(35 MARKAH)
BAHAGIAN C: RUMUSAN
(30 MARKAH)
Bahan 1 - Petikan
Baca petikan dan teliti bahan grafik yang disertakan di bawah. Kemudian buat satu rumusan
yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan
ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan.
Kita dianjurkan agar mengawal atau mengurus perasaan marah. Perasaan ini perlu
dikawal untuk mengelakkan kesan buruk akibat kemarahan yang tidak dikawal. Terdapat
beberapa langkah yang boleh digunakan sebagai kawalan ketika marah.
Salah satu langkah untuk mengurus kemarahan adalah dengan cara bertenang semasa
marah, tarik nafas dalam-dalam dan kosongkan fikiran. Tindakan ini mungkin dapat
membantu anda menenangkan diri. Gunakan daya imaginasi anda untuk menggambarkan
suasana yang tenang sambil menutup mata. Kemudian, lepaskan nafas perlahan-lahan.
Dalam keadaan sedang marah, ambil masa untuk memberikan maklum balas.
Gunakanlah teknik kiraan satu hingga sepuluh sebelum memberikan sebarang respons.
Dengan cara ini, anda lebih berpeluang untuk berfikir dahulu sebelum menyatakan sesuatu
yang mungkin akan membuat anda menyesal kemudiannya. Bak kata pepatah, terlajak
perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.
Anda juga digalakkan untuk membasuh muka atau mandi apabila berada dalam
keadaan marah. Apabila seseorang itu membasahkan tubuhnya, kedinginan air akan
menyejukkan sistem saraf yang dalam keadaan tegang disebabkan emosi marah. Setelah
membasuh muka atau mandi, seseorang yang marah akan berasa lebih segar dan tenang.
Ketika marah, anda cenderung untuk membuat kesimpulan dengan mudahnya. Oleh itu,
ambil masa yang secukupnya sebelum menjawab sebarang respons. Jangan ucapkan perkara
pertama yang terlintas dalam fikiran anda, sebaliknya cuba lambatkannya. Berfikirlah
dengan sedalam-dalamnya sebelum berkata-kata. Di samping itu, dengar dengan telitinya
perkara yang diperkatakan oleh orang lain.
Namun, jika seandainya anda masih juga tidak mampu untuk menguruskan perasaan
marah itu dengan baiknya, anda perlu berjumpa dengan kaunselor untuk mendapatkan
bantuan. Kaunselor akan membantu dan membimbing anda mengendalikan perasaan marah
itu. Bantuan daripada kaunselor tersebut dapat membantu anda bersikap positif untuk
menjalani kehidupan dengan lebih baik.