Anda di halaman 1dari 8

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/308889672

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS): KEBAIKAN DARI PERSPEKTIF AM,


GURU, MURID DAN IBU BAPA.

Article · January 2014

CITATIONS
READS
0
38,045

5 authors, including:

Abdul Halim Abdullah


Universiti Teknologi Malaysia
245 PUBLICATIONS 786 CITATIONS

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Enhancing Geometric Thinking Level of Indonesian Secondary School in Makassar Through Application of Metacognition in van Hiele Model View project

Geometric Thinking View project

All content following this page was uploaded by Abdul Halim Abdullah on 05 October 2016.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Buletin Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik Johor, Jilid 24: Bil I,

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS): KEBAIKAN DARI


PERSPEKTIF AM, GURU, MURID DAN IBU BAPA.

Abdul Halim Abdullah, Nurul Hadyani Ahmad, Nor Amilawani Ahmad Sukri
Nurhasyimah Ismail, Vicki Artika

Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia

Abstrak: Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan dalam


sistem pendidikan kebangsaan merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat
holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani),
psikomotor (jasmani) dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
PBS bertujuan untuk melihat kemajuan pembelajaran serta pencapaian prestasi
seseorang murid secara adil dan saksama serta mendapatkan gambaran
keseluruhan tentang potensi murid. Bagaimanapun, ramai pihak yang
mempertikaikan kelemahan PBS yang baru dilaksanakan sejak tiga tahun lalu.
Pada pandangan kami, untuk melakukan sesuatu perubahan ke arah kebaikan
generasi akan datang, kita mesti mula bertindak. Kita perlu sedar bahawa untuk
berubah kepada sesuatu yang baru bukanlah sesuatu yang mudah. Bagaimanapun
selagi tidak bermula, selagi itulah kita tidak berusaha untuk berubah. Mungkin
benar masih terdapat kekurangan dari segi garis panduan untuk pelaksanaan,
pengetahuan asas PBS oleh guru, serta pemantauan dari luar yang betul mungkin
masih perlu dipertingkatkan. Namun, yang lebih penting, kita perlu melihat
perlaksanaan PBS ini dari aspek yang positif berbanding terus melihat kepada
kelemahannya. Jadi artikel ini akan mengupas kebaikan perlaksanaan PBS ini dari
tiga perspektif iaitu am, guru, murid dan ibu bapa. Diharapkan artikel ini dapat
memberikan penjelasan mengenai kebaikan PBS yang telah terbukti
keberkesanannya dalam kalangan negara-negara maju.

1.0 Pengenalan

Persetujuan telah dibuat oleh Jemaah Menteri dalam satu mesyuarat pada 17 disember 2010
untuk membuat penambahbaikan kepada sistem pentaksiran kebangsaan. Umum menyedari
bahawa, sistem pentaksiran di Malaysia lebih menjurus kepada bentuk peperiksaan awam.
Sistem pentaksiran yang berasaskan peperiksaan awam ini bersifat sumatif. Oleh yang demikian,
pencapaian murid tidak dapat dinilai secara menyeluruh dan lebih efektif. Melalui persidangan
pendidikan yang melibatkan negara-negara maju, ia telah membuka pandangan pemimpin negara
untuk mengubah cara sistem pentaksiran di Malaysia. Hasil perbincangan, Jemaah Menteri
bersetuju untuk membuat penambahbaikan kepada dua peperiksaan awam di Malaysia iaitu
Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Menurut
surat pekeliling dan surat siaran lembaga transformasi pentaksiran Bil. 3 2011 pemakluman
PBS, sistem pentaksiran baru ini akan memberi penekanan kepada pentaksiran untuk
pembelajaran dan pentaksiran tentang pembelajaran.
Buletin Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik Johor, Jilid 24: Bil I,

2.0 Kebaikan PBS Dari Perspektif Am

Perbincangan seterusnya merupakan kebaikan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS)


berdasarkan empat skop pembentangan. Pertama, adalah mengenai kebaikan PBS secara am.
Kemudian, perbincangan kami akan menjurus kepada kebaikan PBS melalui perspektif guru.
Selain itu, penekanan turut diberikan dalam melihat kebaikan PBS berdasarkan perspektif murid.
Akhir sekali, artikel ini akan mengupas kebaikan PBS dari perspektif ibu bapa. Isi pertama yang
akan diketengahkan dalam kebaikan PBS secara am ialah pentaksiran berasaskan sekolah
merupakan pentaksiran yang bersifat menyeluruh atau lebih dikenali sebagai holistik. Dapatan
daripada buku panduan PBS yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),
telah menerangkan secara jelas bahawa dengan pelaksanaan sistem pentaksiran berasaskan
sekolah akan meliputi dua aspek pentaksiran yang utama (Lembaga Peperiksaan Malaysia,
2014). Aspek pentaksiran tersebut adalah dalam bidang akademik dan bukan akademik.
Pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat merupakan komponen di bawah pentaksiran
berasaskan akademik. Manakala, pentaksiran bukan akademik akan melibatkan komponen
pentaksiran psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Ko-kurikulum (PAJSK).
Jelas di sini, bahawa melalui pelaksanaan PBS, pentaksiran akan lebih efektif, holistik dan
seimbang (Auty, 1997) .

Kemudian, isu yang dilontarkan adalah melalui sistem PBS, penekanan kepada peperiksaan
awam dapat dikurangkan. Kebelakangan ini, banyak kejadian negatif yang dipaparkan dalam
halaman akhbar arus perdana berkaitan kes cubaan bunuh diri kerana tertekan dengan
peperiksaan awam. Menurut sebuah akhbar atas talian bertarikh 25 Mac 2011, seorang murid
cuba untuk membunuh diri kerana keputusan yang teruk dalam peperiksaan SPM. Hal sebegini
menunjukkan bahawa peperiksaan awam memberi tekanan yang besar kepada murid. Selain itu,
dengan adanya PBS, corak pengajaran guru dalam subjek matematik khasnya akan lebih
menarik. Murid dapat belajar melalui aktiviti projek dan makmal. Berbeza dengan pengajaran
tradisional yang mana murid hanya duduk di dalam kelas dan menjawab soalan matematik
dengan betul untuk peperiksaan.

Seterusnya, pentaksiran berasaskan sekolah akan melahirkan murid yang seimbang. Pentaksiran
berasaskan sekolah merupakan langkah untuk menterjemahkan hasrat dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang mahu murid dilahirkan seimbang dari aspek jasmani, rohani, emosi dan
intelek. Penekanan kepada bidang akademik dan bukan akademik, dapat menggalakkan
pembudayaan sikap progresif, pengamalan nilai dan membina etika serta moral yang tinggi
dalam diri murid. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Pelan Integriti Nasional Dan Misi
Nasional turut menzahirkan harapan yang sama iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang.
Akhir sekali, menurut Yusof Boon (2011), pentaksiran berasaskan sekolah memberi peluang
sama rata terhadap pelaksana di luar bandar dan di bandar untuk melaksanakan PBS. Hal ini
kerana, daya kreativiti pelaksana memainkan peranan penting dalam menjayakan misi dan visi
PBS. Selain itu, pengetua di luar bandar, akan lebih bermotivasi untuk membangunkan modal
insan di sekolah tersebut kerana tiada pembandingan dari segi pencapaian murid dalam
peperiksaan awam antara murid bandar dan luar bandar yang sememangnya agak ketara.
Buletin Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik Johor, Jilid 24: Bil I,

3.0 Kebaikan PBS Dari Perspektif Guru

Kesan daripada perlaksanaan PBS ini, guru diberi kuasa autoriti dalam memperkembangkan
kreativiti pengajaran mereka (Maxwell, 2006) . Guru menyampaikan pengajaran yang pelbagai
dan melaksanakan pentaksiran bergantung kepada keupayaan klien iaitu murid-murid di dalam
kelas masing-masing. Menurut Azlin Norhaini Mansor et al. (2013), kebaikan PBS ialah untuk
menjana aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang kreatif, guru mesti menggunakan kaedah
pentaksiran yang pelbagai untuk menilai hasil pembelajaran. Guru juga perlu menggunakan
kaedah pengajaran yang berbeza bagi memastikan keberkesanan dalam pembelajaran. Melalui
PBS ini, guru juga dapat mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) semasa
pengajaran dijalankan. Secara tidak langsung suasana pembelajaran lebih berpusatkan murid.
Hubungan antara murid dengan guru juga akan semakin rapat kerana mereka akan ada sifat ingin
tahu dan berani memberi pendapat dalam menyelesaikan permasalahan bukan rutin yang
diajukan oleh guru ataupun rakan sebaya mereka. Selain itu, secara tidak langsung guru dapat
menyampaikan kurikulum tersembunyi iaitu membina nilai-nilai ke arah pembentukan insan
yang seimbang. Pengaplikasian pengajaran seperti ini penting bagi membantu murid-murid
selesa dalam menerima perubahan bentuk pembelajaran alaf baru. Sekaligus membantu mereka
untuk menghadapi peperiksaan umum yang lebih berbentuk soalan KBAT.

Perlaksanaan PBS ini juga memberi suasana cara kerja yang baru kepada pelaksana di sekolah.
Lebih banyak kerja bersepadu iaitu budaya kerja berpasukan yang diterapkan di sekolah. Pihak
pentadbir bersama guru-guru berbincang dan membina strategi perlaksanaan yang efektif bagi
memastikan PBS di sekolah berjalan dengan efektif. Latihan-latihan kepada murid disediakan
dengan lebih tersusun dan dibina sebagai evidens oleh guru sebelum sesi pengajaran dan
pembelajaran (PdP) dijalankan. Suasana kerja seperti ini jika dilihat dari sudut positif akan
mewujudkan budaya kerja yang seronok di sekolah. Bagi membantu pelaksanaan PBS lebih
berkesan, kementerian juga telah menyediakan dua sistem ICT iaitu SPPBS dan PAJSK.

Dalam sistem pentaksiran berasaskan peperiksaan sebelum ini, perlaksanaan proses


pembelajaran dan pengajaran (PdP) bagi subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Seni bagi
murid tingkatan 3 dijalankan hanya untuk sepenggal sahaja. Namun setelah PBS diperkenalkan,
subjek ini juga memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan
Negara. Maka, semua guru perlu memainkan peranan secara serius. Ini disokong oleh ciri-ciri
konsep PBS iaitu PADI (profile, achievement, development, involvement). Murid-murid tidak
hanya dinilai dari aspek akedemik tetapi merangkumi semua komponen.
Buletin Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik Johor, Jilid 24: Bil I,

Sumber: Lembaga Peperiksaan (2014)

Seterusnya, guru dapat melihat perkembangan murid secara meluas. Ini dapat ditaksir dengan
lebih jelas melalui bantuan sistem SPPBS. Diharapkan sistem ini dapat ditambahbaik kerana
maklumat di dalam sistem ini jika ia beroperasi dengan lancar sememangnya akan memberi
banyak manfaat kepada guru.

4.0 Kebaikan PBS Dari Perspektif Murid

Untuk meningkatkan perkembangan modal insan demi meyesuaikan diri dengan perkembangan
dunia, Malaysia telah membuat suatu pentaksiran yang baru iaitu pentaksiran berasaskan
sekolah. Di sini, murid sebagai subjek utama akan dinilai secara berterusan untuk mengetahui
kemampuan pembelajarannya dari masa ke masa. Menurut Azlin Norhaini Mansor et al. (2013)
terdapat empat kebaikan utama pada aplikasi PBS ini terhadap murid. Antaranya, ia
menggalakkan kemajuan kendiri, membentuk tingkah laku yang positif, meningkatkan
kemahiran berkumpulan, dan mempromosikan aktiviti pengajaran yang kreatif. PBS juga
diyakini dapat menggalakkan kemajuan kendiri murid (Azlin Norhaini Mansor et al., 2013).
Kemajuan kendiri dapat digalakkan dengan adanya keseimbangan antara pelajaran akademik dan
bukan akademik. Kebiasaannya, untuk mendapatkan tahap penguasaan yang tinggi seperti Band
5 atau Band 6, murid diminta untuk mereka cipta suatu benda. Di sinilah kemajuan kendiri dapat
digalakkan kerana murid bebas untuk berekspresimen dan menunjukkan kebolehannya sama ada
dalam bentuk try and error, kreativiti, pembentangan, dan role playing. Di samping itu, tidak
akan ada jawapan yang benar dan salah selagi alasan yang diberikan adalah logik.

Selain dapat menggalakkan kemajuan kendiri, PBS dapat membentuk tingkah laku yang positif.
Seperti yang dinyatakan oleh salah seorang responden dalam kajian Azlin Norhaini Mansor et al.
(2013), beliau memerhatikan bahawa PBS lebih menjadikan murid lebih proaktif, percaya diri,
dan selesa belajar di dalam kelas. Ini dapat terjadi kerana kurangnya tekanan yang didapati oleh
murid sehingga murid akan merasa seronok untuk belajar. Dengan adanya rasa seronok tersebut,
murid akan belajar kerana ingin mendapatkan pengetahuan bukan semata-mata untuk
peperiksaan. Ini juga dipengaruhi oleh penilaian formatif, yang mana guru mempunyai target
yang berbeza untuk mencapai tahap penguasaan tertentu pada setiap hari. Penilaian formatif dan
tahap penguasaan yang berbeza untuk setiap hari tersebut akan membuat murid lebih bermotivasi
untuk belajar ke tahap berikutnya selain dapat juga mengelakkan gejala ponteng kelas.
Buletin Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik Johor, Jilid 24: Bil I,

Seterusnya, PBS juga dapat meningkatkan kemahiran berkumpulan. Kemahiran berkumpulan ini
akan diperolehi jika tidak adanya rasa persaingan sesama sendiri. Tidak adanya sistem
pemarkahan akan membuat murid lebih seronok untuk belajar. Apabila dibandingkan dengan
sistem yang lama, murid akan tetap bersaing walaupun ianya di dalam kumpulan kerana adanya
sistem pemarkahan yang menyebabkan timbulnya rasa takut untuk bersaing. Akibatnya,
kumpulan sebagai media belajar menjadi tidak berkesan. Seperti yang dilaporkan oleh salah
seorang responden dalam kajian Azlin Norhaini Mansor et al. (2013), murid akan bersaing
sesama sendiri untuk mendapatkan markah yang tertinggi. Tapi dengan adanya PBS, sistem
pemarkahan akan diganti dengan tahap penguasaan. Rasa persaingan akan berkurang dan semua
murid boleh mendapatkan tahap penguasaan yang sama sehingga aktiviti dalam kumpulan akan
lebih berkesan dan murid dapat berkongsi pelbagai idea bersama-sama.

Kebaikan PBS seterusnya ialah mempromosikan pengajaran yang kreatif. Perbezaan tahap
penguasaan yang perlu dicapai oleh murid setiap hari menuntut guru untuk mengajar dengan
strategi pengajaran yang berbeza. Strategi pengajaran inilah yang akan mempromosikan
pengajaran menjadi lebih kreatif dan membuat murid lebih seronok untuk mengikuti setiap
aktiviti kelas yang dilakukan. Seperti yang dipetik daripada artikel Azlin Norhaini Mansor et al.
(2013), salah seorang responden menyatakan bahawa dengan adanya sistem penilaian formatif
pada PBS menjadikan guru lebih memahami setiap situasi dan psikologi murid sehingga guru
lebih mudah untuk memilih strategi yang tepat untuk mengajar.

5.0 Kebaikan PBS Dari Perspektif Ibu Bapa

Untuk mencapai hasrat dan aspirasi pendidikan di Malaysia kini, bukan sahaja masyarakat,
murid dan guru sahaja yang harus memainkan peranan penting, malah ibu bapa yang merupakan
orang yang terdekat dengan anak-anak ataupun murid juga dapat membantu agar pelaksanaan
PBS ini dapat berjalan dengan lancar. Bagi ibu bapa yang prihatin, mereka akan sentiasa
mengambil berat tentang pendidikan anak-anak mereka. Bagi ibu bapa yang berada di luar
bandar pula mungkin mereka kurang didedahkan tentang PBS. Sudah menjadi tanggungjawab
pihak sekolah untuk menjelaskan kepada ibu bapa tentang transformasi pendidikan yang sedang
berlaku di negara ini.

Berikut merupakan beberapa pendapat mengenai kebaikan PBS daripada perspektif ibu bapa.
Pertama, penglibatan ibu bapa dalam proses pengajaran dan pembelajaran anak-anak di rumah
dapat dipertingkatkan. Seperti yang kita sedia maklum, pelaksanaan PBS merupakan latihan atau
aktiviti rutin yang dilakukan di sekolah. Terdapat juga tugasan atau latihan yang diberikan oleh
guru kepada murid sebagai ulangkaji tambahan atau projek-projek tertentu yang perlu
dilaksanakan. Sehubungan dengan itu, ibu bapa dapat memantau aktiviti anak-anak mereka di
rumah (Cheng et al., 2011). Antara aktiviti yang dapat melibatkan ibu bapa dengan anak-anak
adalah membantu anak-anak dalam pembelajaran, menyediakan buku latihan dan evidens dan
sebagainya. Di samping itu hubungan kekeluargaan juga dapat dieratkan. Selain itu, pencapaian
murid dapat dilihat sepanjang tahun oleh ibu bapa. Hal ini bermaksud pencapaian murid tidak
terhad semasa musim peperiksaan sahaja malah penilaian dijalankan secara berterusan. PBS
merupakan bentuk penilaian secara formatif. Dengan ini ibu bapa yang prihatin dapat berhubung
terus dengan guru di sekolah untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka. Laporan
prestasi dan tahap penguasaan murid dinilai secara terperinci. Sebagai penambahbaikan, pada
Buletin Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik Johor, Jilid 24: Bil I,

masa akan datang mungkin boleh diusulkan supaya keputusan penilaian PBS dapat diakses
secara atas talian.

Seterusnya, kepercayaan ibu bapa kepada institusi sekolah dapat dipertingkatkan. Pembelajaran
dan pencapaian murid akan dipantau secara menyeluruh oleh pihak sekolah. Ibu bapa tidak akan
bimbang lagi sekiranya anak-anak mereka yang dahulunya mungkin sering ketinggalan dalam
pembelajaran. Dengan adanya PBS ini, semua murid tidak kira sama ada yang cemerlang
ataupun tidak, mereka akan mendapat hak kesamarataan dalam penilaian PBS ini. Selain itu, ibu
bapa juga tidak perlu risau untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat tusyen atau mencari
tutor di rumah. Situasi ini kebiasaannya berlaku pada musim peperiksaan dengan tujuan untuk
mencapai target cemerlang dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR dan SPM. PBS ini
dapat membantu murid untuk terus konsisten dalam pembelajaran tanpa perlu bergantung harap
pada kelas tambahan di luar sekolah. Di samping itu, hubungan erat antara guru dan ibu bapa
juga dapat dieratkan. Kebiasaannya perjumpaan ibu bapa dengan guru hanya dilaksanakan satu
tahun sekali iaitu pada Hari Terbuka yang diadakan selepas peperiksaan penggal pertama atau di
pertengahan tahun. Cadangan penambahbaikan boleh diusulkan untuk menambahkan sesi
perjumpaan guru dengan ibu bapa. Malah salah sebuah sekolah di sekitar Johor Bharu
mengamalkan sesi perhimpunan bersama ibu bapa secara berterusan untuk menjelaskan tentang
sistem PBS ini agar ibu bapa dapat memahami situasi pembelajaran anak-anak mereka.

Kebaikan lain yang dapat dilihat adalah kadar kelalaian anak-anak generasi-z terhadap teknologi
dapat dikurangkan. Bagaimana PBS dapat membantu? Dengan adanya kerja kursus dan projek-
projek pembelajaran, para murid dapat memanfaatkan faedah teknologi dengan cara yang betul
dan bukan sahaja giat dalam laman sosial misalnya seperti facebook, twitter dan instagram.
Murid-murid yang mahir dalam teknologi ini secara tidak lansung dapat meningkatkan
kemahiran dalam pembelajaran secara inkuiri dengan pencarian informasi menerusi internet
seperti melalui agen pencarian maklumat Google dan Yahoo. Selain itu, kerja-kerja berkumpulan
dapat memupuk sikap bersosial secara sihat dan memantapkan komunikasi dengan masyarakat.
Hal ini dapat mengelakkan murid daripada bersikap pasif dan kurang bergaul dengan rakan-
rakan sebaya.

Ringkasnya, dapat dirumuskan bahawa sistem PBS yang masih di peringkat awal diperkenalkan
ini haruslah diberi pendedahan kepada ibu bapa agar mereka dapat membantu guru secara tidak
lansung. Ibu bapa juga digalakkan untuk membimbing anak-anak mereka untuk memudahkan
proses pembelajaran disamping membantu anak-anak mencapai hasrat murni dan cita-cita di
masa hadapan. Ibu bapa yang prihatin juga dapat memantau penilaian anak-anak mereka dengan
lebih dekat melalui perjumpaan dengan guru.

6.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa pelaksanaan PBS ini dapat dilihat
mempunyai potensi untuk terus maju ke hadapan untuk mencapai tahap pendidikan setanding
dengan negara-negara maju. Pada permulaannya tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa
kelemahan tetapi apabila kita memandang sesuatu yang baru dari sudut positif secara perlahan-
lahan, masyarakat akan mula untuk menerimanya apabila hasil yang baik dapat dilihat. Untuk
memantapkan lagi sistem PBS ini, golongan pelaksana iaitu guru haruslah komited dengan tugas
Buletin Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik Johor, Jilid 24: Bil I,

dan tanggungjawab untuk mendidik murid. Murid juga haruslah mengambil kesempatan ini
dengan memanfaatkan penilaian yang bermanfaat dalam pendidikan mereka. Ibu bapa dan
masyarakat juga perlu memainkan peranan yang penting dalam membantu pelaksanaan ini agar
segala pengurusan dapat dipermudahkan. Dengan ini, PBS dapat merealisasikan falsafah
pendidikan negara yang merangkumi perkembangan potensi secara holistik dari segi kognitif,
afektif dan psikomotor. Ini juga dapat melahirkan generasi yang berpengetahuan, berkemahiran
berfikir, memimpin, berkomunikasi, beradab dan beretika, dan juga seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek.

Rujukan

Auty G. (1997) Practical assessment for advanced level. School Science Review, 78(284), 65-
72 Azlin Norhaini Mansor, Ong Hee Leng, Mohamad Sattar Rasul, Rose Amnah Raof &
Nurhayati Yusoff. (2013). The Benefits of School-Based Assessment. Universiti Kebangsaan
Malaysia, Open University Malaysia, Universiti Malaya & Multi Media University
Malaysia.
Cheng, L., Andrews, S. & Yu, Y. (2011). Impact and consequences of school-based assessment
(SBA): Students’ and parents’ views of SBA in Hong Kong. Language Testing. April
2011, 28: 221-249
Lembaga Peperiksaan Malaysia. (2014). Panduan Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Maxwell, G. (2006). Quality management of school-based assessments: Moderation of teacher
judgments. Paper presented at the 32nd IAEA Conference, Singapore, May 2006
Yusof Boon dan Mohd Musa Shaharudin. (2011). Kepimpinan Guru besar dalam Pelaksanaan
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Kebangsaan Daerah Kota Tinggi,
Johor. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia.

View publication stats

Anda mungkin juga menyukai