Anda di halaman 1dari 2

Definisi ajaran sesat

Istilah ajaran sesat adalah istilah yang bersifat relatif kerana terdapat banyak takrifan dan
definisi yang diberikan oleh pelbagai pihak. Menurut Kamus Dewan, ajaran ditakrifkan
sebagai segala perkara yang diajarkan, nasihat, petunjuk, teori dan mazhab. Manakala sesat
pula ditakrifkan sebagai tidak mengikuti jalan yang betul, tersalah (tersilap) jalan, terkeliru
(perbuatan, kepercayaan) dan menyimpang daripada jalan yang benar. (Engku Ahmad Zaki
Engku Alwi 2007).

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah merumuskan definisi ajaran sesat ini
yang bermaksud sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam ataupun
bukan Islam yang mendakwa ajaran dan amalan itu berdasarkan ajaran Islam. Sedangkan
hakikatnya, ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dan berlawanan dengan akidah
Islam yang berdasarkan al-Quran dan sunnah serta juga bertentangan dengan ahli Sunnah wal
Jamaah. (Engku Ahmad Zaki Engku Alwi 2007).

Istilah sesat dalam beberapa perkataan Arab yang merujuk kepada makna yang sama iaitu,
sesat, salah, dan menyeleweng daripada jalan yang lurus adalah perkataan dalla yadillu
dalalan. Yang mana ia telah menyingkap makna berpaling dari jalan yang lurus dan lawan
kepada perkataan hidayah. Secara umumnya, perkataan dalal membawa erti segala perkara
yang terkeluar dan menyimpang daripada kebenaran sama ada sengaja mahupun tidak
sengaja. Firman Allah dalam surah az-Zummar ayat 41:

“Sesungguhnya kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad), kitab suci al-
Quran yang menyatakan segala kebenaran (bagi menjadi panduan hidup) kepada umat
manusia seluruhnya. Oleh itu, sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beramal
menurutnya), maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat
(tidak berpandukan kepadanya), maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya
sendiri; dan engkau (wahai Muhammad hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang
menguasai (keadaan dan bawaan) mereka”.

Al-Quran al-Karim merupakan kitab suci panduan Ilahi yang telah diturunkan kepada
Rasulullah SAW sebagai panduan kepada manusia dalam menelusuri kehidupan yang penuh
pancaroba. Maka adalah wajar al-Quran ini dijadikan rujukan utama dalam mencari
pengertian yang tepat tentang kesesatan yang telah mencemar kesucian akidah Islam dan juga
telah mengeruhkan keharmonian masyarakat Islam (Engku Ahmad Zaki Engku Alwi 2007).

Anda mungkin juga menyukai