Anda di halaman 1dari 5

IMPLIKASI STANDARD PRESTASI ANTARABANGSA TERHADAP PENDIDIKAN DI

MALAYSIA

2.0 KURIKULUM STANDARD DAN PENTAKSIRAN

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah digubal pada tahun 2011 bagi memperbaiki
kedudukan Malaysia dalam SPA dan memenuhi enam aspirasi iaitu pengetahuan, kemahiran
berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti
nasional (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2016). Penggubalan KSSR umumnya masih
mengekalkan prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang berlandaskan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Konsep KSSR mendasari semua kurikulum mata
pelajaran sekolah rendah yang dibangunkan termasuk kurikulum pendidikan khas (Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2016).

Kurikulum sebelum ini terbukti lebih berorientasikan peperiksaan berdasarkan dapatan


kajian UNESCO (2011 dalam Zarina 2016), menunjukkan guru-guru di Malaysia mengajar
hanya untuk memenuhi keperluan peperiksaan. Proses pembelajaran dan pengajaran (PdP)
yang menekankan peperiksaan lebih mementingkan kebolehan pelajar mengingat kembali
faktasecara tidak langsung mempengaruhi corak pengajaran guru untuk memberi banyak fakta
dan mengutamakan penghafalan dan kurang menggalakkan pelajar untuk berfikir tentang fakta
yang dipelajari (Philips, 1997 dalam Zarina 2016). Oleh itu, kaedah pentaksiran dalam KSSR
juga telah mengalami perubahan iaitu dengan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah
(PBS). Pelaksanaan PBS dapat membantu guru buat penilaian secara menyeluruh dengan
mengaplikasikan pentaksiran sumatif dan pentaksiran formatif (Abdul Halim, 2015). Pentaksiran
secara sumatif dan formatif membantu guru dapat menentukan tahap keupayaan sebenar
murid dan berdasarkan maklumat pentaksiran, pihak sekolah dan ibu bapa dapat merancang
tindakan susulan ke arah perkembangan pembelajaran murid (Kementerian Pendidikan
Malaysia, 2016). Melalui PBS, pelajar dapat mengurangkan tekanan one-of-examination dan
guru boleh menilai pelajar dengan saksama (Abdul Halim, 2015).

Kesan penambahbaikan kurikulum ini adalah melahirkan insan yang seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani dan intelek yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif (Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2016) dan hal ini dapat dicapai melalui enam tunjang KSSR. Misalnya,
aspek komunikasi dan kemanusiaan, KSSR dapat meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar
dengan masyarakat. Misalnya, kaedah pengajaran yang demokratik pelajar dapat memberi
pandangan mereka terhadap sesuatu isu dan berlaku komunikasi pelbagai hala antara pelajar
dengan guru, rakan sebaya dan persekitaran. Hal ini juga penting dalam membina keyakinan
dalam diri pelajar seterusnya dapat melahirkan individu yang mampu berkomunikasi dengan
dunia luar dan masyarakat.

PBS pula dilihat memberi impak positif apabila penilaian terhadap pelajar dijalankan
secara berterusan dan kelemahan pelajar dapat dikenalpasti dengan mudah oleh guru.
Penambahbaikan terhadap kaedah pengajaran oleh guru boleh dilakukan mengikut tahap
penguasaan pelajar. Guru boleh merancang pembelajaran yang sesuai dengan tahap
pembelajaran pelajar dan boleh memaksimumkan keupayaan pelajar untuk menguasai
pengajaran dalam satu-satu masa. Namun begitu, dari aspek pelaksanaan, kesukaran untuk
memasukkan data dan evidens PBS secara dalam talian memberi satu bebanan kepada guru
berikutan masalah kepada sistem itu sendiri. Tambahan pula kekurangan dari segi capaian
internet yang lemah memberi kesukaran untuk memasukkan data secara dalam talian.
2.1 PENGAPLIKASIAN KBAT

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) ialah keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan,
kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah,
membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu (Kementerian Pendidikan
Malaysia, 2016). Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) telah mengatur dan menjayakan
pelbagai usaha peningkatan penguasaan KBAT Sains dan Matematik dalam kalangan guru dan
murid berikutan prestasi Malaysia dalam TIMMS 2011 yang rendah (Kementerian Pendidikan
Malaysia, 2016).

Penekanan terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik dalam KBAT adalah seiring dengan
program Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) yang juga bertujuan
memenuhi dasar 60 : 40 bagi mata pelajaran Sains dan Sastera yang telah lama dilaksanakan
namun gagal mencapai sasarannya. Hal ini berikutan dengan keputusan Laporan Petunjuk
Sains dan Teknologi Malaysia 2004 yang menunjukkan graduan sains dan teknologi yang
dihasilkan oleh IPTA hanyalah 32.4 peratus berbanding keperluan 60 peratus dalam bidang
Sains (Utusan Malaysia, 27 Mac 2009). Penekanan kepada STEM adalah antara 100 inisiatif
utama PPPM (Utusan Malaysia, 26 Januari 2018).

Kesan penambahbaikan kemahiran baru ini adalah apabila penguasaan KBAT dapat
membantu murid dalam mengawal, menentukan arah dan mengukur kemajuan pelajaran
mereka (Zarina, 2016). Mereka juga mampu menghadapi cabaran dan berani mengambil risiko
untuk mencuba penyelesaian yang baru dan KBAT mendorong murid untuk membuat
kesimpulan secara logik, mempunyai bukti berasaskan bacaan dan penyelidikan yang dibuat
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2016). Penerapan elemen KBAT dalam PdP dijalankan
secara meluas supaya dapat melahirkan generasi yang mampu membuat keputusan,
menyelesaikan masalah, menginovasi, dan mencipta dapat dihasilkan bagi meneraju negara
pada masa hadapan (Abdul Halim, 2015). Oleh itu, penekanan KBAT memerlukan guru untuk
memastikan semua pelajar dapat menguasai kemahiran tersebut agar mereka lebih yakin dan
mampu untuk bersaing dengan dunia luar serta tidak ketinggalan dalam arus globalisasi.

Namun begitu, dalam mengaplikasikan KBAT dalam PdP bermakna beban tugas guru akan
bertambah apabila golongan pendidik terpaksa berhadapan dengan pelbagai perubahan
sehingga berhadapan dengan beban yang keterlaluan. Beban tugas ini telah menimbulkan
kerumitan tekanan dan keletihan emosi kepada guru (Zarina, 2016). Hal ini terbukti apabila
golongan guru paling ramai dikesan mengalami gejala stres berbanding kerjaya lain di negara
ini yang punca utamanya akibat beban kerja yang terlampau banyak (Sajida, 27 Julai 2018).
Pelaksanaan KBAT memerlukan tahap kesediaan guru yang tinggi kerana mereka
perlumenguasai konsep dan kefahaman KBAT serta menguasai sukatan pelajaran semasa
(Abdul Halim, 2015). Hal ini menunjukkan guru berhadapan dengan pelbagai perubahan
semasa dalam pendidikan akibat sifat kurikulum yang dinamik. Guru juga terpaksa
menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan menyebabkan pelaksanaan KBAT
secara efisien dan menyeluruh dalam proses PdP terhalang. Akhirnya objektif pelaksaan KBAT
yang telah digariskan gagal untuk dicapai.

Anda mungkin juga menyukai