Anda di halaman 1dari 5

REFLEKSI PENGAJARAN ( RPH 1 )

1.0          PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

            Hari ini tidak seperti rakaman mikropengajaran yang lepas, suasana agak riuh dengan
suara kanak-kanak prasekolah yang berada di sebelah bangunan kelas saya. Perasaan saya
pula penuh dengan bunga-bunga harapan agar semuanya berjalan dengan lancar berkat  izin
dari yang Maha Esa. Hari ini  juga bertempat di Sekolah Kebangsaan Umas-umas, Tawau
Sabah pada 15 November 2011, bersamaan hari selasa antara pukul 10.25 hingga 10.55 pagi
kira-kira 30 minit di kelas 4 Amanah saya telah menjalankan rakaman makropengajaran bagi
mata pelajaran Matematik dengan tajuk Ukuran Panjang. Objektif pembelajaran saya pada hari
ini ialah, memahami perhubungan antara unit panjang. Harapan agar, diakhir proses
pengajaran dan pembelajaran murid-murid dapat menyatakan perhubungan antara  mm,
cm dan m, menukar unit panjang, menjawab latihan secara individu disamping dapat
menjalankan aktiviti berkumpulan dengan seronok bersama rakan mereka.

            Pengajaran dan pembelajaran dimulakan dengan bacaan doa, agar ilmu yang kita
sampaikan diterima oleh murid mendapat keberkatan dan rahmat dari-Nya. Selesai sahaja
berdoa dan bertanya khabar murid-murid, saya arahkan agar mereka melakukan sedikit
senaman iaitu lari setempat agar semua murid sedia menerima dan melakukan aktiviti yang
saya rancang. Bagi memulakan set induksi yang menjurus kepada kesediaan murid dengan isu
semasa dan pengetahuan sedia ada murid, saya memanggil dua orang murid yang mempunyai
bentuk fizikal yang berbeza diikuti dengan menunjukkan 2 batang pembaris yang berbeza
panjangnya diselangselikan dengan soal jawab bagi mencungkil idea dan mengaitkan
pengetahuan sedia ada murid dengan isi pelajaran.

            Setelah selesai set induksi, saya teruskan pengajaran dengan menjalankan penerangan
konsep tajuk yang ingin saya ajar iaitu menyatakan perhubungan unit panjang. Pendekatan
masteri saya gunakan dalam pengajaran saya agar murid dapat memahami dan menguasai
konsep isi pelajaran dan boleh menyelesaikan soalan-soalan matematik menggunakan konsep
yang dipelajari. Penerangan konsep ini saya lakukan dengan memaparkan
slaid Powerpoint yang saya sediakan lebih awal. Selesai memberikan beberapa contoh
penyelesaian, saya edarkan kepada setiap orang murid lembaran kerja bagi menjalankan
aktiviti individu. Tujuannya adalah untuk memberi lebih fokus kepada murid yang kurang mahir
menyelesaikan soalan berkaitan tajuk yang saya ajar. Dalam aktiviti ini saya dapatkan bantuan
rakan murid yang saya gelar sebagai guru kecil untuk membantu rakan kumpulan.
            Pembelajaran koperatif digunakan untuk aktiviti kumpulan. Aktiviti kumpulan saya
jalankan dengan menyediakan papan penyelesaian untuk mereka menulis hasil jawapan
melalui perbincangan soalan yang dipaparkan melalui slaid. Kumpulan yang dapat menjawab
dengan betul akan saya berikan kad wang syiling agar mereka boleh menukar kad tersebut
dengan hadiah yang saya sediakan. Aktiviti penutup saya jalankan dengan membuat penutupan
kognitif dan sosial yang memfokuskan kepada rumusan isi pelajaran yang telah dipelajari oleh
murid dengan meminta mereka menyatakan hubungan antara unit panjang.

2.0          KEKUATAN

2.1       Sebutan dan dan nada suara yang jelas


Selepas saya menonton video makropengajaran yang telah dirakam, kelebihan yang
ada pada pengajaran saya adalah nada suara atau sebutan yang jelas ketika menyampaikan
maklumat dan ketika memberikan arahan. Kesannya, murid dapat faham isi pelajaran dan
arahan yang saya sampaikan kepada mereka dengan baik.

2.2       Kawalan kelas yang baik


Selain itu juga saya mampu melaksanakan kawalan kelas yang baik dalam mengurus
tadbir murid dan memastikan wujud suasana yang kondusif untuk pengajaran dan
pembelajaran. Kawalan kelas yang baik membantu saya menjalankan aktiviti dengan lebih
lancar, ditambah pula dengan kerjasama dan penyertaan yang ditunjukkan oleh murid-murid
dalam menjalankan aktiviti. Murid-murid dapat melibatkan diri secara aktif terutamanya dalam
aktiviti kumpulan kerana saya telah mengambil kira ketidaksamaan kebolehan di kalangan
murid-murid semasa merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kawalan dan kerjasama
yang yang diberikan ini telah mewujudkan keadaan pembelajaran yang kondusif dan selesa.

2.3       Bahan bantu mengajar yang berkesan


Kaedah dan bahan bantu mengajar yang saya gunakan juga menarik perhatian, sesuai
dan releven untuk murid. Bahan bantu belajar dan mengajar ini banyak memberi sumbangan
dalam menjayakan pengajaran saya pada kali ini. Saya akan terus berusaha menghasilkan
bahan pengajaran yang bukan hanya berguna untuk pengajaran saya sendiri malah untuk
kegunaan bersama-sama Panitia Matematik. Bukan hanya dalam bentuk benda-benda maujud
malah menghasilkan aneka koleksi bahan pengajaran menggunakan perisian-perisian komputer
seperti penggunaan Microsoft PowerPoint. Tanpa bahan mengajar umpama resepi yang
kekurangan perisanya.

2.4       Peneguhan positif
Daripada pemerhatian, murid-murid amat suka diberi pujian dan galakan. Peneguhan
diberikan secara lisan dan isyarat kepada perlakuan yang baik sama ada dalam bentuk
ungkapan, perkataan, dan isyarat peneguhan yang bersesuaian dengan murid. Pada sesi
pengajaran kali ini, peneguhan positif yang saya lakukan kepada murid menjadikan pengajaran
lebih bermakna seperti mengatakan “bagus!”, “pandai” dan bertepuk tangan kepada murid yang
menjawab soalan dengan betul. Oleh yang demikian saya harus terus menggunakan kemahiran
dalam memberikan peneguhan agar murid bersemangat untuk menjawab soalan yang diajukan.
Disamping itu, peneguhan ini penting agar murid-murid rasa dihargai oleh guru. Peneguhan
dengan memberi teguran yang berseuaian kepada pelakuan yang negatif juga perlu dilakukan
bagi mengelakkan perlakuan yang negatif ini  dari berulang Namun demikian, saya juga perlu
beringat agar peneguhan yang diberikan tidak terlalu kerap sehingga murid berasa boring dan
menjangkakan hanya ucapan kosong seorang guru.

2.5       Penerapan nilai murni


Dalam proses pengajaran ini, saya juga telah menekankan aspek penerapan nilai-nilai
murni kepada murid-murid saya. Antara nilai-nilai murni yang saya terapkan ialah semangat
tolong-menolong, berani mencuba, bekerjasama dan bersaing secara sihat terutamanya dalam
menjalankan aktiviti individu dan kumpulan yang telah dirancang. Saya juga menerapkan rasa
kepimpinan dalam diri individu murid dengan adanya guru kecil yang menjadi pembimbing
kepada rakan-rakan mereka yang lemah. Semoga penerapan nilai-nilai murni ini dapat
membentuk dan melahirkan murid-murid yang berakhlak mulia.

2.6       Membimbing dan menyemak hasil kerja murid.


Sewaktu pengajaran dan pembelajaran berlangsung saya mendisiplinkan diri saya agar
sentiasa membimbing dan menyemak hasil kerja murid-murid saya. Tujuannya adalah untuk
memastikan setiap murid dapat memahami dan melaksanakan tugasan yang saya berikan
kepada mereka.

2.7       Memeriksa hasil kerja murid


Dalam makropengajaran juga saya telah memeriksa latihan dan tugasan murid dengan
menunjukkan kesilapan yang dilakukan oleh mereka disamping memberi ulasan yang membina
dan memberi penghargaan kepada hasil kerja yang baik. Ini penting bagi memastikan objektif
pelajaran dapat dicapai dengan lebih berkesan.

3.0                  KELEMAHAN

3.1          Pengurusan masa
Ketepatan masa penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran
berjalan dengan baik dan lancar. Berdasarkan rakaman dan RPH yang telah saya sediakan,
saya dapati masa yang digunakan untuk aktiviti individu agak lama berbanding masa yang
peruntukkan dalam RPH. Akibatnya saya tidak dapat menggunakan masa dengan optimum dan
terpaksa mempercepatkan aktiviti kumpulan.

3.2          Penggunaan bahasa (laras dan istilah)


Kelemahan seterusnya yang dapat saya kesan ialah penggunaan bahasa dari segi laras
dan istilah. Contohnya penggunaan perkataan “ok” yang terlalu kerap. Pada dasarnya,
kelemahan ini berlaku tanpa saya sedari, mungkin disebabkan ianya sudah menjadi kebiasaan.
Penggunaan perkataan “ok” yang terlalu kerap boleh menyebabkan murid-murid terikut dengan
gaya bahasa tersebut. Selain itu juga penggunaan dialek yang juga boleh

3.3          Pembelajaran koperatif
Dalam aktiviti kumpulan, saya menggunakan pendekatan pembelajaran koperatif. Setiap
kumpulan mempunyai 4 orang murid. Namun ada 2 kumpulan yang mempunyai lebih dari 4
orang ahli kumpulan. Kelemahan saya dalam situasi ini ialah, tidak semua murid dapat menulis
di atas papan penyelesaian yang saya sediakan. Walaupun mereka memberikan pendapat
namun peluang untuk turut sama menggunakan dengan optimum adalah terhad. Sepatutnya
saya memastikan setiap ahli kumpulan menjawab soalan secara bergilir-gilir.

3.4          Ada murid yang tidak aktif.


Penglibatan murid-murid yang lemah semasa pross pengajaran dan pembelajaran
adalah kurang memuaskan. Mereka kurang melibatkan diri dalam kebanyakan aktiviti yang
dilaksanakan. Masalah ini berkemungkinan berpunca daripada perasaan kurang yakin atau
takut ingin mencuba. Sepatutnya saya memainkan peranan dengan memberi keyakinan kepada
mereka untuk mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

4.0                  LANGKAH MENGATASI / PENAMBAHBAIKAN

Hari ini membawa azam baru untuk memperbaiki kaedah penyampaian dan pendekatan dalam
pengajaran demi mencapai objektif dan memenuhi kriteria-kriteria guru berkesan dalam
pengajaran yang bukan sahaja memberi impak kepada pencapaian murid malah perubahan
tingkah laku murid ke arah yang lebih positif. Menyedari bertapa besar tanggungjawab sebagai
seorang guru dan begitu banyak perkara yang perlu diperbaiki, menambah semangat dan
motivasi dalam diri saya untuk menjadi guru yang cemerlang bukan sahaja untuk murid-murid
saya, tetapi untuk meningkatkan martabat profesion keguruan khasnya.

Berdasarkan kelemahan dan kekurangan yang tedapat dalam makropengajaran saya,


beberapa aspek penambahbaikan perlu dilaksanakan. Penambahbaikan yang pertama perlu
saya lakukan adalah memperbaiki penggunaan bahasa dari segi laras dan istilah. Penggunaan
bahasa seperti penggunaan perkataan “ok” yang berulang perlu dielakkan, saya juga boleh
menggunakan perkataan lain seperti “baiklah” dan diselangselikan dengan perkataan lain.
Penggunaan dialek dalam pengajaran juga perlu dihindarkan agar murid tidak mudah terikut-
ikut dengan bahasa guru yang boleh mengelirukan murid-murid.

Saya juga perlu memantau dan memberi bimbingan serta tunjuk ajar kepada murid-
murid yang mempunyai kebolehan yang rendah agar mereka tidak tercicir dalam pembelajaran
dan dapat menyiapkan tugasan dengan lebih berkesan. Peneguhan juga perlu diberikan
kepada murid yang lemah agar mereka juga rasa dihargai oleh guru seperti rakan mereka yang
lain disamping dapat memupuk keyakinan dalam diri mereka.

Saya juga perlu bijak melaksanakan aktiviti pengajaran agar selari dengan had masa
yang saya peruntukkan. Saya perlu menepati masa yang telah saya peruntukan dalam
rancangan pengajaran dan menggunakan masa yang ada dengan optimum Namun demikian
saya juga perlu bersikap “fleksibel” yakni berubah mengikut keadaan bagi memastikan tiada
kecacatan dalam proses pengajaran.

Sekiranya saya berpeluang mengajar sekali lagi untuk kumpulan murid yang sama, saya
akan memastikan setiap murid mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang saya jalankan.
Ianya bertujuan supaya murid yang lemah juga memainkan peranan yang aktif semasa proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Manakala untuk aktiviti kumpulan pula, saya akan
mengaplikasikan pembelajaran koperatif dengan memastikan setiap murid dalam kumpulan
akan mempunyai peranan atau nombor masing-masing. Saya akan menetapkan peraturan
menjawab soalan kepada murid yang nombornya disebut sahaja perlu bangun dan
menyelesaikan soalan. Walau bagaimanapun rakan kumpulan boleh membimbing rakan
mereka jika rakan mereka tidak dapat menyelesaikan soalan yang diberikan. Secara tidak
langsung nilai-nilai murni dapat diterap dalam aktiviti seperti ini.

Secara keseluruhannya, objektif pengajaran dapat dicapai dan saya berpuas hati
terhadap makropengajaran kali ini walaupun timbul beberapa kelemahan yang mencacatkan
sedikit proses pengajaran dan pembelajaran. Saya beriltizam dan berazam untuk memperbaiki
diri dan menghasilkan pengajaran yang lebih berkualiti di masa akan datang walaupun saya
perlu memaksimumkan usaha saya, kerana kemanisan akan dikecapi oleh guru apabila melihat
murid-muridnya mencapai kefahaman terhadap apa yang diajar dan memperolehi kejayaan.
Guru berkualiti meneraju pembangunan negara ke arah kecemerlangan dan kegemilangan.

Anda mungkin juga menyukai