Anda di halaman 1dari 5

Karangan Bahagian B Cara-cara

Memanfaatkan Usia Ramaja


- July 13, 2018
Berikan pendapat anda tentang cara-cara memanfaatkan usia remaja. 

  Kekuatan remaja kepada negara dapat dikaitkan dengan kata-kata semangat yang
dilontarkan oleh Soekarno, Presiden Indonesia yang pertama, "Berikanlah saya 10
orang belia waja, pasti saya akan gegarkan dunia." Remaja merupakan aset negara
yang tidak ternilai harganya yang akan menerajui kepimpinan negara. Kendatipun
begitu, seorang tokoh cendekiawan Isalam pernah berkata bahawa petanda runtuhnya,
sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut amat mencari hiburan. Gejala
sosial juga semakin kronik akibat landaan gelombang globalisasi yang menyebabkan
remaja terjajah minda dan budaya. Sikap acuh tidak acuh remaja terhadap
tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar dan anak juga menyumbang kepada
keruntuhan akhlak remaja di negara kita. Sesungguhnya, benarlah bicara bijak pandai
bahawa "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Anak-anak belasan tahun ini
hendaklah dididik dengan cara yang efektif agar remaja yang masih mentah dan muda
dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya untuk membangunkan negara kita. Remaja
perlu didorong ke arah landasan yang betul supaya menjadi seorang pemimpin yang
berkaliber dan menyumbang bakti kepada negara. Maka, usaha-usaha yang istiqamah
memerlukan obligasi dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak untuk
memanfaatkan usia remaja.

  Umum mengetahui bahawa anak-anak diibaratkan sehelai kain putih dan ibu


bapalah yang mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap
masa hadapannya. Ibu bapa wajar menerapkan nilai-nilai murni dalam sanubari remaja
sejak kanak-kanak lagi supaya dapat membentuk remaja yang hormat dan taat terhadap
anggota keluarga. Remaja perlulah menyedari ibu bapa yang bersusah payah mencari
rezeki untuk memastikan kehidupan anak-anak yang sempurna dan selesa. Oleh itu,
remaja perlu menyayangi kedua-dua ibu bapa dan membantu meringankan beban ibu
bapa dengan melakukan kerja rumah seperti mencuci pinggan mangkuk, menyidai
pakaian dan membantu menjaga adik-beradik yang masih kecil. Remaja harus
mengambil berat tentang anggota keluarga dan sentiasa berbual-bual untuk
mengeratkan hubungan silaturahim. Semua anggota keluarga hendaklah mempunyai
tanggungjawab masing-masing untuk melahirkan keluarga yang bahagia. Selain itu,
golongan remaja patut mendengar nasihat daripada orang yang lebih tua supaya dapat
membentuk jati diri yang unggul dan seterusnya mampu menangkis sebarang
tohmahan. Remaja hendaklah berusaha menjaga imej diri dan maruah keluarga supaya
tidak mengecewakan ibu bapa yang semakin uzur. Justeru, remaja perlu sentiasa
berusaha meraih kejayaan dalam pelajaran dan berpegang teguh pada ajaran agama
supaya mengelakkan diri daripada terlibat dalam kancah maksiat.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa langkah yang lebih pragmatik perlu
diambil, iaitu remaja memikul tanggungjawab untuk menjadi seorang pelajar yang
cemerlang dan berperibadi mulia. Golongan remaja hendaklah rajin menuntut ilmu
pengetahuan di sekolah supaya mampu memanfaatkannya dalam bidang pekerjaan
pada masa hadapan. Bahasa yang dikuasai itu mampu membantu seseorang
meningkatkan ilmu berkomunikasi supaya dapat bergaul dengan orang secara elok dan
mengelakkan diri daripada menyinggung perasaan orang lain. Di samping itu, pelajar
perlu aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum yang merangkumi badan
beruniform, sukan dan permainan serta kelab dan persatuan. Kementerian Pendidikan
Malaysia juga mengambil berat terhadap perkembangan fizikal golongan remaja dengan
mewajibkan semua pelajar untuk menyertai satu daripada setiap kategori aktiviti
kokurikulum. Hal ini dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani dan tidak terikat pada perkembangan akademik remaja sahaja.
Tambahan pula, remaja hendaklah giat menyertai pelbagai pertandingan yang
dianjurkan pada peringkat sekolah, negeri ataupun negara supaya dapat melahirkan
persaingan yang sihat dalam diri pelajar seperti Pertandingan Saintis Muda dan
Pertandingan Robotik. Hal ini juga dapat melahirkan remaja yang mampu berfikir secara
kreatif dan inovatif dan mengaplikasikan ilmu tersebut dalam reka cipta. Remaja juga
digalakkan menjawat jawatan seperti pengawas, pengawas pusat sumber sekolah,
ketua kelas, pengerusi kelab dan sebagainya untuk memupuk kepemimpinan dalam diri
mereka dan menjadi seorang yang berdisiplin, berdedikasi dan bertanggungjawab
dalam menjalankan tugas masing-masing. Dengan berbuat demikian, ternyatalah
bahawa usia remaja mampu dimanfaatkan sekiranya rajin menuntut ilmu pengetahuan
dan giat melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum supaya perkembangan fizikal dan
mental ialah seimbang.

  Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa kaedah yang agak jelas ialah remaja
hendaklah memilih rakan sebaya yang baik personalitinya. Pepatah Arab pernah
mengungkapkan bahawa jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan
berbau wangi dan jika kita berkawan dengan tukang besi kita akan terasa
bahangnya. Rakan yang baik boleh dianalogikan seperti bunga ros yang sentiasa
mekar dan harum baunya. Oleh sebab itu, remaja hendaklah bijak memilih rakan sebaya
supaya tidak terlibat dalam kes-kes jenayah. Rakan yang berakhlak mulia mampu
mendorong kita ke lembah yang betul dengan melibatkan diri dalam aktiviti berfaedah
seperti menyertai marathon, mengulang kaji bersama-sama dan merupakan orang yang
meluahkan isi hati apabila berhadapan dengan masalah. Rakan-rakan yang sihat dan
aktif dalam sukan akan mempengaruhi remaja untuk mementingkan kecergasan fizikal
dan sentiasa bersenam. Lantaran itu, remaja juga akan sentiasa rajin mengulang kaji
pelajaran sekiranya dikelilingi oleh rakan yang cemerlang dalam pelajaran masing-
masing. Remaja juga akan bersikap sopan santun apabila bergaul dengan rakan yang
hormat-menghormati antara satu sama lain. Remaja akan bersikap lebih terbuka dan
menerima perbezaan antara rakan sebaya yang pelbagai dari segi kaum dan agama
mereka. Selain itu, mereka akan pandai membezakan dosa dan pahala dengan tidak
menimbulkan sebarang masalah disiplin yang akan membimbangkan ibu bapa dan
menjatuhkan imej sendiri. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah
kita simpulkan bahawa remaja hendaklah bijak memilih rakan sebaya supaya usia
remaja dapat dimanfaatkan dengan melaksanakan aktiviti yang bermanfaat.

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan pendekatan yang
seterusnya, iaitu melalui pihak masyarakat. Masyarakat boleh melibatkan diri dalam
pelbagai kempen atau program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan seperti Program
Rumah Terbuka, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan petempatan atau
mengadakan kenduri-kendara, Kempen Menanam Pokok, Kempen Derma Darah,
Program Cintailah Sungai Kita dan Kempen Kitar Semula. Golongan remaja bolehlah
melibatkan diri dalam Program Rumah Terbuka yang dianjurkan oleh pihak kerajaan
setiap tahun untuk meraikan perayaan kaum utama yang terdapat di Malaysia iaitu
kaum Melayu, Cina dan India. Dengan ini, remaja akan mengetahui perayaan kaum lain
dan bersikap keterbukaan dalam menerima adat resam, cara hidup dan budaya kaum
lain serta menghormati mereka. Selain itu, remaja juga harus bersifat penyayang
terhadap alam sekitar dengan menanam pokok bunga di halaman rumah dan
melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar. Remaja
juga perlu sentiasa prihatin terhadap golongan warga tua, wanita hamil, golongan
kurang berupaya dan kanak-kanak. Remaja boleh mendermakan wang, pakaian dan
barangan keperluan seharian kepada rumah kebajikan orang tua atau rumah anak-anak
yatim supaya sentiasa prihatin dan membantu golongan yang memerlukan bantuan.
Remaja juga bolehlah menyertai kempen derma darah untuk membantu golongan yang
sakit tenat di hospital supaya mampu menyelamatkan mereka. Lantaran berpaksikan
kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa remaja boleh memanfaatkan usia muda
mereka dengan giat melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat
menyumbang bakti kepada komuniti kita.

  Suatu hakikat yang wajar diterima ialah prakarsa kegiatan aktiviti pada peringkat
negara. Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos pada setiap tahun melibatkan
warganegara Malaysia dari seluruh negara yang menyambutnya dengan meriah dan
bersemangat patriotik. Golongan remaja hendaklah mengambil peluang ini untuk
menyaksikan perarakan di Dataran Merdeka yang disambut dengan meriah oleh semua
lapisan masyarakat. Hal ini dapay memupuk semengat patriotik yang tinggi dan
menghargai perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang menuntut kemerdekaan tanah
air kita. Rentetan itu, remaja perlulah melibatkan diri dalam Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN) supaya membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni,
memupuk perpaduan kaum dan menyemarakkan semangat kesukarelaan dalam
sanubari golongan remaja. Seterusrusnya, remaja juga boleh mengambil bahagian
dalam aktiviti sukarela seperti membantu mengawal lalu lintas semasa konsert sedang
dijalankan, mengagihkan makanan dan minuman semasa hari sukan, membuat kuih
atau barangan kraftangan untuk dijual untuk mengumpulkan dana semasa Hari
Keluarga sekolah. Selain itu, remaja perlu melancong sama ada di dalam atau di luar
negara untuk menimba ilmu pengetahuan terhadap destinasi pelancongan yang
bersejarah dan indah. Remaja juga hendaklah rajin membaca surat khabar atau buku-
buku supaya dapat mengetahui tentang perkembangan isu semasa dan ilmu
pengetahun luar. Seperti yang kita sedia maklum, sudah terang lagi bersuluh bahawa
golongan remaja boleh memanfaatkan usia remaja dengan menyertai PLKN,
menyambut hari kemerdekaan, melakukan aktiviti sukarela dan melancong. 
  
  Sebagai penutup wacana ingin saya tegaskan bahawa memang terdapat pelbagai cara
yang dapat dilakukan untuk memanfaatkan usia remaja. Golongan remaja yang masih
berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang hendaklah berusaha untuk
melakukan pelbagai perkara yang berfaedah sekiranya mampu. Bak kata pepatah,
"masa itu emas". Pepatah Arab pernah mengungkapkan bahawa masa itu umpama
pedang. Jika kamu tidak memancungnya, maka ia pasti akan memancungmu. Oleh
sebab itu, golongan remaja tidak sepatutnya membuang masa yang panjang melayari
laman web sosial dan berbual kosong sahaja, atau bermain permainan komputer
sehinggan lewat malam. Sebaliknya, remaja hendaklah memikul tanggungjawab untuk
menjadi lebih berdisiplin dengan mengagihkan masa dengan seimbang antara masa
belajar dan masa berehat. Remaja boleh membuat jadual waktu belajar dan
mematuhinya supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran. Remaja perlulah
memanfaatkan usia mereka selagi mereka berkemampuan seperti menuntut ilmu
pengetahuan dan melakukan perkara seperti menyertai pertandingan atau acara sukan
agar tidak mensia-siakan kehidupan mereka ketika mereka seorang remaja. Adakah kita
dapat menerima hakikatnya bahawa kita tidak akan mampu melakukan perkara yang
remeh dan menyesal pada kemudahan hari kerana kita tidak rajin pada usia remaja?
Maka, remaja hendaklah mempunyai anjakan paradigma dan menyahut seruan negara
"Remaja Penggerak Wawasan". 

Word Count: 1466                            Markah: 96/100                                                     


Date: 16/9/2016

Anda mungkin juga menyukai