Anda di halaman 1dari 5

LM 2023-16 Nurul Anis Syakirah binti Che Mat 1912656

Merujuk poster
Jenis pengucapan awam: Pidato ( Apakah Makna Kemerdekaan Yang Sebenar? )
Nama program: Sambutan Hari Malaysia
Sempena: Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan
Tema: Kenegaraan
Penganjur: Jabatan Pembangunan Masyarakat
Kerjasama: Majlis Daerah Hulu Selangor
Tarikh/ Hari: 16 September 2022 (Sabtu)
Masa: 10 pagi hingga 5 petang
Tempat/ Pelantar: Taman Awam Jenjarum
Khalayak: Semua orang awam
Rangka Kerja
Salutasi (pembuka bicara)
Tiga tetamu kehormat:
1. Pengacara majlis
2. AJK Jabatan Pembangunan Masyarakat Daerah Hulu Selangor
3. Menteri Besar Selangor
Pengenalan:
• Kesyukuran
• Kata alu-aluan

Isi penting

1. Semangat patriotisme melahirkan rasa cinta akan negara.

2. Pendidikan kunci kemajuan negara

3. Kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

5. Sosial dan budaya berkait rapat khususnya untuk pelajar.


Penutup:

Pantun, Penutup

Pidato ( Apakah Makna Kemerdekaan Yang Sebenar? )

Salutasi

Ting! Ting! Ting!. Detik 12 malam tanggal 31 Ogos tahun 1957, turunnya bendera Union
Jack diiringi dengan laungan Merdeka!!! Merdeka!!!Merdeka!!! oleh Perdana Menteri Malaysia
yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Detik bersejarah yang tersemat kukuh dalam
sanubari setiap rakyat Tanah Melayu.

Di saat terletusnya bom di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun rebah tersungkur menyembah
bumi. Mereka dikhabarkan memerlukan seratus tahun untuk membinanya semula namun mereka
cuma memerlukan beberapa puluh tahun sahaja untuk membina negara dan rakyatnya. Malaysia
pula sudah genap 65 tahun merdeka, belum pernah diranap oleh mana-mana negara, tetapi
mengapa nilai-nilai murni dan perpaduan dalam kalangan rakyatnya masih berada di kelas ketiga?

Bismillahirrahmanirahim,

Salam apresiasi yang mulia buat saudari pengerusi majlis,

Dif-dif kehormat yang disanjungi,

Kombinasi intelektual kehakiman yang penuh berintegriti,

Seterusnya hadirin-hadirat yang dekat di hati.

Andai patah sayap rajawali, bertongkat jua saya ke mari. Bukan sekadar ingin menghibur
hati, tetapi untuk membawa anda semua untuk sama-sama kita menyelami, mendalami dan
berkongsi mauduk bicara yang berbunyi : Apakah makna kemerdekaan yang sebenar?

Para pendengar yang budiman,

Saya kecilkan definisi dengan menumpu sekitar persoalan pencapaian Malaysia selepas sudah
lebih setengah abad Malaysia mencapai kemerdekaan daripada cengkaman penjajah.. Frasa capai
atau pencapaian mengikut kamus Dewan Edisi Terbaru adalah bermaksud prestasi. Tuntasnya,
definisi pidato saya adalah tertumpu dalam skop prestasi Malaysia selepas kemerdekaan pada
tahun 1957.

Kemerdekaan dapat ditafsirkan sebagai keadaan yang bebas daripada semua aspek. Pada
era globalisasi ini, remaja dilihat sering terikut-ikut dengan cara percakapan, cara berpakaian dan
gaya hidup artis dari negara barat. Hakikatnya, budaya ini sememangnya tidak sesuai untuk negara
timur terutamanya masyarakat Malaysia. Hal ini bermaksud kita masih belum mencapai
kemerdekaan dari segi mental.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Indikator saya yang pertama, semangat patriotisme melahirkan rasa cinta akan negara. Hal
ini demikian kerana, semangat yang kita padukan dan satukan ialah semangat cinta akan
kemakmuran, jika tidak, masakan kita bisa bertahan ketika dirobek keamanan, dicemuh kesucian,
dan dimaki dalam penghinaan. Ketika itu, kita sedar betapa pentingnya semangat perjuangan dan
tuntutan kemerdekaan dan sekali gus meletakkan suatu tanggungjawab di pundak anak bangsa
yang bakal mewarisi negara. Mahatma Gandhi pernah berkata, ”Majunya sesebuah negara kerana
asas jati diri bangsanya”. Maka pada hari ini kita harus sedar, kurniaan kemerdekaan bukan sekadar
kibaran jalur gemilang, dan bukan juga dendangan lagu kebangsaan kerana kalau roboh kota
Melaka, papan di Jawa jadi gantinya, iaitu apabila musuh datang melanda kita, patriotisme
Malaysia jadi penangkisnya bagi kesejahteraan masyarakat semua.

Sidang saksi bermisi, saudara dan saudari,

Meniti kata kunci saya yang kedua Perkembangan sektor pendidikan yang lebih baik
berbanding 52 tahun yang lalu, adalah merupakan hujah penting dalam menampakkan prestasi
negara pada hari ini. Jika dahulu kebanyakan masyarakat Tanah Melayu buta huruf namun, pada
hari ini kita mampu berbangga dengan pencapaian rakyat Malaysia sehingga mampu
mengharumkan nama negara dalam bidang pendidikan. Sebagai contohnya, kejayaan Saudara
Najmil Faiz Mohamed Aris, salah seorang pelajar Sarjana Kedoktoran (PhD) dalam bidang
Teknologi Nano di Universiti Metropolitan,Leeds yang sebelum ini pernah mendapat perhatian
media Malaysia kerana kejayaan beliau mengharumkan nama negara menerusi pembentangan tesis
beliau di Parlimen Britain pada tahun 2005.

Pragmatik dewan sekalian,


Indikator saya yang ketiga, kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi. Untuk
mencapai taraf negara maju pada tahun 2020, Malaysia telah melaksanakan pelbagai program
pembangunan. Lihatlah, kewujudan kilang perindustrian bagaikan cendawan tumbuh selepas
hujan setelah kerajaan yang ditubuhkan selepas kemerdekaan kini lebih berwawasan dalam
menentukan kesinambungan kedua-duanya. Sebagai contohnya, Menara Berkembar Petronas yang
mempunyai 99 tingkat dan Menara Kuala Lumpur setinggi 421 meter. Kedua-duanya ini
memberikan impak yang besar kepada imej negara yang menjadikannya sebagai identiti negara.
Secara tidak langsung, pembangunan yang dibina ini mampu meluaskan peluang pekerjaan, sekali
gus dapat meningkatkan taraf hidup penduduk, dan hal ini sudah tentu memberikan kesejahteraan
kepada masyarakat.

Saudara- saudari,

Seterusnya, indikator saya yang terakhir, prestasi pembangunan modal insan, atas kata
bicara "Sirnanya budaya dan tatasusila rakyat timur jika dibandingkan dengan zaman sebelum
kemerdekaan". Gejala sosial anak-anak muda, runtuhnya sosial kemasyarakatan dan hilangnya
keperkasaan institusi kekeluargaan adalah bahana besar kepada rosaknya modal insan negara.
Dunia pada hari ini sudah penat, menyaksikan masalah sosial yang semakin melarat. Seks bebas
sudah dijadikan adat. Hubungan sejenis mula mendapat tempat. Untuk menjadi hebat, ilmu tidak
lagi diangkat sebaliknya korupsi yang menjadi syarat. Adakah semua ini hanya perlu untuk dilihat?
Atau sebenarnya perlu segera diubat! Fikir-fikirkanlah.

Oleh hal yang demikian, saya menyarankan rakyat negara ini, biarlah gunung sama didaki,
lurah sama dituruni, dan hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah”. Marilah kita
bersama-sama meniti hari-hari yang mendatang dengan mengukuhkan semangat patriotisme dan
mengekalkan kemerdekaan negara yang tercinta bagi memastikan masyarakat hidup aman dan
sejahtera.

Hadirin,

Pada penghujung bicara,jelas tertera, tatkala kita jadikan patriotisme sebagai budaya dan
pegangan, maka impaknya bangsa yang dulu tertiarap dimamah, kini kembali tegak bermaruah.
502 tahun lalu kita dijajah selama 446 tahun. Seandainya saat ini, kemerdekaan yang ada tidak kita
hargai dengan patriotisme, ingatlah, bahawa taktala ayam direban disambar helang, padi di tangan
menjadi lalang, sejarah mungkin akan berulang

Sebelum mengundur diri, saya ingin menyampaikan serangkap pantun.

Kalau ada jarum yang patah,

Jangan disimpan di dalam peti,

Kalau ada silap dan salah,

Jangan disimpan di dalam hati.

Sekian, Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh.

Anda mungkin juga menyukai