Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan

“Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan”. Peribahasa Melayu ini bermaksud orang yang
mengharapkan bantuan pasti akan berasa gembira jika ada insan yang ikhlas membantunya.
Ungkapan tersebut sejajar dengan kerja amal atau kesukarelawan yang lazimnya dianjurkan
untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik. Contohnya apabila musim banjir
melanda bahagian pantai timur negara ini, ramai individu dan pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) yang akan menjalankan aktiviti sukarelawan bagi menyampaikan bantuan. Sebagai
masyarakat yang prihatin, kita bertuah kerana ramai di antara kita yang suka rela untuk
menyertai kerja-kerja amal apabila berkesempatan khususnya golongan belia. Hal ini kerana
pelbagai kebaikan dan faedah yang mampu mereka peroleh sekiranya menyertai aktiviti ini.
Wajar untuk kita bincang dan huraikan apakah kebaikan yang diperoleh sesorang sekiranya
menyertai atau menjalankan aktiviti kesukarelawan.
Antara kebaikan utama menyertai kerja amal adalah ia dapat memberikan kesedaran
tentang kesusahan yang dihadapi oleh sebahagian masyarakat kepada mereka yang lebih
bernasib baik. Misalnya, kejadian banjir yang melanda kawasan perkampungan banyak
memusnahkan atau merosakkan kebajikan penduduk kampung seperti perkakas rumah dan
pakaian. Oleh itu, sukarelawan yang datang membantu dapat menyumbang kepada kebajikan
penduduk terjejas agar mereka dapat meneruskan kehidupan mereka dengan selesa. Secara
tidak langsung, situasi ini akan membuka mata pelbagai pihak khususnya peserta aktiviti
dalam memahami keadaan yang sukar terhadap mangsa. Ia juga dapat mengelakkan
masyarakat daripada menjadi seperti katak di bawah tempurung. Jelasnya, faedah kerja amal
atau aktiviti sukarelawan dapat membantu meluaskan kesedaran terhadap kesusahan atau
masalah yang dialami oleh sebahagian masyarakat.
Manfaat lain aktiviti sukarelawan adalah membentuk keperibadian dan nilai-nilai
murni yang baik. Apabila kita menyertai aktiviti sukarelawan, pelbagai kemahiran dan
pengetahuan yang akan diperoleh. Seseorang individu akan didedahkan kepada cara untuk
berkomunikasi dengan lebih empati, menguruskan logistik dan sebagainya. Mereka akan
terlibat dengan organisasi yang mempunyai ketua untuk menurut arahan, golongan penerima
yang akan mendapat bantuan dan rakan sukarelawan yang memerlukan kerjasama antara satu
sama lain. Persis kata mutiara, berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Dengan menyelami
kesusahan dan dugaan yang dihadapi oleh penerima bantuan, ia akan membentuk kita untuk
menjadi insan yang lebih baik. Tegasnya, penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan ini dapat
membentuk ketrampilan diri yang baik.
Selain itu, kerja amal dan sukarelawan dapat membantu kita untuk mengisi masa
terluang dengan perkara-perkara yang berfaedah. Sejak kebelakangan ini, banyak laporan di
dada akhbar dan televisyen yang memaparkan ahli masyarakat yang terjebak dengan gejala
negatif seperti dadah dan gangsterisme. Perkara ini seharusnya dibendung agar masyarakat
yang bermutu dan negara yang maju dapat dicapai. Oleh itu, dengan menganjurkan aktiviti
sukarelawan atau kerja amal dan memastikan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian
mampu memenuhkan masa mereka dengan aktiviti yang lebih berfaedah. Bak kata pepatah,
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kita perlu menggalakkan generasi muda pada hari ini
untuk menyertai aktiviti sukarelawan atau kerja amal agar sikap tanggungjawab dan
merendah diri dapat dipupuk. Izharnya golongan muda perlu lebih aktif dalam aktiviti
sukarelawan untuk membendung gejala negatif berkembang dalam masyarakat.
Akhir sekali, kebaikan melaksanakan kerja amal adalah mewujudkan masyarakat
yang penyayang dan bersatu padu. Setelah kita melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan
seperti menjalankan gotong-royong untuk mangsa banjir, kita pasti akan disayangi dan
dihargai oleh mangsa yang terjejas. Bantuan yang diterima daripada orang yang tidak
dikenali pasti akan melahirkan hubungan persaudaraan yang lebih baik. Semangat
bermasyarakat dan bersatu padu tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat akan
terjalin. Situasi ini penting agar mereka yang tidak bernasib baik dapat manfaat untuk
meneruskan hidup manakala yang membantu dapat mengambil iktibar. Kita tidak mahu
menjadi masyarakat yang bersikap seperti anak di pangkuan kelaparan, kera di hutan
disusukan. Tuntasnya, masyarakat yang menyertai kerja amal adalah masyarakat yang cakna
dan harmoni.
Kesimpulannya, banyak kebaikan yang diperoleh sekiranya kita melibatkan diri atau
menganjurkan kerja-kerja amal untuk membantu mereka yang dalam kesusahan. Setiap di
antara kita seharusnya mencari peluang untuk menyertai aktiviti seperti ini sekurang-
kurangnya sekali untuk merasai pengalaman dan tidak buta hati. Golongan berkuasa dan
barisan pemimpin masyarakat sepatutnya menghabiskan lebih masa dalam aktiviti seperti ini
agar masyarakat yang lebih baik dapat dilahirkan. Ahli falsafah tersohor, Samuel Johnson
pernah mengungkapkan “Masa depan dibeli oleh masa sekarang”. Ungkapan tersebut jelas
mengatakan bahawa jika kita ingin mendapatkan manfaat kerja amal atau sukarela, kita perlu
bertindak sekarang agar masa hadapan kita dan generasi akan datang terjamin. Seterusnya
dapat menjadi contoh atau model kepada masyarakat antarabangsa dalam menjadi prihatin
serta penyayang antara satu sama lain.

Anda mungkin juga menyukai