Anda di halaman 1dari 3

KISAH SANG ARNAB DAN SANG KURA-KURA

Melati kuntum tumbuh melata


Sayang merbah di pohon cemara
Assalamualaikum mulanya kata
Saya sembah pembuka bicara

Berdirinya saya di sini adalah ingin menyampaikan sebuah kisah yang bertajuk Sang Arnab dan
Sang Kura-kura.
Pada suatu hari, Sang Kura-kura sedang berjalan perlahan-lahan mengambil angin di rimba. Sang
Kura-kura menyusuri sebatang sungai yang jernih dan tenang sambil menyanyi riang.

Awan nanti kata aku kandung air


sampai tempat sejuk aku pun cair,
lihat dalam air Nampak bayang-bayang,
Campak satu batu bayang pun hilang

Tiba-tiba, datang Sang Arnab yang memang terkenal antara binatang terpantas di rimba itu.
Sang arnab menyapa Sang Kura-kura yang sedang bergerak lambat sambil mengejek dan
menghina Sang Kura-kura. Dikatanya Sang Kura-kura seekor haiwan yang lemah.

Sang Kura-kura amat sedih dan terkilan akan kata-kata Sang Arnab. Namun, dia redha akan
ketentuan Ilahi. Dia tetap meneruskan perjalanannya walaupun hatinya terluka.
Sang Arnab merasa tidak berpuas hati kerana Sang Kura-kura tidak terkesan akan sindiran dan
ejekannya tadi. Lalu dia memberi satu cabaran kepada Sang Kura-kura dengan niat mahu
mengenakan dan memalukannya.

Sang Arnab mengajak Sang Kura-kura berlumba dengannya. Pada awalnya, Sang Kura-kura
tidak bersetuju tetapi kerana desakan daripada Sang Arnab, Sang Kura-kura akhirnya akur
dengan ajakan Sang Arnab untuk berlumba.
Keesokan harinya, seluruh rimba datang untuk menyaksikan perlumbaan antara Sang Arnab dan
Sang Kura-kura itu. Sang Kancil dipilih menjadi pengadil. Perlumbaan bermula dari tebing
sungai, mengelilingi rimba dan tamat di tebing sungai Kembali.

Perlumbaan itu dimulakan ditengah-tengah hiruk pikuk penyokong kedua-dua peserta.


Dengan pantasnya Sang Arnab berlari jauh meninggalkan Sang Kura-kura. Sedangkan Sang
Kura-kura perlahan-lahan meninggalkan garisan permulaan.

Setelah beberapa ketika , Sang Arnab berhenti di bawah sebatang pokok yang rendang. Lalu dia
memerhatikan sekiranya ada kelibat Sang Kura-kura di belakangnya. Sang Arnab berfikir jika
dia tertidur sebentar tidak mengapalah kerana Sang Kura-kura bergerak perlahan dan tidak
mampu memintasnya. Dengan rasa mengantuk dan penat, Sang Arnab pun tertidur lena di bawah
pokok tersebut. Sang Arnab lena dibuai mimpi indah.

Tidak lama kemudian, Sang Kura-kura tiba di pokok tempat Sang Arnab sedang tidur. Tanpa
mempedulikan Sang Arnab, Sang Kura-kura meneruskan perjalanannya hingga ke garisan
penamat. Selepas beberapa ketika, Sang Arnab terjaga dari tidurnya. Dengan tergesa-gesa , dia
berlari menuju ke garisan penamat.

Setibanya Sang Arnab di garisan penamat kelihatan Sang Kura-kura sedang menerima ucapan
tahniah daripada haiwan-haiwan rimba yang lain. Dengan perasaan malu, Sang Arnab beredar
pantas dari situ kerana ditertawakan para penghuni rimba yang lain. Sang Kura-kura sangat
gembira kerana berjaya memenangi perlumbaan itu.

Ya kawan-kawan, banyak pengajaran yang boleh diambil daripada cerita ini.


Pertama, kita hendaklah bersabar dan berusaha untuk mencapai suatu kejayaan.
Kedua, kita haruslah sentiasa memberi sokongan moral kepada rakan-rakan kita dan tidak seperti
Sang Arnab yang memandang rendah akan kemampuan Sang Kura-kura.
Dan ketiga, kita hendaklah sentiasa bersikap merendah diri dan bersyukur dengan ciptaan Allah
Taala. Usah dicontohi sikap Sang Arnab yang sombong itu.
Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Sekian , wabillahi taufik wal hidayah


Wassalamualaikum warahmatullahi
wabarokatuh

Anda mungkin juga menyukai