dengan kemahiran untuk mencapai tahap

kemahiran yang diinginkan dan mengaplikasikan pembelajaran kontekstual dan masteri

(Habib & Baharudin, 2012). Bagi pemilihan elemen-elemen kemahiran keusahawanan

yang berorientasikan kemahiran IR4.0, strategi pembelajaran dan kaedah penilaian yang

perlu ada di dalam model yang akan dibangunkan, penyelidik merujuk kepada sumber

literatur. Kesemua sumber literatur ini adalah seperti diperbincangkan di dalam Bab 2

iaitu sorotan kajian.

1.4 Tujuan Kajian

Pelaksanaan kajian ini adalah bertujuan untuk mereka bentuk sebuah model kurikulum

kemahiran keusahawanan berteraskan IR4.0 atau dikenali sebagai Model Kurikulum

Kemahiran Keusahawanan 4.0 yang merangkumi kemahiran keusahawanan dan

kemahiran yang diperlukan dalam IR4.0. Kajian ini berfokuskan kemahiran

keusahawanan berasaskan kompetensi yang perlu diterapkan dalam diri pelajar sekolah

menengah di Malaysia. Kurikulum kemahiran keusahawanan 4.0 ini diharapkan agar

menjadi asas dalam menghadapi cabaran era IR4.0 yang menuntut belia atau modal

insan yang berkemahiran sesuai dengan keperluan dan tuntutan industri semasa. Justeru

pembangunan model kemahiran keusahawanan 4.0 dapat diaplikasikan dalam konteks

pendidikan di Malaysia kerana negara dalam usaha untuk melahirkan generasi yang

berkompetensi untuk menghadapi ledakan IR4.0 yang menuntut tenaga kerja yang

berkemahiran.

Hasil daripada sorotan kajian yang dijalankan oleh penyelidik, model kurikulum

kemahiran keusahawanan 4.0 belum pernah dibangunkan di Malaysia walhal kurikulum

ini penting dalam revolusi pendidikan semasa. Dengan itu, hasil kajian memberi manfaat

kepada institusi pendidikan dalam merangka kurikulum dan aktiviti yang dapat

28
meningkatkan kecenderungan keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui kurikulum

kemahiran keusahawanan berorientasikan IR4.0 yang menerapkan elemen-elemen

kemahiran keusahawanan. Arah aliran isu kajian ini selari dengan tumpuan semasa

kerajaan Malaysia ke arah mengalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pelajar

agar peratusan rakyat yang menceburi keusahawanan akan dapat ditingkatkan.

Terdapat dua fasa dalam kajian reka bentuk model kurikulum kemahiran

keusahawanan 4.0 iaitu fasa pertama yang akan melibatkan 3 proses utama. Proses

pertama adalah mengenal pasti elemen-elemen dalam sub komponen model kurikulum

seperti elemen kemahiran keusahawanan berorientasikan IR4.0, elemen kaedah

pengajaran dan kaedah penilaian pembelajaran berdasarkan sorotan literatur. Seterusnya,

penyelidik menjalankan proses kedua iaitu mendapatkan kesepakatan pandangan pakar

kurikulum, pakar keusahawanan dan pakar industri bagi mengesahkan kandungan

instrumen mengunakan teknik fuzzy delphi. Proses ketiga dalam fasa pertama ini adalah

membangunkan komponen utama reka bentuk model kemahiran keusahawanan 4.0

dengan mengaplikasikan PLS-SEM.

Fasa kedua dalam kajian ini bertujuan untuk menilai kepenggunaan reka bentuk

model kurikulum kemahiran keusahawanan 4.0 berasaskan kompetensi bagi sekolah

menengah di Malaysia mengikut perspektif pelajar sekolah menengah di Malaysia. Fasa

ini akan menggunakan soal selidik untuk membuat penilaian terhadap model kurikulum

yang akan dibangunkan.

Secara tuntasnya, kajian ini bertujuan untuk menentukan elemen-elemen dalam

sub komponen dalam pembinaan model kurikulum kemahiran keusahawanan 4.0

berasaskan kompetensi bagi pelajar sekolah menengah di Malaysia dalam usaha untuk

mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan di masa akan datang

29
melalui langkah penyelesaian jangka panjang. Ini kerana, penerapan kemahiran

keusahawanan dengan berteraskan IR4.0 disemai seawal peringkat pengajian menengah

atas. Justeru, tujuan utama kajian reka bentuk ini adalah untuk mereka bentuk model

kurikulum kemahiran keusahawanan 4.0 berasaskan kompetensi bagi sekolah menengah

di Malaysia berdasarkan pandangan pakar.

1.5 Objektif Kajian

Objektif umum kajian ini adalah bertujuan untuk membangunkan model kurikulum

kemahiran keusahawanan 4.0 bagi pelajar sekolah menengah di Malaysia berasaskan

kompetensi dalam usaha untuk mengukuhkan modal insan dengan kemahiran

kebolehpasaran yang diperlukan dalam IR4.0. Sejajar dengan konteks yang telah

diutarakan dalam penyataan masalah, objektif yang dibentuk dalam kajian ini adalah

seperti berikut iaitu:

1. Mengkaji elemen-elemen kemahiran keusahawanan berasaskan kompetensi

bagi pelajar sekolah menengah di Malaysia berdasarkan sorotan literatur.

2. Mengkaji elemen-elemen kemahiran yang diperlukan dalam IR4.0

berasaskan kompetensi bagi pelajar sekolah menengah di Malaysia

berdasarkan sorotan literatur.

3. Mereka bentuk model kurikulum kemahiran keusahawanan 4.0 berasaskan

kompetensi yang bertepatan dengan pendidikan keusahawanan untuk

kesinambungan intelektualisme pelajar sekolah menengah di Malaysia

mengikut kesepakatan pandangan pakar.

4. Menilai kepenggunaan model kurikulum kemahiran keusahawanan 4.0

berasaskan kompetensi yang dibangunkan dalam usaha untuk

30
memperkasakan keusahawanan berteraskan IR4.0 mengikut perspektif

pelajar sekolah menengah di Malaysia.

1.6 Soalan Kajian

Selari dengan objektif kajian yang telah dinyatakan, model ini dibangunkan untuk

menjawab persoalan-persoalan kajian berikut.

1. Apakah elemen-elemen kemahiran keusahawanan berasaskan kompetensi

bagi pelajar sekolah menengah di Malaysia berdasarkan sorotan literatur?

2. Apakah elemen-elemen kemahiran IR4.0 berasaskan kompetensi bagi pelajar

sekolah menengah di Malaysia berdasarkan sorotan literatur?

3. Apakah sub komponen dalam reka bentuk model kurikulum kemahiran

keusahawanan 4.0 berasaskan kompetensi bagi sekolah menengah di

Malaysia mengikut kesepakatan pandangan pakar?

4. Apakah elemen-elemen kemahiran keusahawanan berteraskan IR4.0 yang

perlu dimasukkan ke dalam reka bentuk model kemahiran keusahawanan 4.0

berasaskan kompetensi bagi sekolah menengah di Malaysia mengikut

kesepakatan pandangan pakar?

5. Apakah turutan mengikut keutamaan elemen-elemen kemahiran

keusahawanan berteraskan IR4.0 dalam reka bentuk model kemahiran

keusahawanan 4.0 berasaskan kompetensi bagi sekolah menengah di

Malaysia mengikut kesepakatan pandangan pakar?

6. Apakah kesepakatan pandangan pakar terhadap kaedah pembelajaran yang

sesuai dimasukkan ke dalam reka bentuk model kurikulum kemahiran

31
keusahawanan 4.0 berasaskan kompetensi bagi sekolah menengah di

Malaysia?

7. Apakah kesepakatan pandangan pakar terhadap bentuk penilaian

pengalaman pembelajaran yang sesuai dimasukkan ke dalam reka bentuk

model kurikulum kemahiran keusahawanan 4.0 berasaskan kompetensi bagi

sekolah menengah di Malaysia?

8. Bagaimanakah reka bentuk komponen utama model kurikulum kemahiran

keusahawanan 4.0 berasaskan kompetensi bagi sekolah menengah di

Malaysia mengikut kesepakatan pandangan pakar?

9. Apakah pandangan pengguna terhadap kesesuaian sub komponen dalam reka

bentuk model kurikulum kemahiran keusahawanan 4.0 berasaskan

kompetensi bagi sekolah menengah di Malaysia?

10. Apakah pandangan pengguna terhadap kesesuaian elemen-elemen

kemahiran keusahawanan berteraskan IR4.0 dalam reka bentuk model

kemahiran keusahawanan 4.0 berasaskan kompetensi bagi sekolah

menengah di Malaysia?

11. Apakah pandangan pengguna terhadap kesesuaian turutan mengikut

keutamaan elemen-elemen kemahiran keusahawanan berteraskan IR4.0

dalam reka bentuk model kemahiran keusahawanan 4.0 berasaskan

kompetensi bagi sekolah menengah di Malaysia?

12. Apakah pandangan pengguna terhadap kesesuaian kaedah pembelajaran

yang dalam reka bentuk model kemahiran keusahawanan 4.0 berasaskan

kompetensi bagi sekolah menengah di Malaysia?

32
13. Apakah pandangan pengguna terhadap kesesuaian bentuk penilaian

pengalaman pembelajaran dalam reka bentuk model kemahiran

keusahawanan 4.0 berasaskan kompetensi bagi sekolah menengah di

Malaysia?

14. Apakah pandangan pengguna terhadap keseluruhan kepenggunaan reka

bentuk model kemahiran keusahawanan 4.0 berasaskan kompetensi bagi

sekolah menengah di Malaysia?

1.7 Signifikan Kajian

Penyelidik menjalankan kajian ini dengan tujuan untuk mengkaji elemen-elemen

kemahiran keusahawanan yang bersesuaian dengan tuntutan IR4.0 yang perlu

dimasukkan dalam reka bentuk model kurikulum kemahiran keusahawanan 4.0

berasaskan kompetensi. Justeru, kajian ini akan memberi sumbangan yang penting dari

sudut teori dan praktikal.

Pertama, hasil kajian ini akan menjadi panduan kepada KPM khususnya Bahagian

Pembangunan Kurikulum (BPK) untuk membangunkan sebuah kurikulum khusus yang

menerapkan kemahiran keusahawanan berorientasikan IR4.0 sekaligus melahirkan lebih

ramai usahawan muda selaras dengan hasrat kerajaan menjadi negara berorientasikan

keusahawanan menjelang 2030. Ini kerana, pendidikan keusahawanan di sekolah

menengah melalui subjek Pengajian Keusahawanan namun subjek ini tidak menekankan

kemahiran keusahawanan secara specifik. Di samping itu, kajian ini bukan sahaja

menghasilkan elemen-elemen kemahiran keusahawanan yang berorientasikan IR4.0

namun juga mengandungi strategi pembelajaran dan kaedah penilaian yang sesuai

dipraktikkan mengikut pandangan pakar dalam bidang kurikulum dan keusahawanan.

33
Oleh itu, reka bentuk model ini akan memudahkan BPK untuk merangka satu kurikulum

baharu untuk diimplementasikan dalam sistem pendidikan negara.

Kedua, hasil kajian kelak dapat mengesahkan reka bentuk model kurikulum dan

kebolehpercayaan elemen-elemen kemahiran keusahawanan berorientasikan IR4.0

memandangkan setiap elemen ini mendapat kesepakatan daripada pakar kurikulum,

pakar industri dan pakar dalam bidang keusahawanan. Seterusnya, ia akan menyumbang

kepada alternatif untuk mengetahui elemen-elemen kemahiran keusahawanan yang

paling utama memandangkan hasil kajian ini akan menyenaraikan elemen-elemen

kemahiran keusahawanan mengikut keutamaan berdasarkan pandangan kolektif pakar.

Manakala, hasil reka bentuk model kurikulum ini pula boleh digunakan untuk kajian

selanjutnya.

Ketiga, model kurikulum kemahiran keusahawanan 4.0 ini yang mencakupi

elemen-elemen kemahiran keusahawanan yang disesuaikan dengan kemahiran yang

diperlukan dalam era IR4.0 dapat dijadikan panduan asas bagi setiap program yang

berorientasikan keusahawanan yang ingin dilaksanakan oleh sekolah, PPD, JPN, KPM,

KPT dan pihak industri.

Keempat, hasil kajian ini memberi kemaslahatan terhadap ekonomi negara

Malaysia dalam menelusuri cabaran IR4.0 yang menuntut modal insan berkemahiran

tinggi dengan memfokuskan kepada kecekapan. Fenomena pengangguran terus menjadi

malapetaka kepada negara kerana ia berkaitan dengan ekonomi negara. Justeru, hasil

kajian ini akan membantu kerajaan untuk menyelesaikan fenomena ini bagi jangka masa

panjang untuk membendung fenomena pengangguran ini.

Akhir sekali adalah hasil dapatan kajian ini akan memberi kebaikan kepada

pengguna yang disasarkan untuk model kurikulum ini iaitu pelajar sekolah menengah.

34
Menurut Marina, Syahriah, Siti Aisyah & Nurul Izzati (2015) ketidaksepadanan

pekerjaan dan kemahiran boleh dikurangkan sekiranya seseorang individu dapat

mengenal pasti minat mereka pada peringkat awal semasa belajar. Maka, hasil kajian ini

akan menyemai minat terhadap bidang keusahawanan semasa mereka di peringkat

pengajian menengah lagi melalui penerapan kemahiran keusahawanan. Selain itu, model

kurikulum ini juga dibangunkan berasaskan kompetensi yang mana kurikulum ini

merangkumi aspek pengetahuan, sikap dan kemahiran sebagai hasil pembelajaran.

Dengan itu, pelajar akan mempunyai perisai untuk berhadapan dengan era IR4.0

sekiranya mereka tamat persekolahan kelak kerana memiliki salah satu kemahiran

insaniah yang dihasratkan oleh kerajaan untuk melahirkan modal insan era IR4.0.

1.8 Dilimitasi Kajian

1. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti elemen kemahiran keusahawanan

berteraskan IR4.0 sekaligus mereka bentuk model dengan berasaskan kompetensi

bagi pelajar sekolah menengah di Malaysia. Justeru, penyelidik hanya mengkaji

kemahiran keusahawanan yang koheren dengan kemahiran yang diperlukan dalam

era IR4.0.

2. Berdasarkan sorotan kajian lepas, kajian kemahiran keusahawanan akan

melibatkan penyelidikan kemahiran keusahawanan daripada tiga peringkat utama

namun dalam kajian ini, penyelidik hanya membincangkan kemahiran

keusahawanan di peringkat permulaan memandangkan model kemahiran

keusahawanan ini akan dipraktikan di sekolah menengah iaitu fasa permulaan

untuk menjadi usahawan.

35
3. Responden kajian terdiri daripada pelajar tingkatan empat sahaja kerana dasar

Kementerian Pendidikan Malaysia menetapkan bahawa kajian hanya boleh

dilaksanakan kepada pelajar-pelajar yang tidak terlibat dalam peperiksaan awam

seperti SPM dan PT3.

1.9 Limitasi Kajian

1. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mereka bentuk model kurikulum

kemahiran keusahawanan 4.0 bagi sekolah menengah di Malaysia. Oleh itu,

penyelidikan hanya tertumpu kepada proses mereka bentuk model kurikulum

sahaja.

2. Kekangan masa semasa menjalankan kajian. Penyelidik perlu mengikut beberapa

prosedur kajian terlebih dahulu seperti memohon kebenaran menjalankan kajian

dari Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD). Mulai 1

Mac 2018, semua urusan permohonan kebenaran menjalankan kajian di institusi di

bawah KPM hanya boleh dibuat melalui sistem eRAS 2.0 sahaja.

3. Kajian ini merupakan kajian tinjauan dan menggunakan instrumen soal selidik

sepenuhnya semasa fasa penilaian reka bentuk model kurikulum. Oleh itu, kajian

ini memerlukan bilangan sampel yang ramai. Justeru, penyelidik terpaksa

berhadapan dengan kos cetakan soal selidik dalam mendapatkan data dan juga kos

pengangkutan memandangkan kajian ini mencakupi seluruh Malaysia. Maka,

penyelidik berhadapan dengan kos tiket kapal terbang untuk mendapatkan data di

Sabah dan Sarawak yang mana harganya tidak tetap dan kadang kala melambung

tinggi namun penyelidik tidak mempunyai pilihan lain memandangkan

36
pengangkutan ke kedua-dua negeri tersebut hanya menggunakan pengangkutan

udara.

1.10 Definisi Operasi

Definisi operasi ialah definisi yang digunakan oleh penyelidik untuk menjelaskan

responden, pembolehubah yang hendak diuji atau dimanipulasi dalam kajian. Berikut

adalah senarai definisi operasional yang digunakan dalam kajian ini untuk memudahkan

pembaca mengintepretasi maksud perkataan yang digunakan oleh penyelidik dalam

kajian ini:

1.10.1 Reka bentuk Model

Reka bentuk adalah satu cadangan berbentuk model untuk dijadikan panduan asas

(Norazizah, 2018). Manakala, model merupakan satu bentuk gambaran yang mewakili

teori dengan memperlihatkan pemboleh ubah dan perkaitan antara pemboleh ubah

tersebut (Adayemi, 1975; Mohd Nazri, 2014). Model juga ditakrifkan sebagai

perwakilan atau pengabaian objek atau keadaan sebenar. Ia menunjukkan perkaitan sama

ada secara langsung atau tidak langsung dan hubungan antara tindakan dan reaksi dari

segi sebab dan akibat (Shafique & Mahmood, 2010). Dalam kajian ini, reka bentuk

model bermaksud satu cadangan berbentuk model yang mengandungi elemen-elemen

kemahiran keusahawanan berteraskan IR4.0 berasaskan kompetensi sebagai panduan

asas untuk rancangan pembelajaran dengan mengaplikasikan teori-teori yang berkaitan.

37
1.10.2 Kurikulum

Mohd Nazri (2014) dalam kajiannya mentakrifkan kurikulum sebagai satu perancangan

dalam pendidikan untuk membangunkan pengetahuan dan pengalaman pelajar dalam

usaha untuk mencapai hasil pembelajaran yang dihasratkan. Tyler (1949)

mendefinisikan kurikulum dengan lebih terperinci iaitu kurikulum merupakan segala

pembelajaran yang diarah, dirancang, dikelola dan dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi

mencapai matlamat pendidikan yang ditentukan yang merangkumi objektif pendidikan,

pengalaman yang dirancang dan penilaian terhadap murid. Justeru, kajian ini

mendefinisikan kurikulum sebagai satu perancangan pembelajaran yang disusun dengan

sistematik yang merangkumi empat elemen utama iaitu objektif, kandungan

pembelajaran, strategi pembelajaran dan penilaian untuk menerapkan kemahiran-

kemahiran keusahawanan berteraskan IR4.0 bagi pelajar sekolah menengah di Malaysia

berasaskan kompetensi.

1.10.3 Kemahiran Keusahawanan 4.0

Mengikut Van Gelderen (2011), kemahiran keusahawanan ialah kebolehan yang

dijelmakan dalam bentuk kelakuan seseorang usahawan. Ia merupakan cabang

kemahiran insaniah yang perlu dimiliki oleh setiap pelajar di peringkat pengajian tinggi

atau rendah (Mohd Hafiz, 2014). 4.0 ini merujuk kepada IR4.0. Maka, kemahiran

keusahawanan dalam kajian ini bermaksud kemahiran keusahawanan berteraskan IR4.0

yang mengandungi elemen-elemen kemahiran yang akan dibincangkan dalam bab 2

nanti.

38
1.10.4 Kurikulum Berasaskan Kompetensi

Redding (2016) mendefinisikan kompetensi sebagai kemampuan seseorang individu

yang merangkumi kemahiran, sikap, dan pengetahuan yang seseorang harus perolehi.

Dalam kajian ini, kurikulum berasaskan kompetensi bermaksud satu perancangan

pembelajaran yang sistematik dengan tujuan untuk memperolehi kemahiran.

1.10.5 Pelajar Sekolah Menengah

Menurut kamus dewan bahasa dan pustaka (2017), pelajar adalah seseorang yang sedang

belajar atau berguru. Justeru, pelajar sekolah menengah dalam kajian ini bermaksud

pelajar tingkatan empat yang berdaftar dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM)

KPM pada tahun 2021.

1.10.6 Graduan

Zafir et al. (2015) mentakrifkan graduan sebagai produk daripada Institusi Pengajian

Tinggi (IPT) yang memasuki alam kerjaya dan bekerja sama ada dalam sektor kerajaan

atau swasta. Graduan yang dimaksudkan dalam kajian ini adalah pelajar yang

menamatkan pengajian selepas menamatkan pengajian peringkat menengah iaitu lepasan

diploma dan lepasan ijazah di Kolej Komuniti, Politenik, IPTA awam dan IPTA swasta.

1.11 Kesimpulan

Sebagai rumusannya, bab ini memberi gambaran awal aspek-aspek kajian yang

dijalankan berkaitan reka bentuk sebuah model kurikulum yang berfokuskan kemahiran.

Dengan itu, perbincangan dalam bab ini dimulakan dengan pengenalan dan latar

belakang kajian berkaitan pengangguran, keusahawanan, usaha kerajaan menangani

39
pengangguran, dan kemunculan IR4.0. Seterusnya, bab ini menyentuh rasional kajian,

penyataan masalah, tujuan kajian dan objektif kajian yang membawa kepada persoalan

kajian mereka bentuk model kurikulum kemahiran keusahawanan 4.0. Sigfinikan kajian,

dilimitasi kajian dan limitasi kajian juga dijelaskan dalam bab ini. Akhir sekali,

penyelidik menjelaskan definisi operasi bagi setiap pemboleh ubah yang dinyatakan

dalam tajuk kajian agar pembaca tidak membuat intepretasi yang salah.

40

Anda mungkin juga menyukai