Anda di halaman 1dari 2

KARANGAN SYARAHAN

SYARAHAN: PENCEMARAN BAHASA MESTI DITANGANI SECARA SERIUS

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih buat tuan pengerusi majlis. Yang
berusaha, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Alawiyah Puan Hajah
Shakirah binti Ahmad, Penolong Kanan Pentadbiran Puan Rohana binti Mat, Penolong Kanan
Hal Ehwal Murid Puan Faridah binti Osman, Penolong Kanan Kokurikulum Puan Nadiah binti
Yunos, guru-guru cemerlang dan rakan-rakan yang disayangi sekalian. Pada pagi yang indah
ini, saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Pencemaran Bahasa Mesti Ditangani
Secara Serius’.

Hadirin sekalian,

Bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda dan menjadi bahasa kesatuan semua kaum
tidak kira agama dan warna kulit. Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus
menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sesuai
dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu perlu
diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula, bahasa Melayu merupakan bahasa yang
digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu
perludimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaingdengan
bahasa-bahasa lain di dunia.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

Indikator saya yang pertama dalam menangani pencemaran bahasa ialah ibu bapa
menggalakkan anak-anak menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. Ini kerana, pendidikan
awal tentang pentingnya menggunakan bahasa Melayu dengan betul akan membentuk
anak-anak untuk menjadi pencinta bahasa sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu
yang tepat dalam komunikasi seharian. Kesannya, anak-anak akan terbiasa dan akan
membesar menjadi masyarakat yang menghormati keagungan bahasa. Maka jelaslah bahawa,
pendidikan oleh ibu bapa adalah amat penting dalam memastikan pencemaran bahasa dapat
dielakkan.

Pada masa yang sama, pihak kerajaan juga perlu melantik pakar rujuk yang terdiri
daripada ahli akademik yang arif tentang bahasa. Ini dapat membantu mana-mana pihak yang
mempunyai masalah dalam menentukan cara penggunaan bahasa yang betul. Sebagai
contohnya, pakar-pakar rujuk ini dapat membantu syarikat-syarikat pengiklanan untuk
menggunakan bahasa yang betul dalam iklan-iklan mereka. Kesannya, tidak akan terdapat
apa-apa kecacatan bahasa dalam iklan-iklan yang dipamerkan. Benarlah bahawa, pihak
kerajaan perlulah menggembleng tenaga dalam melantik pakar rujuk dalam memastikan tiada
kewujudan pencemaran bahasa.
Hadirin yang dikasihi sekalian,

Kita tidak dapat menepis tolak bahawa pihak berkuasa mestilah mengenakan denda
kepada individu yang merosakkan bahasa. Ini kerana, jika bahasa dirosakkan dan dihancurkan
maka tiada jalan untuk memperbaikinya semula kerana nasi sudah menjadi bubur. Sebagai
contohnya, pihak bertanggungjawab menangkap dan menghukum sesiapa sahaja yang
mempermainkan martabat bahasa Melayu dengan hukuman yang setimpal. Dengan ini,
masyarakat lain akan memperoleh pengajaran untuk tidak mempersendakan bahasa kerana
takut untuk ditimpa hukuman yang berat. Atas rasional tersebut, pihak berkuasa sepatutnya
mengenakan denda kepada mana-mana individu yang cuba merosakkan bahasa demi
mengelakkan pencemaran bahasa daripada menular.

Indikator saya yang terakhir ialah pihak kerajaan mestilah mengadakan kempen secara
berterusan di seluruh pelusuk negara. Ini kerana, kempen-kempen yang dijalankan dapat
membantu masyarakat untuk lebih memahami tentang kepentingan penjagaan bahasa dalam
kehidupan. Sebagai contohnya, pihak kerajaan boleh mengedar risalah-risalah berkenaan
implikasi yang akan berlaku sekiranya pencemaran bahasa menular dalam kehidupan
masyarakat. Jadi, masyarakat tidak akan menjadi bagai katak di bawah tempurung tentang
pengetahuan kepentingan penghormatan kepada bahasa dan akan mula menitikberatkan
penggunaan bahasa yang betul. Ringkasnya, pihak kerajaan mestilah menganjurkan kempen
demi memastikan pencemaran bahasa tidak menular.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Oleh hal yang demikian, isu pencemaran bahasa mestilah dititikberatkan dan tidak boleh
dipandang sebelah mata dalam kalangan masyarakat di negara kita. Dalam hal ini, semua
pihak mestilah bersifat bagai aur dengan tebing dalam memastikan keabsahan bahasa sentiasa
terlindung agar dapat digunakan sepanjang zaman. Harapan saya agar bahasa kita sentiasa
dihormati dan disayangi oleh semua lapisan masyarakat. Marilah kita bersama-sama dalam
memastikan martabat bahasa Melayu sentiasa terjaga kerana Bahasa Jiwa Bangsa. Sekian,
terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai